Truyen3h.Co

Bidadari

Bab 8

karyaseni2u

Hari Isnin tiba kembali. Seperti biasa, aku sampai di tempat kerja sepuluh minit lebih awal. Nasib baiklah perjalanan lancar aje tadi. Kalau tidak, memang aku kena tegur lagilah dengan Encik Syahmi walaupun sepanjang aku bekerja, belum pernah aku lambat. Teringatkan kisah malam tadi, bibir aku tersengih. Kali pertama berbalas mesej dengan Aiman membincangkan perkara serius. Tapi perangai dia yang suka mengutuk aku tetap tak hilang.

"Ehem!"

Aku mengangkat muka, melihat ke arah datangnya suara tadi. Terpandangkan Auni, aku menghadiahkan sebuah senyuman.

"Kenapa kau nampak ceria ya hari ni?" Auni menyoal. Tangan kanannya mengusap-usap dagu. Lagak tengah sibuk berfikir.

"Minggu lepas muka macam dapat warning ada tsunami, tup-tup hari ni muka macam baru lepas dapat suami," kata Auni. Mata tak lepas dari memandang muka aku. Macam budak sekolah tengah menilik muka cikgu nak dapatkan jawapan.

Aku tergelak mendengarkan pantun spontan dia.

"Mana ada. Aku macam biasa sajalah!"

Auni mengecilkan mata.

"Tipu."

Aku buat tak layan. Kami berdua berjalan menuju ke pejabat.

"Selalunyalah, kan... Hari Isninlah paling kau tak ceria. Tak habis-habis dengan Monday blues. Kalau Jumaat, thanks God, it is Friday katanya. Tapi hari ni, mood kau lain. Serius aku tak tipu. Ada apa-apa ke yang berlaku hujung minggu hari tu?" Auni cuba mengorek.

Aku hanya tersengih.

"Apa-apa tu apa? Macam-macamlah kau ni. Aku happy sebab hujung minggu hari tu kita orang satu famili ada. Abang aku balik. Itu aje."

"Ehhh?" Auni pandang aku tak percaya.

Aku duduk di atas kerusi apabila kami tiba di meja aku. Auni masih berdiri di tepi meja.

"Kalau kumpul satu famililah lagi tak nak hujung minggu habis tau?" Dia membantah. Ada sahaja jawapan dia.

"Manalah tahu hujung minggu hari tu ada majlis merisik ke... Majlis bertunang ke... Yang aku tak tahu?" Keningnya diangkat dua tiga kali.

Aku hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala.

"Siapa yang kena risik dan siapa yang bertunang?" Terdengar suara Encik Syahmi bertanya.

Spontan aku dengan Auni terdiam. Encik Syahmi serius memandang ke arah kami. Aku mengalihkan pandangan ke arah lain. Biar Auni yang jawab.

"Errr... Hanis, Encik Syahmi."

"Huh?" Spontan aku menoleh ke arah Auni. Sengaja mata aku besarkan. Suka-suka hati dia aje.

"Hanis?"

Aku sengih tak berperasaan.

"Auni melawak aje tu, Encik Syahmi. Tak ada apa pun. Dia ni hah buat cerita."

Encik Syahmi hanya mengangguk. Kemudian dia melangkah meninggalkan meja aku dan berjalan menuju ke pantri. Auni pula terkedek-kedek berjalan ke meja dia. Sebelah meja aku aje pun. Tak sempat aku nak bagi 'hadiah' dekat dia sebab banyak mulut sangat. Hesy! Nasib baiklah Encik Syahmi tak komen apa-apa.

"Hanis."

"Ya?" Aku mengalih pandang ke arah Encik Syahmi yang terhenti di pertengahan jalan.

"Lain kali tak perlu nak canangkan hal peribadi dekat pejabat. Baru bertunang aje pun. Awak bukannya artis."

Encik Syahmi meneruskan langkahnya sebaik sahaja dia menghabiskan kata-kata dia. Aku yang tengah pegang stapler, menahan kesabaran. Kalau tak kerana kesabaran aku yang masih tebal, dah selamat dah benda alah ni kena dekat kepala dia. Hesy! Tak pasal-pasal aku kena buang kerja. Kenapalah orang tua ni suka keluarkan ayat yang menyakitkan hati aku?

"Hanis."

"Apa?" Geram aku menjawab panggilan Auni.

"Sorry. Tak sangka benda tu pun boleh jadi hal."

"Hrm..."

"Tapi ketara sangatlah Encik Syahmi tu makin lain sejak putus tunang."

Heh? Auni dah nak memulakan sesi 'menganyam ketupat'.

"Setahun sebelum kau masuk sini, dia okey aje. Sejak putus tunang jadi serius tak bertempat," cerita Auni lagi. Auni ni senior setahun daripada aku. Sebab tu dia tahu lebih sedikit daripada aku.

"Biarlah dia. Merosakkan mood aku aje pagi-pagi ni."

Geram aku. Hilang terus semangat nak kerja. Kalau tak kerana takut dapat gaji yang syubhah bak kata Encik Syahmi dulu, aku dah pergi aje melahu mana-mana pagi ni. Bunyi telefon bimbit aku membuatkan Auni terbantut nak bersuara. Mesej yang baru aku terima aku buka.

Salam. Dah register untuk kursus kahwin. ^^ -Aiman-

Tersenyum aku baca mesej daripada dia. Malam tadi, baru aku tahu yang dia tak ada sijil kursus kahwin lagi. Punyalah aku gelakkan dia. Lepas tu aku pula yang sakan kena kutuk sebab aku dah pergi kursus kahwin masa belajar. Baca mesej Aiman, hilang perasaan bengang aku dengan Encik Syahmi. Laju aku membalas mesej Aiman.

Belajar molek. Hahaha. -Hanis-

Butang Send aku tekan. Delivered.

"Hai... Kalau macam itulah perangai dia dengan perempuan, memang sampai ke tualah tak kahwin, Hanis!"

"Hah?" Aku mengangkat muka.

Dahi Auni berkerut.

"Kau ni, tadi sikit punya tegang muka. Dapat mesej, sengih sampai ke telinga!" marahnya.

Senyuman di bibir aku masih tak lekang.

"Ah, kawan aku buat lawak."

"Hrm... Tak adalah. Kalau macam itulah gayanya, memang tua seorang diri sajalah Encik Syahmi tu. Tahu nak marah dan menyindir saja. Manalah perempuan nak lekat!"

"Biarlah dia. Asalkan dia bahagia." Aku hanya mengangguk tanpa mendengarkan kata-kata Auni. Aku datang sini pun nak kerja, bukannya nak buat Encik Syahmi tu musuh. Mesej balasan daripada Aiman baru aku terima.

Baiklah. Persediaan untuk menjadi suami dan ayah yang awesome, insya-Allah. ^^ Lepas solat jangan lupa amalkan doa ni... Surah Al Furqaan ayat 74. -Aiman-

Hati terasa bagaikan berbunga. Kenapa aku terasa perasaan semacam ni? Astaghfirullah. Sedangkan bertunang pun belum masa untuk bercinta, apatah lagi belum ada apa-apa ikatan lagi. Kalau aku sendiri yang tak menjaga hati, memang entah apa-apa boleh terjadi. Nauzubillah! Al-Quran tafsir di atas meja aku capai. Jari menyelak-nyelak mencari surah ke dua puluh lima. Tafsiran ayat ke tujuh puluh empat aku baca.

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. [Al-Quran, Al-Furqan:74]

Dalam hati turut mengaminkan doa yang tertulis di situ. Mudah-mudahan dengan sepotong doa menjadi permulaan untuk membina keluarga yang bahagia.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co