Bab 5
BERBUKU perasaan Airina setiap kali memandang Harris. Lelaki itu beria-ia mengajaknya keluar makan malam bersama. Pada mulanya Airina menolak dengan alasan mereka berdarah manis tetapi Halim pula menyokong Harris.
Kata Halim, apalah salahnya luangkan masa sebentar bersama tunang tercinta. Nak tak nak, terpaksalah Airina akur walaupun perkataan 'tercinta' itu tidak boleh diguna pakai sama sekali. Itupun Airina pandai-pandai mengajak Syida ikut sama. Syida pula tidak banyak cakap, laju sahaja dia bersetuju.
"Inilah chance Syida nak makan kat hotel!" kata-kata Syida sebentar tadi bermain semula dalam fikiran Airina. Dikerlingnya Syida sekilas yang sedang ralit berbalas WhatsApp dengan seseorang.
Airina pandang Harris semula.
"Ada apa awak nak jumpa saya ni?"
"Saja. Saya rindukan tunang sayalah," ucap Harris lembut. "Awak tak rindukan saya ke?" tanyanya pula.
Airina pamer muka selenganya.
"Saya bagi tahu kawan saya yang kita dah nak kahwin. Dia orang suruh kita buat anak cepat-cepat, ramai-ramai. Awak kenalah ready, Rin..." kata Harris gatal.
Mahu terjerit Airina dibuatnya. Rasa marah dan malu bergabung menjadi satu.
"Kenapa awak menggatal tiba-tiba ni?" sela Airina geram.
"Kita kan dah nak kahwin..." kata Harris dengan nada meleretnya.
Airina mengetap giginya. Sungguh, dia tidak mengerti apa yang merasuk Harris malam ini. Meremang bulu romanya mendengar kata-kata Harris.
Syida yang sejak tadi mendiamkan dirinya mula mencelah.
"Abang Harris, janganlah menggatal macam ni. Kak Rin tak sukalah," kata Syida. Airina pandang Syida bersama senyumannya, gembira apabila adiknya masuk campur.
"Syida pula? Syida suka tak kalau boyfriend Syida menggatal macam ni?" Harris bertanya kepada Syida pula. Airina menghela nafasnya lega. Sekurang-kurangnya perhatian Harris sudah teralih kepada Syida. Sempat Airina menghadiahkan jelingan maut kepada Harris.
"Kalau lelaki tu betul-betul sukakan Syida, apa salahnya? Tapi kalau dia cakap dia cintakan Syida dan menggatal dengan perempuan lain, Syida tak boleh terima," jawab Syida sebelum matanya kembali tertumpu pada telefon bimbitnya.
Harris mengangguk perlahan. Ada senyuman terbit di bibir Harris yang sukar untuk Airina tafsirkan. Telefon bimbit Harris berbunyi tanda ada WhatsApp diterima. Airina tajamkan matanya untuk membaca nama si penghantar mesej tetapi lelaki itu terlebih dahulu mencapai telefon bimbitnya.
Airina perhatikan Harris yang sudah tersenyum lebar. Akal Airina laju sahaja melontar soalan demi soalan. Siapa WhatsApp Harris? Kenapa Harris macam happy? Buah hati dia ke? Soalan-soalan itu bukannya kerana Airina cemburu tetapi hatinya menggesa ingin tahu.
"Si..."
Tak sempat Airina bertanya, Syida sudah mencantas kata-katanya terlebih dahulu.
"Kak, Syida nak ke tandas sekejap, eh?" kata Syida meminta diri.
Airina sekadar mengangguk. Perginya Syida meninggalkan Airina dan Harris berdua.
Tiba-tiba wajah Hazizul menjelma dalam fikirannya.
"Harris, Hazizul ada balik rumah tak?" tanya Airina.
Mendengar nama Hazizul disebut sudah cukup untuk mengalih perhatian Harris. Jari yang tadinya lincah menaip sesuatu terhenti. Harris pandang Airina.
"Tak ada. Kenapa awak tanya pasal dia?"
"Tak adalah. Kan dia pergi fitting session in your place. Tiba-tiba saya teringat kat dia," bohong Airina. Sebenarnya dia mahu bertemu Hazizul untuk bertanya perihal nota yang ditinggalkannya. Hingga ke hari ini, Airina masih tidak tahu apa yang Hazizul cuba sampaikan.
Harris menjongket bahunya.
"Entah. Dia tidur rumah girlfriend dialah kut," balas Harris acuh tak acuh.
TERKEJUT Airina apabila Salbiah mengetuk pintu biliknya dan memberitahu Atikah sedang menunggunya di bawah.
"Atikah menangis teruk tu, Rin. Ibu pun tak tahu macam mana nak pujuk dia," kata-kata Salbiah itu sudah cukup untuk membuat Airina berlari turun ke bawah.
"Ika..." panggilnya perlahan sebelum Airina menarik Atikah ke dalam dakapannya.
"Kenapa ni?" tanyanya.
Atikah menangis teresak-esak dalam pelukan Airina. Airina dapat rasakan air mata Atikah membasahi bajunya.
"Kenapa ni?" tanyanya lagi. Pelukan dileraikan. Airina mengesat air mata Atikah dengan jarinya.
"Sorry sebab kacau kau, Rin..."
"Tak apa... Aku tak kesah pun. Tapi kenapa ni?" soal Airina lembut.
Salbiah muncul bersama segelas air kosong lalu diletakkan di atas meja. Airina menggerakkan mulutnya mengucapkan terima kasih kepada Salbiah. Ibunya itu sekadar mengangguk seraya menepuk bahu Airina. Kemudian Salbiah berlalu masuk ke biliknya untuk memberi ruang buat kedua-dua gadis itu. Mujurlah Halim tiada di rumah. Jika tidak, pasti Atikah akan berasa malu dan janggal.
"Minum ni dulu..." Airina meletakkan gelas berisi air tersebut ke telapak tangan Atikah. Rakannya itu akur lalu air diteguk perlahan. Airina panjangkan tangannya untuk menarik beberapa helai tisu pula lalu diserahkan kepada Atikah. Gelas kosong diletakkan semula di atas meja.
"Relaks dulu. Tarik nafas dalam-dalam," kata Airina seraya menggosok lembut belakang Atikah.
Sekali lagi Atikah akur dengan kata-kata Airina. Dia menghela nafasnya panjang sebelum dilepaskan.
Beberapa minit kemudian, barulah Atikah terasa dirinya benar-benar tenang. Dipandangnya Airina dengan rasa malu dan bersalah.
"Sorry, Rin. Aku datang mengejut macam ni," katanya lagi.
Airina sekadar menggeleng.
"Aku nak jumpa Farah tapi dia ikut suami dia outstation. Aisyah pula stay dengan adik dia kat Melaka. Aku cuma ada kau aje..."
"Tak apalah, aku faham. Nasib baik hari ni aku free. Tapi kenapa ni?" tanya Airina prihatin. Matanya tak lepas dari memandang Atikah.
"Aku gaduh dengan Aiman..." jawab Atikah. Kepada Airina, Atikah luahkan segala perasaannya.
"Kita orang tengah keluar berdua tadi. Tiba-tiba dia dapat call dari someone. Bila aku tanya siapa, dia jawab kawan lama dia. Aku tak percayakan dia jadi aku rampas handphone dia. Kau tahu tak siapa yang call dia sebenarnya, Rin? Ex-girlfriend dia..." Setitik air mata Atikah jatuh tetapi Atikah pantas menyeka air mata itu.
Airina tergamam mendengarkan itu. Jika diikutkan akal sempitnya, Airina akan menuduh Aiman tidak setia tetapi akal rasionalnya pula menyuruh Airina bertenang dan mendengar cerita Atikah dahulu.
"Aku mula mengamuk. Aku tanya Aiman, kenapa dia orang masih contact? Aiman cakap dia tak pernah contact perempuan tu pun sejak dia orang break up. Tapi sejak kita orang bertunang ni, tiba-tiba perempuan tu contact dia balik. Aiman pun tak tahu dari mana dia dapat nombor Aiman. Aiman mintak maaf kat aku sebab rahsiakan daripada aku selama ni. Dia cakap dia tak nak buat aku risau dan dia tak nak aku fikir bukan-bukan..." cerita Atikah.
Kini Airina mengangguk pula, seakan-akan bersetuju dengan Aiman.
"Tapi perempuan mana yang boleh terima dan maafkan sesenang tu aje! Entahkan Aiman pun tipu aku. Entahkan dia memang bercinta dengan peremuan tu senyap-senyap!" tuduh Atikah pula.
"Ika..."
"Aku benci Aiman!"
Airina terkedu seketika. Deringan telefon bimbit Atikah mengalih perhatian mereka berdua. Airina dapat membaca nama Aiman dengan jelas. Airina pandang Atikah, menanti tindakan Atikah seterusnya.
"Aku tak nak jawab!" kata Atikah penuh emosi. Deringan terhenti. WhatsApp daripada Aiman pula bertalu-talu masuk. Atikah baca mesej yang dihantar Aiman tetapi dia langsung tidak berniat untuk membalasnya.
Airina mengulum senyumnya tiba-tiba.
"Kau ni, Ika. Sekali jatuh cinta, terus head over heels tau!" komennya. Atikah menarik muncungnya.
"Jawablah call tu. Aku tahu kau pun nak dengar explanation dia sebenarnya. Janganlah ikutkan sangat ego kau," kata Airina lembut.
"Kau tak faham perasaan aku, Rin. Kau belum bertunang. Kau tak tahu sakitnya macam mana bila tunang kau buat kau macam ni!" tukas Atikah pula.
Mendengarkan itu, Airina cuba menahan dirinya daripada tersenyum. Kalaulah Atikah tahu dirinya sudah dua tahun lebih bertunang dengan Harris...
"Janganlah marah aku pula," kata Airina dengan senyuman tipisnya.
"Kau pun cakap tadi yang perempuan tu tiba-tiba contact dia lepas kau orang dah bertunang, kan? Kau tak rasa ke ni dugaan kau orang? Orang tua-tua kata banyak dugaan waktu darah tengah manis. Lagipun cuba kau tanya diri kau sendiri. Kau percaya ke Aiman akan buat kau macam tu?"
Atikah diam tidak menjawab apa-apa. Sejujurnya hatinya mempercayai kata-kata Aiman dan dia tidak meragui kesetiaan Aiman. Namun rasa cemburunya melahar apabila mengetahui Aiman diganggu bekas kekasihnya itu. Ada kemungkinan hati Aiman akan beralih arah!
"Kau pun sebenarnya percayakan Aiman, kan?" tebak Airina.
Jemari Atikah ditarik lalu digenggam perlahan. Airina bukanlah pakar cinta tetapi untuk saat ini, Airina tahu dia mampu berfikir lebih rasional berbanding Atikah.
"Aku rasa inilah yang Aiman takutkan. Dia takut kau bersangka buruk kat dia, lepas tu kau tinggalkan dia. Janganlah macam ni, Ika... Anggap ni dugaan kau orang. Tengok tu dia call lagi." Airina cuba memujuk Atikah dengan harapan hati rakannya akan lembut.
Dua pasang mata tertumpu pada telefon bimbit Atikah yang berdering itu sehingga ia berhenti berbunyi. Tidak cukup dengan WhatsApp, Aiman turut menghantar mesej kepada Atikah. Aiman merayu tunangnya itu untuk menjawab panggilannya. Selang seminit, telefon bimbit Atikah berbunyi lagi.
"Jawablah..." kata Airina diiringi senyuman.
Atikah menggigit bibirnya. Dia mulai termakan dengan pujukan Airina. Lambat-lambat tangannya mencapai telefon bimbit itu.
"Helo," katanya kasar. Atikah berjalan keluar ke pekarangan rumah untuk mendapatkan privasi, meninggalkan Airina sendirian di ruang tamu.
Airina merenung kosong karpet meja di depannya. Fikirannya menerawang memikirkan Harris. Selama dia menjadi tunang lelaki itu, tak pernah sekalipun mereka bertengkar ataupun berselisihan pendapat. Pernah beberapa kali Airina mendengar Harris berbual dengan perempuan tetapi tidak pula Airina merasa cemburu atau marah-marah seperti Atikah tadi. Bahkan Airina tidak pernah pertikaikan identiti perempuan-perempuan itu sama sekali.
Soalan Hazizul tentang cinta lama Harris kembali menjelma dalam fikiran Airina. Katakanlah Harris bertemu semula dengan kekasih lamanya, adakah Airina akan mengamuk gara-gara cemburu? Jika ya, itu bererti ada sedikit rasa cintanya untuk Harrislah, kan? Jika tidak, itu bererti tiada langsung rasa cintanya untuk Harrislah, kan?
Entah kenapa Airina tenggelam dengan dunianya sendiri memikirkan soalan demi soalan itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co