Truyen3h.Co

Ari

Bab 7

karyaseni2u

Tengah hari itu selepas pulang dari menjual barang-barang, aku tertidur letih. Ayahku belum pulang. Selalunya dia pulang lewat.

Seingat aku, dalam masa tiga bulan ini, hanya sekali saja ayah pulang awal. Itupun kerana dia terjumpa dengan seorang lelaki memakai baju hitam di jalan. Dia berlari pulang dan berteriak-teriak ada malaikat maut sedang mencarinya. Tubuhnya menggeletar ketakutan. Dia membungkus diri di dalam selimut sampai berpeluh-peluh.

"Kalau malaikat maut tu datang, kau kata dia salah alamat, salah orang. Aku tak mahu mati. Cakap dengan malaikat maut tu aku belum mandi!" katanya dengan mata penuh ketakutan. Esok paginya, dia hilang seperti biasa. Kami berdua seolah-olah tinggal di dalam istana yang ada beratus kamar kerana jarang berjumpa. Sedangkan rumah kami hanya sekangkang kera.

Aku dan ayah memang sengaja mengelak daripada berjumpa. Aku sendiri tak tahu kenapa aku berasa tak selesa bersua muka dengannya. Mungkin dia begitu juga. Kami tak pernah makan semeja. Aku sendiri tak tahu di mana dia makan. Setiap malam, bila dia pulang, aku sudah tidur atau pura-pura tidur. Jika aku berada di ruang tamu, mendengar saja tapak kakinya di luar, aku akan terus masuk ke dalam bilik.

Begitulah rutin hidup kami. Dia tidur di atas kerusi malas setiap hari. Pagi-pagi dia sudah pergi. Wang dua ringgit setiap hari untuk belanjaku ke sekolah akan diletakkan di atas meja makan formika. Kadang-kadang wang itu aku simpan, aku tak makan. Aku banyak makan di rumah Leon.

Aku panggil ibu Leon sebagai Mak Cik Sutiah. Mak Cik Sutiah memang rajin memasak. Masakannya sedap-sedap. Aku tak pernah merasa masakan seorang ibu. Jadi, masakan Mak Cik Sutiah adalah yang terbaik bagiku.

Selalunya Mak Cik Sutiah akan pastikan aku dan Leon makan sebelum dia pergi bekerja. Kadang-kadang Pitak akan tumpang sekaki makan di rumah Leon. Tajul tidak menyertai kami kerana dia selalu makan di rumahnya. Ibunya melarang dia makan di rumah Leon kerana status pekerjaan Mak Cik Sutiah.

Mak Cik Sutiah, selalu nampak muda. Barangkali umurnya lewat tiga puluhan. Dia tidaklah cantik rupawan tetapi manis dan pandai bergaya. Senyumannya selalu ramah. Sikapnya ikhlas. Aku sayang kepadanya kerana dialah satu-satunya orang yang selalu risau jika aku tidak makan. Kalau ke rumahnya, soalan pertama yang ditanya, adakah aku sudah makan? Jika belum, Mak Cik Sutiah akan segera masakkan sesuatu untuk menjamuku.

Jika kau bertanya apakah aku membencinya kerana dia pelacur, jawabku ya. Aku membencinya atas sebab itu. Tapi aku amat menyayanginya sebagai seorang ibu. Dia tetap seorang ibu biarpun seorang pelacur.

Selepas SPM habis, ayah tidak lagi meletakkan wang sekolah di atas meja makan. Tahu pula dia aku sudah habis SPM. Untuk hidup, pandai-pandailah aku cari sendiri. Aku cinta mati pada Ria waktu itu. Tak kira apa. Hanya Ria sahaja tujuan hidupku.

Tentang ayah, aku tidak tahu sama ada dia bekerja atau tidak. Aku juga tidak pasti sama ada dia sudah benar-benar sembuh atau masih gila. Bagiku, sama saja gila atau tidak.

Aku terkejut bangun bila dinding bilikku diketuk dengan kuat. Aku terkapa-kapa. Di luar, aku dengar suara Leon. Leon, Pitak dan Tajul selalu mengetuk pintu dinding bilik jika ketukan di pintu depan tidak berjawab. Mereka tahu aku selalu tidur mati.

Aku bangun membuka tingkap. Dalam keadaan separuh mamai, aku nampak Leon di luar.

"Ari, aku nak cakap dengan kau." Leon memberitahu. Mukanya muram. Rambutnya serabut. Melihat dia dalam keadaan itu, terus aku hilang rasa kantuk.

"Ada apa?" Dengan terpisat-pisat aku bertanya.

"Buka pintu," pinta Leon.

Aku keluar dari bilik. Perasaan kurang enak datang menyelinap. Tentu ada sesuatu yang berlaku. Jarang sekali aku lihat wajah Leon sekeruh itu. Pintu kubuka, engselnya mengerit. Leon masuk. Langkahnya berat. Pintu aku biarkan ternganga. Biar udara dapat masuk dan menghilangkan bau pengap di ruang itu.

Di luar cuaca mendung seperti mahu hujan. Aku nampak langit muram dari celah jendela. Lengkingan gagak terdengar dari kejauhan.

"Mak aku..." Kata-kata Leon terhenti. Dia tak dapat bercakap. Leon berjuang untuk tidak menangis di hadapanku.

"Kenapa dengan mak kau?" tanyaku cemas.

Leon cuba menjelaskan. Masih tak dapat. Dia berdehem menghilangkan rasa sendat di kerongkong. Mengambil masa sedetik dua untuk bercakap.

"Mak aku tak pulang," beritahu Leon dengan suara tertahan.

Aku terdiam. Bingung sebentar. Kawasan di sekitar mendadak sunyi seperti kuburan.

"Kau dah jumpa Channarong? Dia nak jumpa kau."

Aku teringatkan pesan Narong hari itu.

Leon tunduk sedetik lalu angkat muka memandangku.

"Aku takut," jawabnya perlahan. Bibirnya yang kering sedikit terketar.

Aku tak salahkan Leon. Aku sendiri kalau diminta berjumpa dengan Channarong akan berfikir beratus kali.

Aku menghela nafas. Hening. Keheningan yang menyeksa.

Aku pandang Leon. Matanya memendam duka. Wajahnya menggariskan kebimbangan. Aku turut berasa bimbang. Hatiku hiba. Kami tak boleh duduk dan bermenung tanpa berbuat apa-apa. Sesuatu mesti dilakukan.

"Kita pergi jumpa Channarong," getusku.

"Untuk apa?" sambar Leon.

"Dia nak jumpa kau, kita dengar dulu dia nak cakap apa."

Leon tak memberi reaksi. Dia kembali terkulai memandang lantai. Cuba menahan air matanya daripada terburai.

"Dah berapa hari mak kau tak balik?"

Leon tak segera menjawab.

"Sepuluh hari," sahutnya dalam sebak.

"Kenapa kau diamkan?"

"Aku tak tahu nak buat apa..."

"Dia ada bagi tahu kau apa-apa?"

Leon menelan liur. Aku nampak halkumnya bergerak. Dia menggeleng lesu.

Aku pegang bahu Leon. Cuba memberi kekuatan padanya. Bahunya kucengkam.

"Kita pergi jumpa Narong. Lepas tu kita buat laporan polis."

"Kau gila?" Leon tersentak.

"Kenapa?"

"Kau nak cari pasal dengan Narong? Kau nak libatkan polis? Nak libatkan kita?"

"Habis, kita nak buat apa? Mak kau memang terlibat dengan Narong. Kita kena berurusan dengan dia."

Leon diam. Buntu. Sama denganku.

"Mesti ada benda yang mak aku tahu tentang Narong. Sebab itu dia lari." Leon berandaian, memandangku sekilas. Kemudian raut mukanya jadi risau semula.

Aku diam berfikir. Mata dingin Narong tiba-tiba muncul dalam layar fikiran. Aku nampak lawi ayam tajam berkilatan. Tengkukku meremang.

Dua hari selepas itu aku mencari Leon. Dia tidak ada di rumah. Aku bimbang dan gelisah. Aku tak beritahu Tajul dan Pitak tentang Leon. Aku mahu mencari Leon sendiri. Aku harap dia tidak pergi berjumpa Narong sendirian. Aku tak mahu dia mati dibunuh di sarang pelacuran.

Malam itu ketika pulang dari dari rumah Pitak, aku nampak satu susuk bergerak-gerak di dalam gelap depan pintu rumahku. Bayangan Narong melintas cepat dalam benakku.

Aku berdebar. Bersedia mahu cabut lari.

"Ari!"

Satu suara memanggil. Aku tak jadi lari. Aku kenal suara itu.

Leon menghampiri. Aku lega. Cahaya samar dari rumah berdekatan membantuku melihat wajah Leon yang mendekat. Dia memakai jaket sukan hitam. Kepalanya diselubung hud jaket sukan.

"Aku ingat Narong tadi..." sahutku lega.

Leon diam. Kedua-dua tangannya diselukkan di dalam saku seluar.

"Kau pergi mana? Aku cari kau," tanyaku.

Leon diam seketika. Macam biasa, dia selalu lambat menjawab pertanyaan.

"Aku pergi cari mak aku," jawabnya lirih.

"Kau pergi cari di mana?"

"Di tempat-tempat dia pernah kerja. Semua kawan-kawan dia tak tahu," jelas Leon.

"Aku nak ajak kau pergi jumpa Narong," sambungnya.

Aku rasa tercekik. Hatiku kecut. Di langit, ada bulan sabit. Ada dua, tiga bintang mengerdip.

Aku menatap Leon dalam samar. Aku tak tahu mahu berkata apa. Aku kasihankan dia. Aku juga sayangkan ibunya. Mahu tak mahu aku akan ikut juga Leon malam itu. Apa nak jadi, jadilah. Aku tiada pilihan. Aku akan lakukan apa saja untuk Leon. Dia perlukan aku.

"Baiklah. Kita pergi jumpa Narong," kataku antara berani dan cuak.

"Kau berani?" tanya Leon macam tak percaya, padahal dia yang mengajak aku.

"Berani tak berani kita kena pergi," putusku.

Di luar rumah pelacuran, ada dua orang perempuan sedang menunggu pelanggan. Mereka berdiri di bawah cahaya lampu merah malap sambil bercakap-cakap perlahan.

Melihat kami datang, mereka segera mendekat.

"Saya nak jumpa Narong." Leon beritahu tujuan kami cepat-cepat.

Salah seorang perempuan itu berambut keriting kembang. Berbibir merah ceri. Gincunya menyala dalam gelap.

"Nak buat apa jumpa Narong?" Perempuan bergincu merah ceri menyelidik macam pegawai risik. Dia mengamati kami. Aku nampak matanya bersinar dalam gelap macam siluman.

"Dia yang nak jumpa saya," tukas Leon.

"Kau nak kerja dengan dia ke, dik?" Perempuan seorang lagi bertanya. Nadanya lebih lembut daripada perempuan tadi.

"Jangan datang sini, dik. Tempat ni sarang puaka. Sekali dah masuk, susah nak keluar. Kami pun tunggu masa saja," tambah perempuan itu lagi. Aku perhati raut wajahnya yang nampak cengkung. Dalam gelap dia nampak agak seksi. Hati jahatku mula menilainya.

"Saya anak Sutiah." Leon berterus terang. Aku cuma diam memerhati, macam pengawal peribadi.

Mendengar sahaja nama Sutiah, kedua-dua perempuan itu seperti terkaku sedetik. Aku tak nampak jelas wajah mereka, tapi aku tahu ada sesuatu yang tak kena.

Perempuan bermuka cengkung berpaling ke kanan, ke kiri, ke kanan sekali lagi. Seolah-olah mahu memastikan keadaan selamat. Dia mengheret tangan Leon ke tempat lebih gelap. Kawannya yang garang tadi terkedek-kedek ikut sama. Aku pun secara automatik ikut sekali.

"Kalau kau jumpa mak kau, jangan bagi dia balik sini lagi, faham?" Perempuan itu memberi amaran dengan suara diperlahankan. Sedangkan tiada sesiapa di situ, melainkan kami. Mungkin dia takut ada yang mendengar. Dinding pun boleh mendengar, kata orang.

"Suruh dia lari jauh-jauh!" Perempuan berlipstik merah ceri menyampuk. Bau minyak wangi murahnya mencucuk hidungku. Belum sempat Leon berkata apa-apa, tiba-tiba kami nampak Narong keluar di muka pintu. Dia berdiri di situ. Wajahnya kabur dalam biasan cahaya lampu.

Kami berempat terdiam, mematung di dalam gelap. Nafasku keluar separuh. Ketakutan membumbung. Aku hanya nampak kerambit dan pisau. Aku takut dia tahu kami sedang berkomplot di luar.

Kami memerhatinya dari jauh, tak bergerak. Dia berdiri beberapa detik depan pintu sambil meninjau-ninjau keluar, seperti sedang menantikan seseorang. Kemudian dia pergi, menghilang ke dalam.

Serentak kami bernafas lega. Macam terlepas daripada bala.

"Pergilah jumpa kalau dia nak jumpa. Kalau kau tak pergi jumpa, nanti dia cari kau. Ingat pesan aku tadi. Suruh mak kau lari!" Perempuan berlipstik merah ceri berpesan lagi.

Mereka lalu meninggalkan kami.

Aku tak sedap hati. Kenapa perempuan-perempuan itu mahu ibu Leon lari? Hatiku mendesak ingin tahu. Macam-macam pertanyaan datang menyerbu.

Aku dan Leon masih terkaku. Leon menoleh padaku dalam cahaya remang, meminta jawapan. Aku ragu-ragu. Leon masih belum bergerak. Aku harus membuat keputusan. Sambil melawan ketakutanku sendiri, aku melangkah masuk dengan kaki kiri. Leon mengekori. Itulah pertama kali, Leon dan aku memijak lantai rumah pelacuran.

Kami melintasi bilik-bilik kecil dengan pintu yang terkatup. Satu set sofa hitam dan sebuah meja kecil diletakkan tepi ruang. Telingaku dapat menangkap suara perempuan meringkik dari salah sebuah bilik. Bulu romaku merinding.

Kami termangu tak tahu mahu ke mana. Lagu rambong Siam dipasang perlahan di suatu sudut. Tempat itu diterangi dengan cahaya lampu malap. Cat dinding dengan warna biru kusam membuatkan ruang itu tambah seram. Seperti tempat-tempat pembunuh bersiri yang pernah aku tonton di dalam filem.

"Sini!"

Satu suara kedengaran dari arah depan. Aku dan Leon terperanjat. Kami nampak tubuh Narong berdiri membelakangi pintu yang sedikit renggang. Sejalur cahaya dari dalam bilik menyelit keluar.

Perasaanku jadi berbelit-belit. Perutku memulas macam nak tercirit. Aku terfikir untuk berlari keluar. Tapi aku dan Leon sudah terlanjur berada di situ. Kami tiada pilihan. Derit pintu yang ditolak Narong mematikan suara hatiku.

Narong seakan-akan tahu kami mahu datang berjumpanya. Aku dan Leon mengikuti arahan suaranya. Leon masih di belakang. Kami melangkah senyap tanpa bunyi. Darah menerjah keras pada setiap pembuluh kami. Aku berkeringat dingin.

Bilik itu mungkin pejabat kecil Channarong. Dindingnya berwarna merah jahang. Hanya ada satu tingkap kecil tertutup rapat. Ada sebuah meja dan kerusi empuk bersandaran tinggi. Sebuah almari pejabat disandarkan rapat ke dinding. Lampu mentol bertudung plastik tergantung rendah menerangi permukaan meja yang berkilau tertikam cahaya.

Di atas meja, ada sekotak rokok, pemegang pen dan patung singa kecil yang dibuat daripada batu jed. Sebiji muk digunakan untuk menindan beberapa keping kertas. Meja itu bersih berkilat.

Bunyi deru kipas angin lama jenama KDK yang diletakkan di tepi meja mengisi ruang yang hening. Kamar itu berbau aneh. Mungkin bau gaharu atau cendana, aku tidak tahu.

Dadaku berdebar. Tubuhku dedar.

Narong duduk di atas kerusi macam tuan besar. Kami berdiri menghadapnya. Ada dua kerusi depan meja. Narong tidak menyuruh kami duduk. Dia meneliti kami dengan sorot mata yang kosong. Pandangannya singgah ke wajahku. Matanya dipicingkan sedikit, cuba mengingati sesuatu. Aku menggeletar dalam diam. Tiba-tiba saja aku rasa seluarku longgar seperti mahu terlondeh.

"Kau budak yang aku cakap hari tu, kan?" tanyanya tersenyum.

"Ya," jawabku cepat. Aku tahu, Narong tentu dapat menghidu ketakutanku seperti harimau pemburu.

"Aku nak cakap dengan dia ni..." Narong menunjuk pada Leon.

"Kau boleh keluar..." ujarnya menghalau aku keluar.

"Boleh tak dia temankan saya?" Leon mencelah tiba-tiba. Dia tentu takut untuk menghadapi Narong sendirian tanpaku.

"Kenapa kau nak dia temankan kau? Bagi dua sebab..." Narong mengujar. Darahku kering.

"Dia... Dia..." Leon terbata-bata. Dia bertenang sebentar, mencari jawapan.

"Sebab... Dia kawan baik saya. Dia anak angkat mak saya," sambung Leon yang terdengar naif.

"Aku tak berurusan dengan dia. Aku berurusan dengan kau. Aku tak peduli dia kawan baik siapa, anak angkat siapa," balas Narong dengan mata dingin. Seperti mata itu telah menyaksikan banyak pembunuhan sebelum ini.

Giliran aku pula bertindak berani walaupun sebenarnya aku takut sampai mahu terkincit.

"Saya sanggup cari Mak Cik Sutiah. Saya akan cari dia sampai jumpa."

Mata Narong beralih padaku. Tangannya aku perhatikan. Manalah tahu kalau tiba-tiba dia menggagau pisau atau besi dari bawah meja. Aku berwaspada. Berjaga-jaga.

"Di mana kau nak cari Sutiah? " tanyanya sinis. Sedikit tergelak. Mempermainkan kata-kataku tadi.

Aku gugup. Mulutku payau. Aku tak berani menjawab.

Dalam takut, aku mengaguminya. Dialah jenis orang jahat yang aku suka. Dia cool dan penuh gaya. Dia berbahaya tapi berwibawa. Malam itu, aku ingin menjadinya kerana dia telah berjaya membuatkan aku takut, setakut-takutnya. Dia tak perlu membentak-bentak atau bersikap bengis. Dia hanya senyum-senyum sahaja. Senyumnya itu sudah cukup untuk membuatkan aku takut setengah mampus.

Sebenarnya, aku tak tahu kenapa aku harus gentar pada lelaki yang murah senyum itu. Barangkali ketakutanku waktu itu seperti ketakutan pada hantu yang tidak ada tapi kurasakan ada.

"Saya datang sebab Encik Narong yang suruh. Saya cuma nak tahu di mana mak saya sekarang..."

Aku dengar Leon menutup soalan tadi dengan berani. Aku lega. Sememangnya aku tiada jawapan. Bagaimana aku mahu mencari Mak Cik Sutiah? Memang sengaja aku mahu cari nahas.

Narong mengetuk-ngetuk pemukaan meja dengan jari-jarinya dengan rentak gembira.

"Aku panggil kau sebab aku yang nak tanya pasal mak kau. Alih-alih kau yang tanya aku." Narong gelak-gelak. Lantas mengusap-usap dagunya yang terbelah sedikit.

Fikiranku meliar. Aku bayangkan ada pistol di pinggangnya. Peluru akan melayang dan menembusi dada kami bila-bila masa. Aku mengerling ke arah pintu, apa-apa berlaku aku akan tolak Leon keluar dahulu. Leon perlu mencari ibunya. Hidupnya lebih berharga.

"Saya tak tahu mak saya pergi ke mana. Dah sepuluh hari dia tak balik. Encik sebagai majikannya tentu lebih tahu tentang dia dari saya," ungkap Leon hati-hati seolah-olah mahu menjaga ayat-ayatnya agar tidak membuatkan Narong marah.

"Kalau aku tahu dia ada di mana, tentulah aku tak tanya," bidas Narong.

"Ada dia ceritakan apa-apa kat kau?" soalnya sambil melentur-lenturkan sandaran. Bunyi spring berkeriut perlahan.

"Tak ada." Leon menjawab cepat.

Narong terdiam.

Kami menanti rasa. Narong tersenyum semula. Tangannya pantas meraih kotak rokok di atas meja. Sebatang rokok diambil. Kotak dilemparkan ke tengah meja. Hujung rokok diketuk-ketuk lembut di tebing meja. Narong cucuh rokok. Hisap dalam-dalam.

"Kalau kau tahu mak kau ada di mana, suruh dia balik jumpa aku. Ada hal penting." Narong berucap tenang. Asap rokok mengaburi wajahnya. Dia tersenyum. Ketika itu barulah aku nampak senyumannya begitu mengerikan.

"Macam mana aku terima dia elok-elok, dia kena balik jumpa aku elok-elok," tambahnya.

"Itu saja." Narong menamatkan bicara.

Kami buru-buru keluar. Di luar rumah pelacuran Narong, kami rasa seperti terlepas dari satu seksaan yang panjang. Aku sampai rasa macam mahu termuntah kerana perutku bergelombang.

Pertemuan dengan Narong malam itu membentuk satu rasa aneh dalam diriku. Satu rasa yang membuat aku takut tapi suka. Aku ingin tahu, kuasa apakah yang ada pada Narong? Aku ingin tahu apakah dia benar-benar manusia.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co