Truyen3h.Co

Backup Cinta

Bab 8

karyaseni2u

"APA?!!!"

Rusman berdiri dengan muka menyinga. Menjeling tajam kepada setiausahanya.

"Maaf tuan tapi saya sendiri baru diberitahu hal ini," maklum Rohaiza takut-takut.

Rusman merengus kasar.

"Siapa yang aturkan? Kenapa tiba-tiba nak adakan mesyuarat ahli lembaga pengarah dan itu pun saya baru dimaklumkan sekarang?!"

"Saya tak tahu, tuan."

Bagaikan menempah maut apabila Rohaiza menjawab begitu. Apa lagi, mendongkol marah la orang tua pendek tu.

"Habis, apa yang kau tahu?! Makan gaji buta?!"

Tersentap Rohaiza dibuatnya. Lagi tersentap apabila Rusman menumbuk meja sampai terpelanting sebahagian fail. Ikutkan hati nak aje dia teriak atau tak pun blah dari syarikat itu. Tapi kalau dia berhenti, siapa nak tanggung ibunya yang sakit?

"Dah! Kau berambus sekarang. Dari aku sakit hati dengan setiausaha bodoh macam kau, baik kau keluar sekarang!"

Sakit hati Rusman dengan Rohaiza. Setiausaha tak guna! Benda macam tu pun tak reti nak uruskan.

Rohaiza akur. Biarlah dia telan semua itu tapi dalam hatinya dia berharap sangat yang berambus dari syarikat ni bukan dia tapi si tua pendek tu!

"Mesyuarat ahli lembaga? Untuk apa?" Rusman tertanya sendiri setelah Rohaiza berlalu.

Berkerut dahinya memikir sebelum tiba-tiba dia angkat wajahnya dengan senyuman.

"Mesyuarat ahli lembaga? Pasti nak bincangkan tentang kedudukan CEO," teka Rusman.

"Mestilah pasal itu. Tak ada sebab lain lagi, kan?" tukasnya sendiri pula.

Senyuman bergayut manis di bibir tuanya.

Kalau pelantikan CEO, maknanya aku la yang akan dilantik. Mana ada sesiapa lagi yang layak. Shahril? Dah mampus! Fina? Budak tu tahu apa pasal perniagaan? Shahrul, anak saudaranya yang pengecut melarikan diri dulu? Tak mungkin si pengecut itu akan kembali. Ya, aku dah tahu. Pasti aku orang yang paling layak, bisik hatinya senang.

Akhirnya apa yang dia mahu akan dia dapat. Bertahun dulu dia sabar menunggu. Selepas ayahnya meninggal, dia fikir dia yang akan mendapatkan semua harta tapi adiknya juga dipilih oleh papa mereka. Sungguh dia berdendam! Dia berpura-pura gembira dengan pelantikan itu sedangkan hakikatnya, rasa marah itu menghitamkan seluruh hatinya.

Kerana dendam, adiknya harus mati! Dia merancang kemalangan itu dengan sempurna. Fikirnya dia akan dilantik tapi anak saudaranya Shahrul yang bodoh tu juga dipilih. Tapi apabila Shahrul berambus dari bumi Malaysia ni, dia fikir dia akan dapatkan semuanya. Namun Shahrul melantik Shahril sebagai pemangkunya. Sungguh rasa amarahnya kian membara.

Untuk mendapatkan kedudukan yang diidamkan, dia merancang dan terus merancang untuk menyingirkan semua yang menghalangnya. Tapi Shahril dapat tahu hal dia gelapkan wang syarikat. Budak hingusan itu mengugutnya supaya letak jawatan. Jadi, dia buat rancangan terbaik untuk menghapuskan Shahril. Sekarang dia bangga, kerana tiada lagi yang akan menghalang dirinya.

"Padan muka kau! Kalau kau tak dilantik oleh papa, Razman, aku tak mungkin bunuh anak-anak kau. Semoga kau jumpa anak-anak kau dalam neraka, Razman!"

Rusman ketawa bagai orang gila. Terbayang wajah adiknya. Hatinya sangat puas! Jam tangan dikerling. Sudah hampir untuk masuk ke bilik mesyuarat. Dia yakin yang hari ini akan menjadi hari bahagianya.

Tapi dia lupa sesuatu. Sebagai manusia kita hanya mampu merancang tapi Allah yang menentukannya.

SUASANA di dalam bilik mesyuarat semakin hingar-bingar. Masing-masing masih tertanya-tanya untuk apa mesyuarat ini diadakan. Mereka langsung tak diberitahu kenapa, cuma diminta datang.

Namun di atas salah sebuah kerusi, Rusman hanya duduk tenang dengan senyuman. Memandang semua ahli sebelum dahinya berkerut. Semua dah ada, siapa lagi yang mereka mahu tunggu?

"Kenapa mesyuarat masih tak dimulakan?" soal Datuk Mukriz yang duduk di atas kerusi yang paling hujung sambil memandang Aida selaku pengerusi majlis.

Yang lain turut menanyakan soalan yang sama sampai Aida sendiri pening kepala.

"Maaf Datuk, Tan Sri semua, tapi kita masih menunggu kehadiran seseorang. Harap semua dapat bersabar."

"Siapa pula? Kami rasa semua dah ada dekat sini. Kenapa nak melewatkan masa lagi? Kami banyak lagi hal penting!" Datuk Mustafa pula menggesa.

Yang lain mengangguk setuju.

"Tapi kenapa mesyuarat ni diadakan?" Soalan yang sama terulang lagi di mulut Datuk Mukriz.

"Siapa yang kita tunggu sebenarnya?"

"Sampai bila kami nak menunggu?"

Aida pening kepala. Bertalu-talu soalan menerjah telinganya. Dia minta semua bersabar tapi kata-katanya macam angin aje. Lagi kuat mereka bertanya itu dan ini. Ada juga yang pitam nanti!

"Excuse me, Saya rasa kita perlu mulakan mesyuarat daripada masa saya dan yang lain dibazirkan macam ni."

Rusman yang tadinya diam, bersuara tegas. Hatinya riang apabila semua ahli lembaga syarikat bersetuju dengannya.

"Tapi kita masih..." Kata-kata Aida terhenti apabila pintu besar tiba-tiba terbuka luas. Semua di situ terdiam.

Semua memandang pada tubuh yang baru masuk dengan muka tercengang-cengang. Tapi yang paling tercengang mestilah Rusman. Terjojol biji matanya melihat gerangan yang mula masuk. Gerak tubuh itu diperhatikan hingga lelaki yang baru saja masuk itu berdiri betul-betul di hadapan semua orang.

"Saya tahu semua sedang menunggu saya tapi saya rasa kita masih ada seminit lagi sebelum pukul tiga. Jadi rasanya saya tak perlu minta maaf sebab saya masih belum terlewat, kan?" Shahrul tayang muka sinis.

Matanya sempat menghantar isyarat kepada Aida untuk membiarkan dia saja yang mengendalikan mesyuarat itu. Aida mengangguk sebelum berlalu ke tepi.

Wajah Shahrul nampak yakin meskipun semua mata memandang hairan kepadanya. Ada juga yang mencebik dengan kata-kata sombongnya. Tapi dia peduli apa? Sikit pun dia tak kesah!

"Mesti semua tertanya-tanya untuk apa mesyuarat hari ini. Sebelum itu, saya rasa saya tak perlu kenalkan diri. Semua dah tahu siapa saya, kan?"

"Tujuan mesyuarat hari ini untuk saya maklumkan kepada semua yang sekarang saya akan kembali memegang jawatan saya iaitu sebagai CEO ZADA!"

Usai saja Shahrul menerangkan, semua macam terpaku. Tak kurang juga yang memandang sesama sendiri. Sekelip mata saja suasana kembali bising. Mungkin terkejut atau mempersoalkan kehadirannya yang tiba-tiba dan juga mempersoalkan kelayakannya.

Bagi Rusman, dia hampir ketawa melihat muka Shahrul. Memang bodoh! Apa? Ingat dia datang dan nak ambil kembali jawatan itu, semua akan setuju? Shahrul dah hilang bertahun-tahun dulu dan sekarang nak mengetuai syarikat gah ini? Dalam mimpi aje la, Shahrul!

Shahrul tetap berdiri tegak tanpa riak meskipun suara-suara sumbang mula kedengaran. Tapi dia tak gentar! Apabila keyakinan dan kemarahan bersatu dalam diri, dia yakin tiada siapa yang akan mampu melenturkan jati dirinya.

"Saya tahu Tan Sri, Datuk dan tuan semua akan mempersoalkan yang datang tiba-tiba tapi..." Shahrul berjeda. Sinar matanya tampak seperti bersedia untuk mempertahankan haknya. Yang penting dia takkan biarkan orang yang membuat onar kepada keluarganya berjaya akhirnya.

"Macam yang semua tahu, CEO yang sebenarnya ialah saya. Namun, disebabkan sesuatu alasan saya melantik Shahril sebagai pemangku dan macam yang semua tahu juga, Shahril hilang dalam kemalangan. Jadi, hari ni saya kembali untuk mengisi jawatan yang saya tinggalkan dulu.

Rusman mendengus marah apabila mendengar kata-kata Shahrul itu. Shahrul nak kembali jawatan itu? Dia akan menghalang!

"Lepas bertahun-tahun kamu tinggalkan syaikat, kamu rasa kamu masih layak ke untuk jawatan itu? Kamu ingat kami akan terima dan percaya kamu dengan mudah? Apa yang kamu tahu pasal syarikat ni selama ini?" Rusman mula berdiri penuh gah sambil melantunkan suaranya.

Dia yakin apabila ramai yang mengangguk dan mula meragui kredibiliti Shahrul. Namun, hatinya sakit kerana budak bodoh itu kembali!

Shahrul hanya tersenyum. Sedikit pun tak termakan dengan kata-kata Rusman. Orang tua tu dah menunjukkan taring. Dulu Rusman begitu baik dengan mereka. Semua itu hanyalah lakonan. Dasar talam dua muka!

Dengan senyuman masih lagi bersisa, Shahrul melangkah sedikit ke hadapan. Menentang semua yang meraguinya hanya kerana kata-kata daripada Rusman.

"Good question, Tuan Rusman." Bagai pisau belati, anak matanya menikam mata Rusman.

Kau akan tahu apa yang akan jadi sebentar nanti, Rusman! bisik hati Shahrul.

"Jangan ingat saya jauh, saya tak tahu perkembangan syarikat. Kelayakan? Saya rasa saya yang paling layak dan saya juga yakin tak ada calon lain yang layak untuk mengendalikan syarikat ini." Suaranya memang angkuh gila!

"Oh, saya lupa..." Shahrul pandang Rusman.

"Tuan Rusman juga merupakan orang yang layak, kan?" soalnya sinis kemudian.

Membahang terus Rusman apabila disindir begitu.

"Ya, saya memang layak! Malah lebih layak daripada kamu!"

Terjongket terus bibir Shahrul. Berlagaknya orang tua pendek ni! kutuk Shahrul dalam hati.

"Layak atau tak, apa kata kita biarkan ahli lembaga lain yang tentukan, Tuan Rusman."

"Tapi sebelum membuat pilihan, saya ada sesuatu untuk ditunjukkan."

Shahrul pandang Rahman dan Rahman tanpa kata mengedarkan fail-fail di tangannya.

"Apa benda ni?" soal Datuk Faisal pelik.

"Itu adalah laporan kewangan syarikat lima tahun yang lepas." Shahrul membalas sambil mendekati Datuk Faisal.

Dia nampak Rusman menilik fail itu sebelum ternganga dengan mata membulat.

"Saya dapati ada orang di dalam syarikat yang dah salah guna duit syarikat. Mungkin lebih tepat lagi, mengelapkan duit syarikat."

Hati Shahrul menjerit puas tatkala Rusman serba tidak kena. Ini baru sikit Rusman!

"Siapa? Siapa dia?" Datuk Sri Khaliza menyoal. Yang lain turut menyoal ingin tahu.

Shahrul tak menjawab sebaliknya berjalan ke arah Datuk Sri Khaliza sambil memandang Rusman tajam.

"Dalam penelitian saya, ada projek baru syarikat yang terbengkalai tapi yang anehnya, pengeluaran wang tetap berjalan seperi biasa. Saya tertanya-tanya ke mana perginya semua wang itu?"

"Sama macam projek Villa Delimawati, syarikat mendapat laporan keretakan dan saya sendiri sudah siasat semua itu sebenarnya. Dari hasil yang saya dapat, saya dapati ada orang di dalam syarikat ini mengupah pembekal simen yang tak berkuliti. Cuma yang anehnya, pengeluaran wang tetap tinggi. Macam mana pula simen yang tak berkualiti dibayar dengan harga tinggi?"

Rahman tersentak terus. Bila masanya Shahrul siasat semua itu?

"Tuan berpeluh kenapa? Perlukan tisu?" Shahrul bertanya sinis kepada Rusman yang merintik peluh. Tahu takut!

"Lap peluh tuan tu," ucap Shahrul bersahaja saat menghulurkan sapu tangannya. Teragak-agak Rusman menyambut.

"Saya dah siasat semuanya dan ternyata lebihan wang itu telah disalurkan ke dalam akaun seseorang." Shahrul kembali bersuara dan mengakhiri ucapannya. Bukan main lagi hatinya tersenyum lebar.

"Apa? Betulkah semua ni? Siapa orang tu?" Salah seorang ahli lembaga mendengus marah. Dia paling bencikan orang yang tak jujur!

"Dia ada dalam kalangan kita," sahut Shahrul.

Semua terkejut dan berpandangan terus kepada Shahrul yang selamba.

"Dan ada lagi satu yang saya rasa semua patut tahu."

Bersedialah Rusman. Kali ni kau tak akan terlepas! desis Shahrul dalam hati.

"Mengenai Shahril. Macam yang kita tahu, apa yang terjadi cuma satu kemalangan tapi sebenarnya tidak! Apa yang terjadi kepada dia telah dirancang dan perancangnya ialah orang yang sama yang menggelapkan duit syarikat!" ungkap Shahrul sekali gus membingitkan suasana.

Rusman berdecit marah. Tak mungkin Shahrul tahu. Tak mungkin!

"Apa yang kamu merepek ni? Kamu balik dan tiba-tiba cakap benda mengarut ni. Are you mad?!" Rusman menyerang balas.

Sungguh dia tak tahan dengan senyuman licik Shahrul. Riak senyuman seperti ingin memerangkapnya dalam sangkar yang paling kotor.

"Saya tak gila, Tuan Rusman tapi kenapa tuan nampak tegang? Tuan Rusman ke orang itu?"

Semua mata memandang Rusman setelah mendengar soalan Shahrul.

"Jangan percaya dia. Dia penipu! Orang tu bukan aku!" Rusman menggeleng pantas.

Dengar saja itu, Shahrul ketawa kuat.

"Kenapa kau ketawa?!"

"Tuan Rusman, Tuan Rusman, saya tak kata pun orang tu ialah tuan. Saya cuma tanya kalau orang tu ialah tuan? Tuan cakap saya penipu? Saya tak tuduh tuan pun, kan?"

Rusman terperangkap!

"Kau!!!" Rusman bengang.

Rusman menjeling Shahrul sebelum bangun menolak kerusi. Dia ingin berlalu. Haba di dalam bilik itu terasa masuk ke dalam otaknya. Namun saat dia sampai di muka pintu, tiba-tiba pintu dibuka oleh seseorang. Tercegat Rusman memandang lima orang yang tiba-tiba merempuh masuk.

"Kami polis! Kami datang untuk menahan Rusman Bin Bakri!"

"Dia Rusman!" Jari Shahrul terhala kepada Rusman yang terkaku.

Mata Rusman terbelalak. Bulat matanya memandang Shahrul sebelum dia tersedar semua mata terarah kepadanya.

Saat itu juga dia terasa ada besi sejuk menyentuh lengannya. Dia terkedu melihat polis yang menarik tangannya dan sekelip mata tangannya bergari.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co