Bab 6
RINTIK gerimis jatuh menyembah bumi. Musim tengkujuh tiba lagi. Dinginnya jangan cakaplah. Kendatipun sudah lama mendiami banglo putih di atas bukit itu, terkadang kedinginan yang terasa hingga ke sumsum tulang masih mengganggu lena Arjuna. Malam itu salah satunya.
Belakang disandarkan pada kepala katil seraya mencodak, mencerap kipas angin yang berpusing pada kelajuan nombor dua. Sengaja diperlahankan. Kalau laju sangat, takut bilik tidurnya berubah menjadi peti ais pula nanti. Beku satu badan.
Kantuknya semakin menjadi-jadi. Lebih-lebih lagi apabila waktu tidurnya sudah dua jam berlalu. Bukan tidak mahu lelap tetapi setiap kali dia cuba untuk memejam mata, wajah gadis bergaun putih yang menjadi tetamu mereka akan terlintas dalam fikiran. Bahkan setelah dia celik semula pun bayangan gadis itu masih menari-nari dalam fikirannya. Mengganggu ketenangan saja.
Jam antik di ruang tamu berbunyi kuat. Bandulnya berayun ke kiri dan kanan. Sudah tepat pukul 12 malam. Arjuna pun menghela nafas panjang. Bilalah agaknya dia akan dapat melelapkan mata?
Detik demi detik berlalu. Angka 12 berubah menjadi 3. Dalam tak sedar, kelopak mata Arjuna pun tertutup. Dengkuran halusnya memenuhi segenap kamar tidur. Letih sangat agaknya.
Hampir tiga jam kemudian, Arjuna dikejutkan oleh laungan azan daripada surau berdekatan. Dia menoleh ke kiri dan kanan. Boleh pula dia tertidur dalam posisi duduk seperti itu. Dia menggeleng kepala.
Muka dia raup kemudian tengkuk yang lenguh kerana posisi tidur yang kurang selesa dia urut sekejap. Pasti kelenguhan itu kekal seharian. Salah sendiri juga.
Sambil mengadu sakit, Arjuna menolak selimut ke tepi. Katil dibiarkan tunggang-langgang. Buat apa dikemaskan kalau dia tahu, usai solat subuh, dia akan melentokkan semula kepala pada bantal, qada tidur.
Tombol pintu dipulas dan pintu dikuak perlahan. Sayangnya bilik tidurnya tidak memiliki kamar mandi sendiri. Kalau mahu mengambil air sembahyang, memang harus ke bilik mandi yang terletak di hujung iaitu bersebelahan dengan bilik tetamu yang kini ada penghuninya.
Tiba-tiba, hadir satu bunyi yang lebih kuat berbanding ayunan bandul jam antik zaman Victoria pertengahan di ruang tamu. Arjuna pun merencatkan langkahnya. Perlahan-lahan, dia menoleh ke kirinya di mana pintu kamar Embun berada.
'Itu... suara dia, kan?'
Arjuna memalingkan badannya menghadap pintu kayu mahogani itu. Tapak tangan dia letakkan pada permukaan pintu. Dingin. Kemudian perlahan-lahan, dia menekapkan cuping telinganya ke pintu. Hanya itu satu-satunya cara untuk memastikan pendengarannya masih berfungsi dengan baik.
"Eh?"
Alisnya bertaup. Mengapa... suara selembut baldu itu kedengaran sayu sekali?
Arjuna meneguk liur. Bibir digigit. Entah ke mana rasionalnya apabila dia dengan beraninya menguak sedikit pintu kamar Embun. Rasa ingin tahunya membuak-buak, membutakan matanya seketika sehinggakan sesuka hati mencerobohi privasi orang lain.
"Abah..."
Arjuna kaku di tempatnya. Dia menatap gadis duduk berteleku di atas sejadah dengan kepala tertunduk lemah. Sepasang mata sepetnya langsung tidak berkerdip melihat wajah yang sayu dengan titisan permata mengalir perlahan di pipinya.
"Abah..." panggil gadis itu lagi.
'Abah?'
"Abah... Embun rindu abah..."
Realiti menamparnya cukup kuat. Dia lantas mengalihkan pandangan ke arah lain. Apa yang dia fikirkan sebenarnya? Mengapa dia sesuka hati masuk ke dalam bilik anak dara orang? Walaupun dia tidak memiliki niat tidak baik, yang salah tetap salah. Lebih-lebih lagi apabila dia tanpa berfikir panjang dan mencuri dengar rintihan hati orang lain kepada Sang Pencipta. Detik penuh makna seperti itu tak seharusnya disaksikan oleh orang lain.
"Juna..." panggil suara kecil.
Arjuna menoleh ke belakang. Jantungnya berdegup kencang tatkala bertentang mata dengan ibu tirinya, Puan Kirana. Sudah berapa lama Puan Kirana berdiri di situ? Arjuna semakin menyesali perbuatannya yang tidak reti menjaga tepi kain sendiri. Harap-harap, Puan Kirana tidak tersalah tafsir akan keadaan itu. Dia tiada niat tidak baik terhadap Embun. Sungguh.
Puan Kirana mencuri lihat ke dalam bilik tidur tetamu. Embun kini berbaring, meringkuk di atas sejadah. Tangan diletak rapat ke dada, mata dipejam rapat dan bahu bergetar menahan esakan. Keadaan Embun membuatkan Puan Kirana menghembus keluhan kecil. Apalah malang sangat nasib gadis itu, rintih hatinya.
Puan Kirana mencapai tombol pintu dan perlahan-lahan, menutup semula pintu yang dibuka oleh anak tirinya. Arjuna masih di situ. Entah apa yang dia tunggu lagi. Leteran ibu tirinya?
Tanpa berkata apa, Puan Kirana menarik Arjuna ke balkoni luar rumah. Sedikit jauh dari bilik tidur Embun. Takut suara mereka kedengaran dan tidak semena-mena membuatkan Embun kurang selesa. Meskipun begitu, pintu balkoni dibiarkan luas terbuka. Menjemput bayu subuh ke laluan tingkat dua banglo putih yang mereka diami.
"Maaf. Saya tak ada maksud lain pun. Saya terdengar dia menangis. Risau pula kalau ada apa-apa," jelas Arjuna.
Puan Kirana mengangguk faham seraya mengangguk kecil. Dia kenal Arjuna. Dia tahu anak lelaki itu tiada perilaku buruk. Bahkan kalau dibandingkan dengan remaja lain seusianya, Arjuna begitu suci sekali. Baik fikiran mahupun hati.
"Abah dia pergi mana?" tanya Arjuna.
Sebenarnya, dia teragak-agak untuk bertanya. Namun kehadiran Embun dalam hidupnya mula terasa seperti satu misteri yang harus dia rungkaikan. Seribu satu persoalan tentang Embun muncul dalam fikirannya. Dari mana datangnya gadis itu, mengapa dia perlu tinggal bersama mereka dan... mengapa dia menangis.
"Abah Embun dah tak ada." Puan Kirana tersenyum kelat.
Pertama kali dia mendengar cerita darihal masa lalu Embun, hatinya sakit sekali. Mungkin kerana dia tahu rasa kehilangan seorang abah di usia muda. Kata orang, cinta pertama seorang gadis ialah abahnya dan cinta pertama akan selalu ada tempat yang istimewa dalam hati. Tidak semudah itu untuk meninggalkannya pada masa lalu kerana rasa kehilangan itu akan sentiasa mengekorinya sampai ke hujung waktu.
"Abah Embun pemandu teksi. Satu malam tu, abah Embun kena ambil customer. Sebab jalan cerun, hujan lebat, kereta hilang kawalan dan jatuh dari gaung." Puan Kirana menatap anak tirinya.
"Tak ada sesiapa yang selamat."
Arjuna tergamam. Mula terbit rasa simpati terhadap Embun. Arjuna belum pernah merasai hilangnya figura penting yang bergelar abah sepanjang hidupnya tetapi dia pernah merasai kehilangan wanita yang melahirkannya. Semestinya rasa sakit itu tidak jauh berbeza. Kedua-duanya pun seolah-olah memotong bekalan oksigen dan menyesakkan dada setiap kali terlintas dalam fikiran.
"Papa dengan arwah abah Embun dah lama kenal. Sebabkan Embun tak ada tempat lain nak berteduh, papa pun bawalah Embun datang sini dan tinggal dengan kita. Maafkan papa dengan aunty sebab tak beritahu Juna dulu sebelum buat keputusan. Aunty harap... Juna dapat terima Embun. Kalau bukan sebagai keluarga, mungkin sebagai kawan?"
Tanpa perlu berfikir panjang, Arjuna mengangguk. Sejujurnya, dia tiada masalah selama manapun Embun mahu menetap di situ. Sedikit kejam jika dia akui tetapi kekurangan Embun sedikit mengusik hatinya, membuatkan dia lebih mudah untuk menerima kehadiran Embun dalam keluarga kecil mereka kerana di matanya, mereka sama; kerana Arjuna juga tidak 'sempurna'.
"Tapi saya cemburulah dekat Embun."
Puan Kirana mengerutkan dahi. Bahasa isyarat telah lama dia kuasai agar dapat berkomunikasi dengan Arjuna. Tidak mungkin dia tersalah pandang.
"Cemburu sebab apa?"
"Sekurang-kurangnya, dia masih boleh panggil 'abah' setiap kali rindu. Saya?"
Arjuna tertunduk. Senyuman kelat terukir di bibirnya. Sepasang mata sepet itu mula berkaca. Sangkanya, dengan meluahkan apa yang dia rasakan, hatinya akan merasa sedikit tenang lalu mengapa air mata mengancam untuk membasahi pipi. Mengapa hati bertambah retak?
"Juna..."
"Waktu subuh dah nak habis. Saya nak pergi solat dulu."
Puan Kirana menahan keluhan. Bendera putih dikibarkan. Kalau sudah Arjuna berkata begitu, manakan mungkin dia mahu membuat Arjuna tinggal di situ lebih lama.
"Terima kasih sebab beritahu saya pasal Embun."
Puan Kirana mengangguk dan Arjuna pun berlalu pergi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co