Bab 14
Tangannya mencapai telefon bimbit di tepi meja. Dia menekan butang R. Terpapar di skrin perkataan 'Rumah Adik'. Panggilan terus dibuat.
"Sofi Aidura... Telefon ni! Cepatlah!" jerit Nora yang tidak larat untuk terus menjadi tukang angkat telefon di rumah sewa itu.
"Sofi Aidura binti Eman... Bangunlah!" Suara Nora semakin halus langsing memekik.
Selumbar betul matanya memandang temannya itu yang boleh tertidur sambil sebelah tangan tergantung di atas timbunan buku.
"Kejutlah dia, abang nak bercakap dengan dia. Sekejap saja!" pujuk Hisham yang sentiasa setia pada persahabatan itu.
Nora mendengus. Dia mendekati Sofi Aidura. Semakin digerakkan, gadis itu semakin erat memeluk bantal.
"Alah, nanti aku telefon baliklah!" Sofi Aidura mengomel sendiri.
"Abang Sham... Kalau Abang Sham nak tahu, Dura memang selalu bangun lambat. Kalau dia tak ada date dengan abang, setiap hujung minggu dia bangun pukul dua belas tengah hari. Kejutkan solat subuh pun malas! Lepas tu, kan... Bangun tidur terus makan. Gosok gigi pun malas!"
Nora yang letih mahu menjadi tukang kejut temannya yang seorang itu, sengaja membocorkan rahsia sulit si teman.
Sofi Aidura yang masih mahu bergulung di dalam selimut, terus tercelik anak mata. Berdesing telinganya apabila menangkap usikan Nora di hujung telefon.
"Hoi... Kau cakap apa tu! Hei, mari sini telefon tu!"
Terloncat Sofi Aidura. Telefon di tangan Nora dirampas. Hilang kelat di mata.
"Emmm... Abang kat mana? Hah? Ofis lagi?" Suara serak Sofi Aidura petanda baru bangun tidur tidak dapat disorok.
"Tak bangun lagi ke? Jadi ni wake-up called untuk Dura ya?"
"Bangun cepat pun buat apa? Bukan ada suami nak buat sarapan! Bukan ada anak nak disuap susu!" rungut Sofi Aidura.
Sebenarnya hatinya amat sebal kerana sejak kebelakangan ini Hisham begitu terikat dengan kerja di pejabat. Mahu ajak berjumpa pun susah benar.
"Malasnya adik abang ni! Esok lusa kalau dah kahwin agaknya, abang boleh jadi kebulur tunggu dia memasak," usik Hisham yang sebenarnya rindu untuk mendengar suara gadis itu.
"Kedai mamak banyak. Beli sajalah," sahut Sofi Aidura geram.
"Sorry ya Dura, Abang Sham memang tak sempat nak jumpa Dura minggu ni. Kerja banyak sangat. Ada wedding di Pusat Konvensyen KL, banyak benda abang nak kena sediakan. Proposal pun tak lepas lagi."
Entah mengapa ringan benar Hisham mengadu pada Sofi Aidura.
"Malaslah nak dengar! Abang tu sibuk dua puluh empat jam kalahkan pengantin yang nak kahwin. Bosanlah!"
Ini peluang untuk Sofi Aidura meluahkan rasa terbukunya. Dia baru bercadang untuk meminta Hisham menemankannya ke Plaza Low Yatt untuk mencari komputer riba barunya. Tetapi lelaki yang seorang ini bekerja bagai tiada hari esok.
"Merajuk ke?"
"Buat apa? Buang masa aje!" sanggah Sofi Aidura.
"Nanti bila abang free, kita pergi sama-sama ya!" pujuk Hisham.
Biarpun kerenah Sofi Aidura sentiasa memeningkan kepalanya, tetapi gadis itu tetap dalam hati.
"Ah, tunggu abang, sampai tahun depan pun belum tentu ada masa lapang!"
"Janganlah cakap macam tu..."
"Alah tak apalah, kita dah biasa selesaikan urusan kita sendiri. Harap abang semuanya nak kena buat appointment. Busy mengalahkan menteri!"
Sofi Aidura terus membebel-bebel di hujung telefon. Huh, disebabkan rasa sebal itu jugalah dia bercadang untuk duduk bertapa sahaja di rumah sewanya.
"Okey, abang janji... Abang akan luangkan masa untuk Dura shopping nanti."
"Alah, tak payah. Kalau setakat nak temankan kita beli sabun mandi, beli Colgate, beli kicap, dekat kedai runcit bawah apartmen ni... Baik tak payah!"
"Abang telefon Dura ni sebab abang rindu pada Dura tau!" Hisham masih berusaha menyejukkan hati si gadis.
"Simpan ajelah rindu abang tu. Rindu kat kita buat apa? Kita ni studen, bukannya ada hasil pun!" tempelak Sofi Aidura.
"Betul tak rindu pada abang?"
"Tak!"
"Betul?"
"Tak!"
Hisham tahu Sofi Aidura memang benar-benar berjauh hati. Tidak guna dia bertengkar di hujung talian. Gadis itu memang kepala batu.
Sejak dia mengenali Sofi Aidura, dia faham benar perangai gadis yang tinggi lampai itu. Kalau merajuk, baik jangan dipujuk, sia-sia sahaja!
Semakin dipujuk, semakin panjang rajuknya kelak. Dengan penuh berhemah, Hisham memberi alasan dia harus menyambung kerjanya dahulu.
"Eee... Pergilah buat kerja tu! Layan kita berbual, buang bil telefon abang aje! Abang kan sibuk!"
Tiada kata sayang, tiada ucapan manja, Sofi Aidura dengan muka asam payanya, terus mematikan talian telefon.
Huh! Menyampah! Sibuk dia saja yang dia tahu! rungut Sofi Aidura sehingga Nora dan Suraya tersenyum-senyum sumbing.
"Gaduh lagi?" tanya Suraya sambil menghidangkan sepinggan cucur bawang.
"Gaduh? Buang masa, buang air liur!" balas Sofi Aidura yang memang tidak mahu beralah.
"Dia tu sibuk. Awak tu exam dah habis, jadi kenalah faham!" Suraya cuba menyejukkan hati Sofi Aidura.
"Kau marah-marah dia, aku tengok dia cool aje! Untung tau dapat Si Hisham tu."
Tambah terherot muka Sofi Aidura apabila Nora pula menjulang nama Hisham.
"Tak ada maknanya untung! Entah-entah belakang aku berderet jadual date dengan perempuan lain."
Entah mengapa Sofi Aidura sentiasa membayangkan antara dia dan Hisham tidak akan ada titik penyudah dalam perhubungan ini.
Puas Hisham cuba meyakinkan namun dia sukar untuk mempercayai lelaki. Apatah lagi dengan status Hisham yang sudah bekerja dan dia pula masih bergelar budak tengah belajar!
Terasa ada kasta dan jurang status yang menyebabkan Sofi Aidura berasa rendah diri.
"Habis tu kalau dah tahu macam tu, buat apa cari boyfriend yang dah bekerja? Carilah budak sekolah macam kita ni!" sampuk Nora pula.
"Budak sekolah mana ada hasil! Harap biasiswa Pa&Ma! Kalau yang ada pinjaman pun berapa sen sangat! Nak belanja beli top-up handphone pun tak lepas," sahut Suraya menambahkan hangat hati Sofi Aidura.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co