Bab 10
Aku membelek-belek cincin yang tersarung di jari semenjak petang tadi. Setelah penat meniarap, aku menukar posisi. Aku memandang Nisa di sebelah yang dah lama terlena. Baru pukul sepuluh tadi dia kata dah mengantuk. Mana tidaknya, siang tadi dialah orang kuat yang banyak ke dapur.
Mata yang masih belum menunjukkan tanda mengantuk aku pejam. Namun fikiran masih lagi melayang. Bibir menguntum senyum, teringat-ingat peristiwa siang tadi. Ah, gila dah aku ni! Bunyi telefon bimbit yang betul-betul di sebelah bantal membuatkan mata aku terbuka luas. Dah dekat pukul dua belas ni. Siapa agaknya yang rajin nak mesej aku malam-malam macam ni? Bilik yang tadi hanya diterangi lampu jalan, kini ditambah dengan cahaya telefon bimbit aku. Jari laju menyentuh skrin. Tak lama, mesej si pengirim terpapar di skrin.
Tidurlah. Janganlah asyik menilik cincin tu. -Aiman-
Aku terkaku. Macam mana dia boleh tau aku tak dapat nak lelap ni? Lama aku diam, berfikir. Merangka-rangka ayat untuk menjawab mesej dia. Nak guna gaya bahasa macam mana ni? Gila-gila dan selamba macam dulu atau nak guna bahasa sopan lepas bertunang ni? Apabila angka minit di skrin telefon bimbit dah bertambah tiga, barulah aku membalas mesej Aiman.
Nak tidurlah ni. Dia tu kacau yang orang yang dah nak lelap ni. -Hanis-
Aku membaca kembali mesej yang sudah ditaip. Dia? Orang? Hahaha... Kalau bukan kerana Aiman dah jadi tunang aku, tak adanya aku nak guna kata ganti nama macam tu. Jangan Aiman pula yang asyik menggelakkan aku sudah.
Oh. Sorry. Saja aje nak menyakat orang tu. Manalah tahu excited sangat dapat cincin sampai bawa tidur. ^^ -Aiman-
Hampir nak ketawa aku baca mesej Aiman. Memang nak bawa tidur pun...
Eh? Tak boleh ke bawa tidur? Cincin mahal ni. Bukan senang nak dapat. :) Okeylah, Hanis buka sekarang. -Hanis-
Tak lama selepas repot diterima memberitahu mesej sudah sampai kepada penerima, Aiman menelefon aku. Lama aku memerhatikan skrin telefon bimbit. Teragak-agak aku mahu menjawab panggilan dia. Mengingatkan Nisa yang tengah tidur, aku terima juga panggilan dia. Sebelum butang hijau ditekan, aku berdehem dua tiga kali, membetulkan suara.
"Helo?"
"Assalamualaikum." Tenang Aiman memberi salam.
"Waalaikumussalam. Kenapa telefon malam-malam ni? Dah pukul dua belas dah? Telefon siang tak boleh ke?"
Aiman tak terus menjawab. Dia mendiamkan diri beberapa saat sebelum berkata-kata.
"Ada ke patut cakap macam tu..." Lain ditanya, lain yang dijawab Aiman.
Dahi aku dah berkerut.
"Gurau apa?" Aku menyoal.
"Tak adalah. Punyalah kita susah-susah beli cincin nak bagi dekat dia. Sekali boleh dia cakap kita tak nak dia pakai pula."
Nyaris nak pecah perut aku mendengar kata-kata Aiman. Serius lawak apabila mengingatkan yang selama ni kita orang berbual aku-kau aje, tiba-tiba bertukar. Ini belum menikah lagi. Kalau dah, memang seratus lapan puluh darjah berubah.
"Hahaha... Bergurau aje pun. Sejak bila jadi serius sangat pula ni?"
"Sejak siang tadi. Semenjak bila status dekat Facebook boleh bertukar daripada single kepada engaged?"
Aku hanya tersenyum.
"Yalah. Tapi, jangan tukar betul, eh? Seganlah!"
"Hrm... Yalah." Pendek balasan Aiman.
Aku dah tak tahu nak bertanyakan apa lagi. Terpandangkan cincin di tangan membuatkan aku terfikir sesuatu.
"Aiman?"
"Ya?"
"Mana tahu saiz jari? Ngam-ngam ni, hah."
"Cuba teka?"
"Hrm... Nak kata pernah ukur jari Hanis ni, memang taklah. Kan?" ujarku apabila lebih selesa membahasakan diri dengan nama sendiri.
Aiman ketawa.
"Memanglah. Aiman ukur guna jari orang lain..." Aiman turut mengikut rentak aku.
Aku terdiam.
"Jari siapa?"
"Atiqah."
"Hah? Atiqah? Bila masa pergi ukur jari dia?"
"Aiman tanya Atiqah saiz jari orang tu. Atiqah cakap, jari orang tu sama dengan dia. Atiqah bagilah saiz jari dia. Bukannya orang pergi tengok dan ukur jari Atiqah. Apalah Hanis ni..." Sempat Aiman mengutuk.
"Oh..."
"Hrm..."
Aku menarik nafas. Ah, apa lagi nak cakap ni? Mata memandang ke sekeliling bilik. Sambil itu, otak bekerja mencari idea.
"Hanis..."
"Aiman."
Spontan kami berdua bersuara. Tiba-tiba aku terasa malu.
"Cakaplah dulu," kata aku.
"Tak apa. Ladies first." Ala-ala lelaki budiman dia menyuruh.
Sekali lagi aku tersengih.
"Kenapa tak pernah cerita Aiman dapat tawaran kerja dekat universiti?" Soalan yang tiba-tiba terbit dalam fikiran aku lontarkan.
"Hrm... Tak sangka ya kita berfikir benda yang sama. Baru ingat nak beritahu tadi," ujar Aiman.
"Great minds think alike," ujarku. Sengaja menyebut kembali quote yang selalu aku sebut masa zaman belajar apabila kita orang berfikir benda yang sama. Kononnya, kita orang berdua ni great thinkerlah!
"Hah, yalah sangat! Tak habis-habis dengan great thinker dia tu." Lepas menghabiskan kata-kata dia, Aiman ketawa. Ketawa yang membuatkan aku berasa senang.
"Berbalik kepada topik tadi, Aiman baru aje dapat tahu tiga minggu lepas. Kebetulan ada kekosongan. Alhamdulillah, rezeki dekat situ agaknya..." Ala-ala pensyarah Aiman menjawab.
"Wah... Boleh ganti Doktor Ahmadlah lepas ni?" Aku mengusik.
Ketawa Aiman mendengarkan kata-kata aku. Dulu, dia ni anak murid kesayangan Doktor Ahmad. Entah apa yang ada kepada Aiman ini pun aku tak tahulah. Tapi, aku tak boleh nak nafikanlah, dia dalam kelas Doktor Ahmad memang aktif sikit.
"Tak adalah sampai macam tu. Lagipun, banyak yang boleh belajar daripada dia. Orang senior, banyak pengalaman."
"Betul..." Aku bersetuju.
"Habis tu, kena sambung PhD lepas ni?"
"Kena sambung, tapi bukan dalam masa yang terdekat, kut. Satu-satulah. Enam bulan lagi nak kahwin... Nanti lepas kahwin, Hanis kena ikut pergi oversea."
Terasa berbunga-bunga hati ni apabila mendengarkan kata-kata yang keluar dari mulut dia. Ah! Ini yang aku tak suka ni. Bertunang bukannya lesen nak berperasaan merah jambu, Hanis! Aku mengingatkan diri sendiri.
"Hrm... Hanis dah nak kena isi borang resignlah kalau macam ni," gumamku perlahan. Terbayang sudah dalam fikiran saat-saat terakhir bekerja. Seronoknya! Tapi, nak buat apa lepas tu? Kalau tak bekerja, kasihan pula kepada Aiman nak kena tanggung hutang pengajian aku yang beribu tu.
"Tak perlu nak kalut-kalut. Kalau rasa lepas kahwin nak kerja lagi setengah tahun boleh aje sambil-sambil cari kerja lain nanti. Kalau lepas setengah tahun masih tak dapat, Hanis kena berhentilah. Ikut Aiman. Kita kena stabilkan keluarga kita dulu macam mana..." Aiman ketawa. Keluarga kita. Aku tersenyum sendiri. Berbunga-bunga rasa hati apabila Aiman berkata begitu.
"Lamanya setengah tahun tu. Hanis dah kena survey kerja dekat Ipoh cepat-cepat! Takkan nak harapkan Aiman seorang. Hutang Hanis menimbun! Lagipun, biarlah kita duduk sama-sama. Tak seronoklah PJJ ni..."
Aiman ketawa kecil.
"Okey. Tapi kalau boleh, Hanis tak kerja pun tak apa... Sedangkan ulat dalam batu pun boleh hidup..." balas Aiman dengan ketawa kecil.
"Kadang-kadang, kan... rasa macam kelakar pula."
"Apa yang kelakar?"
"Tak adalah. Bila mengingatkan yang kita tengah berbincang tentang masa depan kita."
Sekali lagi ketawa Aiman pecah.
"Dah sampai masanya, kan?"
"Aiman memang yakin dah ke ni?" Aku bertanyakan soalan yang dah lama aku inginkan jawapan. Semenjak Atiqah beritahu aku tentang Aiman hari tu, aku nak sangat bertanyakan soalan ni kepada dia.
"Lepas beberapa hari minta petunjuk daripada Allah, insya-Allah Aiman yakin pilihan ni tak silap."
Sekali lagi hati aku terasa berbunga. Bibir menguntum senyum.
"Hrm... Yang orang tu pun, terima tak banyak soal... Dah istikharah ke belum?"
Aiman membalas dengan soalan yang sama. Alamak! Memang tak ada istikharah langsung masa tu! Spontan aku mengetuk kepala dengan telefon bimbit di tangan.
"Hahaha..." Aku hanya ketawa sebagai jawapan. Spontan muka aku terasa panas mendengarkan usikan dia. Kalau dia tahu aku dah lama suka kepada dia, mesti dia lagi sakan mengenakan aku.
"Okeylah. Dah mengantuklah. Nak tidur." Akhirnya aku memberi alasan untuk mengelak.
"Okey. Good night. Assalamualaikum..."
"Waalaikumussalam... Oh, sekejap! Lagi satu Aiman, kalau boleh tak payahlah telefon lagi waktu malam, boleh? Dan kalau boleh, kita limitkan communication kita. Bincang apa yang penting, itu pun melalui orang ketiga. Kita mulakan hubungan kita dengan cara yang diredai Allah. Boleh?" pintaku.
"Ya... Faham... Itu yang sepatutnya. Cuma, yalah, Aiman pun manusia biasa juga. Mudah terlupa," balasnya.
"Terima kasih, Hanis. Makin Aiman yakin Hanislah yang terbaik untuk Aiman."
Aku tersenyum malu. Mudah-mudahan, sama-sama mengingatkan. Cuma jangan sampai setiap malam aku kena dengar suara dia baru boleh tidur sudahlah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co