Truyen3h.Co

BADI BUDDY

Bab 15

karyaseni2u

SUDAH setengah jam Dani menunggu Hafifi di Restoran Ali Maju di Seksyen 20 itu. Batang tubuh Hafifi belum juga muncul. Mereka berjanji mahu berjumpa di situ tengah hari itu. Entah mengapa Hafifi tiba-tiba mengubah seleranya, Dani sendiri tidak pasti. Biasanya, tekak Hafifi tak berapa selesa dengan selera restoran mamak.

Kesempatan itu, Dani membuka akaun Facebooknya menggunakan telefon Samsung J1nya. Sudah sekian lama laman sosial itu tidak dikunjunginya. Dia kini memang jarang berkomunikasi secara maya dengan rakan-rakannya walaupun mempunyai rakan melewati garis sempadan negara. Sejak The Plastik Tree terbubar, keghairahannya terhadap laman sosial itu seperti hilang. Dulu, laman itulah menjadi medium kepadanya untuk mempromosikan setiap karyanya kepada umum.

Sesekali dia tersenyum sendirian apabila membaca dan melihat pelbagai perkara yang dihantar oleh adik bongsu dan ibunya. Dua ahli keluarganya itu memang selalu mengemas kini aktiviti yang dilakukan mereka setiap hari. Kedua-duanya mewarisi sifat happy go lucky.

Seorang pelayan kedai mula mundar-mandir di hadapannya. Dani sedar, pelayan itu mengharapkan dia membuat tambahan pesanan, memandangkan sejak hampir sejam tadi, Dani hanya memesan segelas teh ais. Dani dapat membaca riak sinis pelayan itu yang seolah-olah beranggapan dia hanya melepak di situ sekadar untuk menggunakan perkhidmatan Wi-Fi yang tersedia percuma di restoran itu.

Dani mula naik rimas melihatnya. Bukan Dani tidak mahu membuat pesanan, tetapi perutnya masih sendat dengan dua bungkus nasi lemak yang dimakannnya waktu sarapan pagi tadi. Memang hari minggu sebegitu dia tidak akan lepaskan peluang untuk menikmati nasi lemak gerai tepi jalan di hadapan apartmennya. Biarpun bukan anak dara yang menjadi penjual gerai itu, tapi tetap ada tarikan tersendiri. Bukan sahaja sebab harganya murah, tapi juga sebab kelazatannya. Mengingatkannya kepada nasi lemak masakan ibunya.

"Aney, segelas teh ais lagi." Mahu tak mahu, Dani terpaksa juga membuat satu lagi pesanan. Batang tubuh Hafifi belum ada tanda-tanda akan muncul. Pelayan kedai yang seperti datang dari India itu pula asyik menjeling ke arahnya. Makin rimas Dani dibuatnya.

Selang 15 minit kemudian, barulah kelihatan kereta Hafifi menghampiri restoran mamak itu. Bersamanya kelihatan seperti seorang lelaki yang dikenalinya.

"Sorry bro, last minute kena pergi ambil mak mentua aku pulak kat airport. Janjinya abang ipar aku yang ambil. Tapi ada hal pulak dia. Lepas itu berkejar pula ke Batu Caves, ambil otai kita ini," ungkap Hafifi dengan muka rasa bersalah ketika menghulur salam kepada Dani. Dani menyambut salamnya.

"Tak apa." Dani memahami situati itu. Lagipun itu pertama kali dia menunggu Hafifi lama begitu. Hari-hari lepas, Hafifi dikenalinya seorang yang cukup menepati masa.

"Apa khabar, Dani?" sapa Abang Ram dengan senyum selepas itu.

"Baik. Abang bagaimana?" balas Dani ketika menyambut salam Abang Ram, lelaki melewati usia 50-an dan berambut serba putih itu.

"Abang macam inilah, ke sana ke mari, cari bahan untuk pembaca." Lelaki berkaca mata bulat yang kaya dengan pengetahuan dan pengalaman itu membalas.

Belum pun dipanggil, pelayan kedai tadi dah tercegak di depan meja mereka.

"Minum apa? Makan apa?" soal pelayan itu ditujukan kepada Hafifi dan Abang Ram sambil tangannya sudah bersedia untuk menulis pesanan.

"Aku belum tarik nafas lega lagi, hang dah sampai. Bionic Man ke hang ni?" keluh Hafifi. Keluhan itu membuatkan Dani ketawa kecil. Pelayan itu cuma menyeringaikan gigi putihnya.

"Okey, beri saya teh O ais limau." Hafifi membuat pesanan.

"Makan?" Pelayan berkulit gelap itu bertanya lagi. Mukanya kini sedikit serius.

"Makan nehi," balas Hafifi pantas. Pelayan itu seperti menarik muka bengang. Mungkin bertambah bengang.

"Abang minum, makan?" Soalan pelayan itu beralih kepada Abang Ram.

"Saya pun mahu minum sahaja, bagi saya kopi suam." Selepas mencatat pesanan Abang Ram itu, pelayan itu berlalu ke arah dapur dengan mulut yang mencebik.

"Susah betul nak jumpa dengan bro kita sorang ini bang, sejak dua tiga menjak ini. Terpaksa buat janji temu, macam nak jumpa doktor gigi. Busy memanjang?" Buah perli mula terbit dari mulut Hafifi. Dani mengukir sengih.

"Sibuk dengan kerja, ya? Biasalah tu, dengan keadaan ekonomi sekarang, tambah pula sekarang ada cukai yang mencekik rakyat marhaen seperti kita, kena kerja kuat sikitlah, kan? Macam abang inilah, ke sana ke mari cari bahan. Kalau cerita tak best, tak laku pulak majalah abang. Lebih-lebih lagi ketika zaman teknologi Internet sekarang. Orang dah tak suka kumpul majalah. Orang sekarang hanya suka baca sahaja. Tak macam zaman abang dulu. Sanggup kumpul duit sebab nak beli majalah Rolling Stone." Abang Ram membuat telahan panjang lebar dengan nada yang separuh mengeluh tanpa memahami maksud sebenar Hafifi.

"Kerjanya tak sibuk sangat bang, sibuk dengan mek bunga. Berkepit sana sini. Maklumlah, bunga pulak harum mewangi." Hafifi menjelaskan maksud sebenarnya. Di hujung penjelasannya itu, sempat dia berlagu Mewangi yang dipopularkan oleh Akim and The Majistret. Mendengar penjelasan Hafifi itu, Abang Ram mengekek tawa. Merah juga telinga Dani disakat sebegitu.

"Hang ke mana? Sampai tak ada masa nak melepak dengan aku. Khairul dan Adam pun asyik tanya hang aje, bila nak mula buat recording," tambah Hafifi lagi.

"Maaflah, bro. Aku sibuk sikit." Dani mencipta alasan.

"Sibuk apa ke bendanya?" Hafifi masih tak berpuas hati.

"Sibuk dengan projeklah, bro." Dani terus memberi alasan yang tak berapa benarnya.

"Yalah tu, dari air muka hang, aku rasa hang sibuk lain." Deria penglihatan Hafifi sememangnya tajam. Dani tak seperti dua tiga bulan yang lalu. Dia kenal sangat Dani. Riak gembira di wajah Dani itu banyak kali sudah dilihatnya ketika di bumi negara matahari terbit dahulu.

"Hmmm... Kita straight to the point?" Dani segera mengubah topik, tidak tertahan lagi disakat oleh Hafifi.

"Okay, hari ini Abang Ram nak temu bual kamu berdua untuk dipaparkan dalam Rock The World edisi bulan depan." Abang Ram menuju ke tujuan utama perjumpaan itu.

Sesi temu bual berlangsung hampir dua jam. Banyak juga soalan yang disoal oleh Abang Ram. Dani dan Hafifi menjawab dengan santai. Selain bertanyakan soalan, Abang Ram juga berkongsi pengetahuan dan pengalamannya berkaitan muzik. Ada juga isu-isu terkini berkaitan industri yang mereka bincangkan bersama petang itu.

Selesai pertemuan itu, Hafifi meminta izin untuk menghantar semula Abang Ram ke pejabatnya di Batu Caves.

"Bro, jangan lupa malam nanti praktis. Nanti aku jemput hang lepas maghrib," ucap Hafifi ketika bersalam dengan Dani selepas menghidupkan enjin keretanya. Abang Ram juga sudah melabuh punggung sebelahnya.

"Errr... Tak apalah, aku pergi sendiri sajalah," balas Dani.

"Eh, hang nak pergi dengan apa? Hang nak panjat bukit Genting dengan Vespa hang ke?" Hafifi sedikit risau. Maklum sajalah Dani ada sejarah kecelakaan di jalan raya. Dia bimbang perkara itu akan berulang. Lagipun, pada waktu malam jalan ke Janda Baik itu agak gelap dan agak menyeramkan.

"Tak, aku pergi dengan kawan." Dani membalas dengan sipu malu.

"Kawan?" Hafifi mengangkat nakal keningnya. Pipi Dani mula kemerahan.

"Cantik. Boleh aku jumpa dengan... Siapa nama dia?" ucap Hafifi lagi sambil memerah otaknya cuba mengingatkan nama yang dinyatakan oleh Dani tempoh hari.

"June," balas Dani perlahan.

"Oh ya, June namanya. Mesti lahir bulan 6, kan?" Hafifi cuba menduga. Dani sekadar mengangkat bahunya, tidak pasti. Memang dia tidak pernah menyelidik June selengkap itu.

"Tak mengganggu ke nanti?" soal Dani kemudian. Ada sedikit kebimbangan dalam hatinya.

"Mengganggu apa pulak? Bawa aje," jawab Hafifi.

"Khairul dan Adam bagaimana?" Masih ada sisa kebimbangan dalam hati Dani. Bimbang juga dia takut nanti mengganggu privasi kedua-dua rakannya itu. Lebih-lebih lagi Khairul selaku tuan penjaga studio.

"Khairul okey. Tak ada hal la." Hafifi memberi kesimpulan yang muktamad.

"Okey, kalau macam itu malam nanti jumpa di sana. Abang Ram jumpa lagi," kata Dani sambil menghulur tangan kepada Abang Ram.

"Ya, jumpa lagi nanti. Abang tak sabar menunggu material terbaru daripada kamu." Abang Ram membalas. Dani sekadar mengukir senyum sambil mengangguk sedikit kepalanya. Kereta panduan Hafifi kemudian berlalu meninggalkan Restoran Ali Maju itu.

KERETA yang dipandu June tiba di pekarangan Rimba Studio. Kereta Hafifi juga sudah kelihatan di situ. Sepanjang perjalanan tadi, June riang bukan kepalang. Tak sabar untuk melihat sendiri Dani bermain muzik dengan rakan-rakannya.

Kelihatan Hafifi sedang berbual dengan Khairul di atas sofa di dalam studio ketika Dani dan June melewati pintu utama studio.

"June, kenalkan ini Hafifi dan ini pula Khairul." Dani segera memperkenalkan June kepada dua rakannya itu. Ketiga-tiga mereka bersalam dan saling berbalas senyum.

"Mana Adam?" soal Dani selepas seorang lagi rakannya tiada di dalam bilik studio itu.

"Sedang mencari ilham bunga-bunga bassnya dalam bilik termenung," ungkap Khairul melucu. Gamat seketika ruang itu dengan tawa.

Tanpa melengahkan masa, ketiga-tiga pemuzik itu masuk ke bilik latihan. Berapa minit kemudian, Adam menyusul selepas bersalam dengan June. June melabuhkan punggung di atas sofa, bersedia untuk menonton sesi latihan itu.

"Pandai kau cari, bro. Beauty and trendy," bisik Hafifi ke telinga Dani ketika mereka menuju ke posisi masing-masing.

Dani sekadar mengukir senyum. Terbit juga sedikit bangga dalam hatinya bila dipuji sebegitu.

Sesi latihan itu berjalan dengan lancar. Keserasian antara empat orang pemuzik itu juga semakin jitu. June yang menjadi penonton cukup terhibur dengan kekemasan muzik yang dimainkan oleh kumpulan muzik itu. Paling menghiburkannya sudah pastilah kemerduan suara Dani yang ada telo mendiang Kurt Cobain dan Thom Yorke, vokalis band Nirvana dan Radiohead. Sesi latihan itu tamat menjelang lewat malam.

Selepas mengemas barang-barang studio, masing-masing memulakan perjalanan pulang.

"June betul-betul gembira malam ini," ungkap June dengan wajah berseri-seri. Dani di sebelahnya sekadar mengukir senyum. Kepenatan masih dirasanya.

"Pertama kali dalam hidup June, dapat pengalaman sebegini. Terima kasih, Dani," kata June lagi. Dani melebarkan sedikit senyumnya.

"Suara Dani sungguh merdu." June bersuara lagi.

Senyuman Dani makin melebar. Ada juga sedikit rasa bangga dalam hatinya.

"Lagu-lagu The Plastic Tree yang dimainkan tadi, siapa yang cipta?" June bersuara lagi. Nyata dia telah membuat sedikit kajian di YouTube tentang band lama Dani itu.

"Me," jawab Dani ringkas.

"Really?" soal June lagi.

Dani mengangguk bersama senyum yang masih terukir di bibirnya.

"Wow, lagu-lagu yang sedap. June betul-betul terhibur. Dani memang seseorang yang berbakat. Rugi industri muzik tanah air kita selama ini." Pujian yang melambung itu terbit dari mulut June.

"Rugi?" Dani kurang mengerti.

"Yalah, selama ini industri muzik kita hanya dipendengarkan lagu-lagu ciptaan komposer yang sama sahaja. Lengok lagu pun sama. Bosan. Tapi lagu-lagu ciptaan Dani itu menarik dan ada bunyi-bunyi yang antarabangsa. Lari dari nuasa Melayu yang stereotaip zaman sekarang. Tapi, bunyi nusantara masih jelas kedengaran. June jamin, kalau lagu-lagu itu dinyanyikan dalam bahasa Melayu, pasti Akim And The Majistret tak boleh cari makan lepas ini." Pujian June semakin melambung. Ulasannya juga seperti seorang juri pertandingan realiti.

Sedikit rimas Dani mendengarnya. Terdetik juga dalam hatinya keraguan sama ada June betul-betul memuji atau sekadar mahu mengambil hatinya sahaja.

"Hisy, tak adalah. Biasa saja." Dani cuba menangkis pujian itu. Baginya, dia masih dalam proses belajar. Walau diakuinya, dia menggunakan formula penulisan yang sedikit berbeza dengan lagu-lagu pasaran perdana pada hari ini. Namun, itu tidak bermakna dia layak untuk menerima pujian menggunung seperti yang keluar dari mulut June itu.

"Betul, I tell you. You are very talented. Alunan muzik yang dibawa Dani segar dan tak pernah June dengar sebelum ini. Begitu juga susunan lagunya yang menarik ditambah pula lirik lagu yang seolah-olah bercerita tentang satu epik perjalanan hidup yang lengkap. Suka dan duka." June menambah ulasan penjuriannya.

Dani sudah tiada daya untuk mengukir senyum. Kata-kata June itu sekadar didengarnya sepintas lalu.

June kemudian menekan butang memainkan perakam CD keretanya. Sebuah lagu The Plastic Tree yang dimuat turunnya dari Internet selepas itu menguasai ruang kabin kereta itu. Begitu hebat teknologi zaman sekarang. Seseorang tidak perlu lagi bersusah payah ke kedai CD untuk mencari lagu-lagu yang diinginkan. Cukup mudah sekarang, semuanya hanya di hujung jari. Namun, teknologi itu ada pro dan kontranya. Pronya ialah ia bagus untuk promosi. Kontranya pula, ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil untung atas angin daripada sesuatu hasil kerja orang lain.

Dani sedikit teruja dengan usaha June itu. Suasana menjadi terdiam seketika apabila masing-masing sekadar menghayati lagu yang berkumandang dari perakam CD kereta.

"June gembira dapat mengenali Dani." June memecah kesunyian sambil berpaling kepada Dani. Sekilas mata mereka bertembung. June mengukir senyum. Dani juga. Hatinya sekilas juga meresap rasa bahagia kerana dapat merasai June cukup menyokongnya.

"Terima kasih, June," ucap Dani dengan wajah yang berseri.

June membalasnya dengan satu lagi kuntuman senyum.

Selepas itu, keadaan kembali sunyi bila Dani terlentok kepenatan. Peluang itu diambil oleh June merenung setiap inci wajah Dani. Rasa bahagia menyelinap ke hati kecilnya bila melihat ketenangan wajah Dani seumpama seorang bayi itu. Namun, rasa itu tak bertahan lama bila hatinya kemudian tiba-tiba diserang rasa serba salah, entah mengapa.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co