Truyen3h.Co

AKU ADA

Bab 2

karyaseni2u

"JADI, kita buat big book pasal Rapunzel. Aku beli barang-barang, Saf dengan Didi lukis, Rina print ceritanya. Nanti lagi seminggu kita jumpa untuk discuss lagi. Okey?"

Lyssa mengulang semula tugasan yang telah mereka bahagikan sesama sendiri. Safina, Didi dan Rina mengangguk tanda bersetuju. Lyssa pandang semula senarai barang yang perlu dibelinya kemudian dia mengangguk sendiri. Puas hati!

"Okeylah. Kalau ada apa-apa, nanti bagi tahu Saf. Saf, kau tolong bagi tahu aku," pesan Lyssa walaupun dia tahu Safina sudah sedia maklum akan hal ini. Selama inipun, Safinalah yang menjadi setiausaha tak rasminya.

Didi dan Rina saling berpandangan sebelum Didi bertanya kepada Lyssa.

"Kau tak ada handphone, Lyssa?"

Geleng.

"Facebook? Kita boleh buat grup sembang." Didi memberi cadangan lain pula kepada Lyssa tapi gelengan jua yang diterimanya.

"E-mel?"

"Ada tapi aku tak rasa kita rajin nak bincang guna e-mel. Sorry susahkan kau orang tapi jangan risau, aku buat aje kerja aku," jawab Lyssa sekali gus memberi jaminan kepada mereka berdua.

Didi dan Rina hanya mampu mengangguk. Ternyata apa yang diceritakan orang lain adalah benar. Lyssa tidak mempunyai telefon bimbit dan tiada akaun media sosial. Namun Didi dan Rina sama-sama tahu, Lyssa akan menjalankan tugasnya dengan baik walaupun komunikasi di antara mereka sedikit terbatas.

Sementelah, Lyssa bukannya jenis melepaskan batuk di tangga. Kecekapan Lyssa menjalankan tugasnya sentiasa menjadi buah mulut rakan sekuliah.

Selepas Rina dan Didi meminta diri, tinggallah dia dan Safina berdua. Tangan Lyssa pantas menarik keluar komputer riba dan beberapa helai kertas.

"Kau nak buat apa tu?" tanya Safina hairan.

"Aku nak siapkan report ni sekejap. Lepas ni nak kena hantar dah," jawab Lyssa yang sudahpun menaip sesuatu di komputer ribanya.

Matanya memandang kertas dan papan kekuncinya bersilih ganti sementara jarinya laju menaip. Sesekali matanya mengerling jam di skrin komputer ribanya. Bimbang juga kalau dia terlepas deadline yang ditetapkan.

"Kau dah siap ke, Saf?"

"Dah. Aku dah hantar semalam..."

"Hebat gila kau! Aku ada lagi dua muka surat ni. Harapnya sempatlah sebelum pukul lima nanti," kata Lyssa tanpa memandang Safina.

Dia sudah mempunyai isi-isi kandungan untuk laporannya. Cuma perlu rangka ayat untuk menggabungkan isi-isi tersebut menjadi sebuah laporan yang lengkap.

Ah, tak sabarnya nak siapkan! Hati Lyssa bersorak penuh bersemangat.

"Haih, bila aku fikir balik kan, aku rasa Diploma in TESL ni tak adalah senang mana. Orang-orang yang pandang rendah kat kita ni, ingat kita belajar ABC aje ke? Dia orang tak tahu ke yang kita kena belajar phonetics, psychology in education ni semua?"

Tiba-tiba Lyssa mengomel sendiri di depan Safina, menyentuh perihal perspektif orang pada jurusan Teaching English as a Second Language (TESL). Mulut dan jemarinya sama-sama bekerja.

"Kan? Aku rasa tak adillah dia orang ni. Skeptikal sangat."

Safina menyokong Lyssa. Sudah beberapa kali dia di dalam situasi di mana orang lain hanya memandang remeh pada jurusan yang diambilnya.

Kata mereka, jurusan TESL ini mudah saja. Hanya belajar tentang tatabahasa Bahasa Inggeris. Itu sahaja. Hingga ada masanya Safina hilang sabar, sengaja dia menyebut jargon seperti 'bilabial', 'Skinner's Behavioural Theory' dan pelbagai jargon lain yang tidak difahami oleh mereka. Biar orang lain tahu tak ada jurusan yang mudah di dalam dunia ini, termasuklah jurusan TESL!

Phonetics. Selidik bunyi bahasa yang dihasilkan oleh manusia.

Psychology in education. Bagaimana seseorang guru boleh mengenal pasti jenis-jenis pelajar mereka memandangkan ada yang mudah menyerap ilmu secara melihat, ada juga secara mendengar dan tak kurang yang perlukan kedua-duanya. Daripada situ, para guru boleh merancang pendekatan yang sesuai untuk setiap jenis pelajar itu.

Material selection and adaptation. Bagaimana seseorang guru perlu memilih sumber ataupun material terbaik untuk pelajar-pelajarnya. Dan bagaimana setiap satu bahan itu perlu disunting agar bersesuaian dengan topik dan objektif pembelajaran.

Safina dan Lyssa terus berbual, menyuarakan rasa tak puas hati diselangi pendapat mereka sendiri tentang jurusan TESL yang mereka ambil di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) ini. Sedar tak sedar, Lyssa sudahpun selesai menaip laporannya.

"Okey, dah! Aku nak pergi print sekejap. Kau nak ikut aku tak? Ke kau nak balik dah?" tanya Lyssa yang sudah berdiri sambil tangannya mengemas barang-barangnya. Jam di tangan dikerling Safina. Sempat dia berkira-kira sendiri sebelum menggeleng.

"Taklah. Aku ada latihan netball petang ni. Esok kita jumpa eh," jawab Safina ringkas.

Lyssa sekadar mengangguk. Tangan dilambai pada si rakan baik sewaktu dia melewati pintu bilik. Kemudian Lyssa jalan menonong tanpa menoleh ke kanan dan kirinya. Seolah-olah dia sedang menyertai pertandingan walkathon.

Nasib ternyata menyebelahinya apabila kedai alat tulis yang menyediakan servis mencetak itu lengang tanpa pelanggan. Usai mencetak, Lyssa berjalan menuju ke pejabat pula. Dan sebaik saja laporannya dimasukkan ke dalam pigeon hole si pensyarah, Lyssa hembuskan nafas lega.

Tangan menumbuk-numbuk bahu yang terasa lenguh.

"Siap pun kerja aku," katanya sendiri. Kaki melangkah longlai menuju ke lif. Tidak lagi laju seperti tadi. Jari telunjuk menekan butang.

"Lambat pula lif ni..." omel Lyssa apabila pintu lif di depannya masih belum terbuka.

"So... Sorry. Ak... Aku tak... Sengaja."

Satu suara lelaki menerjah masuk ke telinga Lyssa. Lyssa toleh ke arah punca suara. Kemudian dia geleng perlahan. Tak kesahlah. Malas nak masuk campur. Dipekakkan saja telinga walaupun berkali-kali suara lelaki itu meminta maaf.

"Kau ni annoyinglah."

Kali ini satu suara lelaki lain pula menerobos masuk ke telinga Lyssa. Suara yang cukup dikenalinya! Buntang terus mata Lyssa. Rahang terasa hampir jatuh membayangkan apa yang berlaku di antara kedua-dua lelaki itu.

Kaki diheret menuju ke tangga kecemasan tanpa berlengah. Tombol pintu dipulas. Kelihatan dua orang lelaki sedang berdiri menghadap satu sama lain. Seorang lelaki berkaca mata hanya menundukkan kepala manakala seorang lagi memandangnya tajam.

"Yus..."

Niat untuk memanggil nama Yuskhairi tak dapat diteruskan. Lidah Lyssa kelu setakat di situ saja. Mujurlah kaki masih boleh bergerak mendekati Yuskhairi.

"Kau nak buat apa ni? Buli orang?" tanya Lyssa. Sebuah buku di atas lantai menarik mata Lyssa. Tubuh dibongkokkan sambil tangan dipanjangkan untuk mencapai buku tersebut. Sempat Lyssa baca nama yang tertulis di muka buku.

"Fitri? Ini buku awak ke?"

Fitri mengangguk laju. Buku bertukar tangan. Terkumat-kamit bibir Fitri mengucapkan terima kasih pada Lyssa.

"Terima kasih. Terima kasih."

Untuk Yuskhairi pula... Nama Fitri berjaya mengundang cemikan di bibirnya. Entah apa nasibnya hari ini? Sudahlah anginnya tak baik. Tiba-tiba dia dilanggar seseorang bernama Fitri pula. Tak ada nama lain ke? Kenapa mesti Fitri, nama lelaki yang sudah terpateri sebagai musuh utamanya?

Bahu terasa dicuit seseorang lalu Yuskhairi tolehkan kepala. Lyssa sedang memandangnya dengan kening diangkat berkali-kali. Menuntut penjelasan.

"Aku tak buli dialah. Dia yang langgar aku dulu tadi. Aku cuma renung muka dia aje tapi dia ni tak habis-habis minta maaf," beritahu Yuskhairi dengan wajah masamnya.

Mata Yuskhairi kembali tertumpu pada Fitri. Ah, sebal pula hatinya tiba-tiba!

"Aku nak baliklah. Jumpa orang nama Fitri ni buat aku sakit hati aje," bebel Yuskhairi. Kaki mula mengorak langkah menuruni anak tangga.

Kepala Lyssa sudah tergeleng. Itulah. Itulah perangai Yuskhairi. Buat ikut suka hati dia aje! Lyssa pandang Fitri semula, ingin meminta maaf bagi pihak Yuskhairi. Satu perkara yang sudah menjadi rutin seorang Nur Lyssa.

"Awak okey? Saya minta maaf bagi pihak dia. Lepas ni kalau boleh, awak avoid dia eh? Jangan kacau dia. Dia memang selalu bad mood. Saya pergi dulu..."

Dalam pada dia mengutuk Yuskhairi, sempat juga Lyssa berikan secebis nasihat yang dirasakan penting untuk Fitri. Tak sempat Fitri membalas apa-apa, Lyssa sudah berlari meninggalkannya.

Ke mana lagi kalau bukan mengejar Yuskhairi?

"Sabarlah..."

Lyssa menarik baju Yuskhairi dari belakang. Punyalah laju Yuskhairi berjalan hinggakan tahu-tahu saja mereka sudah berdiri di depan kereta Yuskhairi. Lyssa dijeling geram. Bila Yuskhairi membuka pintu kereta, Lyssa pantas menolak pintu kereta tersebut hingga terkatup rapat semula.

"Kau..."

"Yus..."

Untuk kesekian kalinya, suara Lyssa tersekat di situ. Entah kenapa setiap kali dia ingin menyebut nama penuh lelaki itu, dia hanya mampu menyebut Yus sahaja. Bukan niatnya untuk menjadikan Yus sebagai nama panggilan Yuskhairi tetapi hingga ke hari ini, bibirnya masih tak dapat tuturkan nama penuh lelaki itu. Apa yang susah sangat ni, Lyssa?!

Yuskhairi berpeluk tubuh sementara menanti kata-kata yang akan keluar dari bibir Lyssa. Apabila gadis itu tetap membisu, Yuskhairi lepaskan sebuah keluhan. Marahnya runtun begitu sahaja tanpa sebarang sebab.

"Dahlah, masuk dalam kereta. Aku nak kau temankan aku," kata Yuskhairi perlahan.

"Hah?! Pergi mana?"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co