Bab 14
Cuaca malam itu begitu panas. Aku menggelisah. Fikiranku berserabut. Aku rasa, orang akan jadi cepat marah dan tertekan dalam cuaca panas. Sepertimana orang menjadi gila kerana pengaruh bulan.
Banyak perkara yang berserabut di dalam kepalaku. Dari satu hal ke satu hal. Ayahku masih belum pulang kerana aku belum dengar dia membuka pintu depan.
Aku bangun dan menyalakan lampu. Pukul 2.17 pagi. Perutku mencerut lapar. Aku teringatkan Leon. Sejak ibunya meninggal, Leon selalu tak dapat tidur malam. Aku ingin menemaninya.
Sebelum keluar, aku buatkan Milo untuk menghilangkan rasa lapar. Aku mahu melencong pergi melihat rumah Ria. Aku masih rasa bersalah padanya. Aku hanya mahu melihat rumahnya sahaja. Itu sudah cukup untuk membuatkan aku berasa lega. Dalam benci, sayang juga aku padanya. Mana mungkin aku lupa padanya begitu sahaja.
Aku mengunci pintu dan berjalan di dalam gelap malam. Sesekali cahaya bulan menerobos dari celah ranting-ranting pokok. Kampung Kilat begitu tenang kerana sebahagian besar daripada penduduknya sudah belayar. Hanya sesekali terdengar lengkingan motosikal di jalan. Mungkin mat rempit masih berlumba.
Aku lihat bilik Ria masih diterangi lampu. Dia belum tidur. Entah apa dibuatnya. Aku tersenyum mengenangkan kesukaan Ria mengingati semua tarikh-tarikh yang dirasakan penting dan istimewa. Dia tak pernah lupa tarikh hari jadiku. Aku pula selalu lupa hari jadinya. Malah tarikh hari jadiku pun aku lupa.
Ria juga mengingati tarikh ulang tahun percintaan kami. Entah bagaimana dia menilai tarikh itu sebagai ulang tahun, aku tak tahu. Bukan itu sahaja. Dia ingat tarikh pertama kali aku buat dia menangis. Tarikh kami bergaduh hingga dia jatuh tersungkur di tangga sekolah. Tarikh aku kena demam campak. Tarikh aku disengat tebuan sampai mukaku bengkak-bengkil. Tarikh aku sakit perut sampai terberak dalam seluar. Tarikh aku memberinya sebentuk cincin tembaga yang ada ukiran bentuk hati yang sebenarnya aku jumpa di padang sekolah. Dia ingat semuanya.
Aku masih berdiri di luar rumah Ria. Bulan terang. Bayang-bayangku mengekori perlahan. Aku ingin mengetuk dinding biliknya. Aku mahu meminta maaf dan memberitahunya aku menyayanginya lebih dari apa yang dia tahu. Tapi itu tidak kulakukan malam itu.
Aku lalu ke rumah Leon. Seperti yang dijangka, rumah Leon masih terang. Pintu rumahnya aku ketuk.
"Leon..." panggilku perlahan.
Senyap.
Aku ketuk lagi, panggil lagi. Tiada jawapan. Aku diterkam rasa bimbang. Pintu kuketuk lebih kuat.
"Leon..." panggilku cemas.
Terdengar suara Leon menyuruh aku masuk. Hatiku lega. Aku pulas tombol. Pintu tak berkunci. Daun pintu kutolak perlahan. Di satu penjuru, aku lihat Leon sedang duduk. Dia melihatku semacam dengan senyumannya yang ganjil.
Pintu kututup.
"Kenapa kau tak kunci pintu?" tanyaku.
"Aku nak keluar," jawab Leon. Suaranya dalam.
Mata Leon mengikuti pergerakanku. Aku duduk di sisinya. Kami diam seketika. Kesepian merangkul. Aku tunggu dia bersuara kerana tak tahu mahu bercakap apa.
"Kenapa ada orang sanggup buat mak aku macam tu? Apa salah mak aku?" Tiba-tiba Leon bertanya. Tanpa memandangku.
"Sebab dia pelacur, dia layak dibuat macam tu? Dia layak dilanyak macam binatang? Sebab dia pelacur, nyawa dia murah?" Leon menambah. Suaranya sedikit tergigil.
"Kenapa dia buat mak aku macam tu?" Leon bertanya lagi, menekan suaranya.
Bila mendengar Leon menyebut 'dia', dadaku berdebar. Apakah dia sudah tahu tentang Giri?
"Kau tahu siapa dia, kan?" Leon pasakkan pandanganbya ke wajahku. Aku jadi tak keruan tapi cuba tenangkan diri.
"Siapa?" tanyaku pura-pura tak tahu.
"Giri. Kau tak tahu?" Leon seakan-akan menyindirku.
Aku terdiam. Bagaimana Leon tahu? Siapa yang beritahu? Hatiku diasak tanda tanya.
"Kenapa kau tak bagi tahu aku?" Leon terdengar marah. Itu aku tahu dari getar suaranya.
Aku menarik nafas panjang.
"Kau kawan aku. Kenapa kau tak bagi tahu aku?" tanyanya terus.
"Mak kau minta aku rahsiakan. Dia tak mahu kau terlibat dengan Narong," jawabku.
Leon mengeleng-geleng. Seperti enggan menerima penjelasanku. Nafasnya berombak. Rahangnya dikertap rapat.
"Dia mak aku, Ari. Aku berhak tahu!"
"Aku cuma ikut apa yang mak kau mahu. Itu saja," balasku, masih cuba bertenang.
Leon bingkas bangun, pergi ke tepi jendela lalu menghentak-hentak kepalanya pada birai tingkap macam orang gila.
"Kenapa? Kenapa? Kenapa?" jerit Leon sambil menghantuk-hantuk kepala. Aku menyerbu lantas menariknya. Dahi Leon sudah merambu darah.
"Kau kawan aku, kenapa kau tak bagi tahu aku?" jerit Leon dengan mata berang.
"Aku dah kata, mak kau tak mahu kau tahu!"
Leon tak mahu terima jawapanku. Dia mengamuk. Meja tulis di tepinya ditolak. Buku-buku di atas meja jatuh berselerakan. Dia menyerangku. Kami bergelut. Habis kerusi dan meja terbalik tunggang-langgang. Leon yang lebih tinggi daripadaku susah untuk dijatuhkan. Dia menumbukku. Aku sempat mengelak, penumbuknya kena pelipis. Dengan pantas, aku cepuk mukanya, disudahi dengan satu jotos di kepalanya. Leon tumbang di atas buku-buku yang berselerak. Dia terlentang kepenatan. Nafasnya tercungap-cungap seperti ikan kehabisan udara.
Aku termengah-mengah. Aku tarik tangan Leon, cuba mengangkatnya. Dia tak dapat berdiri dengan betul. Aku papah tubuhnya yang berat dan dudukkan di atas kerusi. Darah dari luka di dahinya berjejeran jatuh ke muka.
"Dengar sini, aku sayangkan mak kau macam mak aku sendiri. Sampai hari ni, aku sedih dengan apa yang berlaku. Aku tak boleh terima ada orang sanggup buat dia macam tu. Membayangkan saja pun dah buat aku cukup terseksa!" ujarku dalam nafas yang bergelombang.
Leon masih dibakar kemarahan. Matanya masih menyalahkan aku. Dia meledak lagi mahu menentangku. Aku hentak perutnya dengan penumbuk. Dia jatuh terduduk.
"Siapa beritahu kau tentang Giri?" tanyaku dalam keadaan bersedia untuk bergasak lagi.
Wajah Leon masih kejang. Nafasnya terhembus kencang.
"Siapa beritahu kau tentang Giri?" jeritku.
Leon menjerit balik padaku.
"Ah Meng!"
Aku tersentak.
"Ah Meng kata aku berhak tahu. Dia kata aku perlu tahu siapa yang bunuh mak aku!"
Benar. Leon patut tahu siapa pembunuh ibunya. Aku duduk tersandar. Aku cuba bayangkan diriku dalam kedudukan Leon. Apakah aku akan jadi lebih gila daripadanya jika aku tahu siapa pembunuh ibuku?
Leon tiba-tiba bangun dan meluru ke dalam bilik. Aku kaget. Dia keluar dengan sebilah parang menuju ke pintu. Aku menerkam. Pergelangan tangannya aku pulas dan kunci. Leon meronta dan menjerit. Agak luar biasa juga tenaganya. Aku berhempas-pulas untuk menundukkannya.
Leon berusaha melepaskan diri. Aku nekad meleraikan parang di tangannya. Parang terayun ke sana ke mari. Aku mengelak, takut terkena perut.
"Aku nak tetak Narong malam ni. Aku nak bunuh dia!" Leon yang sudah hilang akal berteriak-teriak.
Aku tiada pilihan lalu menumbuk rusuknya. Parang di tangannya aku kilas dan rampas. Leon tersandar ke dinding.
"Kau dengar betul-betul apa aku nak cakap..." kataku tercungap-cungap dengan peluh meleleh di dahi. Leon memegang rusuknya dengan muka berkerut, mengerang perlahan.
"Kau serang Narong malam ni, kau akan mati sia-sia. Narong akan gelakkan kau. Aku dah rancang apa nak buat. Kau bertenang dulu. Jangan bertindak melulu."
Leon akhirnya dapat aku stabilkan. Aku rawat dan tampal plaster pada luka di dahinya yang aku rasa perlu dijahit. Leon kembali terduduk lemah. Mukanya merah.
"Kalau kau nak kalahkan Narong, kau kena susun perancangan betul-betul. Kena ada cara. Kena ada maklumat. Kau takkan kenal Giri kalau kau tak kenal Narong," jelasku. Leon diam mendengar. Matanya kosong.
"Biar aku yang masuk kubu Narong. Kau tunggu di luar. Kita tak boleh sama-sama ada dalam satu lingkaran."
"Kenapa kau yang kena masuk kubu? Kenapa bukan aku?" Leon memandangku jengkel.
"Kerana kau perlu hidup. Kau tak boleh mati."
"Kenapa kau nak jadi barisan depan untuk aku?"
Aku renung Leon. Dadaku berdenyut pedih. Aku kasihankan Leon. Dia sudah cukup menderita. Dia tak perlu menderita lagi. Aku akan selesaikan semuanya.
"Sebab kau kawan aku. Biar aku yang jadi benteng. Aku janji, aku akan bagi kau peluang tuntut keadilan untuk mak kau. Biar aku mulakan kerja, kau tamatkan kemudian."
Aku genggam tangan Leon sebagai satu ikrar. Leon tak bersuara. Hanya nafasnya sahaja beralun deras.
Seperti yang telah aku rumuskan, tiada jalan atau cara lain untuk mencari Giri. Satu-satunya jalan yang ada ialah dengan menjadi sebahagian daripada orang-orang Narong. Mahu tak mahu, aku harus masuk ke dalam lubuknya, tempat sukma-sukma hitam bersemayam.
Musim kemarau belum berakhir. Malam panas membahang. Aku berkeringat terus biarpun kipas siling sudah kupasang paling maksima. Tadi aku hanya makan roti kelapa dengan air teh tawar. Aku masih lapar. Perutku pedih.
Aku bunuh rasa laparku dengan bayangan Narong. Fikiranku menerawang. Aku mundar-mandir di ruang tamu dengan hanya berseluar pendek.
Aku hempas diri di atas kerusi tepi jendela, cuba mencari angin. Otakku berputar ligat. Dunia jadi tunggang terbalik. Dadaku rasa terhimpit.
Aku mesti ke Hotel Ah Tai sekali lagi. Aku harus bertemu Narong. Dia tentu ada di sana, barangkali sedang bermesraan dengan pelacur-pelacurnya. Barangkali Giri juga ada. Dia sedang menoreh dan mengukir kulit-kulit mangsanya. Dia sedang melapah mereka, membanting mereka.
Jiwaku membara semula. Aku tendang kerusi melepaskan amarah. Aku membulatkan tekad. Apa pun terjadi, aku mesti mencari Giri. Seperti selalu, Giri terasa begitu dekat. Dekat sekali.
Langkah pertama, aku perlu bebaskan diriku daripada ketakutan terhadap Narong. Aku tak boleh terus-terusan takut. Dan, aku tak boleh bertangguh untuk bertemunya.
Aku capai baju, sarung seluar, sauk kasut. Pergi tanpa fikir banyak.
Dini hari. Sepanjang jalan ke tempat Narong, jantungku memalu keras. Angin tiba-tiba menderu seram. Seperti ada setan yang mengintip di balik ranting-ranting pokok hitam yang membelit.
Malam itu, aku tak tahu perjalanan aku ke sana bakal mendorong aku ke pasir jerlus. Aku juga tidak tahu, dendam adalah penjara tak berpintu. Bulan terang menemani aku ke rumah pelacuran Narong. Bayang-bayangku mengekori dari belakang seperti musuh tak berwajah. Peluh berjurai.
Rumah pelacuran yang terus hidup untuk menutupi segala kejahatan Narong terlihat kabur dari jauh. Kakiku menggeletar tapi tetap melangkah. Di luar, ada seorang pelacur gempal. Dia berdiri di bawah lampu samar-samar dengan wajah penuh bosan. Tidak kelihatan dua wanita yang pernah aku temui sewaktu pertama kali ke situ bersama Leon.
Aku beritahu perempuan di bawah lampu itu aku mahu berjumpa Narong. Aku diberitahu yang Narong tidak ada. Aku hampa.
"Saya tunggu," kataku, tak mahu berpatah balik.
"Tunggulah," jawabnya sambil lewa lalu membuang muka.
Aku beranikan diri menunggu Narong di ruang tamu tempat persundalan itu. Aku terfikir jika polis datang membuat serbuan ketika itu, pasti aku akan diangkut bersama pelacur-pelacur dan pelanggan-pelanggan. Dalam kepala, aku nampak macam-macam. Segera aku padam segala kebimbangan. Aku tak mahu memikirkan yang bukan-bukan.
Aku duduk tercatuk di ruang yang malap. Entah berapa lama menunggu, aku tak tahu. Sampai aku tersengguk-sengguk. Tersedar. Tertidur. Tersedar. Belakang kepalaku mula berdenyut-denyut sakit. Sarafku tegang. Aku tak tahu pukul berapa waktu itu.
Pelacur dan pelanggan aku lihat silih berganti, masuk dan keluar. Beberapa orang perempuan menghampiriku dan bertanya jika aku mahu melanggan. Aku menggeleng. Mereka pergi.
Ada seorang gadis yang aku rasa paling cantik di situ. Yang lain-lain aku tengok semuanya berkerak. Yang datang melanggan pula, cumalah jantan-jantan berlumut. Ada juga pendatang asing yang datang.
Sejujurnya, jika gadis manis itu bukan pelacur, dia berada dalam kategori gadis yang ingin kudampingi. Kulitnya mulus. Potongan badannya bagus. Dia menghampiriku. Aku jadi tak menentu. Segan ada, seronok pun ada. Dia bertanya apakah aku mahu melanggannya. Aku tolak baik-baik. Dia senyum dan pergi. Aku tengok lenggok tubuhnya dari belakang lalu berasa berdosa. Tapi aku tengok juga.
Perasaanku lantas membumbung cemas ketika aku terlihat kelibat seseorang. Narong pulang. Detik yang kutunggu-tunggu sudah sampai. Narong memakai jaket kulit hitam dan berseluar jean kumal. Aku dapat menghidu bau colognenya dari jauh. Dia tidak memandang ke arahku yang duduk di satu penjuru. Dia terus ke biliknya.
Aku bingkas bangun dan memanggilnya.
"Encik Narong!"
Entah kenapa aku berencik-encik pula dengan dengan bangkai itu. Langkah kaki Narong terhenti. Dia berpaling. Wajahnya ditimpa cahaya lampu dari arah sisi.
Aku menelan liur. Tekakku terasa berpasir.
"Saya nak jumpa Encik Narong."
Narong memerhatiku. Matanya seperti tasik beku.
"Boleh saya jumpa Encik Narong?" ulangku bila tiada jawapan.
"Ada hal apa kau nak jumpa?" tanyanya datar.
"Ada hal sikit."
Narong memerhati dari tempat dia berdiri. Aku menanti rasa. Maut mungkin berada di hujung jarinya.
"Masuk," ucapnya pendek. Aku lega.
Aku cepat-cepat mengekori Narong ke bilik berdinding merah jahang yang pernah aku dan Leon masuk dahulu. Suis lampu dihidupkan. Pintu dibiar terbuka. Aku masuk. Narong duduk di atas kerusi, menghadapku. Mukanya kelat. Aku berdiri seperti pesalah di depannya. Bilik itu masih berbau sama.
"Cakap," arah Narong, tanpa memandang kepadaku.
"Saya nak kerja dengan Encik Narong." Aku berterus terang sahaja. Tak perlu buang masa bermukadimah.
Narong memandangku sambil bermain-main dengan pemetik api. Menyalakan, tutup, nyala, tutup.
"Kenapa kau nak kerja dengan aku?" Narong senyum sekilas.
"Saya... Saya perlukan kerja... Saya perlukan duit." Aku tergagu. Hanya itu sahaja jawapan yang melintas dalam kepalaku.
"Kau perlu duit berapa juta?" Narong menyindir. Tergelak pendek.
Aku terdiam sebentar. Menarik nafas dan berdiri dengan tegap macam askar.
"Kau nak kerja dengan aku atas sebab apa?" tanya Narong mahu membacaku.
"Sebab... Sebab saya suka," jawabku.
Narong tersenyum lagi. Jelas, dia tahu aku berdusta.
"Apa yang kau suka?"
"Saya suka buat benda yang berbeza."
"Apa yang berbeza?"
"Apa yang Encik Narong buat ni berbeza."
"Apa yang aku buat?"
Aku terperangkap. Blank. Tak tahu nak jawab apa.
"Suruhlah saya buat apa saja. Saya ikut," kataku kemudian untuk memperkuatkan kesungguhanku.
Aku percaya Narong dapat menghidu niatku. Dia bukannya bodoh. Dia manusia licik yang mampu membaca setiap riak dan gerak musuh. Narong diam beberapa detik. Menunggu jawapan daripadanya umpama berada di hadapan skuad penembak. Perutku tiba-tiba jadi senak. Aku cuba menghapus rasa takut dengan membayangkan aku sedang minum air kelapa paling enak.
"Pergi balik," katanya tiba-tiba.
"Saya nak kerja dengan Encik Narong," tegasku berdegil.
"Pergi balik. Jangan datang sini lagi!" Dia keraskan suara. Aku lihat air muka Narong sudah berubah. Aku tahu, aku sedang berada dalam zon bahaya. Meskipun begitu, aku masih enggan bergerak.
"Pintu ada di belakang kau, apa lagi?" katanya seraya mencapai kotak rokok.
Aku mengeluh dan mengalah. Dengan langkah longlai, aku keluar. Harapanku berderai.
Rancanganku gagal sama sekali. Aku seperti mendengar suara Giri sedang ketawa di balik kegelapan malam. Bayangannya menari-nari meraikan kemenangan. Semangatku terasa patah seketika. Aku takkan dapat mencari Giri. Dia akan terus mengganas dan membuas. Bangsat itu akan terlepas begitu sahaja daripada segala kejahatannya. Tiada siapa yang dapat menahannya.
Ketika aku keluar dari bilik Narong, perempuan cantik itu berada di tepi pintu. Matanya menyapaku lembut. Senyumannya merekah indah. Aku terpana. Dadaku berdebar. Cahaya pudar daripada lampu luar membuatkan wajahnya tambah menggetarkan macam lukisan.
Itulah pertama kali naluri kebinatanganku tercuit. Aku ingin pergi kepadanya. Dia menanti di sana. Bibirnya tampak merah basah dalam cahaya remang-remang. Ketika mahu melangkah, aku nampak diriku bertukar menjadi seekor kelawar besar. Aku tersedar lalu cepat-cepat keluar.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co