Bab 9
LIMA insan berlari pantas. Sesekali kepala menoleh ke belakang untuk memeriksa jarak di antara mereka dan segerombolan manusia. Beg-beg plastik yang tadinya dijinjit sudah dilepaskan. Ia hanya menambahkan beban sekali gus menyukarkan pergerakan. Apalagi kini mereka dikejar kira-kira lima belas orang!
"Kereta kita kat depan sana aje!" Syamel memberitahu, barangkali cuba melegakan perasaan yang lain-lain. Tangan menyeluk poket seluar untuk mengambil kunci kereta. Kemudian Syamel pecutkan larian, melepasi Arhan dan Elyana yang berlari sambil berpimpinan tangan.
Sekilas, Aina menoleh ke belakang. Tak semena-mena darahnya mendidih.
"Kau orang bawa El balik," katanya tiba-tiba. Automatik langkah mereka mati, kecuali Syamel. Lelaki itu sudah berdesup lari ke hadapan.
"Kak..." Elyana menggeleng.
"Kita sempat lari. Kereta ada kat situ aje," kata Elyana sedikit mengah.
Aina diam. Dia tahu kedua-dua hakikat tersebut tetapi hati mengasak, mahu bersemuka dengan musuh-musuh Elyana itu. Sejujurnya, Aina mahu sahihkan sesuatu. Adakah mereka semua orang upahan Khalidah? Manalah tahu kalau-kalau Khalidah sengaja mahu menonjolkan sisi jantan Arhan pada Elyana agar Elyana yakin padanya sekali gus melancarkan lagi rancangan Khalidah untuk percepatkan urusan perkahwinan mereka.
"Dia orang dah makin dekat. Tengku El larilah dengan Hans, saya stay dengan Tengku Aina," ujar Naufal pula.
"Tapi..."
"Kita lari." Sehabis ayatnya, Arhan menarik tangan Elyana. Mereka berdua berlari melawan arus angin. Sesekali Elyana menoleh ke belakang. Air mata sudah bergenang. Tidak terluah di bibir namun dalam hati, Elyana sudah panjatkan sejuta doa semoga Aina dan Naufal selamat!
NAUFAL pandang Aina sekilas. Anggarannya, mereka akan diterpa manusia-manusia itu lebih kurang sepuluh saat lagi.
"Saya harap saya tak menyesal buat pilihan gila ni." Sempat Naufal menitip kata sambil tangan digerakkan, ala-ala membuat regangan.
"I bet my fingers, you won't." Ada senyuman tipis di bibir Aina sebelum tiba-tiba ia menghilang di sebalik muka tegangnya.
Beberapa orang lelaki mulai mengelilingi Aina dan Naufal manakala lima orang cuba mengejar kereta Elyana. Bunyi deruman kereta jelas kedengaran, bererti Elyana berjaya meloloskan diri bersama Arhan dan Syamel. Fikiran Aina bebas daripada memikirkan Elyana. Dan Aina tidak lagi memikirkan tentang Naufal. Si pemegang tali pinggang hitam itu pastinya dapat menentang lawan-lawannya dengan mudah. Kini fokus Aina hanya pada empat orang lelaki yang mengerumuninya.
Penyerang pertama mulai menyerang Aina, mahu menumbuknya. Aina membongkok. Dari kiri, Aina bergerak ke kanan penyerang. Lengan lurus penyerang dihentak kuat di bahagian siku. Ada bunyi terhasil diiringi erangannya. Apabila penyerang kedua menghampiri, Aina lepaskan tumbukan ke perutnya bertalu-talu. Tidak langsung memberi peluang kepada si penyerang.
Tiba-tiba belakang Aina dihentak dengan sesuatu.
"Argh!" Aina menyeringai sambil tangan kiri menyentuh belakang tubuh. Aina menoleh. Seorang lelaki sedang memandangnya sinis bersama kayu cota di tangan. Aina jadi berang sehingga kesakitannya tak lagi dirasai. Tanpa kata, Aina melompat lalu kaki dilibas ke rahang si penyerang.
Tumbang. Di kesempatan itu, Aina rampas kayu cota tersebut dan diayun kepada penyerang-penyerang lain.
Tenaga mulai beransur lemah tetapi Aina enggan mengalah. Seluruh tubuh lincah mengelak, menepis dan melepaskan serangan. Beberapa orang tewas dikerjakan Aina dan Naufal. Ada juga yang mengengsot ke tepi, mahu sembunyikan diri daripada kegilaan mereka berdua. Ternyata, lawan mereka bukan calang-calang orang. Tak hairanlah selama ini rancangan mereka selalu saja gagal! Sedangkan Aina, si wanita itu pun mampu menewaskan mereka, ini pula lelaki gagah seperti Naufal!
Kini hanya tinggal empat insan yang masih berdiri. Aina, Naufal dan dua lagi penyerang. Naufal segera dekati Aina. Belakang tubuh mereka bersatu. Dalam keadaan berjaga-jaga, Naufal sempat berikan komen kepada Aina.
"Saya rasa dia orang berdua antara orang-orang terkuat, Tengku. Tengok ajelah. Dah berdarah kat sana sini tapi masih mampu berdiri."
Aina mengiakan dengan anggukan. Pandangannya tepat pada penyerang yang berdiri bertentangannya. Lelaki itu merenungnya tajam. Ada senyuman mengejek meniti di bibir.
"Siapa settle dulu, dia menang. Yang kalah kena belanja makan esok," kata Aina, bertaruh.
Naufal gelak cuma. Dalam keadaan sebegini, Aina sempat lagi berseloroh. Padahal darah mengalir di tepi mata, bibir dan buku jarinya. Badannya? Pasti lebam-lebam di sana sini!
"Deal."
Usai tuturkan itu, Naufal terlebih dahulu bergerak. Aina turut mengatur langkahnya. Dia berlari melepasi si penyerang, berpatah balik dan terus memanjat ke atas kereta yang diparkir di sebelah mereka. Si penyerang sepertinya kebingungan, tidak menyangka Aina akan bertindak sedemikian. Pada saat dia menengadah, mulut herot dek libasan kaki Aina.
Sekilap, Aina berjaya. Idea untuk mengelirukan si penyerang dan melompat naik ke atas kereta memang sudah wujud sedari tadi. Lantaran itulah dia sengaja membuat pertaruhan dengan Naufal. Nampaknya, dia menang! Sempat dia pamer muka angkuh kepada Naufal sebelum riak serius kembali memenuhi muka. Aina melompat turun dari kereta dan menghampiri penyerang tadi. Kolar baju dicengkam dan ditarik hinggakan si penyerang terduduk bersandar pada kereta.
"Siapa hantar kau?" tanyanya. Keras.
Si penyerang tidak menjawab. Libasan di kepala buatkan dia berpinar-pinar.
"Aku tanya, siapa hantar kau? Jawablah!!!" Aina mulai menengking.
Akal sudah diasuh agar cekalkan hati andai nama Khalidah disebut tetapi dalam hati, ada suara menjerit mengharapkan nama itu tidak disebut sama sekali.
Aina ketap giginya. Barangkali si penyerang perlukan sedikit keganasan untuk memaksa dia membuka mulut.
Buk!
Sebuah tumbukan dilepaskan Aina. Terteleng ke kanan kepala si penyerang.
"Siapa suruh kau serang El? Kau orang memang patut bunuh dia ataupun gertak aje? Apa yang kau orang nakkan daripada El hah?!" Aina masih menuntut jawapan daripadanya. Sungguh, hatinya takkan tenang selagi dia tak dapat sebarang nama.
Hilang fokus Aina pada keadaan sekeliling hinggakan dia tak sedar, seseorang sedang mara ke arahnya bersama sebongkah bata merah. Pastinya diambil daripada kawasan pembinaan berdekatan.
"Tengku!!!" Jeritan Naufal menyedarkan Aina akan kehadirannya. Namun toleh saja, tiba-tiba satu figura muncul di hadapan Aina.
Insan tinggi itu pula beraksi. Tangan kiri mencengkam kuat pergelangan tangan si musuh hinggakan dia tak dapat bergerak. Mulut mengaduh kesakitan. Bata terlepas. Hanya dengan satu hentakan kuat yang datangnya daripada telapak tangan insan itu, si musuh terdorong ke belakang.
Membulat mata Aina. Dipandangnya si penyelamat dengan rasa tidak percaya.
"Ar... Arhan."
Arhan meluru ke arah Aina. Tak sempat Aina mengelak ataupun melarikan diri, tahu-tahu saja dirinya sudah dipeluk Arhan. Dek pergerakan Arhan, tubuh Aina berpusing sama. Rupa-rupanya ada satu lagi penyerang mahu menyerang dari arah belakang dan Arhan memeluknya, merelakan dirinya menjadi sasaran!
Pelukan terlerai. Arhan bertarung untuk beberapa detik sebelum penyerang itu rebah. Aina terpempan.
"Aina Natasha." Seiring dengan panggilan keras itu, Arhan mara ke arahnya. Tangan memegang kedua-dua bahu Aina lalu digoncang semahunya.
"Awak dah gila ke? Dalam keadaan macam ni, awak tak sepatutnya leka atau lalai! Never show your back to your opponent. A small mistake to you but a big opportunity to them!" Arhan terus hamburkan kata-kata itu kepada Aina. Pada hemat Arhan, itulah kesilapan terbesar dalam sesebuah pertarungan. Dan Aina telahpun melakukannya.
"Never let your guard down, Aina Natasha." Satu pesanan dititip sebelum Arhan menyeru nama penuhnya.
Berdepan dengan Arhan sebegini, hilang terus segala diksi dalam kepala Aina walaupun dalam hati, dia sudah membentak mahu membela diri sendiri. Dia tak bodoh. Dia tahu itu semua. Tetapi dia perlukan jawapan daripada mereka. Dia mahu tahu apa yang mereka mahukan daripada Elyana!
"Hans! Tengku! Naufal! Cepat masuk," panggil Syamel dari dalam kereta. Lekas-lekas Naufal boloskan diri ke dalam kereta, mengambil tempat duduk penumpang hadapan.
Arhan lepaskan bahu Aina diiringi rengusan. Fikir Aina, Arhan akan terus masuk ke dalam kereta tetapi sangkaannya meleset. Tiba-tiba saja Arhan memberi amaran kepadanya.
"Saya takkan maafkan awak kalau awak buat kerja gila macam tadi lagi, Aina Natasha." Usai tuturkan itu, barulah Arhan masuk ke dalam kereta. Dia duduk di tengah-tengah, anak mata terus ditala pada cermin hadapan kereta. Tak langsung bersuara apa-apa kepada Elyana yang sedang memandangnya.
Dalam kebingungan, kaki Aina menapak juga. Tangan menarik pintu kereta sebaik dia labuhkan duduk. Di saat kereta bergerak, mata Aina melirik pada buku jari Arhan. Urat-urat jantan jelas kelihatan di situ tetapi ada warna merah melata. Pasti itu disebabkan Arhan bertumbuk dengan penyerangnya tadi.
Sedar buku jarinya ditatap Aina, Arhan terbalikkan tangannya untuk mendedahkan telapak tangan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co