Bab 13
BARU dua hari bertemu dengan Sara di butik pengantin, hari ini Datin Rafizah mahu dia dan Sara pergi membeli sendiri barangan hantaran perkahwinan. "Kalau macam tu, Lif beli barang Lif... Sara beli barang dialah. Buat apa kami kena keluar lagi? Dekat nak nikah nanti, barulah kita tukar tu. Bukannya susah sangat!" Khalif masih berdegil.
Datin Rafizah sudah mencerlung tajam ke muka anak lelakinya. Kalau tidak dipaksa, memang liat. Sedangkan majlis sudah semakin dekat tarikhnya.
"Khalif! Ini bukan soal mudah ataupun susah. Sara bakal isteri Lif... Lif kena bawa dia keluar dan beli semua keperluan. Terutamanya cincin... Untuk majlis batal air sembahyang. Biarlah Sara pilih sendiri cincin yang dia nak pakai," pujuk Datin Rafizah. Dia mahu anaknya lebih bertanggungjawab.
"Yalah, mama. Lif ikut cadangan mama yang bijak lagi bernas tu. Puas hati?"
Khalif menurut apabila melihat air muka mamanya yang sudah mencuka. Malas mahu berbahas dengan mama lagi. Khalif tahu, dia tidak akan menang. Bahu mamanya dirangkul erat sebelum dia menuju ke dapur. Baik isi perut terlebih dahulu sebelum keluar dengan minah cuai. Silap-silap bermacam-macam insiden bakal berlaku apabila bersama dengan minah cuai itu.
Tengah hari itu selepas waktu makan tengah hari, Khalif keluar ke tempat yang sudah dijanjikan, sedangkan Datin Rafizah menyangka Khalif akan mengambil dan menghantar Sara.
Bukan Khalif tidak mahu menurut kehendak mamanya, tetapi jauh lebih baik jika Sara datang sendiri. Bukannya gadis itu tidak boleh memandu.
Saya dah sampai.
Tunggu saya dekat ground floor.
Ringkas Khalif menjawab kembali mesej tunang 'kesayangan'. Dia baru saja mahu bergerak keluar dari banglo keluarganya. Biarlah gadis itu menunggu. Sesekali kena dera, apa salahnya? Lagipun selepas ini dia tidak punya kesempatan untuk mendera perasaan minah cuai itu lagi.
Minah cuai. Itu gelaran yang diberikan selagi gadis itu belum menjadi isterinya. Setelah sah kelak, gelaran minah cuai akan terlucut dengan sendirinya. Dia bukan seorang yang zalim untuk menggelarkan isterinya dengan gelaran tidak elok. Dua minggu lagi Siti Sara bakal menjadi isterinya. Sama ada suka ataupun tidak, wanita yang menjadi isterinya akan tetap dihormati dengan sebaik mungkin.
Sejurus bertemu, baik Khalif mahupun Sara, kedua-duanya membisu. Hanya derap tapak kasut yang memecah sunyi antara mereka berdua.
Sara hanya mengikut dari belakang. Sesekali dia membuka langkah panjang setelah jauh ditinggalkan. Dirinya seolah-olah tidak wujud di hadapan lelaki itu.
Khalif mematikan langkah di hadapan sebuah kedai emas dan batu permata yang terkemuka. Dia sekadar memberikan isyarat mata supaya Sara memasuki kedai tersebut.
"Pilihlah cincin yang awak suka. Tapi kalau awak pilih yang mahal sangat, bayar sendiri!" tutur Khalif bersahaja. Selalunya gadis yang sentiasa terbang ke luar negara mempunyai cita rasa yang tinggi. Semestinya pilihannya ialah barangan berjenama dan mahal harganya.
Belum ada pramugari yang pakai baju cap ayam. Semuanya nak yang berjenama. Sama seperti tunang 'kesayangannya' itu. Kalau tidak, tak adalah, Siti Sara menggalas beg tangan Chanel. Berkasut Salvatore Ferragamo dan baju T miliknya juga koleksi terkini jenama Armani.
"Encik Khalif... Harga sebentuk cincin bukan ukuran dalam sesebuah perkahwinan. Saya tak kesah kalau harganya kurang dari lima puluh ringgit sekalipun. Tapi dengan syarat, ia diberikan secara ikhlas... Daripada hati. Kalau encik bawa saya ke sini hanya untuk menghina saya, lebih baik saya balik. Saya tak perlukan lelaki macam encik!" Sara meninggikan suaranya.
Hatinya bagaikan disiat-siat. Sungguh dia tidak menjangka lelaki yang bernama Khalif Imran ini meletakkan maruahnya hanya di bawah tapak kaki. Hina benarkah dirinya pada lelaki itu?
"Kita putus! Assalamualaikum."
Cincin tunang yang tersarung di jari manisnya ditanggalkan dan dia memasukkannya ke dalam genggaman Khalif. Khalif... Lelaki yang tak pernah fikir tentang perasaan orang lain. Bercakap ikut sedap mulut!
Sara mengatur langkah keluar. Hatinya bungkam. Dia mengikut lelaki itu keluar bukan untuk dihina. Dia sedar gajinya tidak seberapa jika dibandingkan dengan kekayaan keluarga lelaki itu. Air mata yang meluncur dikesat agar tidak membasahi pipi.
"Siti Sara... Sara... Tunggu!" Khalif cuba mengejar langkah tunangnya. Lengan Sara ditarik kuat, gadis itu terdorong ke belakang. Mujur tubuh mereka tidak berlaga menjadi satu.
"Sara... Sorry. I am really sorry. Jom, kita bincang." Khalif cuba memujuk. Dia sedar gadis itu terluka. Lengan Sara masih lagi digenggam kemas. Untuk pertama kali mereka saling bersentuhan. Perasaannya bagai diresap sesuatu.
"Saya dah tak berminat lagi. Tak ada apa yang nak dibincangkan, Encik Khalif. Saya rasa kita memang tak serasi hidup bersama. Saya memang tak layak untuk encik. Tolong lepaskan tangan saya!" Sara merentap lengannya sekuat hati dan berlalu.
Sungguh dia menyesal menerima pelawaan lelaki itu. Khalif langsung tidak tahu menghormati hati dan perasaannya.
Sara menerima Khalif bukan kerana harta, tetapi setelah hatinya dikecewakan. Dan dia menerima Khalif kerana tidak mahu membazirkan masa untuk mencari cinta.
Cukuplah sekali cintanya jatuh dan tidak disambut oleh lelaki yang paling diharapkan. Kini dia hanya ingin mencari bahagia.
"Tolonglah jangan buat perkara jadi makin rumit, Siti Sara!" Khalif sudah menaikkan nada suaranya. Langkah Sara sudah semakin menjauh. Dia tahu gadis itu dapat mendengar dengan jelas namun Sara langsung tidak menghiraukan panggilannya lagi.
Khalif meraup muka. Dia terduduk di atas bangku berhampiran. Secara tidak rasmi, pertunangan mereka sudah terputus. Khalif melepaskan sebuah keluhan berat. Perkara yang mudah sudah menjadi terlalu sukar.
Tanpa berlengah, dia mengeluarkan telefonnya. Dia harus mencari seseorang agar dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.
"Helo, bro! Aku nak jumpa kau sekarang. Kat tempat biasa."
Tengoklah nanti apa kata 'tuan penasihat'. Pasti banyak idea bernas. Tidak dia sangka yang Siti Sara akan mengambil serius kata-katanya.
Dari suatu sudut yang terlindung, tanpa Khalif sedari ada sepasang mata yang sentiasa mengawasi pergerakan dan perlakuannya. Gadis itu sudah tersenyum lebar. Sesuatu yang diharapkan benar-benar terjadi. Dia puas. Sementelah lagi majlis yang dirancang sepatutnya akan berlangsung kurang dua minggu. Semoga tempat kosong itu bakal menjadi miliknya.
Jari mendail nombor seseorang. Dia sekadar mahu berbual kosong. Ingin membeli hati dan mengingatkan lelaki itu tentang seseorang. Tiada salahnya jika dia terus mengasak minda Khalif Imran.
Arif yang mendengar tumpang terkedu. Keputusan yang sungguh berani. Berani mati! Secara tidak rasmi, pertunangan itu terputus hanya kerana kedua-duanya menjunjung ego.
Dia mengeluh perlahan. Sukar untuknya membantu Khalif jika sahabatnya itu terlalu mengikut kepala sendiri. Dingin! Baru minggu lepas sahabatnya sudah makan nasihat, minggu ini dia buat lagi.
"Bro, kau kena tolong aku. Macam mana kalau Sara bagi tau kat parents dia yang kami dah putus? Aduh! Kena rebus aku dengan mama. Semua persiapan dah siap. Cincin dengan barang hantaran aje yang belum masuk ke dulang. Masak aku macam ni." Khalif mulai gusar. Tidak terjangkau oleh akalnya untuk memikirkan.
"Bro!"
Khalif lihat Arif asyik sangat menghirup minumannya. Sedangkan masa sudah semakin suntuk. Khalif berharap sangat yang Sara tidak terlalu beremosi dan terbawa oleh perasaan marah. Khalif sedar kesilapannya. Namun bukan niatnya untuk menyakiti hati gadis itu. Sekadar gurauan. Mengapa gadis itu terlalu mengambil serius kata-katanya? Akhirnya ini yang terjadi antara mereka. Bertegang urat dan putus tunang!
Arif menggeleng. Tanda dia juga tidak bersetuju dengan cara Khalif Imran.
"Gilalah kau cakap macam tu... Kalau aku jadi dia pun, aku lari. Tak semua stewardess tu high maintenance. Kalau dia high maintenance sekalipun, bukannya kau tak mampu, lebih daripada mampu kut. Tapi hati aku kuat mengatakan Siti Sara tak macam tu," tegas Arif lagi.
Lama Arif berfikir. Terkumat-kamit mulutnya cuba memikirkan idea terbaik.
Memang sahabatnya seorang yang terpelajar. Bahkan seorang yang bijak dengan setiap tindak-tanduknya. Namun kurang bijak dalam membeli hati dan perasaan orang lain. Terutamanya perempuan.
"Orait, aku ada pelan. Pelan A... Apa kata ajak dia keluar sekali lagi? Bincang elok-elok. Tapi kalau tak jalan juga, aku ada pelan B. Pelan B mesti kena cepat bertindak. Sebab kalau terlambat, takut tunang kau bagi tau kat parents kau orang pula nanti. Lagi aniaya! Masa tu baru betul-betul kau kena 'rebus' dengan Aunty Fizah."
Arif bermuka selamba. Makin ingin menakut-nakutkan sahabatnya. Itulah, buat lagi perangai kerek tidak bertempat. Sekarang kan dah susah. Rasakan...
Khalif mengetuk-ngetuk hujung jarinya ke atas meja. Dia mendengus kasar. Otaknya ligat bekerja.
"Aku nak dengar pelan B." Serius muka Khalif. Tidak dapat digambarkan jika segala yang terjadi masuk ke telinga mamanya. Hancus!
"Pelan B. Very simple! Kau kena beli semua barang hantaran perkahwinan. Dan jangan lupa beli sekali cincin yang kau kedekut sangat tu. Ajak parents kau pergi ke rumah Sara. Pulangkan balik cincin tunang dan hantar semua barang hantaran sebelum Sara bagi tau kepada famili dia. Itu pun kalau kau sempatlah..."
Dalam kes Khalif ini, Arif sangat yakin pertunangan sahabatnya dengan Sara tidak semudah melafazkan kata putus. Perkara itu terjadi kerana desakan emosi semata. Tidak lebih daripada itu. Sebagai perempuan, tidak mudah untuk Sara tarik diri pada saat-saat akhir.
Manakala sepanjang dia mengenali Khalif, bukan lelaki itu tidak bijak. Walhal masalah dalam dunia perniagaan yang jauh berganda besarnya, sahabatnya selesaikan dengan begitu mudah. Cuma kelemahan Khalif Imran, sahabatnya itu tidak pandai bermain dengan kata-kata. Khalif Imran bukan seorang kaki perempuan dan bukan juga seorang yang bermulut manis. Tidak sepertinya yang pandai mengayat perempuan. Opsss!!!
"Okey, pelan B." Khalif menggosok-gosok dagunya sendiri.
Dia sudah tersenyum sendiri. Nasib baik Arif sentiasa ada. Sahabatnya memang hebat kalau melibatkan hal yang berkaitan perempuan. Sifulah katakan!
MEMANG Datin Rafizah tidak faham dengan sikap Khalif yang sering berubah-ubah. Pagi tadi bukan main liat lagi hendak membawa bakal isteri keluar. Bermacam-macam alasan yang diberi. Sekarang tak semena-mena, bagaikan tiada hari esok lagi, Khalif mahu menghantar barangan yang dibeli.
"Tak boleh, ma. Kita mesti pergi malam ni juga. Lif dah janji dengan Siti Sara nak hantar barang-barang malam ini juga. Tak naklah nanti Siti Sara kata Lif tak menepati janji," rayu Khalif dengan segala macam alasan untuk melembutkan hati mamanya.
Mahu merajuk panjang mama kalau mendapat tahu yang Sara sudah memulangkan cincin pertunangan mereka. Dia akan mencari peluang untuk memulangkan cincin tunang itu secara senyap-senyap. Biar apa yang berlaku siang tadi, hanya dirinya dan Sara yang tahu.
Andainya majlis yang sudah dirancang dengan sebegitu teliti oleh mamanya tidak menjadi, habislah. Sedikit sebanyak rosak reputasi keluarganya. Dan yang paling Khalif tidak mahu, mama dan papa kecewa.
Bukan duit saja akan yang terbang, maruah dirinya dan Sara juga akan ikut terbang sekali. Khalif tidak mahu mereka menjadi bahan umpatan orang sekeliling. Pasti bertahun-tahun akan menjadi bualan masyarakat setempat.
Usai memberi salam, Sara tidak lupa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Terasa hilang beban yang ditanggung saat menyerahkan diri kepada Yang Esa.
Namun sebaik terpandangkan hiasan bilik tidur, hati mula berkocak. Tidak terluah mulutnya untuk memberitahu ibu dan abah. Sesal yang tidak berkesudahan. Inilah padahnya kalau bertindak terburu-buru.
Hendak menghubungi Khalif, Sara malu. Sudah beberapa kali dia cuba untuk menghubungi lelaki itu namun niatnya sering terbantut. Biarlah...
Jika pemuda itu betul-betul hendak memutuskan pertunangan mereka, Khalif dan keluarganya pasti akan datang secara rasmi dengan secepat mungkin. Majlis yang dirancang akan berlangsung hujung minggu depan. Mungkin esok atau lusa keluarga itu akan datang menemui keluarganya. Sara reda dengan segala yang berlaku. Namun untuk Sara membuka mulut terlebih dahulu, tidak sesekali.
"Sara, dah selesai solat? Tolong buatkan air... Potong sekali kek gula hangus tu. Datuk dengan Datin dalam perjalanan datang ke sini," pesan Hajah Zarina kepada anak perempuannya yang masih lagi duduk berteleku di atas sejadah. Hajah Zarina kemudian beredar turun ke bawah.
"Ibu, abah... Maafkan Sara. Sara dah buat ibu dengan abah malu," bisik Sara perlahan.
Sara gementar tidak menentu. Jantungnya bagaikan dipalu. Mukanya sudah pucat tidak berdarah. Segunung rasa bersalahnya terhadap keluarga kedua-dua belah pihak. Menyesal dengan tindakannya yang tidak bijak siang tadi. Namun perkara sudah pun terjadi. Sekarang keluarga lelaki itu sedang dalam perjalanan.
Sara menggaru-garu kepala. Hampir terkeluar air mata sebaik mendengar bunyi kereta berhenti di depan pekarangan rumah. Lututnya tiba-tiba mengigil. Langkah terasa kian lemah ketika menuruni anak tangga.
"Sara!" laung Hajah Zarina dari aras bawah.
"Sara datang, ibu." Suaranya bergetar. Liur yang ditelan terasa kesat. Hatinya resah tidak menentu.
Sebelum ke dapur, Sara bersalam dengan Datuk dan Datin terlebih dahulu. Sempat juga dia menjeling ke wajah lelaki itu. Tampak berseri-seri. Mungkin tak sabar mahu putus tunang. Menyampah!
Sungguh! Hatinya juga terselit rasa sayu. Putus tunang dua minggu sebelum bernikah. Sadis bunyinya!
"Siti Sara."
"Hmmm..." Sara tergamam. Langkahnya terhenti. Serta-merta dia berpaling. Dia menelan liur. Khalif tampak santai dengan hanya berseluar trek dan berbaju T tanpa kolar.
Khalif melirikkan senyuman nipis. "Cincin awak." Dia menayangkan cincin itu ke muka Sara. "Saya pulangkan semula. Ini hak awak! Buruk siku kalau saya ambil balik." Khalif meletakkan cincin itu ke atas telapak tangan tunangnya. Tidak sia-sia alasan untuk ke bilik air sebentar tadi. Dia tahu gadis yang merajuk itu sedang berada di dapur. Niat sebenarnya hanya mahu bertemu dengan minah cuai.
Dan satu lagi perkara tentang minah cuai yang baru diketahui, gadis ini memang kuat merajuk!
"Errr, tapi..."
Terpempan Sara sebaik terpandang kilauan cincin yang sudah berada di dalam genggamannya. Ya! Itu cincin tunangnya.
"Siti Sara, saya minta maaf pasal siang tadi. Kita tetap akan bernikah minggu depan. Saya bukan seorang lelaki yang suka mungkir janji. Saya betul-betul serius ni." Khalif merenung ke dalam anak mata Sara. Betul kata Arif. Tunangnya seorang gadis yang baik dan berlembut hati.
"Saya pun minta maaf." Sara tertunduk malu. Sejak akhir-akhir ini wajah Idzham sudah mula silih berganti dengan wajah Khalif.
Tidak! Bukan jatuh cinta tapi Sara cuma tak sampai hati sahaja. Sara sedang menafikan perasaan yang sedang membelit jiwanya.
"Siti Sara! Siti Sara! Awak kian membuatkan saya tertarik. So sweet!" omel Khalif di dalam kereta. Ketika itu dia sedang menunggu mama dan papa yang belum habis-habis berbual dengan bakal besan mereka.
"Awak cantik dan cukup sempurna. Tidak sukar untuk buat saya jatuh cinta. Tetapi saya takkan mengkhianati pengorbanan arwah Zulaikha. Buat masa ini saya boleh menerima awak... Tapi saya tak mampu untuk berikan cinta, kerana cinta saya hanya untuk Zulaikha."
Khalif mencapai telefon, seseorang harus dihubungi.
"Thanks atas nasihat kau, bro! Aku terhutang budi dengan kau. Semuanya dah settle."
"Good! Jangan ulangi kesalahan macam ni lagi, bro. Cuba jaga hati dia sampai kau kahwin dan kalau boleh untuk selamanya."
Pesan dan peringatan yang cuba Arif disematkan ke dalam kepala otak sahabatnya.
"Well! Aku cuba yang terbaik, bro. Thanks again."
"Tapi kan, aku rasa Sara memang sukakan kaulah."
Arif menebak. Hatinya terlalu yakin yang gadis itu sudah mulai sukakan Khalif.
"Yang tu kau tak payah bagi tau. Dah lama aku tau."
Tersungging senyuman pada wajah Khalif ketika itu. Bukan Khalif mahu perasan sendiri, tetapi dia dapat rasa Sara sudah mulai suka kepadanya. Mata gadis itu sudah menjelaskannya.
"Kau ni bro, bukan saja buta mata tapi buta hati. Perempuan macam Sara pun kau tak pandang sebelah mata. Huh! Kuatnya iman kau? Tapi betul ke sikit pun kau tak jatuh hati kat dia? Aku macam tak percaya aje!" tebak Arif lagi. Ingin menduga hati sahabatnya.
"Eh! Dah lewat ni, see you tomorrow. Night, bro!"
Cepat-cepat Khalif mencipta alasan. Dia mematikan talian. Hatinya berdebar sakan saat itu.
Patutlah Idzham jatuh cinta tergolek kepada isterinya. Rupa-rupanya Iftitah seorang wanita yang ayu dan warak orangnya. Setelah pasti yang tiada kelibat lelaki yang turut serta bersama, barulah dia membuka tudung di kepalanya. Patutlah Idzham tidak memilih dirinya sebagai suri.
Hampir sepuluh minit berlalu, barulah Idzham muncul. Dia melabuhkan duduk bersebelahan dengan Iftitah sambil memaut pinggang isterinya. Kemesraan sepasang suami isteri yang terpancar jelas. Mereka ialah pasangan yang sedang melalui musim bahagia.
Sara yang memandang hanya berlagak tenang. Namun usah ditanya tentang rasa hatinya ketika itu.
"Sweetheart... Jelaskan semuanya sekarang." Idzham bersuara. Matanya tajam merenung Sara.
Idzham sedar yang hubungannya dengan Sara agak renggang sejak kebelakangan ini. Gadis itu sering menjauhkan diri dan menjadikan hubungan baik mereka menjadi semakin hambar. Tetapi Idzham yakin. Masih belum terlewat untuk dirinya dan Sara kembali seperti dulu.
"Sebenarnya kami memang dah lama kenal, tapi sebagai kawan... Lately ni baru kita orang serius. Bukan Sara tak nak kenalkan kepada Id, tapi tunang Sara tu selalu sibuk dan kalau dia tak sibuk, Id pula yang sibuk." Lancar lidah Sara menuturkan.
Sara menoleh sekilas ke arah dua rakan serumahnya dengan senyuman yang sengaja dibuat-buat. Hanim dan Fatin juga ikut tersengih. Sesekali mereka mengangguk seolah-olah mengiakan cerita bohong Sara sebentar tadi.
Sara mengeluarkan sekeping kad. Dengan hati yang terlalu berat, dia menghulurkannya kepada Idzham. Sukar benar rasanya untuk dia mengeluarkan kad itu dari beg tangannya. Asyik tersekat-sekat saja.
Lambat-lambat Idzham menyambut kad undangan itu. Lama dia terpaku melihatnya. Tidak dia sangka bakal suami Sara ialah seseorang yang sangat dikenalinya. Setahu Idzham, sepanjang dia mengenali Khalif, lelaki itu terlalu beku. Jiwa lelaki itu seolah-olah sudah mati terhadap kaum Hawa. Apa yang Idzham tahu, kekasih hatinya meninggal dunia saat Khalif hampir tamat pengajian. Sejak itu, Khalif hilang minat untuk menjalinkan perhubungan dengan mana-mana wanita. Dalam masa yang sama juga sudah bertahun-tahun dia mengenali Sara. Idzham dapat merasakan ada sesuatu yang tak kena dengan cerita Sara. Gadis itu tidak bercerita yang benar.
Sara, Id tahu Sara memang tak pandai berbohong. Mungkin Iftitah atau siapa saja akan percaya tapi bukan Id. Hatinya berdetik. Dia mencuri pandang lagi ke wajah gadis kesayangannya itu. Ada garis luka yang terpeta di situ.
Namun demi menjaga air muka Sara, Idzham sengaja menceriakan diri. Berpura-pura teruja dengan pernikahan sahabat baiknya yang baginya langsung tidak masuk akal.
Sebagaimana dia mengenali Sara, begitu juga dia mengenali sedikit sebanyak tentang Khalif Imran. Khalif juga sepupunya sendiri. Memang mereka tidak pernah rapat. Pada usia belasan tahun lagi Khalif sudah meninggalkan tanah air untuk menyambung pelajaran ke luar negara.
"Wah! So interesting. Khalif Imran anak Datuk Izran." Idzham membelek-belek kad undangan daripada Sara.
Cantik! Tetapi masih tidak boleh menandingi kad daripada pihak keluarga lelaki yang kelihatan lebih mewah.
Jika mereka berdua tidak bercinta, tentu ada sebab lain yang menyebabkan mereka harus bersanding dalam masa yang singkat.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co