BAB 12
KONDOMINIUM bergelap. Ain petik suis lampu di dinding, tepi pintu. Dipandangnya sekeliling ruang tamu yang kini sudah bermandikan cahaya lampu. Kondominium mewah yang besar itu begitu sunyi. Nampaknya kakaknya itu bermalam di luar lagi.
Kunci rumah kemudian digantung pada tempat kunci yang melekap pada dinding, di bawah suis lampu. Sejurus itu langkahnya diatur longlai ke biliknya.
Ain melabuhkan duduk di atas katil. Agak lama dia berjeda memikirkan tentang kakaknya. Kondominium yang mereka diami itu bukan calang-calang orang mampu memilikinya. Kalau bukan mempunyai business sendiri, hanya anak orang kaya saja yang mampu membeli. Tapi kakaknya itu tak masuk pun dalam kedua-dua kategori. Mereka bukannya anak orang berada. Apa yang kakaknya itu boleh buat ialah menggunakan tubuh badan sebagai modal 'perniagaan'.
Astaghfirullahazim! Ngeri Ain setiap kali memikirkan pekerjaan kakaknya itu.
Ain sandarkan tubuhnya pada kepala katil. Manakala kakinya pula dilunjurkan lurus ke depan. Mahu meredakan lelah sebentar. Patung beruang yang terletak di sebelah kemudian dicapai.
"Cici... Apo patut Ain buek?"
"Kalau Ain togo, kakak mosti mongamuk." Bicaranya diteruskan.
"Apo?" Patung beruang didekatkan ke telinga.
"Tapi kalau Ain tak togo, Ain bedoso samo..." Ain serba salah sebenarnya. Sangkanya dengan mengikut kakaknya ke Kuala Lumpur, hubungan mereka akan terjalin rapat tapi nampaknya harapan hanya tinggal harapan. Adakalanya dia terasa menyesal datang ke situ. Sekarang dia terpaksa bersubahat dengan kegiatan tak bermoral kakaknya. Dia sesekali tak akan mengadu kepada wan. Nak mati?
"Apo nak jadik laaa hai..." Keluhannya dilepaskan kemudian.
"HOI!" Kedengaran satu suara kasar menjerkah. Nabil menoleh ke belakang. Kelihatan seseorang sedang berdiri dalam jarak kira-kira 20 meter darinya. Namun wajah pemilik suara kasar itu tak dapat dikenali Nabil. Apatah lagi kepalanya bertutup dengan hood jaket yang sedang dipakainya.
"Apa hoi-hoikan orang? Aku ada nama la!" Nabil melepas geram.
"Aku tak nak tahu nama kau pun." Orang yang memanggil tadi berkata seraya melangkah ke depan mendekati Nabil.
"Tak nak tahu sudah. Aku pun tak ingin nak layan kau. Buang masa aku saja." Nabil memusingkan tubuhnya, membelakangi orang yang tak dikenali itu. Nabil malas nak layan. Orang itu yang tiba-tiba memanggil, alih-alih nak berlagak sombong pula.
"Hoi!" Kedengaran lagi laungan.
Dek terasa geram, Nabil berpaling semula. "Hek eleh! Kau nak main kasar nampak?"
Nabil meluru ke depan. Mahu dihentaknya orang yang tak ada adab itu. Namun belum pun sempat Nabil menghentak, perutnya 'makan kaki' terlebih dahulu. Terbongkok-bongkok Nabil menahan rasa senak akibat tendangan pantas daripada orang yang tak dikenalinya itu. Dalam keadaannya yang masih terbongkok-bongkok kesenakan itu, rambut pada bahagian ubun-ubunnya pula digenggam dengan kasar. Kemudian rambutnya itu disentap ke belakang sehingga kepalanya terngadah ke langit nan kelam. Nabil cuba melawan tetapi niatnya itu terbantut apabila si misteri itu meletakkan pisau betul-betul pada batang tenggoroknya.
"Kau nak apa sebenarnya dengan aku? Aku... Aku tak kenal kau..." Suara yang tadinya bagaikan 'abang long kawasan', kini sudah terketar-ketar. Wajah si misteri di depannya itu cuba diteliti namun dalam cahaya samar-samar itu, Nabil masih tak dapat mengenalinya. Apatah lagi mukanya bertutup dari paras hidung hingga menutupi dagu. Hanya matanya saja yang kelihatan.
"Kau tahu apa balasan bagi lelaki hidung belang?"
Zup! Pisau terus ditoreh pada batang tenggorok sebelum sempat mangsanya berkata-kata. Nabil rebah di situ juga. "Ini balasan untuk lelaki hidung belang." Soalannya tadi dijawabnya sendiri.
3 tahun sebelum...
SYREETTT!!! Brek ditekan mengejut.
"Ah sudah! Aku langgar apa tadi?" Karl sudah tak sedap hati. Dikerlingnya sekeliling yang gelap. Kemudian dia kerling pula jam di tangan. Pukul 11 malam! Tiba-tiba bulu roma di tengkuknya terasa berdiri. Tengkuknya mulai seram sejuk.
Karl pasti sebentar tadi dia ternampak satu kelibat berwarna putih melintas dengan begitu pantas. Mujurlah dia tak mudah panik, lalu pedal brek ditekannya lekas-lekas. Setelah hampir seminit berfikir, Karl ambil keputusan untuk keluar dari kereta. Buatnya dia telah melanggar seseorang, tak ke naya?
Tali pinggang keledar dibuka. Kemudian daun pintu kereta dikuak. Dengan berhati-hati, Karl keluar dari keretanya. Persekitaran diperhatikan sekali lagi. Tiada apa-apa yang mencurigakan. Tiga saat kemudian gegendang telinganya ditampar suatu suara. Jelas bunyi suara orang mengerang. Lekas-lekas Karl berkejar ke arah suara erangan itu.
"Ya Allah!" Karl terperanjat apabila mendapati seorang gadis bertelekung putih terbaring di atas jalan, betul-betul di bawah muncung keretanya.
"Cik... Cik tak apa-apa?" soal Karl panik.
"Tak... Den tongah seghonok tobaghing ni. Ekau tak nampak ko?" Sindiran sinis daripada gadis itu membuatkan Karl rasa geli hati. Namun ditahannya tawa yang menggelegak dalam perut. Tak baik ketawakan orang yang sedang dilanda musibah. Sepatutnya dia bersimpati tapi entah kenapa dia rasa nak tergelak mendengar gadis itu bercakap. Mungkin dialek bahasa gadis itu yang menyumbang kepada rasa geli hatinya itu.
"Cik boleh bangun tak ni? Nak saya dukung?" soal Karl kemudian. Soalannya serius, bukan mengejek. Dia betul-betul ikhlas nak tolong.
"Nak ambil kosompatan, yo? Ni, nampak?" Penumbuk yang sudah dikepal dihala ke muka Karl.
Perghhh... Garang gila! Namun kata-kata itu cuma dituturkan dalam hati. Gila nak kompelin? Karang penumbuk hinggap ke mukanya pula.
Ain berusaha untuk bangun. Tangan Karl yang cuba membantu ditepisnya. "Tak payah! Den tahu nak bangun sendighi."
Karl perhatikan saja Ain cuba berdiri dengan memaut keretanya memandangkan gadis itu beria-ia tak mahu dibantu. Sebaik sahaja berjaya menegakkan badannya, Ain memulakan langkah, namun jalannya terdengkot-dengkot. Amaran Ain sebentar tadi diketepikan. Karl cuba memapah Ain berjalan. Namun sekali lagi penumbuk dihala ke muka. Karl angkat tangan ke paras bahu. Sebagai tanda mengalah dan tak akan cuba menyentuh perempuan itu lagi.
Wajah perempuan itu Karl perhatikan dengan teliti. Dari pengamatannya, gadis yang dilanggarnya itu masih lagi remaja. Mungkin juga budak sekolah. Simpati melihat remaja itu berdengkot-dengkot sebegitu, Karl membuka pintu keretanya.
"Abang hantar adik ke klinik."
"Klinik?" soal Ain.
"Ya... Manalah tahu ada luka dalaman, bahaya."
"Kau gilo ko apo? Malam-malam buto camni, klinik mano yang bukak?"
"Oh! Betul juga..." Karl termalu. Baru teringat yang dia kini berada di Kg. Gemencheh Ulu, bukannya Seremban.
"Apa kata abang hantar adik balik ke rumah?" Karl tawarkan khidmat. Dia berasa bertanggungjawab untuk memastikan remaja itu selamat pulang. Tambahan dia rasa bersalah kerana dia yang menjadi punca remaja itu berdengkot. Mujurlah dia sempat membrek keretanya tadi. Kalau tak, harus dah terperosok bawah kereta. Silap-silap dah arwah remaja itu tadi.
"Jangan takut. Abang betul-betul nak tolong. Sumpah, demi Allah!" Karl angkat tangan kanan ke paras telinganya umpama orang yang sedang mengangkat sumpah.
Ain tiba-tiba ketawa. Karl terpinga-pinga. "Kenapa adik ketawa?"
"Cagho encik borsumpah tadi... Den toghingek dokek kawan-kawan sekolah den. Sikit-sikit nak borsumpah domi Allah bagai!" jelas Ain. Karl tersengih cuma. Terasa dia seperti budak-budak pula.
"Encik tau tak, sumpah ni tak buleh dibuek main-main? Lobih-lobih laie bilo guno namo Allah." Ain sudah menjadi ustazah. Cita-citanya sejak kecil itu kini cuba dipraktikkan.
"Tapi abang ikhlas nak tolong ni. Demi Allah! Errr... Sumpah! Errr... Betul! Abang ikhlas." Tersasul-sasul Karl apabila tak pasal-pasal diceramah oleh ustazah muda yang tak dikenalinya itu.
"Ikhleh takyah nak dikoba'an. Kalau dah dikoba'an kek oghang yang dio ikhleh, bolum cukup ikhleh laie namo eh tu."
Ah! Kena lagi. Karl membuang sengih.
"Baiklah encik, den kono balik sokaghang ni. Dah lambek ni ha!" Ain kemudiannya kembali mengatur langkah.
"Eh, adik... Biar abang hantar balik. Takkan nak berjalan terdengkot-dengkot macam tu?" Karl tak sampai hati melihat gadis remaja itu balik sendirian dalam keadaan begitu. Sudahlah malam gelap-gelita.
Ain tak jadi melangkah. Dia ukir senyuman nipis kepada lelaki yang telah melanggarnya itu.
"Takpo la encik, den buleh laie jalan ni. Bolum patah laie kaki den ni."
"Tapi... Abang yang langgar adik tadi... Abang rasa bersalah sangat kalau tak hantar balik. Please!" Karl masih mengharapkan remaja itu menerima pelawaannya. Dia benar-benar ingin membantu.
"Encik ni tak dongar ko apo? Kan den dah kato, kaki den bolum laie patah." Ain tetap bertegas tak mahu dihantar pulang.
"Laie satu... Tak payah nak berabang-abang sangatlah. Bilo maso den ni adik ekau? Konal pun tak." Ain sudah melenting.
"Nama saya Karl... Panggil Abang Karl... Boleh, kan?"
"Nasib baik bukan namo Kyle. Kalau tak, den panggil bangkai..." Sinis Ain berkata.
"Siapa nama adik?" Tanpa mempedulikan ejekan gadis remaja itu, Karl terus bertanya lagi.
Soalan lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Karl itu Ain tak respons. Sebaliknya wajah itu ditelitinya. Seingat Ain, belum lagi dia melihat lelaki itu sebelum ini. Wajahnya persis lelaki Inggeris tetapi bahasa Melayunya begitu fasih sekali. Mungkin juga berdarah campuran. Atau mungkin juga dibela orang Melayu. Dua kesimpulan dibuat.
"Encik ni oghang putih, yo?" soal Ain setelah puas meneliti.
Angguk. "Tapi mak Melayu..." Karl menjelaskan.
"Adik?" soal Karl pula. Remaja yang dilanggarnya itu pun sama sepertinya juga nampaknya.
"Anak Bosnia... Tapi orang Melayu bela." Giliran Ain pula menjelaskan tentang dirinya.
"Ohhh..." Karl memerhati raut wajah Ain seketika. Memang langsung tak berupa Melayu.
"Errr... Adik dari mana malam-malam ni?" Satu lagi soalan diaju. Karl sebenarnya cuba beramah-tamah. Entah kenapa hatinya tiba-tiba rasa ingin mengenali remaja itu lebih dekat lagi.
"Daghi rumah agam ateh bukit tu." Ain membalas. Jari telunjuknya dituding ke arah di mana letaknya rumah agam yang diperkatakan itu.
Tersentak Karl sebaik sahaja mendengar jawapan dari gadis remaja itu. Rumah agam tak berpenghuni itu? Biar betul!
Tiba-tiba tawa Ain terhambur lagi. "Encik ingek den ni hantu, yo? Den daghi sughaulah. Tadi ado coghamah agamo. Tu yang lambek balik."
"Ohhh..." Sekali lagi Karl terpaksa menahan malu. Sememangnya dia agak cuak juga apabila remaja itu memberitahu dia dari rumah agam itu kerana setahunya rumah agam itu sudah bertahun-tahun terbiar tanpa penghuni.
TERSENGIH-sengih Karl mengingatkan pertemuan pertamanya dengan Ain. Amat lucu jika dikenang semula peristiwa itu. Tak pasal-pasal Ain yang bertelekung disangkanya hantu.
Pada ketika itu Karl sedang menjalani elective posting di hospital Seremban. Setiap kali cuti semester, Karl akan membuat elective posting selama 4 minggu di mana-mana hospital yang ditempatkan. Walaupun elective posting tidak diwajibkan kepada para penuntut perubatan namun Karl sengaja memohonnya bagi mengisi masa cuti semesternya. Dengan membuat elective posting, dia dapat menimba ilmu secara praktikal di samping mencari pengalaman sebelum membuat housemanship setelah menamatkan tempoh pengajian perubatan selama 5 tahun itu.
Memandangkan tugasannya cuma secara elektif, maka kerjanya tidaklah sesibuk doktor pelatih yang sedang membuat housemanship. Dia tak perlu on call. Hujung minggu pula dia bercuti. Sebab itulah hujung minggu saja dia ke kampung itu bagi mengisi masa senggangnya. Lagipun perjalanan dari Seremban ke kampung itu bukanlah jauh mana, cuma sejam lebih saja.
Tujuan Karl ke situ ialah untuk menghirup udara segar kampung. Dikelilingi dengan pokok-pokok kelapa sawit yang menghijau, dapat memberikan ketenangan kepadanya setelah puas berdepan dengan pelbagai ragam dan kerenah pesakit di hospital. Nampaknya percutiannya itu tak sia-sia kerana di situlah pertemuannya dengan Ain bermula.
Karl menarik laci meja. Gambar Ain dalam laci meja dikeluarkan. Wajah yang penuh dengan kelembutan itu direnungnya lama. Di sebalik kelembutan itu sebenarnya tersembunyi satu kekuatan. Karl kagum dengan gadis muda itu. Meskipun diuji dengan pelbagai rintangan, namun dia masih gagah meneruskan kehidupan. Redup renungan matanya. Tipis saja senyumannya. Bagaikan cuba menyembunyikan sebuah kedukaan yang lama terpendam.
Selama hampir 3 tahun mengenali Ain seperti mengenalinya sejak kecil. Gadis itu menyimpan seribu macam kisah duka. Ain sebenarnya bukan anak Bosnia tapi dia merupakan anak yang tidak dikehendaki akan kelahirannya. Lahirnya tak berbapa. Punya ibu, tapi langsung tak ambil tahu. Kewujudannya hanya mengundang kebencian dan umpat cela. Selama ini Ain hidup atas kasih sayang neneknya cuma.
Karl tahu hubungan Ain dengan kakaknya tidaklah baik tetapi untuk merapatkan jurang di antara mereka, Ain sanggup lakukan apa saja. Karl juga tahu Ain bekerja di hotel itu pun sebab kakaknya yang mencarikan kerja itu untuknya. Bahkan Karl juga tahu kakaknya jugalah yang menukarkan nama Huurun Ain kepada Tamara. Alasannya, dia tak mahu orang memandang serong terhadap adiknya itu.
Setakat ini, semua orang di hotel itu percaya bulat-bulat bahawa Ain a.k.a Tamara itu merupakan anak kepada mangsa perang Bosnia. Sedikit sebanyak Karl bersetuju dengan tindakan itu. Status sebenar Ain wajar disembunyikan bagi mengelakkan umpat keji orang. Cukuplah penghinaan yang Ain terima sebelum ini.
Setelah agak lama berjeda, Karl hela nafas dalam-dalam. Sesungguhnya dia amat bersimpati dengan apa yang menimpa gadis itu. "Ain... Aku akan sentiasa menjaga kau," tutur Karl perlahan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co