BAB 7
KARL mengatur langkah perlahan. Seraya melangkah, dia memerhatikan para pesakit di wad psikiatri itu. Ada yang sedang tersengih-sengih sorang-sorang. Ada yang sedang berlawan pedang. Ada yang tidur saja. Sebenarnya pelbagai gaya serta reaksi yang boleh dilihat di dalam wad itu. Kadang-kadang reaksi para penghuni di situ mengundang senyum dan sengih sendiri.
Sejak bertugas di wad itu, sudah menjadi rutin Karl untuk membuat lawatan. Setiap pesakit akan direkod perkembangan emosi mereka.
"Doktor! Doktor! Tunggu kejap..." Seorang pesakit memanggil.
Langkah Karl terhenti. Dia segera menoleh kepada pesakit yang memanggilnya. "Ya, Pak Akob... Ada apa?" soalnya ramah. Tadi dilihatnya Pak Akob sibuk berlawan pedang.
"Doktor tahu tak, malam tadi Imam Mahdi datang jumpa Pak Akob," beritahu Pak Akob sebaik sahaja dia berada dekat dengan Karl.
"Dia datang nak buat apa, Pak Akob?" Karl layankan saja kerenah pesakit yang dipanggil Pak Akob itu.
"Nak ajak Pak Akob join perang," jawab Pak Akob.
"Perang? Nak lawan dengan siapa?" soal Karl.
"Lawan Yahudilah doktor! Doktor tak tahu ke dia orang tu jahat? Dia orang bunuh rakyat Palestin," beritahu Pak Akob lagi.
"Pak Akob nak lawan dengan apa? Dia orang tu kuat. Ada senjata..." Sengaja Karl menguji.
"Haish, doktor... Jangan cakap macam tu... Kita tak perlu senjata moden nak lawan Yahudi. Cukup dengan pedang dan kuda." Pak Akob nampak marah.
"Pak Akob ada pedang?" Karl menguji lagi.
"Ni pedang." Pak Akob tunjuk pedang di tangannya. Karl senyum nipis. Pembaris dikata pedang.
"Kuda?" Karl menguji lagi. Seronok juga melayan orang tak waras sekali-sekala.
Pak Akob menggaru kepala. "Tu la yang Pak Akob fikirkan dari malam tadi... Pak Akob bukan tak mau join Imam Mahdi pergi serang Yahudi tu... Tapi Pak Akob tak ada kuda..."
Karl tertawa kali ini. Kemudian bahu Pak Akob ditepuknya. "Tak apa, Pak Akob. Pak Akob tak payah join. Imam Mahdi tak marah punya. Dia suruh Pak Akob relaks dan tak payah fikir langsung pasal perang."
"Betul ni, doktor?"
"Betul... Pak Akob relaks dulu, ya..."
"Baik, doktor. Pak Akob nak pergi berlatih pedang bagi cekap." Usai berkata, Pak Akob terus berlari dengan melibas-libaskan pembaris di tangan.
Karl memerhatikan Pak Akob seketika. Lima saat kemudian dia kembali mengatur langkah.
Kringgg... Telefon bimbit di dalam kocek dikeluarkan. Terpapar nama Bidadari pada skrin. Karl mengukir senyum.
"Assalamualaikum, Ain..." Langkah terus diatur seraya berbual mesra dalam talian bersama si gadis pujaan.
SEKEPING kad perniagaan dihulur. Ain mengambilnya perlahan-lahan. "Sapo ni?" soalnya setelah membaca nama serta alamat pemilik kad perniagaan itu.
"Bapa kawan saya. Sekarang ni ada kekosongan jawatan receptionist di pejabatnya. Saya boleh tolong rekomenkan Ain bekerja di sana." Karl menjelaskan tentang kad yang dihulurkannya itu.
Ain menggeleng. Kad perniagaan diserahkannya kembali. "Ain kan dah ado kojo? Apo kato doktor boie kek yang laie momorlukan? Ghamai laie yang monganggur kek luar sano tu."
"Awak ni, Ain... Kerja kat hotel tu tak menentu waktu. Saya risau bila awak balik malam-malam. Sorang-sorang pula tu." Karl kecewa. Dia sememangnya tak bersetuju Ain bekerja di hotel kerana tempat kerja Ain itu menggunakan sistem syif. Bila kena syif malam, Ain akan balik pukul 11 malam.
"Doktor... Ain tau doktor ambik boghek kek Ain dan Ain hargai sumo tu. Tapi tolonglah paham kojo tu kakak yang carikan. Kalau Ain boghonti, kakak mosti hangin." Buat sekian kalinya Ain memberitahu. Doktor muda itu nampaknya masih tak faham-faham. Kalau kakaknya itu marah nanti, mahu tsunami nanti.
"Tapi Ain..."
"Ain pun bukan nak kojo lamo kek hotel tu... Doktor toksahlah risau, yo." Ain lekas-lekas memintas. Dalam masa yang sama dia tak mahu mengecilkan hati Karl sebenarnya. Selain dari takut kakaknya marah, Ain takut hendak terhutang budi dengan sesiapa pun. Dia takut kalau budi yang dihutang, tapi body pula yang tergadai. Buat apa? Ain cuba elakkan seboleh-bolehnya.
Karl menghela nafasnya panjang-panjang. Apa nak buat, orang tak sudi! Wajah polos di depannya itu direnung lama. Nampak lembut di luar tapi keras di dalam.
"Airnya, encik..." Kehadiran pelayan kedai, menamatkan renungan Karl. Lekas-lekas dia menoleh ke arah si pelayan yang membawa dua gelas air yang telah mereka pesan tadi.
"Terima kasih," ucapnya kepada si pelayan tadi.
"Sama-sama." Si pelayan kemudiannya beredar.
SEBUAH kereta sport mewah diparkir pada ruang parkir restoran. Ain yang sedang menunggu di luar restoran itu leka memerhati. Bukan dek mewahnya kereta itu tetapi warnanya yang menyerlah itu mengundang minat Ain untuk memandang.
Orennya! Hati kecil Ain mengomel. Dari jauh sudah menyilaukan mata. Kemudian kepalanya meninjau sedikit, manalah tahu boleh nampak muka pemandunya yang masih belum keluar dari kereta.
Sebenarnya bukanlah Ain berkenankan sangat kereta itu tapi dia sekadar mengisi kebosanan. Sudah lebih lima minit dia menunggu Karl yang entah pergi mana pula. Lama betul membayar, walhal minum air saja pun.
Di ruangan parkir, Sam memerhati sekeliling sebaik sahaja keluar dari kereta milik Daniel. Kemudian bebola matanya terpandangkan Ain yang sedang menunggu di luar restoran.
"Awek cunlah..." Sam berkata kepada Daniel yang baru sahaja keluar dari bahagian tempat duduk pemandu.
Ain cepat-cepat berpaling sebaik sahaja melihat pemandu kereta itu keluar dari kereta mewahnya. Ain tak mahu nanti pemilik kereta itu terperasan pula. Bukan dia nak mengurat pun. Ain sama sekali tak akan menggunakan kecantikan diri untuk meraih kesenangan hidup seperti yang dituduh oleh Kak Pora. Ain mahu hidup sederhana atas hasil titik peluhnya sendiri. Bagi Ain, harta banyak mana pun tak guna kalau tak ada ilmu. Tanpa ilmu, harta dengan mudah saja dihabiskan ke jalan yang tidak bermanfaat.
"Kau ni tak habis-habis dengan awek... Tapi taraf cun kau tu tak boleh pakai!" Daniel malas hendak melayan kerenah sahabatnya itu. Sudah acap kali terkena. Dulu Zizie pun Sam kata cun, walhal biasa-biasa saja. Cantik pun disebabkan mekap sekati. Lagipun, secun mana pun awek yang diperkatakan oleh Sam itu, memang dia tak berminat sebab semuanya berbangsa Melayu.
"Yang ni betul-betul cun. Lagi cun daripada Cass ni... Sumpah!" Sam bersungguh-sungguh meyakinkan Daniel.
"Kau nak kenalkan aku dengan siapa sebenarnya ni?" pertikai Daniel. Semalam beria-ia Sam membuatkan janji temunya dengan seorang perempuan Serani. Cun, seksi dan vouge kononnya. Sebab itulah dia sanggup datang ke situ.
"Dengan Cass la tapi Cass versi urban. Yang minah salih ni versi Muslimah. Kalau kau tak percaya, kau tengok sendiri." Sam berkata.
Tanpa menghiraukan kata-kata Sam, punat pada kunci keretanya ditekan. Kereta sport warna jingga berbunyi, menandakan pintunya sudah terkunci. Kemudian barulah Daniel memandang ke arah restoran, tapi bukan ke arah perempuan Muslimah yang diperkatakan oleh Sam tadi.
"Kau nampak tak?" Sam bertanya penuh teruja.
"Nampak apa?"
"Awek cun yang tengah berdiri di restoran tu la!" Sam menuding jari telunjuknya ke arah awek cun yang dia maksudkan itu. Penat dia beritahu Daniel dari tadi.
Daniel perhatikan sekali lagi. Malangnya gadis yang dikatakan cun itu sedang memandang ke arah lain. "Yang macam ustazah tu? You've got to be joking..." Daniel ketawakan Sam. Dah agak...
Walaupun Daniel tak nampak wajah gadis yang diperkatakan oleh Sam itu, namun berdasarkan penampilan pakaiannya sudah cukup untuk mengatakan gadis itu langsung tak memenuhi piawaian. Berbaju kurung, bertudung litup mencecah pinggang. Nak perkenalkan perempuan kepadanya sekalipun, biarlah berjenis sikit. Sam is really a joker!
"DOKTOR poie mano tadi? Lamo Ain tunggu." Ain kompelin sebaik sahaja Karl muncul.
Pertanyaan Ain itu Karl tak balas, sebaliknya lengan Ain yang berbalut baju kurung itu ditariknya. Langkah pantas diatur. Ain menurut tanpa banyak soal jawab. Namun hati kecilnya tertanya-tanya kenapa Karl seperti tergesa-gesa membawanya pergi dari situ.
Sementara itu, Sam dan Daniel mula menapak menuju ke restoran. Seraya menapak, mata Sam diarah kepada lelaki yang muncul di sebelah awek cun yang dia perhatikan tadi.
"Bro, itu nampak macam..."
"Why so late?" Pertanyaan Sam terhenti sebaik sahaja mendengar suara Cassandra, gadis Serani yang sudah lama ingin mengenali Daniel.
"Boss... Biasalah... Busy." Sam menjawab. Dia sebenarnya memerli Daniel. Bukan dia tak tahu sahabatnya itu bukan sibuk mana pun. Makan gaji buta saja. Maklumlah hotel kepunyaan bapa sendiri.
"Cass, perkenalkan... Daniel Haidar anak kepada pemilik hotel The Stanley's Suites..." Sam berkata lagi. Dia kemudiannya tersengih sebaik sahaja perasan Daniel sedang mencerlung ke arahnya. Langsung tak ada riak senyuman. Sam tahu Daniel memang tak suka diperkenalkan sebagai anak kepada pemilik hotel itu.
"Okay bro... This is Cass..." Kali ini Sam lebih serius apabila lawak yang dia cuba buat tadi nampaknya tak laku.
"Hi, I'm Cassandra... But you can call me Cass." Perempuan Serani bergelar Cass itu menghulur tangan. Salam perkenalannya kemudian bersambut.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co