Bab 3
AINA dan Elyana jalan beriringan di Taman Merdeka. Memandangkan taman rekreasi itu berdekatan dengan banglo mereka di Jalan Nong Chik, mereka keluar berdua sahaja tanpa diiringi oleh dua orang pengawal peribadi Elyana. Pada mulanya Aina membantah tetapi Elyana berkeras. Katanya, dia tidak mahu dipandang aneh oleh orang sekeliling. Sewaktu dia bergaul dan dikelilingi oleh orang-orang kenamaan, mempunyai pengawal peribadi bukanlah satu perkara asing. Tetapi kini dia dikelilingi oleh orang berlatar belakang biasa. Semestinya kewujudan kedua-dua pengawal peribadinya akan menarik mata-mata lain. Terpaksalah Aina turutkan.
"Kat KL ada Dataran Merdeka. Kat Johor pula rupa-rupanya ada Taman Merdeka. El baru tahu," kata Elyana. Ada nada kagum dan teruja di situ. Elyana mara mendekati sebuah tembok. Padanya, ada lakaran menggambarkan perjuangan menuntut kemerdekaan suatu ketika dahulu.
"Sesuailah dengan nama dia. Untuk commemorate kejayaan orang dulu-dulu sebab berjaya dapatkan kemerdekaan untuk kita. Dalam masa yang sama, boleh juga ingatkan orang muda tentang kepayahan dan pengorbanan orang dulu-dulu," ujar Aina.
"El rasa, akak akan join perjuangan nak dapatkan kemerdekaan kalau akak hidup kat zaman dulu. Akak pandai berlawan. Akak berani!" kata Elyana penuh bersemangat. Sekarang mereka sedang menaiki jambatan, melintasi tasik buatan manusia di Taman Merdeka itu. Elyana berhenti menapak, pacakkan fokus pada tasik lalu Aina lakukan perkara yang sama.
"Akak tak pandai berlawan sangatlah. Entahkan akak jadi orang pertama menyorok bawah katil," jawab Aina acuh tak acuh.
Elyana menoleh pada Aina bersama mata bulatnya apabila frasa 'tak pandai' hinggap ke telinga.
"Berlari, melompat dan sepak orang. Head lock. Sementara tangan akak mencekik sorang kat depan, kaki akak pula menendang sorang kat belakang. Itu namanya tak pandai? El tak tahulah... Kalau akak rasa akak pandai berlawan, rasa-rasanya semua orang dah mati kut dikerjakan akak!" Elyana menggeleng-geleng di hujung katanya.
Babak-babak aksi Aina sewaktu menyelamatkannya terbayang-bayang di depan mata. Detik itu, Elyana tak dapat tahan dirinya daripada melopong dek kagum. Ya, dia ketakutan apabila penyerang-penyerangnya mahu menamatkan riwayatnya tetapi dia juga tak dapat kawal rasa takjub!
Lekas-lekas Aina letakkan jari telunjuk di bibir, menyuruh Elyana berhenti bercakap ataupun sekurang-kurangnya perlahankan volume suara. Di Taman Merdeka ini, ramai pengunjung sedang berjoging atau melakukan taici. Katakanlah ada yang mendengar perkataan 'sepak', 'cekik' dan 'mati', pasti mereka takut!
"Biar..."
Bicara Elyana tergantung di situ, berganti dengan jeritan kecil apabila belakangnya tiba-tiba ditolak seseorang.
"Ah!"
Refleks, Aina menarik Elyana ke arahnya. Kaki bergerak pantas untuk berdiri tepat di hadapan Elyana. Tangan kiri ditegakkan ke hadapan manakala tangan kanan menolak Elyana agar kekal bersembunyi di belakangnya. Dalam masa sesingkat itu, akal sudah membuat andaian. Pasti itu ialah musuh Elyana.
"Sorry, kak..."
Tiba-tiba satu suara menyusup masuk ke telinga mereka. Aina menunduk ke bawah sebelum matanya terkelip-kelip sendiri. Andaiannya meleset.
"Kita tak sengaja terlanggar akak tadi. Kita minta maaf," kata si kecil memakai dress putih itu dengan polosnya. Di tangannya ada anak patung Barbie.
Lambat-lambat Elyana keluar dari persembunyiannya. Apabila si kecil mengucapkan maaf sekali lagi, Elyana segera memaniskan muka. Dia mara setapak untuk menghampiri si kecil tetapi Aina menghalang. Kepala Aina menggeleng sedikit sebagai bentuk larangan.
"Dia budak ajelah. Dia tak boleh apa-apakan El," kata Elyana sambil melorotkan cengkaman tangan Aina. Tubuh dibongkokkan lalu Elyana duduk melutut di hadapan si kecil. Fringe yang menutup bahagian dahinya dibelai Elyana.
Mata Aina pula melingas mengimbas keadaan sekeliling. Mungkin saja budak kecil ini menjadi umpan untuk mereka! Kedegilan Elyana dan kepolosannya yang selalu bersangka baik dengan orang tidak dapat dibedung lalu apa yang boleh dilakukan Aina ialah sentiasa peka. Lagipun tak salah rasanya dia menyimpan curiga pada orang asing.
"Nama adik siapa?" Elyana bertanya mesra.
"Mimi. Nama akak?" Petah Mimi bertanya semula kepada Elyana.
"Elyana."
"Cantiklah nama akak. Akak pun cantik juga. Macam Cinderella," kata Mimi polos sambil bibir mengunjuk dress biru cair dipakai Elyana. Tangan membelai-belai rambut Barbie dalam pelukan.
"Nama akak tu pula?" Kini Mimi mendongak sambil bibir dimuncung pada Aina.
"Ini kakak akak. Nama dia, Aina Natasha. Cantik, kan?"
Jika tadi Mimi terus memuji Elyana dan namanya, kini Mimi mendiamkan diri. Dia merenung wajah Aina, seolah-olah dia sedang menilai facialnya. Elyana turut mendongak ke arah Aina sebelum dia pandang Mimi dengan riak bingung.
"Mimi?" Elyana memanggilnya. Barulah perhatian Mimi kembali tertumpu pada Elyana.
"Nama akak ni macam Anastasia. Kakak tiri Cinderella. Aina Natasha. Anastasia."
Tahu-tahu saja hujung bibir Aina sudah mencemik. Dalam hati, Aina menggerutu bebelkan Mimi. Berani dia samakan Aina dengan Anastasia, si kakak tiri Cinderella itu? Bunyi notification WhatsApp mengalih perhatian Aina tetapi mata sempat mengerling Mimi. Tak puas hati.
Ingat. Tak kira apa jadi, abaikan El. Ini arahan mama.
Aina merengus. IPhone disimpan tanpa membalas apa-apa.
Tidak mengetahui apa-apa, Elyana ketawa senang hati. Tangan mencubit pipi Mimi. Geram dengan kepetahannya. Seorang wanita menghampiri seraya memanggil Mimi.
"Mimi! Kan ibu dah cakap, jangan lari jauh-jauh. Jangan kacau orang. Budak bertuah ni, tak boleh alpa langsung!" bebel si ibu sambil tangannya menarik Mimi mendekatinya. Si ibu angkat muka, memandang Elyana dan Aina bersilih ganti.
"Sorry, dik. Mimi memang suka kacau orang. Berbuih mulut akak nasihatkan dia jangan cakap dengan strangers tapi dia buat pekak. Tadi akak tengah layankan adik dia sekejap, tahu-tahu aje dia dah menghilang. Akak harap dia tak ganggu kau orang," kata si ibu bersama senyuman lebarnya. Di sebalik senyuman itu, ada kelegaan terpancar. Barangkali bersyukur tiada apa-apa terjadi pada Mimi.
Elyana berdiri semula, bertentangan dengan ibu Mimi.
"Tak adalah, kak. Mimi ni comel. Petah. Dia puji nama kita orang cantik. Dia bandingkan kita orang dengan Cinderella!" beritahu Elyana.
"Mimi ni memang suka sangat dengan Cinderella. Berkali-kali tengok movie sampaikan dia hafal nama semua watak. Anastasia, Drizella, Grand Duke. Semuanyalah. Second dan third movie pun dia tengok juga! Okeylah, akak balik dulu. Sorry sekali lagi," ujar ibu Mimi sebelum dia pamit diri. Sementara tangan kiri menggenggam jemari Mimi, tangan kanan pula bersalaman dengan Elyana dan Aina. Beberapa saat kemudian, kelibat dua beranak itu menghilang dari pandangan mereka.
Elyana terus tersenyum.
"Comellah Mimi. Jomlah balik, kak!"
PADA waktu malam, mereka berkunjung ke Danga Bay pula. Hasil carian di Google mengatakan Danga Bay meriah pada malam hari dengan wujudnya fun-fair. Beria-ia Elyana mengajak Aina ke sana. Dengan berat hati, Aina terpaksa turutkan.
Gembira benar Elyana menikmati gula-gula kapasnya. Malam ini duit dihabiskan dengan mudahnya untuk bermain permainan yang ada. Menaiki tren dan merry-go-round berkali-kali. Berteriak di atas Pirates Ship kononnya adrenalin benar-benar melonjak naik. Manakala Aina di sisinya kekal membeku.
Elyana mencemik. Kakaknya itu memang tidak berperasaan. Pernah sekali mereka menaiki roller coaster di Universal Studios Singapore dan Aina kekal tak beremosi. Batwing Spaceshot di Movie World Gold Coast? Mata Aina tetap celik, langsung tidak terpejam walaupun sekali. Infusion di Blackpool Pleasure Beach, UK? Elyana pening-pening lalat sebaik turun tetapi Aina masih mampu berdiri tegak dan pamer muka toya.
"Apalah yang El expect daripada akak? Rides yang betul-betul thrill dan buatkan orang rasa jantung keluar masuk balik pun, akak tak rasa apa-apa. Inikan pula game bodoh-bodoh macam ni," omel Elyana sambil kepalanya tergerak ke kiri dan kanan. Botol air mineral di tangan Aina selamba dicapainya. Diteguk sehingga habis lalu dibuang ke dalam tong sampah.
"Jomlah, kita pergi Pasar Karat pula. El teringinlah nak tengok macam mana tempatnya," ajak Elyana tiba-tiba, menyebut satu lagi destinasi yang ingin dituju.
Tak dapat Aina tahan mulutnya daripada membentuk huruf 'O'. Sungguh, dia panasaran. Adakah Elyana terlupa? Tentang kewujudan seseorang di luar sana yang sedang memburu nyawanya? Kenapa Elyana begitu bersahaja, merancang mahu tonjolkan diri di tempat-tempat awam sebegini?
Fikiran Aina dapat dibaca Elyana lalu dengan perlahan, Elyana menitip bicara.
"Kan El dah cakap... Being in crowded places means less chances to be attacked."
Aina ketap bibirnya. Bolehkah kesimpulan itu diguna pakai?
Kini mereka sudah pun berdiri di sebelah kereta Elyana. Aina segera menuju ke tempat pemandu. Baru saja tangan bergerak untuk membuka pintu, tiba-tiba iPhone berdering. Ada panggilan diterima. Melihatkan nama pemanggil, Aina pandang Elyana semula.
"El masuk dulu. Akak jawab call sekejap," katanya. Tanpa menunggu jawapan Elyana, Aina bergerak menjauhi kereta.
"Mak."
"Aina kat mana?" Terus saja soalan itu dilontar Khalidah. Tak perlu sebarang mukadimah.
"Danga Bay. Lepas ni kita orang nak ke Pasar Karat." Aina menjawab malas. Sesekali mata mengerling kereta, mahu memastikan Elyana baik-baik saja. Apabila Khalidah mengatakan sesuatu, automatik tubuh Aina membelakangi Elyana.
"Ingat cakap mama. Ignore her. Completely."
"I hate people saying the same thing and I hate repeating myself. Aina takkan biarkan El," kata Aina dalam nada berbisik tetapi penuh kejituan. Amarah mulai memercik di dalam diri.
"Jangan lawan cakap mama, Aina!"
Berang. Lalu Aina putuskan panggilan. Pada saat iPhone dijauhkan daripada telinga, satu suara lain pula kedengaran.
"Akak!!!"
Sepantas kilat Aina arahkan anak mata ke arah suara itu. Detik itu juga, jantungnya serasa mahu gugur.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co