Truyen3h.Co

ANASTASIA

Bab 1

karyaseni2u

Prolog

DI tengah-tengah dewan kelihatan sepasang merpati dua sejoli sedang menari. Tangan kanan si jejaka di pinggang si perawan manakala tangan kiri si perawan didaratkan di atas bahu si jejaka. Sementara tangan lagi satu erat menggenggam jemari satu sama lain. Di setiap pergerakan si perawan, hujung gaun kembang biru dihiasi kilatan berlian turut beralun. Pergerakannya tidak terbatas walaupun kaki menyarung kasut tumit putih. Diiringi bunyi muzik indah waltz dan lampu hanya fokus pada mereka berdua. Pasangan tersebut berjaya menarik perhatian semua tetamu majlis ini.

"Seriously, she looks like Cinderella!"

Kedengaran suara seseorang berbisik di depannya. Barangkali bercakap dalam volume minima untuk tidak menarik sebarang perhatian.

"And tonight, she meets her Prince Charming!" sahut seseorang.

Dia hela nafas sendiri mendengarkan komen-komen itu. Mata ditala pada Si Cinderella dan puteranya sekilas.

Ya, di sana ada seorang wanita anggun, berpakaian selayaknya seorang puteri didampingi seorang lelaki berpakaian tuksedo hitam yang menerima jolokan 'putera'. Sementara dia di satu sudut, berdiri bagaikan boneka memakai kemeja dan jean hitam. Rambut paras bahu tidak didandan sama sekali, berbeza dengan rambut Si Cinderella yang disanggul elok dan cantik. Benar-benar tidak kena pada tempatnya namun dia tidak peduli. Tatkala semua mata masih tertancap pada pasangan itu, matanya pula galak mengimbas sekeliling. Entah mengapa nalurinya membisikkan kata-kata buruk, menyuruhnya berjaga-jaga sepanjang masa.

"Oh my God. They look so in love with each other! Their body language tells everything!"

Akal kata jangan tetapi kepala sudah menoleh terlebih dahulu. Dia jadi panasaran untuk membaca bahasa tubuh Cinderella dan si putera sepertimana yang diperkatakan. Melihatkan tubuh Cinderella begitu dekat dengan si putera, di luar sedar bibirnya diketap kuat. Dia pandang mata si putera yang terserlah melalui dua lubang di topeng masquerade dan kali ini, buku limanya digenggam.

Bagaikan si putera tahu dirinya sedang diperhatikan, si putera memandang ke arahnya. Tepat. Kini dia dan si putera bersabung mata dari kejauhan walaupun secara literalnya, si putera dalam pelukan Cinderella. Gelarlah dia gila ataupun kuat berimaginasi tetapi mata tajamnya dapat melihat dengan jelas, hujung bibir si putera menjongket sinis. Ada mesej yang dihantar sebelum si putera tiba-tiba memusingkan tubuh, membelakanginya sekali gus membuatkan dia berhadapan dengan Cinderella pula.

Tika itulah, mata dia terbuka luas. Dari tempatnya berdiri, dapat dia lihat dengan jelas satu dot merah pada Cinderella. Dot merah itu bergerak mengikuti pergerakan Cinderella dan sasarannya tetap sama.

Dahi Cinderella.

"El! Tunduk!!!" Seiring dengan jeritan itu, dia berlari ke arah Cinderella. Langkah dibuka sebesar-besarnya.

"Tunduk, El!!!" Dia melaung lagi, memberi amaran kepada Cinderella namun malangnya, Cinderella berdiri kaku di tempatnya. Perkataan 'cemas' memenuhi setiap inci wajah.

Dia berlari semahu hati ke tengah dewan, menarik Cinderella ke dalam dakapan dan melindungi Cinderella dengan tubuhnya didedahkan kepada si musuh.

Sesaat kemudian, kedengaran tembakan dilepaskan. Tiada lagi bunyi indah waltz menghiasi malam ini. Yang kedengaran hanyalah jeritan dan tempikan dari setiap sudut bilamana sekujur tubuh berdarah jatuh longlai ke atas lantai.

Bab 1 

GENAP dua jam, dia berlalu keluar dari bilik itu dan menuju ke dapur. Peluh membasahi setiap inci tubuh. Tuala di atas bahu ditarik untuk mengesat peluh di bahagian muka. Penat. Lelah. Tetapi mengenangkan treadmill, yoga mat, chin up bar dan punching bag menjadi temannya tadi, hatinya rasa puas.

"Tengku nak air? Nak makan apa? Saya sediakan sekarang, jadi lepas Tengku habis mandi nanti, Tengku boleh terus makan."

Satu suara menyusup masuk ke telinganya, semerta dia beralih pandang pada seorang wanita tua dalam lingkungan 50-an. Wanita itu berdiri bertentangan dengannya di kitchen island dan lagaknya seperti seorang askar menanti arahan ketua. Andai kata dia keluarkan suara, si wanita tua itu akan terkocoh-kocoh menunaikan segala-galanya.

"Mak Munah, kan saya dah kata, jangan panggil saya Tengku. Nama saya Aina Natasha. Panggil Aina aje. Saya tak sukalah Mak Munah panggil saya gelaran tu," kata Aina. Dalam kelembutannya, ada penegasan diberi.

Maimunah menyengih sambil menggaru dahi.

"Maaflah, Aina. Mak Munah tak biasa lagilah. Mak Munah baru aje kerja dengan keluarga Aina jadi masih rasa janggal. Nak gelar nama aje, rasa macam biadab pula. Lagi-lagi keluarga Aina bukannya calang-calang orang. Keluarga berada dan ternama. Tengku pula tu," jawab Maimunah bersama sengihan kambingnya.

Aina menggeleng. Gelas berisi air putih dicapai lalu dengan sekali teguk, gelas itu kembali kosong. Lekas-lekas Maimunah mendekatinya untuk mengambil gelas tersebut daripada Aina. Tak perlu dijelaskan, Aina tahu Maimunah mahu cucikan gelas itu. Bak kata Maimunah, itu ialah tugasnya selaku seorang pembantu rumah di banglo tiga tingkat ini.

"Terima kasih, Mak Munah. Aina nak naik dululah, bersihkan badan."

"Aina..." Panggilan Maimunah memasung langkah Aina. Soalan 'kenapa' dihantar Aina lewat ekor mata lalu Maimunah memberi jawapan secara lisan.

"Tadi Tengku El ada cari Aina tapi lepas Mak Munah beritahu Aina ada dalam bilik gim kat tingkat bawah, Tengku El tak nak kacau Aina," ujar Maimunah, memberitahu apa yang berlaku kira-kira setengah jam lepas.

Aina pandang jam dinding. Baru sebelas pagi tetapi Elyana sudah mencarinya? Apa yang Elyana mahukan?

Soalan yang berlegar di dalam kepala akhirnya terjawab apabila Maimunah bersuara.

"Tengku El nak ajak Aina keluar, pergi shopping."

BAHAGIA benar Elyana menarik sehelai demi sehelai dress lalu diserahkan kepada si jurujual yang sedari tadi membuntuti. Asal saja berkenan di matanya, Elyana terus capai. Aina menggeleng perlahan melihatkan aksi Elyana. Pembayaran dibuat tunai dan sebaik saja beg-beg diserahkan kepada Elyana, terkocoh-kocoh dua orang lelaki muncul untuk mengangkatnya.

Elyana keluar dari kedai pakaian itu dan jalan berlenggang di hadapan. Aina melirik kepada kedua-dua lelaki tadi, menghantar isyarat melalui anak mata. Sekilap, mereka berdua menjauhi Aina dan Elyana. Masih membuntuti tetapi dari jauh saja.

"Akak nak beli kasut tak? El rasa macam nak beli kasut pulalah."

Aina sudah membuka mulut untuk memberi jawapan 'tidak' tetapi kata-kata Elyana seterusnya membatalkan niatnya.

"Patutlah ramai orang suka datang Aeon Tebrau ni! Besar, ada banyak kedai dan banyak pilihan! Daripada kita membazir duit pergi butik-butik atau minta famous designers design baju kita, lebih baik kita datang sini aje. Rambang mata El dibuatnya!" Teruja benar Elyana sambil tubuhnya membuat pusingan arah jam, mengagumi barisan kedai-kedai di Aeon Tebrau ini. Dia tahu di Johor, ada Johor Premium Outlets yang menjual barang-barang berjenama luar negara yang selama ini menjadi kegilaannya. Dan Elyana juga sedar, di Bandar Baru Uda ada pelbagai butik usahawan tempatan yang menjanjikan kualiti terbaik. Namun Elyana tetap teruja dengan kewujudan puluhan store di pusat membeli-belah ini. Oh? Ataupun ratusan? Sesungguhnya, Aeon Tebrau Mall ini tersangatlah besar!

Hujung bibir Aina menjongket dengan sendirinya.

"Just so you know, ini ialah normal untuk orang biasa. El aje yang excited lebih sebab selama ni, El cuma kesahkan branded items dan pergi tempat-tempat elit," kata Aina bersahaja. Sengaja mahu mengingatkan Elyana bahawa cara kehidupannya berbeza dengan insan-insan lain. Sayangnya, lain yang mahu dia sampaikan, lain pula yang ditafsir Elyana.

Tiba-tiba Elyana tarik muka masam. Kepala tunduk menekur lantai.

"Hidup El manalah pernah normal. Apa gunanya luangkan masa kat tempat-tempat elit, berkenalan dengan orang kaya dan terkenal kalau semuanya tu, buatkan hidup El tak aman?"

Dan-danlah Aina rasa lehernya dijerut.

"Siapa yang nak bunuh El, kak? Kenapa sejak kebelakangan ni, makin menjadi-jadi ancaman untuk El? Dalam masa setahun aje, kita dah pindah-randah empat kali. Daripada hidup kita aman-damai kat KL, tiba-tiba aje kita jadi nomad. Sekejap kat Sarawak, Terengganu, Negeri Sembilan... Dan sekarang, Johor pula. Papa tak nak hantar ke luar negara sebab papa tahu, susah dia nak jumpa El kalau apa-apa jadi. Makan masa. Akak rasa berapa lama pula kita akan stay kat sini? Dua bulan? Sebulan? Dua minggu? Atau... Seminggu?" Lirih Elyana lontarkan soalan itu kepada Aina. Perkataan 'bunuh' cuba disebut dalam volume paling minima namun satu perkataan itulah yang seringkali menghantui dirinya.

Pegun tubuh Aina dibuatnya. Lidah jadi kelu, sepertimana akal membeku tidak dapat memproses apa-apa jawapan. Ada sesuatu di mata Elyana tetapi si adik cepat-cepat seka agar ia tidak jatuh ke pipi. Hati Aina jadi runtun.

Kata hati, Aina harus memujuk Elyana, memberikan kata-kata semangat kepadanya dan memberi janji bahawa semua ini hanya untuk sementara waktu. Namun akal menghalang Aina sekeras-kerasnya. Kata akal, tak guna memberi janji palsu atau ayat-ayat manis sedangkan hakikatnya, mereka sama-sama tahu itu semua hanyalah omong kosong.

Tengku Elyana Tengku Iskandar. Satu-satunya waris untuk semua harta kekayaan Tengku Iskandar. Daripada moyangnya dahulu, nama keluarganya sudah disegani ramai. Business pembinaan dan kejuruteraan dimulakan moyangnya secara kecil-kecilan dan kemudiannya diwarisi oleh waris-warisnya dan semakin berkembang dalam setiap generasi. Terkini, Tengku Iskandar mahu meluaskan lagi empayarnya dengan mewujudkan syarikat penerbangan pula. Usul baru dikeluarkan tetapi ada desas-desus mengatakan, syarikat penerbangannya akan menjadi sehebat Malaysia Airlines ataupun AirAsia, dua syarikat penerbangan tempatan. Dan ada juga khabar angin berbisik, selepas ini namanya akan termasuk dalam carta '10 Orang Terkaya di Malaysia'.

Nampak gah, bukan? Mendengarkan itu, pasti ramai sanggup pertaruhkan nyawa untuk menjadi Tengku Elyana. Tak perlu seumur hidup. Sekadar seminit menjadi Tengku Elyana dan merasai segala kemewahan, dunia terasa bagaikan di syurga.

Namun tanpa diketahui ramai, nyawa jugalah yang menjadi pertaruhan seorang Tengku Elyana kini. Ada seseorang di luar sana mulai bertindak gila, menjadi pemburu nyawanya. Sepertimana yang Elyana katakan tadi, dalam masa setahun ini saja sudah empat kali nyawanya nyaris melayang.

"El nyaris diculik. Kereta kita disabotaj orang sampaikan kita nyaris accident. Kat Negeri Sembilan, ada orang serang kita bila kita pergi butik. Bila El ke tandas, tiba-tiba ada orang jerut leher El dengan tali."

Usai Elyana menyenaraikan keempat-empat kejadian tersebut, dia lepaskan sebuah keluhan berat. Bermula daripada kes cubaan menculik di rumah agam keluarganya, perkataan 'selamat' kian pudar dari kamus hidupnya. Tengku Iskandar menghantarnya ke pelbagai negeri untuk menyorokkannya daripada pemangsa tetapi bagaikan anjing 'cadaver', mereka dapat mengesan Elyana dengan mudah. Gamaknya kalau Elyana bersembunyi di dalam air, dalam tempoh terpantas mereka dapat menemuinya.

"Sebab itulah mulai sekarang, El dah tak nak pergi tempat-tempat elit. El nak cuba hidup macam orang normal. Pergi ke tempat-tempat biasa macam ni, selalu dipenuhi keluarga dan pasangan. Bila kita kat tempat crowded, sekurang-kurangnya less chances untuk dia orang apa-apakan El. Kan, kak?" Elyana bertanya kepada Aina. Jelas di matanya, harapan marak menyala. Aina hanya perlu menjawab 'ya' dan hati Elyana akan merasa lega semata-mata.

Untuk beberapa detik, pandangan Aina dan Elyana bertaut. Akhirnya Aina membuka mulut. Walaupun dia tidak menghidangkan telinga Elyana dengan jawapan yang diharapkan, tetap juga dada Elyana rasa sedikit lapang.

"Akak takkan biarkan dia orang apa-apakan El."

Bibir Elyana senyum lebar semerta. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co