Bab 7
PAGI menjelma lagi. Tubuh tirus Dani masih meringkuk di atas tilam. Dua bibirnya terketar-ketar. Tubuhnya menggigil. Suhu badannya panas sekali. Matanya pedih dan berair. Kedua-dua tangannya memeluk erat tubuhnya yang kian susut. Barangkali bahana ditimpa hujan lewat petang semalam.
Dia cuba juga untuk bangun. Matanya dibuka perlahan-lahan. Tangannya kemudian mencari telefon tangannya. Dalam samar-samar dia menjeling jam di skrin telefon tangannya itu. Jemari ketarnya kemudian mencari nombor telefon Miss Janet untuk dihubunginya. Selepas nombor yang dicarinya dapat dijejaki, butang mendail ditekannya, kedengaran suara Miss Janet menyambut di talian. Dalam serak, dia memaklumkan keadaannya itu kepada Miss Janet. Miss Janet sedikit terkejut dan bimbang. Sempat dia menasihati Dani supaya segera ke klinik sebelum talian terputus.
Dani kembali menutup matanya. Namun buat seketika cuma. Dia kemudian cuba mengumpul kekuatan untuk bangun dengan menggunakan kedua-dua tangannya sebagai penyokong. Akhirnya, dia berjaya berdiri.
Selepas berjaya mengimbangi tubuhnya, dia melangkah longlai setapak demi setapak ke ruang dapur. Pintu peti ais dibukanya. Beg plastik sebuah farmasi diseluknya. Satu papan Paracetamol dikeluarkan dari beg plastik itu. Dua biji pil segera dileraikan dari papan itu lalu disuakan ke mulutnya. Terasa sedikit payah pil itu untuk ditelannya. Diteguknya aip paip apabila menyedari botol air dalam peti ais itu kosong.
Dia kembali semula ke bilik tidurnya. Tubuhnya perlahan-lahan direbahkan semula ke atas tilam. Selimut ditariknya menutup seluruh tubuh. Beberapa saat kemudian, kelopak matanya tertutup rapat.
Sementara itu, di sebuah ruang pejabat di tengah-tengah ibu kota, June tersenyum sendirian.
Dani... desis hati kecilnya.
Kacak. Hatinya berdesis lagi, nakal.
Hatinya tercuit bila teringatkan penampilan Dani semalam. Kemeja tangan panjang coklat berlajur kecil dengan tali leher biru tua. Dia perasan kemeja dan tali leher yang Dani pakai itu sama sewaktu kali kedua mereka bertemu di Yellow House sebulan yang lalu. Namun, beza kali ini dipadankan dengan slek hitam.
Walau penampilanmu semalam janggal, ketampananmu tetap terserlah. Handsome macam TMJ... TMJ versi tinggi. Dia ketawa sendirian, geli hati dengan bisikan hatinya sendiri.
Kerusi pejabatnya berpusing tiga ratus enam puluh darjah. Pandangannya kini keluar dari cermin kaca bangunan pencakar langit di tengah-tengah ibu kota itu.
Nampak tak terurus, tapi segaknya tulus. Hatinya beritma pantun nakal pula.
Mungkin dia perlukan seorang perunding imej, bisik hatinya lagi sambil mengetuk-ngetuk sebatang pen ke bibirnya dengan senyuman nakal masih terukir di situ.
"Tapi takkanlah orang yang pernah tinggal di kota Tokyo tak tahu nak melaram? Tokyo, seluruh dunia tahu ibu kota fesyen." Dia terus bermonolog sendirian. Kali ini berbunyi dari dua tubir bibirnya.
"Wait! Wajahnya macam aku pernah lihat sebelum ini. Tapi di mana ya?" Persoalan itu tiba-tiba bersarang dalam fikirannya. Dia memerah otaknya beberapa ketika sambil berlegar-legar dalam ruang pejabatnya itu.
"Hah, majalah Rock The World! Ya, aku pernah lihat wajah dia dalam majalah itu!" ungkapnya dengan keterujaan, menjawab untuk soalannya sendiri. Lantas dia kembali ke mejanya dan meraba tas tangannya. IPhone 6 miliknya segera didail.
"Helo, apa hal pagi-pagi dah call aku ni? Dato nak meminang kau ke?" Buah perli menyambutnya di talian telefon.
"Bukanlah. Eh, majalah R.T.W yang lama-lama dulu kau ada simpan lagi tak?" balas June menempis perlian rakan serumahnya itu.
"R.T.W?" Suara dalam talian sedikit bingung.
"Alah, lambat pikap betullah kau ni. Rock The World!" June menjelas maksud akronim rekaannya itu.
"Oh, majalah itu. Aku ingatkan apa tadi. Akronim ini susah sikit aku nak faham. Satu akronim saja aku tahu," ujar Linda.
"Apa dia?" soal June.
"O.T.T.S.D!" balas Linda. Nadanya sedikit tinggi.
"Apa tu?" Giliran June pula tidak mengerti.
"Orang Tua Tak Sedar Diri!" jawab Linda. Berderai tawa daripada June selepas mendengar keluhan Linda itu.
"Apa yang dia buat lagi?" cungkil June.
"Apa lagi, menggatallah. Sentuh sana, sentuh sini." Linda meluahkan punca lentingannya.
"Sabar sajalah Linda, kalau bukan kerana O.T.T.S.D itu takkan merasa kita pakai Prada, Gucci atau kereta mahal yang kita pakai sekarang," pujuk June.
"Kalau tak kerana tu, dah lama aku flying kick tua ganyang tu," keluh Linda lagi.
"Ada tak?" tanya June, kembali kepada tujuan asal.
"Apa yang ada? O.T.T.S.D itu?" Linda kebendulan.
"Orang tua ganyang tu aku nak buat apa, majalah itulah," jawab June.
"Manalah tahu kau nak rasa penangan dia pula," pancing Linda.
"Hisy, tak hendaklah aku! Tok misai seorang itu pun aku dah tak larat nak bersabar, nak tambah seorang lagi? Ada tak majalah itu?" ungkap June dengan mimik muka loya. Kedengaran di dalam talian telefon suara ketawa terbahak-bahak.
"Entah, ada kut. Tapi kenapa tiba-tiba tanya pasal majalah itu pula ni? Takkanlah bos kau nak iklankan kereta dalam majalah itu kut? Itu majalah muzik, bukan majalah kereta," balas Linda.
"Bukan macam tu. Hmmm, nantilah aku terangkan bila balik rumah. Kau pasti ada lagi majalah itu kat rumah?"
"Itu aku tak jamin, tapi rasanya ada kut," balas Linda lagi.
"Okey, jumpa di rumah nanti. Bye." June menutup perbualan. Senyuman nakal perlahan-lahan kembali terukir di bibirnya.
June sebenarnya tinggal bersama dua sahabat baiknya, Linda dan Julia di Seksyen 13, Shah Alam. Mereka akrab sejak menimba ilmu di kolej lagi. Linda dan Julia juga bertugas sebagai pembantu peribadi. Linda di sebuah syarikat pembinaan dan Julia pula di pejabat seorang ahli politik.
TIBA di rumah sewaan lewat petang itu, June segera menyelokar majalah-majalah di bawah meja di ruang tamu.
"Kau ni kenapa Cik June oi? Macam tikus mencari anak saja," tegur Linda yang sudah setengah jam bersama Julia memacak mata pada skrin televisyen di situ. Khusyuk benar mereka dengan drama Sayangku Kapten Mukhriz.
"Eh, ada ke peribahasa tu?" soal June, mencipta buah jenaka petang itu.
"Entah, dulu BM SPM aku cukup-cukup kredit aje. Peribahasa aku sendiri kut." Jawapan daripada Linda itu menjadi suasana bertambah gamat dengan hilai tawa.
"Linda, ada lagi tak majalah R.T.W ini?" soal June apabila edisi yang dicarinya tiada di situ.
"Cuba kau lihat kat bilik aku," jawab Linda.
June segera ke bilik Linda. Beberapa minit kemudian, dia muncul semula di ruang tamu itu dengan satu susunan majalah setinggi lututnya. Dibeleknya majalah itu satu per satu.
"Hah, ini dia!" jerit June selepas beberapa ketika, cukup membuatkan Linda dan Julia yang sedang leka menghayati drama slot Akasia di saluran TV3 itu tersentak. Lantas mereka saling memaling pandangan ke arah June yang tersenyum sendirian.
"Hang ni kenapa, June? Pelik semacam aje," soal Julia yang naik pelik dengan perilaku June itu.
"Ingat tak lagi jejaka yang aku cerita semalam?" Terbit soalan itu pula dari mulut June.
"Jejaka pereka grafik itu ke?" Soalan bertukar ke mulut Linda.
"Haah. Tengok ini. Inilah dia," jawab June sambil menyuakan majalah itu kepada Linda dan Julia.
"Betul ke dia ni? Entah-entah pelanduk dua serupa." Julia menyusun ayat selepas menatap gambar dalam majalah itu. Dia sedikit meragui June.
"Yalah, entah-entah salah orang," tambah Linda lagi.
"Cuba kau baca namanya," ujar June untuk meyakinkan Linda dan Julia.
"Kalau betullah dia, mak oi handsome dan bergaya orangnya. Tapi daripada cerita kau semalam, sangat kontra. Betul ke dia yang kau maksudkan? Dia ini popular kat Jepun." Linda masih ragu.
"Dia ada beritahu aku, dia memang pernah belajar dan kerja kat Jepun," ulas June, terus cuba meyakinkan rakan-rakannya itu.
"Yang hang tiba-tiba berminat dengan dia ni, kenapa pula? Oh, jangan-jangan hang dah tangkap cintan dengan dia, ya?" usik Julia. Usikan itu menjadikan suasana kembali gamat dengan hilai tawa.
Muka June merah padam jadinya. Ketara riak-riak kemerah-merahan di dua belah pipinya.
"Kau jangan June, nanti meletus Perang Dunia Ketiga. Jangan sampai Dato K gentel misai dan asah parang," sakat Linda lagi. Suasana jadi kian gamat dengan derai tawa.
"Ini June la. Takkan mungkin berlaku itu semua," kata June dengan gaya angkuh yang dibuat-buat.
"Hmmm, beginilah. Nanti aku cuba tanya Tom tentang jejaka ini untuk kesahihan kau tu," ujar Linda demi melegakan hati June. Tom, teman lelakinya merupakan seorang bekas anggota sebuah kumpulan muzik Indie tempatan. Pasti pengetahuannya luas tentang perihal muzik dalam dan luar negara.
APARTMEN bernombor 501 seperti selalunya, sunyi dan suram. Dani masih terbaring di atas katil. Namun, panas tubuhnya beransur kebah. Perutnya mula berkeroncong. Sehari suntuk dia tidak menjamah apa-apa makanan. Dia mengangkat tubuhnya yang dari sehari ke sehari kian susut itu. Dia duduk seketika di bucu katil sambil mengurut muka sembapnya dan kemudian beralih ke rerambut liar di pipinya. Selepas seketika, dia bangkit bersama satu hela nafas pendek.
Dengan sedikit tenaga yang ada, dia bangun dengan berpaut pada dinding bilik. Selepas tubuhnya dirasakan stabil, dia menapak ke ruang dapur. Suis lampu dipetiknya. Lalu cahaya malap terbias ke persekitaran ruang itu. Tin biskut dikopaknya menggunakan sudu. Sekeping biskut jagung disuakan ke mulut. Kunyahannya perlahan sahaja. Dayanya masih belum pulih sepenuhnya.
Selepas menelan kunyahannya, Dani memasukkan air paip ke dalam heater dan menjerangnya. Bersama tin biskut yang masih dipeluknya, dia menapak ke ruang tamu. Punggungnya dilabuhkan ke atas sofa. Sempat dia menjeling ke arah jam yang tergantung di dinding ruang tamu itu sebelum jarinya menekan butang alat kawalan jauh TV. Angka jam menunjukkan pukul 8.30 malam.
Hampir separuh hari dia terlantar di bilik tidur rupanya. TV berdesir. Hanya bintik-bintik terpapar di skrinnya. Dani mencapai pula alat kawalan Astro di atas meja tamu. Jarinya menekan butang alat kawalan itu saluran demi saluran. Memandangkan tiada siaran yang menarik perhatiannya, dia menekan saluran 832. Ketika itu siaran ulangan perlawanan bola sepak EPL antara Sunderland dan Hull City sedang berlangsung.
Mulut Dani mengunyah sekeping lagi biskut jagung. Kemudian sekeping lagi dan berkeping-keping lagi selepas itu. Perutnya benar-benar kosong. Beberapa minit kemudian, kedengaran bunyi suis pemanas air berbingkas dari arah dapur. Dia segera bangun mendapatkan pemanas air itu.
Kopi kosong pekat segera dibancuhnya. Dia kembali semula ke ruang tamu bersama secawan kopi. Diletakkan kopi panas itu di atas meja tamu sebelum dia berlalu melewati pintu bilik air.
Selepas mandi dia merasa sedikit bertenaga. Badannya sedikit segar selepas dijirus air paip yang dingin. Panas tubuhnya juga telah hilang. Tanpa berbaju, dia kembali semula ke ruang tamu.
Kopi kosong di atas meja tamu yang mula suam dihirupnya beberapa teguk. Perlawanan bola sepak di saluran ESPN HD itu masih berlangsung tanpa sebarang jaringan. Jemu melihat kehambaran itu, Dani sekali lagi bingkas bangun dan menuju ke ruang dapur. Kabinet dapur dibukanya. Sebungkus mi segera diambil dan direbusnya dengan air panas yang baru dimasak tadi. Dua minit berlalu, dia kembali semula ke ruang tamu bersama semangkuk mi segera kosong. Dia berpatah semula ke dapur untuk mengambil botol sos cili dan kicap di dalam peti ais.
Sos cili Kimball dan Kicap Kipas Udang itu dicuahkan beberapa titik ke mangkuk mi segera kosongnya untuk memberi sedikit perasa tambahan sebelum beberapa urat mi itu disudu dan disuakan ke mulutnya. Jam di dinding ruang tamu ketika itu sudah menghampiri pukul sepuluh. Dia menjenguk beberapa saluran berbayar Astro yang lain selepas perlawanan antara dua kelab bawahan Liga Inggeris itu menjadi semakin menjemukan. Namun masih tiada satu pun siaran yang menarik perhatiannya untuk ditonton. Lantaran itu, dia kembali semula ke saluran ESPN HD tadi.
Beberapa ketika selepas itu, dia termenung kosong sambil menyandarkan kepalanya pada penyandar sofa. Terlintas dalam fikirannya, betapa bertuah jika dia ada teman serumah. Boleh juga dia menghilangkan rasa sunyi dengan berbual. Namun, bila memikirkan tentang privasi, fikiran itu cepat-cepat disingkirkan.
Tak semena-semena terlintas pula dalam fikirannya tentang ajakan Hafifi beberapa minggu yang lepas. Seperti terdorong, perlahan-lahan dia bangun dari labuhan punggungnya dan melangkah ke arah bilik stor.
Dia menyelongkar barang-barang lama yang terisi di ruang itu untuk mencari sebuah gitar. Tak semena-mena dia terpandang kepada sebuah kotak yang tertulis di atasnya nama Ayumi. Namun, dia segera melarikan arah pandangannya ke arah sebuah hard case gitar yang terperosok di satu sudut.
Hard case yang sudah sekian lama tidak disentuh itu diangkatnya dan dibawa ke ruang tamu. Klik hard case itu perlahan-lahan dibukanya. Sebuah gitar akustik berjenama Takamine kemudian dikeluarkan dari beg itu. Sudah terlalu lama dia tidak menyentuh gitar itu.
Tangannya segera menyapu sedikit habuk yang sekian lama juga melekat pada tubuh gitar. Walaupun sekian lama berada dalam bekas kedap udara, entah bagaimana habuk masih mampu hinggap di tubuh kayu maple itu. Jelas terbentuk jalur-jalur tangannya pada tubuh gitar itu. Ditiup sekitar tubuh gitar itu pula beberapa kali, cuba untuk menghilangkan debu-debu degil. Habuk kemudian berterbangan di sekitar ruang tamu itu menyebabkan dia dua tiga kali terbatuk kecil.
Gitar itu dilap dan diusap seluruh tubuhnya menggunakan kain tuala kecil. Tali-temalinya pula disapu menggunakan beberapa helai kertas tisu. Selepas itu, dia mula menala tali-temali itu. Tidak sampai tiga minit, gitar itu sedia untuk dimainkan.
Perlahan-lahan dia memetik gitar. Bunyinya tidak senyaring dan semerdu dulu. Mungkin temalinya perlu diganti dengan yang baru, keluh hati kecilnya apabila menyedari sudah ada karat yang melekat pada tali-temali bersalut logam itu. Sebuah lagu nostalgia ketika bersama dengan The Plastic Tree dipetiknya dengan kotak fikirannya melayang merentas masa.
Tokyo, 2011...
"THIS is a last song." Ucapan itu mengundang sorakan dan jeritan daripada penonton yang bersesak-sesak di bawah pentas. Lautan manusia membanjiri persekitaran Tokyo Park itu.
"So, this is a song called Konichiwa." Serentak kata-kata itu, dentuman dram Hafifi menguasai seluruh pelusuk taman awam itu. Ngauman gitar Dani dan bunyi garau gitar bass petikan Kobayashi menyusul diiringi petikan melodi sedikit gothic daripada keyboard Ayumi. Penonton dari kalangan remaja mula naik gila.
Dani mara ke hadapan selepas menghabiskan riff permulaannya. Lagu rancak itu dialunkan penuh penghayatan. Penonton di bahagian hadapan pentas menjadi semakin agresif. Ada antara mereka mula berani naik ke atas pentas dan melakukan luncuran badan ke arah penonton yang berada di bawah pentas. Jerih pengawal pentas mengawal keadaan.
Lagu yang berdurasi hampir empat minit itu dinyanyikan liris oleh Dani. Reaksi daripada penonton menjadikan dia lebih bersungguh-sungguh. Bait-bait liriknya turut dinyanyikan bersama oleh penonton. Suasana seperti hilang kawalan. Penonton terus berasak mara ke hadapan pentas setinggi kepala itu. Masing-masing berdansa gila mengikut rentak lagu.
Dani juga seperti dirasuk satu kuasa dan terus melompat ke arah penonton. Tubuhnya disambut oleh penonton dan dijulang untuk beberapa ketika sebelum dihantar semula ke pentas untuk menyambung nyanyiannya.
Belum pun sempat lamunan itu ke penghujung, telefon tangannya berbunyi. Dani tersedar dan segera mendapatkan telefon tangannya itu.
Apa cerita?
Tertera ayat soal itu di skrin Samsung J1nya.
Cerita apa?
Taip Dani sebagai balasan.
Pasal yang kita bincang tempoh hari.
Datang jawapan itu kemudian. Dani baru tersedar, sebulan sudah berlalu rupa-rupanya. Telah lama dia membiarkan rakannya itu menunggu kata putusnya. Dani berfikir sejenak, memikir aturan kata yang sesuai. Kemudian, jemarinya pantas menaip kekunci huruf telefon tangannya itu.
Sorry, aku belum buat keputusan lagi.
Selepas itu, tiada lagi mesej diterima daripada Hafifi. Dani bangun dan melangkah ke balkoni apartmen. Anak matanya dilemparkan ke arah sekitar. Kerlipan lampu-lampu ditambah dengan bunyi kereta api barang yang menarik gerabak yang panjang tiba-tiba memeningkan kepalanya.
Fikirannya sekonyong-konyong jadi kacau-bilau. Kepalanya terasa seperti dipukul oleh satu objek keras. Ajakan rakannya itu seakan mula menjadi satu beban kepadanya. Dia pernah berjanji pada dirinya sendiri tidak akan bermain muzik secara serius lagi. Angin malam sepoi-sepoi bahasa yang menghembus ke kulit mukanya seakan angin lalu yang tidak memberi sekelumit rasa kepadanya. Apa yang dirasakannya cuma kecamukan yang makin menekan jiwanya.
Deruan enjin kereta api dari arah landasan membuatkan dia semakin keliru. Ditambah pula pekikan hon kereta api itu yang bingit menjadikan fikirannya makin bercelaru. Kepalanya dirasakan seperti bergegar menunggu masa untuk pecah. Dia memegang kepalanya dengan kedua-dua tangannya. Segala bunyi kecamuk terus menyerang kamar fikirannya itu.
"Salah engkau, Dani!" Tiba-tiba satu suara menjerit kepadanya.
Dani tergaman. Mula menggeletar.
"Salah engkau!"
"Salah engkau!"
Dua tangannya makin kejap memegang kepalanya yang tiba-tiba menjadi gasing.
"Engkau yang salah!"
"Engkau! Engkau! Engkau!"
"Pang!!!"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co