Truyen3h.Co

Babby Batrisya

Bab 5

karyaseni2u

Trisya menutup pintu pagar. Kemudian dia terdengar bunyi pintu jeriji dikuak. Dia berpaling ke belakang. Susuk tubuh Aluwi berbaju T-shirt Pagoda dengan kain pelekat dipandang.

"Kereta siapa ni?" Aluwi menyarung selipar.

Dia mengelilingi Audi yang elok diparkir itu dengan penuh rasa kagum. Jemarinya menyentuh permukaan kenderaan itu dengan senyum lebar di bibir.

"Ayah suka Audi ni?"

"Suka!" Laju Aluwi menjawab.

"Esok Trisya bawak ayah jalan-jalan, eh?"

"Serius?"

Trisya angguk. Seronok dia melihat si ayah itu gembira. Kalaulah dia berpeluang menggembirakan hati arwah ayahnya seperti sekarang.

"Dah lewat ni. Kita masuk dalam dulu. Mak dengan Kak Esyah dah tidur ke?"

Lirik mata Aluwi masih lagi pada Audi merah menyala di belakang meskipun kakinya sudah melangkah menghampiri pintu rumah. Liurnya yang hampir meleleh dilap dengan belakang tangan.

"Esyah on call malam ni. Mak kamu tu yang tak tidur lagi. Seronok bukan main dia bila dapat rantai emas! Macam ayah tengok kereta kamu nilah. Siapa punya? Bos kamu, ya?"

Trisya menggaru-garu pipi. Kurang senang untuk berbohong pada ayah tirinya itu.

"Jangan terima hadiah orang, Trisya. Kan bukan-bukan dia mintak daripada kamu, naya!" Aluwi bukannya tidak tahu berapa nilai Audi di luar itu.

"Trisya pinjam. Bos bagi pinjam," ujar Trisya sambil mengetap gigi.

"Assalamualaikum," ucap Trisya dan Aluwi hampir serentak sewaktu memasuki rumah.

"Waalaikumussalam." Mahani acuh tidak acuh. Emas sebesar ibu jari itu dibelek-belek dengan mata membulat. Menyedari suara perempuan memberi salam, Mahani mendongak.

"Hah, balik pun kamu! Duduk sini! Duduk sebelah mak!"

Manis Mahani bertutur. Kusyen di sebelahnya ditepuk-tepuk. Bergetar bibir Trisya mahu tersenyum. Satu perasaan yang sukar ditebak, mekar dalam hatinya. Tanggapannya selama ini ternyata salah sama sekali. Fikirnya, Mahani memang tidak hairan kalau dia tidak pulang ke rumah sekalipun. Apatah lagi apabila si ibu itu membahasakan diri sebagai 'mak'. Sejak kecil dia mengimpikan wanita itu menyebut perkataan keramat itu.

"Ya, mak."

Berkerut-kerut dahi Mahani melihat anak gadisnya berkebaya putih kosong tanpa corak. "Dari mana?"

Mahani tidak suka melihat fabrik pakaian Trisya yang tampak mahal itu. Tentu dibelikan oleh 'bos' si anak.

"Ada urusan sikit tadi, mak."

Mahani memaksa diri untuk senyum. Dia tidak mahu merosakkan situasi. Ada perkara penting yang memerlukan persetujuan daripada Trisya. Emas di tangannya ditunjukkan kepada Trisya. "Oh! Ni, ni! Kamu tengok ni! Cantik tak?"

"Cantik!" Trisya cuba mengambil hati.

"Hah, nilah mak nak cerita! Siang tadi, Akmal ada datang dengan mak dia." Senyum Mahani melebar hingga ke telinga.

"Akmal? Siapa tu?"

"Anak saudara mak la. Yang belajar kat Oxford tu. Yang datang beraya tahun lepas tu."

"Trisya tak perasanlah, mak. Kenapa dia datang?" Trisya menguap.

"Dia datang merisik kamulah. Dia hadiahkan mak emas ni. Mak suka, cantik. Mak dah setuju."

Trisya tidak setuju. Di mana logik Mahani untuk memandai-mandai mahu mengatur hidup anak perempuan yang dicampakkan sendirian di luar sana selama ini?

"Trisya tak nak." Trisya mengawal intonasi suaranya. Tidak mahu Mahani berkecil hati.

"Argh, aku dah terima! Kau nak atau tak, kau kena terima. Apalah malang Akmal tu berkenankan kau! Kalau dia jatuh hati pada Esyah kan lagi baik. Apa yang dipandangnya pada kau ni? Sekolah entah ke mana. Entahkan diploma yang kau cakap itu pun tipu sebab nak sedapkan hati aku aje."

Trisya sembunyi keluh. Kemudian dia tersenyum pahit. Kepalanya digeleng-geleng penuh kesal kerana membiarkan hatinya terbuai sebentar tadi.

"Nikahkan aje dengan Kak Esyah, mak. Trisya tak nak."

Perkahwinan palsunya dengan Haq pun dia terpaksa 'bercerai'... Inikan mahu menambah masalah baru dengan menikahi lelaki lain yang dia tidak pernah kenal.

"Eh, kau jangan pandai-pandai nak tolak! Aku dah terima duit majlis untuk bertunang nanti."

Trisya yang baru sahaja hendak bangun, memandang tepat ke wajah ibunya. "Berapa?"

"Hah, tahu pun kau! RM10,000. Kau ingat sikit anak saudara aku tu kasi?"

Trisya membuka tas tangannya. Sebuah buku cek dengan pen dikeluarkan. Tercengang Aluwi dan Mahani melihat Trisya membuka buku bersaiz panjang itu.

"Cek?" Mahani ketawa besar.

Trisya mencoretkan sesuatu di atas helaian kertas cek lalu dihulurkannya kepada si ibu.

Dengan bibir terjuih, Mahani mengambil huluran cek tersebut. Panas hatinya melihat angka RM50,000 terpapar pada kepingan cek tersebut.

"Mesti ni buku cek bos kau, kan? Mesti kau dah serahkan body kau pada dia sehingga dia boleh bagi buku cek ni dekat kau! Trisya, kau memang tak guna! Kau memang anak haram! Anak haram! Anak haram! Menyesal aku tak bunuh kau masih kecik dulu!" Mahani menjerit hingga nafasnya tercungap-cungap.

"Sabar, Ani. Sabar, jangan jerit! Dengar dek jiran, malu!" Aluwi menenteramkan isterinya.

Aluwi percaya Trisya bukan gadis murahan. Gadis naif seperti Trisya itu, pada pandangannya pandai menjaga kehormatan diri.

Trisya bangun berdiri. Kolam matanya bergenang. Rambutnya yang menutupi dahi diselak. Bibirnya dikemam.

Perkataan anak haram sememangnya menjadi kudis dan nanah dalam hidupnya. Sungguhpun dia anak haram, siapa yang melahirkannya? Kalau bukan Mahani, dia tidak perlu menempuhi dunia yang seumpama neraka baginya itu.

"Kau jangan nak hina aku dengan duit haram ni! Kau pilih, Trisya. Kau pilih! Kau pilih sama ada nak kahwin dengan Akmal atau kau keluar dari rumah ni dan jangan jejak sampai bila-bila! Jangan kau pulang ke sini lagi!" Mahani mencapai bantal kusyen lalu dicampak ke muka Trisya.

Cek di tangannya digumpal-gumpal dan disumbat secara paksa ke dalam mulut Trisya. Aluwi teguk liur. Kalau Mahani tidak mahukan cek itu, dia ingin. Dia mahu cek itu.

"Sudah! Sudah!" Aluwi lekas-lekas memeluk isterinya. Dia tidak suka melihat pertengkaran anak-beranak itu.

Trisya mengeluarkan kertas cek dari mulut. Tangannya menggenggam cek itu hingga lunyai. Sedaya upaya dia menahan air matanya daripada tumpah. Dia merenung wajah yang sudah dipenuhi kedut itu dengan sejuta rasa berkecamuk. Tas tangan yang diletakkan di sebelah disangkut ke atas bahu.

"Trisya!" Aluwi menegah anak tirinya itu daripada bersikap keras kepala.

"Maafkan Trisya, ayah." Bola mata Trisya berkaca-kaca.

"Jangan kau panggil dia ayah! Dia bukan ayah kau! Kau anak haram! Selama-lamanya anak haram!"

"Mengucap, Ani! Kamu ni dah kenapa? Jangan sampai abang cilikan mulut kamu!"

Mahani menolak badan Aluwi supaya menjauhinya. "Baik. Aku akan pujuk Akmal supaya dia kahwin dengan Esyah. Keluar kau dari sini. Jangan kau berani mengaku bahawa kau tu anak aku! Melopong kau tengok Esyah tak perlu bekerja dan goyang kaki di rumah Akmal tu nanti. Aku nak bagi kesenangan kepada kau! Bukan aku nak menjahanamkan kau. Dasar anak tak sedar diuntung! Mendatangkan celaka saja pada aku!"

"Halalkan makan minum Trisya selama ni. Assalamualaikum." Trisya memusingkan badannya lalu berlari keluar.

"Trisya! Ya Allah, Trisya! Minta maaf dengan mak. Setuju aje dengan mak tu. Akmal tu orang senang, Trisya. Mak nakkan yang baik aje untuk kamu." Aluwi cuba mengejar Trisya. Dia cemas. Malam begini mustahil Trisya mahu bermalam di rumah kawan. Bagaimana kalau kawan Trisya itu berperangai tidak elok? Hati tuanya gelisah.

'Ah, ayah takkan faham! Mak tak pernah fikir yang baik untuk Trisya, ayah.' Trisya membuka pintu pagar sebelum kembali ke kereta.

"Trisya!" Si ayah berlari keluar dari rumah tanpa berselipar. Sempat dia menjeling Audi yang cantik itu.Tangan anak gadisnya yang sedang menarik pintu kereta ditahan. Tidak semena-mena dia memeluk Trisya, erat. Beberapa saat kemudian, dia melepaskannya semula.

"Walaupun ayah baru kenal Trisya dalam dua tahun, ayah tahu... Trisya anak yang baik. Ayah tak tahu kenapa mak kamu boleh berubah sampai macam tu. Biasanya mak tu baik-baik aje. Jangan ambil hati ya, sayang. Masuklah. Berehat. Seharian kamu kerja, tentu penat. Esok-esok sejuklah amarah mak tu. Nanti ayah pujuk mak, ya?"

"Trisya sayang ayah tapi maafkan Trisya sebab tak mampu tepati janji untuk bawak ayah jalan-jalan."

Pergelangan tangan Aluwi dicapai. "Ni kunci kereta. Trisya hadiahkan pada ayah."

"Eh, apa pulak? Ni kan kereta bos kamu! Eh, kamu jangan macam-macam! Dah-dah, pergi masuk ke dalam. Kamu nak ke mana malam-malam ni? Dah, jangan bergaduh dengan mak." Aluwi sembunyi senyum.

"Trisya tak pernah dipelawa untuk tinggal kat sini, ayah. Pipi ni tersorong-sorong fikirkan diri ni diterima untuk tinggal kat sini. Tak apa, Allah sedang uji Trisya. Siapa tahu akan ada yang lebih indah buat Trisya." Nafas berat dihela. Telefon yang berada di dalam tas tangan dikeluarkan.

"Eh, kamu nak telefon siapa? Dah lewat malam ni! Dengar cakap ayah, Trisya. Jangan degil."

Sekeping kad dikeluarkan lalu dihulur pada Aluwi. Aluwi mengambil huluran kad tesebut dengan mata terbeliak.

"Babby Batrisya binti Anuar. Pengarah Urusan TrisyaBeauty? Eh, kad siapa ni? Eh? Kamu!" Aluwi tidak pernah ambil tahu tentang nama sebenar anak tirinya itu.

Trisya meletakkan jari telunjuknya ke bibir sendiri. "Audi ni Trisya punya. Lelaki yang Trisya panggil bos tu sebenarnya pengawal peribadi Trisya."

"TrisyaBeauty yang asyik muncul dalam tv tu? Isy, kalau mak kamu tahu ni, mesti bangga. Kenapa kamu sorok, sayang?"

Trisya tidak sengaja tertawa. "Ayah... Trisya ni tak pernah wujud dalam hati mak. Dari kecik, mak tak pernah senang dengan kehadiran Trisya. Tak payahlah bagi tahu mak. Mak takkan percaya."

Nombor telefon Haq dihubungi. "Maaf, Haq. Boleh awak ambil saya sekarang?"

"Trisya!" Aluwi risau.

"Jangan bimbang, ayah. Trisya ada rumah sendiri. Trisya janji, Trisya akan telefon ayah bila Trisya ada masa."

"Cik Trisya tunggu kat situ. Sekarang juga saya datang."

Trisya mengangguk-angguk biarpun Haq tidak dapat melihatnya. "Baiklah, saya akan tunggu. Tolong cepat, Haq."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co