Bab 10
Ketakutan, kemarahan dan kebencian membuat aku menderita. Aku menderita sejak kali pertama melihat dunia. Aku menderita kerana ditinggalkan ibuku. Aku menderita kerana ayahku gila. Aku menderita kerana mencintai Ria yang juga menderita. Aku menderita atas segala kesedihan yang berlaku pada semua orang yang aku kenal dan sayang.
Dahulu, aku percaya bahawa hanya kebaikan saja yang akan menang. Aku percaya pada kebahagiaan yang pasti datang terhampar seperti sebuah taman. Aku percaya pada cinta luhur yang sejuk dingin seperti air gunung. Dan aku percaya pada setiap harapan yang muncul bagaikan cahaya dari pendang sang penyelamat.
Percayalah. Kita hanya perlukan seorang sahaja untuk menjahanamkan hidup kita seteruk-teruknya. Dalam hidupku, orang itu ialah Narong. Walaupun aku tidak menyalahkan Narong sepenuhnya tapi dialah yang menukar aku menjadi sepertinya. Aku masih ingat kata-kata Narong padaku hari itu.
"Jalan terbaik untuk kau kenal manusia ialah dengan tidak menjadi manusia."
Aku tidak memahami kata-katanya yang berbunyi seakan-akan gila. Aku menatapnya kosong. Kenapa kita perlu jadi binatang untuk kenal manusia? Falsafah sesat apa ini, fikirku.
Aku pandang Narong dengan mata bingung. Narong senyum membalas pandanganku sambil menyedut rokoknya dengan rakus. Dia tahu, aku inginkan jawapan.
"Kalau kau cari siapa diri kau betul-betul, kau akan tahu, kau hanyalah seekor haiwan. Tak lebih dari itu."
Aku bertambah bingung. Narong memberikan aku senyumannya yang khas. Dia menjentik puntung rokok yang segera dilarikan angin keras. Kami sedang menunggu seseorang untuk tugasanku membunuh. Waktu itu hujan turun deras. Kami berteduh di satu bangsal buruk tepi hutan sementara menunggu hujan reda. Hujan yang bising menimpa zink buruk atas kami, sesekali menenggelamkan kata-kata Narong.
"Tapi, jangan bimbang. Ada manusia yang lebih binatang daripada kita," sambung Narong dalam tempias hujan dari belakang.
Aku menelan hujah Narong tanpa bangkangan. Hari itu satu nyawa lagi aku habiskan. Narong memerhati aku melakukan kerja terkutuk itu dalam tirai gerimis. Dia tersenyum bangga bila aku menamatkan semuanya dengan tangkas.
"Bagus. Kerja kau semakin pantas. Kau pelatih aku yang terbaik setakat ini. Kau akan sentiasa jadi yang terbaik," katanya tersenyum puas.
Aku membasuh darah pada lawi ayam dengan air hujan yang turun dari cucuran zink karat. Kami berjalan pergi sambil menentang angin dalam curahan hujan lebat.
Aku pernah melupakan Ria lama dahulu. Dan kemudian kembali mencintainya seperti dia adalah milikku yang abadi. Falsafahku mudah. Dia tetap kepunyaanku selagi dia bukan hak orang lain.
Sejak Zihan pergi dan sejak Ria berhenti sekolah, dia hanya menjaga ibunya. Itu tugas rasmi Ria. Aku bersyukur aku tak perlu menjaga ayahku. Biarpun gila, dia tahu menjaga diri.
Ria menjalani hidupnya tanpa sesal atau marah. Dia sendiri semakin pucat kerana jarang kena cahaya. Matanya menjadi sungai duka tanpa dasar. Dan yang paling aku sedih, kami tidak lagi berjumpa.
Menunggu senja di jeti, tidak membahagiakan aku seperti dahulu lagi. Jeti itu kini tidak seindah ketika aku berada di sana bersama Ria. Di situlah, dahulu kami berladang impian, menanam janji dan menuai mimpi.
Hari ini, semuanya sudah tenggelam. Tapi, aku tetap berasa aman di jeti itu. Dunia bergerak perlahan di situ, seolah-olah berada di dalam kawalanku.
Petang itu seperti petang-petang yang lain, aku duduk di bawah pokok ketapang rendang. Cahaya kuning terang bersemarak di horizon. Mentari sedang perlahan-lahan tenggelam. Ada burung-burung melintasi cakera jingga yang sudah tinggal separuh. Air laut semakin surut. Angin berbisik-bisik lembut.
Aku menatap langit dan hujung cakerawala. Lamunanku terputus bila seorang kutu rayau datang menuntun basikal buruk. Aku kenal kutu rayau itu. Rantai basikal yang dibawanya sudah jatuh.
"Nak beli basikal?" sapanya dari jauh.
Aku tahu basikal itu tentunya basikal curi. Tengok pun tahu.
"Basikal curi?" tanyaku terus.
Kutu rayau itu datang lebih dekat. Mukanya berminyak. Rambutnya yang panjang tak keruan dikerosotkan angin.
"Haah. Basikal curi. Nak beli?" jawabnya tak berselindung.
"Actually, basikal ni basikal bapak aku. Adik aku curi. Aku curi balik. Curi atas curi. Tak salah kan curi harta bapak sendiri? Nak beli?"
"Betul basikal bapak kau?"
"Betul. Buat apa nak tipu? Kalau aku tipu, aku kafir," jawabnya dengan muka bersungguh.
"Nama saja basikal curi tapi halal sebab bapak aku dah halalkan," tambahnya untuk meyakinkanku.
Aku tengok-tengok. Okey juga basikal itu. Hanya rantainya yang putus. Rangkanya masih bagus.
"Berapa nak jual?"
"Berapa sanggup beli?"
Aku cuma ada tiga puluh ringgit dalam poket. Aku perlu letak harga paling rendah. Aku tahu dia terdesak.
"Dua puluh ketul, boleh?"
Dia pandang aku. Mata terkelip-kelip. Rambutnya serabut.
"Sold!" jawabnya dengan senyum lebar.
Aku bawa basikal buruk itu ke rumah Leon.
Hari sudah hampir malam.
Leon melongo. Jerawat tumbuh makin banyak di mukanya. Ada bekas-bekas yang mengering kerana dikutil. Jika Leon sedang runsing atau banyak fikir, jerawatnya akan tumbuh banyak.
"Kau nak aku buat apa?" tanya Leon, bercekak pinggang.
"Kau cat warna hitam. Betulkan rantai. Nanti aku bayar."
Leon menggaru-garu pipi. Leon pernah kerja sambilan di kedai basikal di depan simpang pasar tempat Pitak bekerja. Dia memang pakar memasang dan membaraikan basikal.
Petang esoknya, ketika aku tidur di pangkin luar, Leon menggerakku. Bahuku digoncangnya kuat-kuat sampai aku terperanjat dan kakiku terangkat.
"Tengok..." Leon menuding pada basikal di halaman rumah.
Aku terpinga-pinga. Dengan mata yang masih mengantuk, aku nampak basikal yang aku beli sudah bertukar warna merah, tidak hitam seperti yang aku mahu. Semuanya sudah disembur dengan warna merah termasuk tayar dan handle. Rantai basikal yang telah dibetulkan, juga bertukar merah.
Aku rasa seperti mahu bagi pukulan siku ke muka Leon. Lain yang disuruh, lain yang dibuat. Silap aku juga menyuruh dia mengecat basikal itu. Aku sudah tahu Leon memang sukakan warna merah. Jika boleh rumahnya juga mahu dicatnya merah macam balai bomba. Dalam kepalanya, cuma ada warna merah. Hitam pun merah baginya.
Aku tak jadi marah. Aku sengih pada Leon. Leon sengih balik. Kami sama-sama tersengih macam orang tolol.
Dengan basikal merah yang hodoh nak mampus itu, aku menunggang ke bukit hantu setiap pagi.
Aku tidak mengajak Tajul, Pitak atau Leon ke bukit itu kerana aku tahu mereka takkan berani. Tambah-tambah lagi Si Pitak. Oleh kerana dia tinggal sendirian, Pitak mengharamkan kami bercerita tentang cerita hantu. Kalau kami bercerita juga, Pitak akan tutup telinga atau angkat kaki.
Setiap malam sebelum tidur, Pitak akan periksa bawah katil atau dalam almari. Dalam jamban pun dia periksa. Dia tidur dengan semua lampu terpasang. Pitak tidak berani melihat cermin pada waktu malam. Dia percaya kalau melihat cermin pada malam hari, pasti akan nampak kelibat hantu dalam pantulan cermin.
Kalau Pitak terdengar bunyi-bunyi aneh di tengah malam, dia akan segera cabut lari keluar ke rumahku atau ke rumah Leon. Satu malam dia berlari ke rumahku bila terdengar cakaran di dinding rumah yang sebenarnya adalah cakaran kucing mahu mengawan.
Melihat kelibat Pitak berlari dalam gelap, ayahku yang sedang mahu tidur di pangkin luar, terkejut kerana menyangka Pitak adalah malaikat maut khayalannya. Manakala Pitak pula terkejut kerana melihat ayahku berbungkus selimut. Mereka sama-sama lari lintang-pukang mengikut arah berlawanan.
Aku rantaikan basikal pada sebatang pokok di kaki bukit. Perjalanan naik dan turun mengikut jalan pintas, lebih kurang setengah jam. Kalau jalan berlenggang kangkung, akan mengambil masa lebih kurang 45 ke 50 minit.
Aku mulakan perjalanan mendaki dengan mengikuti jejak lama yang kini sudah ditutupi rumput liar. Aku membuat laluan baharu dengan menebas-nebas lalang dan rumput liar dengan ranting kayu.
Ketika sampai di puncak, langit sudah cerah disapu sinar pagi. Burung terbang berkawan-kawan. Hari yang berangin membuatkan keringatku cepat kering.
Puncak bukit dipenuhi haruman bunga dan rumput-rumput liar. Pokok-pokok kelapa tumbuh tinggi di sekitar. Kebanyakan pokok kelapa di situ kurus-kurus dan membengkok dengan bentuk-bentuk yang aneh. Ada banyak pokok berembang bukit yang tumbuh lurus dan bercabang banyak.
Untuk ke tebing bukit yang dikatakan tempat gadis Cina bunuh diri, aku perlu merentasi padang lalang. Dari jauh, padang itu nampak memutih. Angin yang berhembus kuat membuatkan lalang-lalang menunduk dan melenggok-lenggok.
Aku harungi padang lalang. Tangan dan mukaku miang disapu daun-daun dan bunga lalang. Sambil tanganku menguak laluan, cebisan bunga-bunga lalang yang terlerai, melayang tinggi dibawa angin. Bagai puing-puing kapas, ia bergerak lembut menuju ke langit biru terang.
Di bukit itulah aku hilang dari diriku lalu dihisap masuk ke sebuah dunia gelap yang penuh horror. Di situ juga aku membuat keputusan untuk pergi dari Ria. Tiada siapa yang tahu apa berlaku padaku selepas itu. Aku adalah orang kedua yang hilang dari bukit hantu selepas gadis Cina yang terjun di situ.
Antara benda-benda yang aku suka di bukit itu ialah bunga kembang pukul 10 yang hidup bercambah di sepanjang tebing. Bunganya yang sangat cantik menghiasi suasana.
Begitulah semuanya bermula. Setiap pagi, aku berada di tebing bukit untuk melihat vista laut yang sama sekali berbeza dari yang kulihat di jeti. Laut dari atas tebing itu nampak lebih menawan tetapi rawan. Pulau Pinang jadi lebih kabur dan purba. Kapal-kapal kelihatan berbalam seperti sebuah lukisan silam.
Ombak di sekitar bukit hantu, tinggi dan garang. Tepat di bawah tebing, ada lekukan batu seperti rahang besar yang sedang menganga. Air berpusar-pusar membentuk satu bulatan besar yang menggerunkan di situ.
Aku tak pernah melihat pusaran air sebegitu seumur hidupku. Barangkali itulah lubuk puaka yang menelan tubuh gadis Cina yang dikatakan sudah menjadi hantu. Bedalan ombak yang menendang ke dinding tebing membuatkan air melambung tinggi ke udara lalu menerbitkan satu bunyi seperti raungan yang penuh kesakitan.
Setiap kali merenung gaung puaka itu, tubuhku akan terdorong ke depan, seperti ada yang menolaknya dari belakang. Beberapa kali, aku nyaris terhumban tapi sempat kustabilkan kedua-dua kakiku.
Biarpun gaung di bawah tebing begitu menakutkan, aku putuskan untuk berada lama di situ. Aku akan berdiri sambil membiarkan angin menyentuh wajah dan mengucar-ngacirkan rambutku. Desiran pohon-pohon dan geselan daun-daun lalang yang berbisik-bisik membuat hatiku tenang. Tempat yang total sepi itu membiusku dengan kesunyiannya yang tajam melengking.
Meskipun aku lebih akrab dengan pantai dan dermaga, bila berada di tebing tinggi aku merasa nyaman sekali. Ternyata aku lebih selesa berada di tempat yang menakutkan daripada tempat yang nyaman.
Aku tahu sekiranya kakiku tergelincir sedikit sahaja ketika berada di tebing, aku akan melayang ke bawah. Tapi aku sukakan saat ngeri itu. Itulah detik paling nikmat iaitu ketika berada dalam ketakutan yang optima.
Berada di bukit hantu menjadi rutin yang mesti aku penuhi. Sebaik sahaja pecah fajar, aku mula mengayuh basikal merah menuju ke sana untuk melihat matahari terbit dari balik barisan bukit-bukit.
Hidup berjalan lambat sekali. Leon, Tajul dan Pitak tidak tahu tentang hobi baharuku ke bukit hantu. Pitak sibuk di pasar ikan seperti selalu. Dia masih bercakap dengan lagak pintar tentang hal-hal yang membuatkan semua orang bosan. Dia merasa hebat setiap kali dapat bercakap gah di depan kami. Hidung buah jambunya selalu kembang kempis bila dapat merendah-rendahkan kami.
Tajul tetap dengan cita-citanya mahu menjadi ustaz. Dia mahu meneladani kehidupan ululazmi. Leon masih belum bercita-cita. Dia sabar menunggu kepulangan ibunya yang sudah hampir sebulan tidak pulang.
Aku sendiri belum menerima apa-apa berita dari Miss Tijah tentang Mak Cik Sutiah. Sejak pertemuan hari itu, aku tak berani mencari Miss Tijah lagi kerana bimbang diekori orang-orang Narong.
Aku harus mengutamakan keselamatan Miss Tijah, Mak Cik Sutiah, Sona, Noni dan terutamanya Leon. Aku tak mahu tersilap langkah. Lebih baik aku menunggu arahan daripada Miss Tijah dahulu. Jika dia mahu aku pergi berjumpanya, aku pergi. Aku takkan memandai-mandai pergi sendiri.
Yang bagusnya, Narong tidak mencari aku dan Leon lagi. Aku tak tahu apa rancangan dan helahnya kerana aku tahu dia pasti takkan berdiam diri kerana Mak Cik Sutiah masih hidup lagi.
Bagiku, jika Narong berdiam diri, kami juga patut berdiam diri. Jangan mulakan angkara. Aku tahu, Narong sedang memerhati aku dan Leon dari jauh. Dia mungkin mahu membiarkan kami leka, kemudian barulah bertindak. Kadang-kadang aku meletak diriku sebagai Narong dan cuba berfikir sepertinya.
Leon sentiasa resah dan bimbang. Saban hari dia membersihkan rumah dengan harapan ibunya akan pulang. Aku kasihan melihatnya. Selang tiga hari, Leon akan beli bunga daisi kuning yang diletakkan di dalam sebuah gelas tinggi di ruang tamu.
"Mak aku suka bunga daisi. Bila dia balik nanti, tentu dia senyum tengok bunga daisi ni," kata Leon ketika kutanyakan kenapa di ruang tamu rumahnya selalu ada bunga daisi tiga kuntum.
Harapan Leon untuk melihat ibunya pulang sering membuatkan aku rasa terbeban.
"Mak aku kata, masa ayah aku mula-mula kenal dia dulu, ayah aku bawakan bunga daisi. Sejak tu, mak aku sukakan bunga daisi," cerita Leon. Matanya bercahaya mengingati kembali semula kisah cinta ibunya, si pelacur muda dengan kelasi Filipina.
Sejak mengetahui kenapa Leon membeli bunga daisi selang tiga hari, aku tidak lagi ke rumahnya. Aku tidak sanggup melihat bunga daisi tiga kuntum itu. Hatiku remuk mengingati keadaan Mak Cik Sutiah.
Aku sendiri tidak pasti apakah Mak Cik Sutiah akan pulang atau tidak? Aku tidak berani memikirkan apa yang bakal berlaku. Aku tidak berani membayangkan keadaan Leon bila mengetahui keadaan sebenar ibunya.
"Bila aku rindukan mak aku, aku tidur di atas katil dia. Aku rasa dia dekat sangat dengan aku," kata Leon. Aku terdiam dalam sebak yang lama.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co