Truyen3h.Co

Babby Batrisya

Bab 1

karyaseni2u

Kehadiran gadis bergaun merah cili itu menarik perhatian seluruh tetamu. Jep menyiku Pian. Bibirnya memuncung mengarah ke arah Trisya yang berstiletto tujuh inci.

Pap! Kedengaran para gadis menampar bahu teman lelaki mereka apabila mata pasangan asyik menghala ke arah Trisya yang seksi. Bibirnya yang dioles dengan warna merah jambu tampak berair menambahkan lagi seksi pemakainya.

"Oh, my God! Pian! Pian! Awek tu! Pergh, memang gila hot!" Jep menumbuk-numbuk telapak tangan sendiri.

Trisya melintasi Pian. Sombong gadis itu seperti mereka tidak mengenali. Terbuntang matanya melihat belakang tubuh langsing itu yang hanya dibaluti kain net. Pian bingkas bangun. Kot yang dipakainya ditanggalkan lalu dia mengejar langkah Trisya.

"Pian! Pian! Kau nak pergi mana?" Bingung Jep.

"Bengong, kau pakai apa macam ni?" bisik Pian lalu meletakkan kot di atas bahu Trisya.

Badan si gadis dipusingkan. "Pegang kat tengah ni!"

Dia pun tidak tahu kenapa sepupunya yang seorang itu tampil 'seksa' sebegitu. Trisya mendongak memandang tepat ke wajah Pian. Anak mata lelaki itu ditentang. Dia menggerakkan kedua-dua bahunya menyebabkan kot terlurut ke bawah. Tubuhnya kembali terdedah. Melenggok dia menghampiri empunya majlis.

"Happy birthday, Sam. I doakan rezeki you murah," ucap Trisya seraya memusingkan sedikit kepalanya ke belakang.

Haq yang mengekori sedari tadi menghulurkan hadiah kepada Sam setelah menerima isyarat daripada majikannya.

"Terima kasih, Trisya. I tak sangka you datang ke majlis I." Sam membalas dalam tawa. Matanya tidak lepas daripada meliar ke seluruh tubuh Trisya.

"Tentulah I datang. You sendiri yang jemput, kan?" Trisya meleretkan ayatnya. Lagipun Sam itu anak kenalan Almarhumah neneknya. Masakan dia menolak undangan lelaki itu.

Pian berasap. Panas hatinya melihat dan mendengar cara Trisya melayan lelaki itu. Dia tidak faham kenapa Datin Paduka Dahlia bersungguh mahu dia memperisterikan gadis seperti Trisya.

Rancak dia melihat Trisya berborak sebelum Trisya kelihatan seperti mahu beredar. Pantas kakinya melangkah mendekati Trisya. Lengan gadis itu disambar dan diheret.

Haq yang ingin bertindak, membatalkan niat apabila menerima isyarat daripada Trisya supaya membiarkan sahaja Pian membawanya keluar dari keriuhan alunan muzik di majlis itu.

Trisya merentap tangannya dari pegangan Pian sebaik sahaja mereka melepasi pintu pagar. Gaun berkolar nipis yang melekat pada bahagian hadapan ditarik ke atas lalu dizip. Dia meletakkan kedua-dua belah tangannya di belakang badan. Zip tersorok yang terletak di bahagian pinggang ditolak ke atas perlahan-lahan sebelum kolar yang melekat elok turut sama dizip.

Trisya mengenyit mata apabila tiada lagi kulitnya yang terdedah melainkan lengan. Pian terbeliak. Kalau baju tersebut boleh dipakai dengan cara sopan, kenapa Trisya memilih untuk tampil seksi?

Bibir Pian bergetar. Dia mahu bersuara. Menggigil jari telunjuknya menghala tepat ke muka Trisya tapi kerana terlalu marah, dia menjatuhkan tangan lalu meraup muka.

Haq berjalan perlahan-lahan seraya matanya tidak lepas daripada mengawasi pergerakan Trisya.

"Kenapa kau jadi macam ni? Mana Trisya yang sopan santun yang aku kenal selama ni? Mana Trisya yang penuh rasa malu?"

Trisya mara ke hadapan. Jari telunjuknya menunjal dada Pian. "Trisya yang kau kenal tu, dah tak wujud lagi!"

Trisya ketawa yang dibuat-buat. Membelakangi Pian, dia mengerdip-ngerdipkan bulu mata. Kolam matanya mula bertakung. Kemudian dia mengorak langkah ke parkir kereta.

Haq berlari-lari anak lalu membukakan pintu di bahagian belakang untuk Trisya. Merasakan sepasang mata Pian memandangnya penuh rasa keliru, Trisya berpaling ke arah jejaka itu. Sempat dia menghadiahkan senyuman sebelum lolos di dalam perut kenderaan.

Haq menutup pintu lalu bergerak ke tempat duduk pemandu. Enjin MPV dihidupkan. Dari cermin pandang belakang, dia dapat melihat wajah Trisya sugul. Riak yang hanya selalu dia lihat sewaktu bersendirian dengan gadis itu.

"Pandang depan. Saya nak tukar baju."

Haq akur. Sedikit pun tidak tergerak hatinya mahu mencuri pandang. Dia cukup menghormati majikannya itu. Sejujurnya, dia agak terperanjat melihat penampilan Trisya sebentar tadi. Namun dia tidak menegur sepatah kata pun. Dia tahu, dia tidak berhak untuk menyoal.

"Kita nak ke mana, Cik Trisya?"

"HQ."

Haq hanya mengangguk lalu memandu terus ke ibu pejabatnya yang terletak di tengah-tengah pusat bandar. Sebelum memulakan perjalanan, sempat dia melirik ke arah Pian yang berada tidak jauh dari situ. Lelaki itu sedang menggaru-garu kepala. Agaknya, tidak faham dengan perangai perempuan.

"Haq!"

"Ya, Cik Trisya."

"Singgah kat rumah jap. Telefon saya tertinggal."

"Baik, Cik Trisya."

Mendekati kawasan perumahannya, Trisya berpindah ke tempat duduk hadapan di sebelah pemandu. Dia menanggalkan stiletto dan menggantikannya dengan sandal lusuh.

Trisya melangkah turun sebaik sahaja kenderaan yang dipandu Haq itu berhenti. Hujung kedua-dua jari telunjuknya menolak hujung bibir agar wajahnya tampak manis dan tersenyum. Kelihatan Aisyah baru sahaja hendak bergerak ke tempat kerja.

"Bye-bye, mak! Esyah pergi hospital dulu. Maklumlah ada urusan kecemasan!" Sengaja perkataan hospital disebut kuat-kuat. Dia mahu Trisya tahu betapa bezanya kedudukan mereka. Pada tanggapannya, manusia yang pintar sepertinya sudah tentu mendapat posisi kerja yang lebih hebat berbanding Trisya.

"Hati-hati bawak kereta tu," pesan Mahani seraya menjeling kurang senang ke arah Trisya.

"Yalah, mak." Aisyah membuka pintu Alzanya dengan penuh gaya.

Trisya buat tidak endah. Dia menanggalkan sandal lalu masuk ke dalam rumah. Mahani mengambil penyapu lalu menyapu laman. Panjang lehernya mengintai ke dalam kenderaan besar bercermin gelap di hadapan rumahnya itu. Manalah tahu dia boleh kenal dengan 'majikan' anak gadisnya itu.

"Bos kau hantar ke?" soal Mahani apabila Trisya sudah kembali di muka pintu seraya menyarung sandal.

"Trisya ada mesyuarat, mak. Tapi tertinggal telefon. Bas susah masa ni. Teksi mahal. Tu yang bos tumpangkan Trisya. Kebetulan sama laluan dengan tempat mesyuarat kami. Malam ni Trisya balik lewat tau, mak. Sebab ada makan malam dengan klien," jelas Trisya panjang lebar.

Mahani mencebik. "Ada aku kesah kau nak mesyuarat ke apa pun? Kompeni cinonet pun kecoh nak sebut mesyuarat la... Makan malam la. Dahlah! Pergi cepat!"

Senyum meleret Trisya tadi berubah tawar. Dia menghulur tangan untuk bersalam. Mahu tidak mahu sahaja ibu tua itu menyambut huluran salam.

"Jangan rapat sangat dengan bos kau tu. Jangan sampai terhutang budi tergadai bodi." Mahani mengeluh.

"Taklah, mak. Encik Haq tu tak suka perempuan, mak. Jangan Encik Haq tu golongan LGBT sudahlah." Trisya tertawa kecil. Dia tidak berniat menuduh Haq itu gay. Tetapi perwatakan Haq yang tidak suka bercakap dengan perempuan membuatkan dia terfikir mungkin lelaki itu tidak berminat dengan manusia yang dipanggil perempuan.

"Hah? LGBT?"

Mahani tidak faham. Untuk bertanya apa itu LGBT, tidak mungkin. Selalu dia herdik Trisya itu bodoh, masakan dia hendak menunjukkan bahawa gadis muda itu lebih pandai daripadanya.

"Trisya pergi dulu, mak."

Mahani mengangguk malas. Dia tidak kesah pun di mana Trisya mahu bekerja. Asalkan tidak membuta di rumah dan tidak mendatangkan hasil kepadanya, sudahlah. Lagipun apa yang dia boleh harapkan daripada Trisya? Gadis itu hanya berpendidikan taraf diploma. Lainlah Aisyah yang belajar hingga ijazah.

"Abang macam dengar suara Trisya tadi. Dia keluar lagi ke?" soal Aluwi. Dia baru terjaga daripada tidur. Seharian tidak cukup rehat membuatkan kudrat tuanya penat.

"Tertinggal barang katanya." Mahani menjuihkan bibir.

"Suruh ajelah budak tu berhenti. Kerja tak ikut masa. Ikut saja semua kehendak bos dia tu. Abang risau kalau bos dia tu ada niat tak baik terhadap Trisya!" Aluwi menggilas kain pelekat yang dipakai.

"Ah, abang tu semuanya risau! Kalau dengan Trisya tu semua nak bimbang. Biarlah budak tu keluar bekerja. Duit ni bukannya tunggu kita. Kerja sekarang ni payah. Nak harapkan siapa lagi kalau budak-budak tu tak kerja? Abang? Hmmm... Berapa sen duit jadi jaga?" Mahani tidak faham kenapa suami keduanya itu juga lelaki yang miskin.

Keluhan panjang dilepaskan. Dia dilamar lelaki yang pada tanggapannya seorang duda. Melihat lagak lelaki itu yang sentiasa tampil bergaya, disangkanya lelaki itu kaya dan berduit. Terus dia menerima lamaran dan bersetuju mengahwini lelaki itu. Malangnya, suami baru itu hanyalah 'biar papa asal bergaya'.

Aluwi buat bodoh. Dia telan sahaja hinaan Mahani itu. Sangkanya, dia telah memilih wanita yang betul untuk dijadikan isteri. Prinsipnya untuk mengahwini wanita susah yang sanggup berkorban segalanya demi kepentingan anak adalah tepat. Rupa-rupanya tembelang Mahani yang didakwa penuh berbudi bahasa itu hanya lakonan semata-mata. Dia yang tidak sengaja terserempak dengan Mahani ketika Aisyah sedang membelek-belek kereta di Al Motokar telah menyebabkan dia jadi angau.

Betapa dia mengagumi kesabaran Mahani dalam melayani Aisyah. Betapa dia tersentuh melihat tebalnya kasih sayang seorang ibu tunggal terhadap anak gadisnya.

Aluwi terkilan. Dia sedar bahawa dia tersilap langkah. Tindakan terburu-burunya meluahkan rasa cinta dan melamar Mahani hanya kerana cinta pandang pertama, merupakan kesilapan terbesar yang dia lakukan dalam hidupnya. Percintaan singkat mereka tidak mampu memberikan dia ruang untuk mengenali hati budi Mahani.

Sesekali Haq mengerling ke sebelah kiri. Trisya tidak sepetah biasa. Seperti ada sesuatu yang mengganggu fikiran majikannya itu. Sejak tadi Trisya asyik memandang ke luar tingkap seperti menerawang jauh.

Hujung jari runcing Trisya menyeka air mata. Kalau bukan kerana api dendam yang marak dalam dadanya, dia tidak yakin dia mampu bertahan lagi di dunia ini.

"Cik Trisya tak nak tukar pakaian? Perjalanan kita dah tak jauh ni." Haq memecah keheningan antara mereka.

Trisya yang sedang mengelamun itu tidak mendengar pertanyaan Haq. Memorinya sedang mengimbas kenangan seputar 24 tahun yang lalu.

"Kau nak teman ayah kat sini ke?" Sinis suara Aisyah menceroboh ke dalam cuping telinga Trisya. Dia tidak mahu berlama di situ. Baginya, kawasan perkuburan adalah tempat yang menakutkan.

Seorang demi seorang pelawat sudah beransur pulang. Aisyah menjuihkan bibir seraya membuka langkah untuk berlalu.

Selendang berwarna putih yang dipakai oleh Trisya terlurut jatuh ke belakang akibat ditiup angin. Lekas sahaja dia kembali mengangkatnya ke atas kepala.

'Nanti Trisya datang ke sini lagi, ayah.' Trisya bangun lalu membuntuti langkah Aisyah.

"Kak Esyah!" panggil Trisya perlahan sebaik sahaja melangkah keluar dari pagar kubur.

Aisyah memusingkan badannya ke belakang dengan malas. "Apa?"

"Kenapa manusia akan mati? Kenapa kita hidup kalau kita akan mati?"

Wajah Aisyah cemberut. "Kalau semua orang kat dunia ni hidup, penuhlah dunia ni! Kalau kau asyik makan aje tapi tak berak, penuhlah usus kau!"

"Ooo... Tapi kenapa kita tak tahu bila kita akan mati?"

"Eee... Bosanlah budak kecik ni!" Aisyah kembali memusingkan badannya ke hadapan dan berjalan laju meninggalkan anak kecil itu.

"Trisya tanya ajelah. Kak Esyah janganlah marah. Eh, Kak Esyah!"

Trisya menyedari sesuatu. Aisyah bukan berjalan pulang ke rumah mereka. Sebaliknya menuju ke jalan utama. Tercungap-cungap Trisya mengejar kakaknya itu.

"Kita nak ke mana, kak?" Trisya menyaingi Aisyah.

"Hmmm... Pasar. Mak suruh beli kubis."

"Kalau Trisya nak beli..."

"Jangan nak mengada!"

Trisya monyok. "Kak Esyah tak bawak duit, eh?"

"Eh, kau jangan banyak tanyalah!" Aisyah memegang tangan Trisya lalu memimpinnya menyeberangi jalan.

Mata Trisya tertancap pada pegangan Aisyah di pergelangan tangannya itu. Bibirnya tersenyum-senyum. Terasa seronok apabila Aisyah sudi memimpin tangannya.

'Kalau ayah tak ada, tentulah Kak Esyah dan mak kena sayang aku jugak, kan? Takkan mak dan Kak Esyah masih tak nak sayang aku lagi.' Trisya tersenyum puas.

Trisya membiarkan sahaja Aisyah mengheretnya ke celah-celah orang ramai di pasar itu. Suasana bising di sekeliling langsung tidak dihiraukan. Apa yang dia tahu, hatinya sedang berbunga-bunga sekarang ini.

"Kau pergi tandas dulu."

"Eh, Trisya tak nak kencing!" Trisya menggeleng berkali-kali.

"Pergilah ke tandas. Malas nanti aku nak temankan kau kalau kau nak ke tandas. Alang-alang tandas depan tu aje, baik kau pergi masuk." Aisyah menolak belakang badan Trisya supaya memasuki tandas.

Trisya memandang pintu tandas dan Aisyah berulang kali. "Kak Esyah takkan tinggalkan Trisya, kan?"

Riak Aisyah berubah. "Kalau aku tinggal kau kat sini, macam mana kau nak balik?"

"Janji jangan tinggalkan Trisya kat sini tau." Trisya menggoyang-goyangkan lengan Aisyah.

Aisyah menjulingkan bola matanya ke atas. Tidak berminat melayan kerenah si adik. Trisya melepaskan tangan Aisyah lalu mula bergerak memasuki tandas.

Aisyah berpura-pura membelek sayur-sayuran di gerai berdekatan. Dia berganjak dari satu gerai ke satu gerai yang lain.

"Mek! Mek!" panggil suara tua.

Aisyah berpaling. "Nenek panggil saya ke?"

"Jangan ralit sangat. Tu adik kamu tu, masih dalam tandas."

Aisyah tergamam. "Adik?"

"Nenek meniaga dekat tandas tu. Nenek perasan kamu dengan adik kamu. Jangan tinggalkan adik kamu sendirian macam tu, bahaya!"

Aisyah mencebik. "Jangan menyibuklah, orang tua."

"Kamu ni budak nakal eh? Teruk kamu kena marah dengan mak kamu kalau dia tahu kamu memang sengaja nak tinggalkan adik kamu kat situ sorang-sorang!"

"Siapa cakap saya nak tinggalkan adik saya? Nenek jangan tuduh sembarangan. Saya tengah cari kubis!" balas Aisyah seraya berjalan meninggalkan si tua itu. Mahu tidak mahu, terpaksa dia kembali ke tandas mendapatkan Trisya.

Sepanjang perjalanan, Aisyah tidak bercakap sepatah pun perkataan. Malah dia tidak lagi memimpin tangan Trisya sewaktu melintas jalan sebagaimana tadi. Dia melalui jalan yang tidak pernah Trisya lalu sebelum ini. Bahkan meninggalkan Trisya jauh di belakang.

'Kak Esyah marahkan aku sebab aku lambat ke?'

Trisya memuncungkan bibir. Dia berjalan menunduk. Kakinya sudah penat melangkah. Terasa seperti sudah jauh dia berjalan. Di kiri dan kanan jalan, semua bangunan yang dia tidak pernah tengok sebelum ini.

"Jauh lagi ke?" Trisya merungut.

Aisyah hanya membisu. Dia semakin melajukan langkah. Seolah-olah ada sesuatu yang menghambatnya supaya berjalan dengan pantas.

"Kak Esyah, Trisya penatlah!"

Trisya mengibas-gibas baju kurung yang dipakainya. Tekaknya mula haus apabila matahari mula membahang.

"Singgah masjid, jap."

Trisya terpinga. Melopong mulutnya memandang Aisyah. Azan belum pun berkumandang, kenapa Aisyah mahu ke masjid?

"Kak Esyah nak solat ke?"

Aisyah meluku kepala Trisya. "Aku tiba-tiba sakit perutlah. Lagipun dah tengah hari ni. Nanti demam. Kita berteduh dulu."

Trisya tidak membalas sebaliknya hanya menuruti langkah Aisyah yang bergegas memasuki pagar masjid.

"Kau masuk dalam masjid dulu. Jangan tunggu kat luar. Bahaya."

"Trisya tunggu Kak Esyah dekat luar tandas aje."

"Kau ni jangan degil, boleh tak? Pergi masuk ke dalam sana. Pergi rehat dulu. Penat kaki tu asyik berjalan sejak tadi."

Dengan berat hati, Trisya akhirnya akur. Lambat-lambat kaki diatur menghampiri pintu masjid.

"Cepat sikit tau! Trisya tunggu Kak Esyah kat dalam masjid."

Sambil memegang perut, Aisyah berlalu ke tandas. Langsung tidak menoleh ke arah adiknya.

Alunan merdu bacaan al-Quran membuatkan Trisya terpesona. Lekas-lekas dia memanjangkan langkah. Trisya terpandang seorang wanita yang sedang memakai telekung sedang membaca ayat-ayat suci al-Quran.

Trisya bersila di penjuru dinding masjid. Sambil memejam mata, dia menghayati rentak bacaan tersebut meski dia tidak mengetahui makna di sebalik bacaan itu.

Aisyah yang menyedari Trisya telah masuk ke dalam masjid, terjingkit-jingkit menghampiri anak tangga masjid. Perlahan-lahan dia menanggalkan kasut yang dipakai lalu menguak sedikit pintu masjid.

Dia yang menyangka Trisya sedang tertidur, kembali menutup pintu. Kemudian lekas-lekas dia menyarung kasut dan berlari keluar dari pintu pagar.

Sesekali Trisya membuka mata. Jam yang berada pada dinding dikerling. Sudah sepuluh minit berlalu. Masakan Aisyah masih belum selesai mengerjakan urusannya?

Trisya bangun. Dia keluar dari masjid dan mendekati tandas. "Kak Esyah, lambat lagi ke?"

Trisya mencangkung di hadapan pintu tandas. Pintu plastik tersebut masih lagi terkatup. Azan zohor mula berkumandang. Orang ramai mula berpusu-pusu masuk ke pekarangan masjid. Trisya mengetuk-ngetuk kakinya. Jauh dia berjalan hari ini. Kakinya naik lenguh.

Dia bangun dan melabuhkan punggungnya di atas tangga masjid. Tangannya memeluk lutut. Beberapa kali dia tersengguk. Apabila kelopak matanya celik, pintu tandas masih lagi tertutup. Trisya mengeluh. Dia mundar-mandir di atas tangga.

'Orang Islam kena solat. Walau sakit pun, kena solat.' Suara arwah Anuar tergiang-giang di telinga Trisya.

Trisya menuruni tangga dan mendekati tandas. "Kak Esyah, Trisya nak solat kejap. Nanti Kak Esyah dah siap, tunggu Trisya tau!"

Usai mengerjakan solat, cepat sahaja Trisya cabut keluar. Alangkah terkejutnya dia apabila pintu tandas tersebut masih lagi tertutup. Kepalanya ditoleh ke belakang. Seorang demi seorang mula beransur pulang. Sehingga kotak parkir hanya tinggal sebuah kereta sahaja, pintu tandas masih belum terbuka.

"Kak Esyah, belum siap lagi ke? Kak Esyah, cepatlah! Trisya lapar! Trisya kena balik masak. Nanti mak marah. Nanti mak pukul Trisya!" Nadanya seperti mahu menangis.

Datin Paduka Dahlia yang berada di belakang Trisya, tersentak. Mustahil anak sekecil itu dipukul kerana tidak memasak!

"Trisya?" tegur Datin Paduka Dahlia.

Pantas Trisya berpaling. Wajahnya sudah dibasahi air mata. "Acik panggil Trisya ke?"

"Bukan acik, sayang. Tok wan! Panggil tok wan." Datin Paduka Dahlia memanjangkan leher memandang ke arah tandas.

"Tok wan panggil Trisya ke? Mana tok wan tahu nama Trisya?" Trisya teresak-esak.

Datin Paduka Dahlia senyum. Dia membelai rambut Trisya penuh dengan rasa kasih. "Trisya tunggu siapa ni?"

"Kak Esyah! Trisya tunggu Kak Esyah. Kak Esyah sakit perut. Lama dah Kak Esyah masuk dalam tandas. Sampai sekarang Kak Esyah tak keluar."

Datin Paduka Dahlia menuruni tangga masjid. Dia mendekati pintu tandas. "Esyah? Esyah? Lambat lagi ke?"

Trisya mengikuti belakang wanita enam puluhan itu. Dia mendongak memandang wajah Datin Paduka Dahlia apabila panggilan nenek yang tidak dikenali itu tidak disahut.

Datin Paduka Dahlia menolak pintu tandas. Dia dan Trisya sama-sama terkejut apabila tiada orang di dalamnya.

"Kak Esyah tinggalkan Trisya?" Trisya cuak.

Laju Trisya menggeleng. "Tak! Tak mungkin Kak Esyah tinggalkan Trisya. Mesti Kak Esyah ingat Trisya dah balik tapi... Trisya mana kenal jalan nak pulang ke rumah."

Giliran Datin Paduka Dahlia pula tergamam. Macam mana dia hendak membantu si kecil itu kembali ke rumahnya?

"Trisya ingat nombor telefon ayah Trisya tak?"

"Ayah Trisya dah tak ada. Trisya dan Kak Esyah pakai baju kurung ni pun sebab kami baru balik dari kubur. Orang ramai letakkan ayah Trisya dalam kubur." Trisya garu kepala. Tidak faham kenapa mereka 'sembunyikan' ayahnya di dalam tanah.

Makin terperanjat Datin Paduka Dahlia jadinya. Sungguh dia merasa simpati. Tentu Trisya masih tidak faham tentang kematian. Sebab itu nada Trisya mendatar berbaur bingung.

"Mak Trisya? Trisya ingat nombor telefon mak tak?"

Trisya menggeleng lagi. Ligat akal Datin Paduka Dahlia memikirkan cara untuk membantu. Tangan Trisya meraba kepalanya yang 'togel'. Dia terlupa mengambil selendangnya usai menunaikan solat tadi.

"Trisya tertinggal selendang. Kejap ya, tok wan." Berdesup Trisya menaiki tangga masjid sebelum kembali mendapatkan Datin Paduka Dahlia.

Sampai sahaja di hadapan wanita berusia itu, Trisya memetik jari. "Tok wan kenal Taman Perumahan Haji Babas tak?"

"Taman Perumahan Haji Babas? Trisya tinggal kat situ ke? Dalam 20 minit jugak dari sini. Jauhnya Trisya jalan sampai ke masjid ni. Trisya dengan Kak Esyah memang jalan kaki datang ke sini?"

Trisya mengangguk laju. "Lenguh kaki Trisya, tok wan. Kak Esyah bawak Trisya pergi pasar tadi. Mak suruh beli kubis. Tapi Kak Esyah sakit perut. Jadi, Kak Esyah ajak masuk ke masjid ni."

Datin Paduka Dahlia mencuit bahu Trisya. "Meh tok wan hantarkan. Masuk kawasan rumah Trisya nanti, mesti Trisya ingat yang mana satu rumah Trisya."

"Yeah! Yeah! Terima kasih, tok wan! Trisya sayang tok wan!" Trisya melompat-lompat kegirangan.

Datin Paduka Dahlia tersenyum senang. Seronok dapat bertemu dengan si kecil seperti Trisya.

Trisya berjalan melompat-lompat sambil memegang tangan Datin Paduka Dahlia. Ternganga mulut Trisya apabila wanita tua yang masih anggun itu mempelawanya menaiki kereta. Seumur hidupnya, dia tidak pernah bermimpi untuk menaiki kenderaan bertayar empat itu.

Datin Paduka Dahlia membukakan pintu untuk Trisya. Trisya sengih lebar. Dia berasa sungguh seronok apabila Datin Paduka Dahlia memasang tali pinggang keselamatan ke badannya. Ekor matanya memerhati wanita itu bergerak ke sebelah kanan kereta. Pintu sebelah pemandu dibuka.

Datin Paduka Dahlia menghidupkan enjin lalu terus menuju ke Taman Perumahan Haji Babas. Sepanjang perjalanan, Trisya tersengih. Melihat Trisya kegirangan, Datin Paduka Dahlia menurunkan cermin kereta.

"Wah!" Trisya bertempik.

Dia mendepakan tangan lalu membuka mulutnya luas-luas agar mulutnya dimasuki angin. Datin Paduka Dahlia tertawa.

Trisya menoleh. "Terima kasih, tok wan."

Papan tanda tertera Taman Perumahan Haji Babas berada tidak jauh dari jarak keretanya. Datin Paduka Dahlia terus memasuki penempatan tersebut.

"Trisya tinggal kat sini?"

"Tak, tok wan. Trisya sekolah tadika kat depan tu. Rumah Trisya tak jauh dah dari sini."

"Ooo... Berapa umur Trisya?"

"Trisya enam tahun. Hah, Trisya dengan Kak Esyah pergi kat situlah tadi. Orang ramai letak ayah Trisya kat dalam tulah. Trisya tak fahamlah, tok wan. Kenapa Cikgu Emi tak bagi tahu pun orang mati kita kena letak dalam tanah?"

"Cikgu Emi? Cikgu sekolah Trisya, ya?"

"Cikgu Trisyalah, tok wan. Ooo... Sebab tu Cikgu Emi cakap orang mati dah tak boleh bangun balik. Sebab... mereka letak tanah banyak-banyak atas badan. Kesiannya ayah Trisya. Tentu ayah Trisya takut malam nanti, kan? Gelap. Macam mana ayah Trisya nak balik rumah, tok wan? Macam mana ayah Trisya nak makan? Macam mana nak mandi? Macam mana..."

Datin Paduka Dahlia sebak. Dia tidak tahu apa perkataan sesuai yang perlu dituturkan agar anak sekecil itu memahami apa itu sebenarnya kematian.

"Tok wan! Tok wan! Itulah kawasan rumah Trisya!"

"Trisya tinggal kat perumahan, ya?"

"Perumahan? Apa tu, tok wan? Rumah Trisya panjang. Tapi rumah Trisya kecik aje. Pelikkan, tok wan? Dari luar nampak panjang. Bila kat dalam, kecik aje. Hah! Tu rumah Trisya kat depan sekali tu. Dekat aje rumah Trisya dengan kubur ayah. Kalau ayah tak boleh keluar dari kubur, Trisya ajelah lawat ayah nanti. Nanti Trisya tolong ayah keluar dari kubur tu. Tadi pun Trisya janji nak datang tengok ayah lagi. Trisya tahu, ayah tak boleh bangun sendiri. Trisyalah yang patut tolong ayah keluar dari situ, kan tok wan?"

Datin Paduka Dahlia tidak mampu bersuara. Dia pernah merasai kehilangan seorang suami. Dia tahu betapa peritnya kehilangan orang tersayang. Dia dapat merasakan Trisya rapat dengan lelaki yang dipanggil ayah. Itu sebab si kecil itu asyik berceloteh mengenai ayahnya.

Trisya mengetuk-ngetuk kepala sendiri. "Alaaa! Trisya ni bodohlah. Macam Kak Esyah selalu cakap. Trisya ni bodoh. Ayah Trisya kan dah mati. Manalah ayah boleh bangun lagi. Sebab tulah semua orang tinggalkan ayah kat kubur tu. Mana ayah boleh makan lagi. Trisya lupa. Cikgu Emi dah bagi tahu hari tu. Isy, apalah Trisya ni!"

"Tok wan! Tok wan! Berhenti! Berhenti! Rumah ni rumah Trisya."

Datin Paduka Dahlia brek mengejut. Nasib dia memandu dengan kelajuan perlahan. Kalau tidak tentu bising dengan bunyi geseran. Kemudian dia keluar dan bergerak ke sebelah Trisya. Tali pinggang keselamatan dibuka.

"Terima kasih, tok wan. Jom masuk ke rumah Trisya," pelawa Trisya lalu memimpin tangan Datin Paduka Dahlia memasuki pagar rumahnya yang terkuak.

Kaki Trisya terhenti secara mengejut. Datin Paduka Dahlia bingung. Keningnya terjongket. Namun tidak tergerak pula hatinya untuk bertanya apabila telinganya menangkap bunyi perbualan seseorang.

"Mak tak suka ke kalau Esyah tinggalkan Trisya kat masjid tu?"

"Dia tu adik kandung kau, Esyah! Kenapa kau tinggalkan dia?"

Aisyah mencebik. "Mak, ayah dah meninggal. Pendapatan kita dah tak ada. Kalau Trisya tu ada kat rumah ni, makin bertambahlah mulut yang mak nak kena suap. Tahun depan, Esyah nak masuk asrama. Kalau keputusan periksa Esyah cemerlang, Esyah tak nak duduk kat rumah. Esyah nak belajar. Larat ke mak nak tanggung Esyah dengan Trisya? Nak bayar bil lagi."

Ringan tangan Datin Paduka Dahlia mahu menekup telinga Trisya daripada terus mendengar bicara sebegitu.

"Mak menung apa lagi? Untung-untung ada orang kaya ambil Trisya tu jadikan anak angkat. Kat masjid macam tu, takkan penculik pulak nak pergi sembahyang. Bukannya Esyah tinggalkan dia dekat rumah pelacuran pun."

Bulat mata Mahani mendengar tutur kata anak perempuannya itu. "Mana kau tahu sebut rumah pelacuran ni?"

Aisyah menjulingkan bola matanya. "Mak ni! Mak kan pernah bawak Esyah pergi sana masa Esyah lima tahun lebih macam tu. Esyah ni budak pandai, mak. Tentulah Esyah ingat."

Mahani terkesima. Tajam matanya mencerlung ke arah Aisyah yang lancang memuntahkan kata-kata.

"Esyah tahulah mak tak suka Trisya tu. Kalau mak tak suka, kenapa nak biar dia duduk kat sini lagi? Esyah pun tak sukalah dengan Trisya. Esyah tahu... dia bukan adik Esyah, kan? Dia bukan anak ayah, kan?"

Mata Mahani merah menahan marah. Menggeletar tangannya mahu menampar pipi gadis muda 12 tahun itu.

"Apa kau cakap ni, Esyah?" Mahani mengawal getar suaranya.

Dahi Aisyah berkerut. "Esyah tahulah, mak. Dalam televisyen tu selalu tunjuk apa yang orang dewasa buat kalau masuk ke sana!"

Pang! Satu tamparan melayang ke pipi Aisyah. Mahani tidak dapat mengawal amarahnya. Sungguh biadab anak yang ditatang bagai minyak yang penuh itu bertutur.

"Memang! Memang dia bukan anak ayah kau! Memang dia anak haram! Puas hati kau? Puas hati kau?" Mahani menjerit sekuat hati.

Bahu Mahani terenjut-enjut. "Kalau bukan jantung kau perlu pembedahan segera, aku ni takkan serahkan badan aku ni dekat jantan liar dekat luar! Kalau bukan kerana duit, aku takkan jadi pelacur! Kau jangan sesekali hina aku lagi, Esyah. Jangan sampai aku tak mengaku yang aku ni mak kau! Jangan sesekali kau lupakan jasa aku ni pada kau!" Mahani menjerit bagai kerasukan.

Aisyah berpeluk tubuh seperti tidak hairan dengan amukan ibunya itu. Waktu umur dia lima tahun dulu, memanglah dia tidak faham tentang pekerjaan Mahani itu. Makin lama, dia makin membesar. Fahamlah dia apa makna semua itu.

"Aku ni benci dan cukup benci dengan Trisya tu, Esyah. Tapi aku ni tak sekejam kau sampai sanggup buang dia! Trisya tu baru enam tahun, Esyah! Baik kau pergi cari dia sekarang! Aku dah rasa cukup berdosa kerana mengandungkan dia selama ni! Kau jangan nak menambahkan dosa aku! Cari dia sekarang, Esyah! Cari adik kau sekarang!!!"

"Malaslah Esyah. Mak carilah. Anak mak. Bukan adik Esyah."

Aisyah berjalan laju terus ke biliknya. Kuat dia menghempaskan pintu bilik. Mahani jatuh terjelepok.

Trisya melepaskan tangan Datin Paduka Dahlia. Air matanya menitik. Dia memusingkan badannya ke belakang dan mula melangkah meninggalkan kediamannya. Kepalanya menunduk lesu. Walaupun terdapat perkataan yang tidak difahami, rasanya dia dapat mengagak kenapa Mahani tidak pernah menyayanginya.

'Mak jangan risau. Trisya takkan susahkan mak lagi. Mak tak payah tengok muka Trisya lagi. Dalam dunia ni, memang semua orang tak sayang Trisya. Ayah sorang aje sayang Trisya. Tapi ayah dah mati. Trisya sorang-sorang. Ayah, siapa nak jaga Trisya? Siapa nak sayang Trisya?'

Datin Paduka Dahlia yang masih lagi terperanjat mendengar perbualan tadi segera menyaingi langkah Trisya. Tanpa meminta izin, dia mendukung si kecil itu dari belakang dan membawanya masuk ke dalam kereta.

Sepatah pun dia tidak bersuara. Trisya juga diam tanpa sebarang kata. Masing-masing menyepi. Datin Paduka Dahlia menghidupkan enjin kereta dan terus meredah jalan dan bergerak pulang ke rumahnya.

"Cik Trisya?" Haq kaget apabila gadis di sebelahnya itu tiba-tiba sahaja menangis.

Trisya menggigit hujung bibir. Dia tidak sengaja membiarkan dirinya hanyut ke dalam lautan emosi. Kisah silam yang dilalui tidak pernah lelah mengejarnya.

"Maafkan saya," pinta Trisya.

Haq syak ada sesuatu yang tidak kena. Dia menarik beberapa helai tisu lalu dihulurkan kepada Trisya. Entah apa yang membebankan gadis itu, dia tidak tahu. Yang pasti, bukan sembarangan orang mampu meruntuhkan tembok empangan air mata gadis bernama Batrisya itu.

Haq mengerling jam di pergelangan tangan. Mereka masih punya masa untuk dibazirkan. Kenderaan yang dipandu berhenti di bahu jalan. Tanpa penjelasan, Haq keluar dari kereta. Kaca mata hitam disarung ke wajahnya. Dengan kedua-dua tangan dikilas ke belakang, dia memerhati kenderaan yang lalu-lalang.

Trisya mengetap gigi. Kedua-dua tangannya menggenggam penumbuk seakan-akan mengumpul tenaga.

'Please terus kuat, Trisya. Kau kena terus kuat!' Trisya menepuk-nepuk pipi sendiri.

"Haq!" panggil Trisya.

Haq membuka pintu dan masuk ke dalam kereta. Tanpa bertanyakan apa-apa, dia meneruskan perjalanan.

"Hempuk kepala saya kalau saya menangis macam tu lagi." Trisya pura-pura gelak.

Haq senyum nipis. "Saya tak berani, Cik Trisya."

Trisya suka melihat Haq senyum. Sehingga dia cemburu apabila jejaka itu tidak sengaja tersenyum kepada perempuan lain.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co