Truyen3h.Co

Bila Kau Kata Cinta

Bab 5

karyaseni2u

Khalif merenung jauh melalui jendela banglonya itu. Banglo setingkat itu dibeli lebih empat tahun lalu. Setelah menamatkan pengajiannya dalam bidang seni bina, dia membuat keputusan untuk tinggal bersendirian. Walhal jarak banglonya itu dengan rumah keluarganya tidak jauh mana. Bak kata orang, masih boleh nampak bumbung.

Masih lagi terngiang-ngiang ke telinganya apa yang diungkapkan oleh mama petang semalam. Malah sejak kebelakangan ini soal yang sama juga sering kali dibangkitkan. Khalif sedar umurnya bukan semakin muda, mungkin kerana itu mama lebih berasa gusar.

"Mama bukan nak masuk campur, tapi mama nak tengok anak mama bahagia. Yang pergi tu, dah tentu pergi. Kita yang hidup ni mesti teruskan hidup. Jangan dikenang lagi kepada arwah. Dah lima tahun dia pergi. Lif tak teringin ke nak ada zuriat sendiri? Fikirlah, Lif!" leter Datin Rafizah yang risaukan Khalif yang masih mahu menyendiri.

Entah apalah yang istimewa pada arwah teman wanita anaknya itu dahulu. Sampaikan tertutup terus pintu hati untuk menamatkan zaman bujang. Adakala dia hampir berputus asa dengan kerenah anak terunanya. Kalau nasihat, rasanya sudah berbuih mulut tapi masih juga tidak masuk ke telinga.

"Mama tak faham perasaan Lif!" sangkal Khalif. Hanya dia yang tahu apa yang sedang dirasai kini. Terlalu perit. Buat masa ini dia masih belum mampu melupakan semua itu.

"Mama tak paksa Lif untuk lupakan arwah Zulaikha. Tapi cuba buka pintu hati Lif untuk perempuan lain."

Khalif Imran seorang anak yang sangat pendiam dan perahsia orangnya. Tidak suka berkongsi rasa. Lebih suka memendam perasaan. Dia sedar tentang kekecewaan yang anak lelakinya alami.

"Entahlah, ma. Rasanya tak ada sesiapa pun yang dapat gantikan arwah dalam hati ni."

"Mama nak tengok Lif bahagia macam orang lain. Ada orang jaga makan minum."

Dia mengesat air mata. Kali ini dia mahu bermain dengan emosi. Biar terbuka hati anaknya untuk berumah tangga. Kenalah berlakon sedikit. Tidak rugi air matanya keluar jika dengan cara itu saja dapat melembutkan hati anak bujangnya.

"Mama, janganlah macam ni. Okey, okey... Lif tak janji. Tapi kalau ada yang Lif berkenan, Lif akan bagi tau mama. Atau kali ini mama yang carikan untuk Lif. Tapi dengan syarat Lif mesti tengok dulu perempuan tu. Kalau Lif suka, baru mama boleh pinangkan." Khalif sekadar menyimpul janji kosong. Sekadar mahu menyedapkan hati mamanya.

Tangan mengusap belakang mamanya. Banyak yang telah disembunyikannya. Bilakah masa yang sesuai untuk dia berterus terang? Dia sendiri tiada kekuatan untuk berbuat begitu. Tapi percayalah, dia akan terangkan segalanya suatu hari nanti. Adilkah dia terhadap arwah?

Datin Rafizah menahan senyum. Masak sangat dengan sikap Khalif yang berlembut hati. Mukanya saja yang nampak serius. Hakikatnya Khalif seorang anak yang baik. Bak kata orang, dalam hati ada taman!

Pon!

Bunyi hon kereta yang membingitkan telinga menyedarkan dirinya daripada lamunan. Dia bergegas mengunci pintu. Tidak mahu sahabatnya menunggu lama.

"Pagi-pagi lagi dah termenung?" Arif tersengih. Dia hanya bergaya ringkas dengan baju t Polo putih dan jean. Memang menyerlahkan penampilan anak bujang Tan Sri Azizul.

"Hah! Apa hal, pagi lagi dah ajak aku keluar? Nak pergi mana?" Soalan berbalas soalan. Pertanyaan Arif dibiarkan sepi.

"Breakfast la, mana lagi? Lepas tu kita pergi main boling." Arif menjongketkan keningnya.

"Apa pasal ajak aku pula? Mana pergi girlfriend kau yang keliling pinggang tu? Tangkaplah sorang ajak main boling. Tak pun tangkap buat bini. Tak adalah call aku pagi-pagi buta. Kenapa tak ajak awek minggu lepas tu?" bidas Khalif lagi.

Mana tidaknya, seawal pukul tujuh pagi lagi Arif sudah menghubunginya. Mata yang mahu terlelap semula selepas bangun bersolat subuh pagi tadi terus membulat. Terbantut niatnya untuk menyambung tidur.

"Awek tu? Memanjang out of coverage aje. Dah malas aku nak contact. Yang lain tu semua memang boleh buat bini, bro... Tapi aku nak cari isteri." Arif dengan falsafahnya yang tersendiri. Sesekali dia menoleh ke arah Khalif yang duduk di sebelah.

"Aik, isteri dengan bini berbeza ke?" Khalif menyakat. Tahu sangat dengan selera Arif. Sama tinggi dengan taraf hidupnya. Perempuan tidak cukup kain hanya sekadar mengisi masa terluang. Dia tidak pernah serius dengan setiap hubungan yang terjalin.

"Ha... Banyak bezanya. Tahu tak? Opsss! Lupa pula aku bercakap dengan orang yang ada pengalaman." Arif menoleh sekilas.

Arif merenung wajah Khalif yang sentiasa serius dan seorang yang pendiam. Mungkin kerana karakter yang berbeza itulah menjadi penguat dalam hubungan persahabatan yang sudah melangkaui belasan tahun. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan sejak mereka mula mengenali huruf ABC.

Sesiapa yang tidak mengenali Khalif Imran pasti akan melabelkan lelaki itu seorang yang sombong. Sedangkan sahabatnya tidak begitu. Dia seorang yang lembut hati dan penyayang serta mudah untuk dibawa berbincang. Arif masak sangat dengan sikap Khalif. Sahabatnya itu tidak gemar berbual kosong.

Arif menekan pedal minyak. Kereta Audi tt putih itu meluncur laju. Hanya lagu-lagu Inggeris yang berkumandang di dalam kereta mewah milik anak pengerusi sebuah bank terkemuka itu.

"Bro, dah bagi tau?" Soalan cepumas Arif.

Khalif mengeluh panjang sambil meraup rambutnya ke belakang. Keruh air mukanya. "Belum. Entahlah Rif, aku tak tau macam mana nak cakap." Lemah suara Khalif.

"Terpulanglah kepada kau. Aku sebagai kawan nasihatkan aje. Lagi lama kau pendam, lagi menyesakkan fikiran kau. Aku yakin dia orang boleh terima semua ni. Percayalah cakap aku," tukas Arif lagi yang sentiasa setia menjadi pemegang rahsia tidak bergaji.

"Tunggulah sampai masa yang sesuai nanti." Selama lebih dari lima tahun, jawapannya tetap sama apabila diajukan dengan soalan itu.

Arif menggeleng dengan sikap Khalif.

Sebaik sampai ke restoran, Khalif memesan sepinggan nasi lemak sambal sotong serta segelas kopi panas. Manakala Arif pula memilih lontong. Kedua-duanya diam tidak berkutik. Untuk beberapa ketika, sunyi yang mengambil alih suasana.

"Lif..." Lama Arif berjeda.

"Hmmm..."

"Zaireen sihat?" soal Arif sambil menyisip air kopi.

"Nampak macam tak sakit... Sihatlah tu," jawab Khalif acuh tak acuh. Ralit mengunyah makanan.

"Dia ikut kau balik sekali ke?" soal Arif lagi.

Hakikat sebenarnya, dia ingin sangat mengetahui perkembangan Zaireen tetapi malu untuk berterus terang. Dia bukan jenis kawan yang makan kawan. Apalagi untuk mencaras hak kawan. Itu bukan sifatnya. Arif Qamarul bin Tan Sri Azizul, lebih sayangkan nilai persahabatan.

"Tak. Aku pun tak tanya bila dia nak balik." Khalif menjawab tanpa perasaan.

"Apa hal yang kau sibuk sangat ni?" Khalif menduga.

"Saja tanya. Bro... Tiap kali kau tengok Zaireen, kau teringatkan Zulaikha tak? Yalah, maksud aku... Muka dia orang sama, saling tak tumpah." Giliran Arif pula cuba menguji hati Khalif.

Mana tahu jika Khalif ada menaruh hati terhadap bekas adik iparnya. Hubungan Khalif dan Zaireen juga tidak pernah terputus. Mereka sering berbalas khabar melalui WhatsApp dan Facebook. Memandangkan Khalif terlalu beku dengan kaum perempuan, mungkinkah Zaireen yang sahabatnya tunggu selama ini? Arif menelah.

Khalif merenung lama ke wajah Arif. "Dah tentulah aku teringatkan Ika. Nama pun adik-beradik. Aku sayangkan Zaireen sama macam aku sayangkan Jeslina. Aku dah anggap macam adik aku sendiri," terang Khalif yang sememangnya tiada sekelumit pun perasaan cinta untuk gadis itu.

Tidak semestinya mempunyai mirip wajah yang hampir sama, dia akan jatuh cinta. Pada Khalif, Zulaikha tetap punya keistimewaan tersendiri.

Fuh! Lega apabila kenyataan itu keluar dari mulut Khalif sendiri. Crystal clear.

Selama ini dia beranggapan Khalif rapat dengan Zaireen kerana sudah tertarik hati, disebabkan wajah Zaireen dan Zulaikha yang mirip. Khalif pula sanggup terbang beribu-ribu kilometer dan duitnya juga terbang beribu-ribu ringgit untuk ke kota London semata-mata untuk menemani gadis itu sempena majlis konvokesyen. Tentulah sedikit sebanyak membuatkan Arif berasa curiga. Namun andaiannya selama ini meleset sama sekali.

"Betul kau tak ada apa-apa perasaan kepada Zaireen, bro?" Arif menjongketkan keningnya. Sekali lagi ingin menduga.

"Kau ingat aku terdesak sangat? Sampai adik ipar sendiri pun aku nak sapu. Come on, bro." Khalif menggeleng. Apa punya soalanlah!

Pada Khalif, datanglah perempuan yang wajahnya saling tidak tumpah seperti Zulaikha sekalipun, hatinya tetap kepada arwah isterinya. Walaupun wajah mereka serupa, tetap tidak akan sama.

Arif menyeringai. Sejujurnya dia terpikat dengan budi bahasa serta pekerti gadis itu. Dalam benak terfikir sesuatu. Jika gadis itu sudah mempunyai kekasih hati, tak mengapa. Dia sedia mengundur diri. Jika sebaliknya, Arif sudah ada strateginya sendiri. Dia menunggu kepulangan Zaireen sahaja.

"Hingga menjilat jari." Sara memuji ibunya. Mereka menikmati hidangan tengah hari bersama. Ibunya memang pakar dalam bidang masakan. Sara amat bertuah kerana memiliki seorang ibu yang bijak menakluk selera anak-anak.

"Untung jadi anak bongsu... Asal terasa di tekak aje, ibu sanggup masakkan." Syafiq menyampuk. Adik bongsu memang manja dengan ibu. Walau sudah besar panjang, masih lagi tidak berubah.

"Mestilah... Adik kan anak kesayangan ibu," tokok Sara. Sengaja ingin menaikkan rasa cemburu abang sulungnya. Tangannya memegang lengan si ibu dan melentokkan kepala ke bahu Hajah Zarina yang sedang menyuap nasi ke mulut.

"Alah... Relakslah, long. Adik dah sebulan tak balik tau. Itu sebab ibu masakkan makanan kegemaran adik. Along kalau nak makan sedap, suruhlah Kak Zura masak. Lagi afdal isteri masakkan untuk suami... Betul tak dik?" Shahril mengangkat ibu jarinya kepada Sara memberikan satu mata kemenangan.

"Sudah tu, depan rezeki ni... Tak ada siapa yang kurang, tak ada siapa yang lebih. Ibu sayang semua anak-anak ibu."

"Ha, adik! Bila nak kahwin? Umur dah sesuai sangat untuk kahwin. Nak tunggu bila lagi? Perempuan tak elok kahwin lambat. Along pun dah tak sabar nak tengok adik naik pelamin. Siapalah jejaka malang tu, kan?" usik Syafiq yang sengaja mahu mengenakan Sara.

Syafiq memang pantang tengok muka adik bongsunya. Pasti ada saja idea hendak menyakat. Sara seorang sajalah adik perempuan yang dia ada.

"Alonggg!" Sara menjerit kecil. Tersedak dia hingga mengalir air mata. Menahan perit anak tekak kerana makan makanan pedas. Bukan soalan cepumas tapi cepu platinum.

"Along... Tak ada intro, main redah aje tau. Adik baru dua puluh empat tahun, muda lagi! Belum sesuai nak kahwin." Sara menjeling tajam.

Dia tidak gemar soal itu dibualkan di depan orang tuanya. Sudah tebal muka menahan malu. Nasib baik abah tidak ikut serta. Abang sulungnya kalau bercakap memang tak boleh nak kontrol.

"Ooo... Muda lagi? Habis tu, nak tunggu umur empat puluh tahun baru sesuai nak kahwin?!" Syafiq masih mahu mengusik. Gadis manja itu hanya menayang muka cemberut.

"Assalamualaikum..." sapa Haji Saleh yang baru tiba dari masjid. Terdengar riuh-rendah suara anak-anaknya di ruang makan.

"Waalaikumussalam."

Serentak mereka menjawab salam Haji Saleh.

"Apa yang gamat sangat ni? Boleh dengar sampai luar... Siapa yang nak kahwin? Kamu ke Syafiq? Habis tu, Si Zura tu kamu nak letak dekat mana?" seloroh Haji Saleh kepada anak sulungnya sambil menarik kerusi.

"Bukannya along, abah. Adik yang nak suruh abah carikan jodoh untuk dia. Tapi dia pesan suruh abah carikan yang handsome, macam along. Kalau boleh, abah cari yang poket tebal sikit. Adik kan suka melaram!" Syafiq kian rancak menyakat adik bongsunya.

Dia tersengih lebar dan mengangkat kening kepada Sara. Syafiq nampak muka Sara yang berona merah. Bukan selalu dia mendapat peluang menyakat adiknya ini.

"Sudahlah tu, along. Jangan sakat adik lagi. Kesian dia. Angah yakin adik akan jumpa jodoh yang terbaik nanti... Insya-Allah!" Shahril setia menyokong.

Haji Saleh mempamerkan senyuman nipis. Matanya mengerling isteri yang juga sedang menahan senyum. Dia dan isterinya tidak pernah memilih siapa juga bakal menantu mereka. Sesiapa yang menjadi pilihan Sara sudah pasti akan direstui dengan sepenuh hati. Dan mereka berharap biarlah Sara ditemukan dengan lelaki yang bertanggungjawab serta boleh menjadi ketua keluarga yang baik.

Hari sudah merangkak ke pukul enam petang. Selepas minum petang, Syafiq dan Shahril bersiap untuk pulang.

"Along balik dulu, ibu. Zura dah pun bergerak balik dari Tanjung Malim. Sejam dua lagi sampailah." Syafiq meminta diri. Ingin segera pulang ke Shah Alam. Isterinya, Norazura yang masih lagi menuntut di UPSI sedang dalam perjalanan pulang. Buat masa ini mereka tinggal berasingan.

Sara juga tidak ketinggalan mencium tangan kedua-dua abangnya. Selepas itu dia kembali menghadap kuih lepat. Baginya, tiada sesiapa dapat menandingi kuih hasil air tangan ibu. Rasanya yang lemak manis serta berintikan kelapa cocok benar dengan seleranya.

"Sara kalau dah makan kuih lepat, langsung tak toleh kiri kanan," usik Haji Saleh.

Sara menyeringai. "Sedap, bah. Dah lama Sara tak makan." Mulutnya tetap mengunyah.

"Lama lagi kursus Sara kat akademi tu?" soal Haji Saleh yang duduk bertentangan dengan Sara. Sambil itu dia membetulkan kopiahnya.

Sara menelan makanan yang masih penuh di dalam mulut sebelum bersuara. "Minggu depan dah minggu akhir. Lepas ni Sara dapat short flight aje. Dapatlah selalu balik ke sini."

"Sara nak ikut ke masjid?" tegur Hajah Zarina sambil tangannya lincah membetulkan telekung yang sudah disarungkan ke kepala. Haji Saleh pula sudah beredar ke ruang tamu.

"Sara solat kat rumah. Nak buat ulang kaji sikit. Minggu depan Sara ada test."

"Sara makan dulu. Tak payah tunggu ibu dengan abah. Kami balik lewat malam ni... Ada ceramah. Jangan lupa kunci pintu sekali."

Sara mengangguk tanda mengerti.

Usai solat maghrib, Sara duduk berehat di atas sofa ruang tamu rumah teres dua tingkat itu. Di sinilah dia membesar dan segala kenangan tersimpan di dalamnya. Rumah yang abah beli semasa masih berkhidmat sebagai guru dahulu. Rumah yang menjadi syurga buat mereka sekeluarga.

Sejak abah bersara tiga tahun lalu, abah dan ibu sentiasa mengisi masa mereka berdua dengan aktiviti di masjid. Malah abah juga salah seorang ahli jawatankuasa masjid di kawasan perumahan itu.

Ibu juga tidak ketinggalan. Dia terlibat dengan kumpulan berzanji dan marhaban di kawasan taman perumahan mereka. Sering kali kumpulan itu mendapat jemputan untuk menjayakan majlis kenduri-kendara. Kumpulan itu agak aktif kerana penaungnya seorang yang berpengaruh.

"Assalamualaikum, pak cik," sapa seorang anak muda.

Haji Saleh yang sedang ralit melipat sejadah terhenti. Dia kenal benar dengan suara itu. Pemuda yang sering berjemaah bersamanya. Seringkali pemuda itu membantu aktiviti di masjid.

"Waalaikumussalam. Alhamdulillah, sihat. Encik apa khabar? Datuk dengan Datin sihat?" Dia masih meneruskan kerjanya.

Hati tuanya memuji. Bukan setakat rupa paras, malah budi bahasa juga seindah wajahnya. Beruntung ibu dan bapanya memiliki anak sebegitu. Pemuda itu juga baru selesai menunaikan solat sunat. Walaupun Khalif anak orang yang berpengaruh di tempat mereka tetapi masih lagi merendah diri. Pangkat dan darjat tidak membuatkan pemuda itu alpa.

"Saya dan keluarga semuanya sihat." Pemuda itu bersalam dan mencium tangan Haji Saleh. Tanda hormatnya kepada orang tua.

Khalif memanjangkan leher, mencari kelibat isteri Haji Saleh. Selalunya wanita itu ada bersama.

"Saya tak nampak mak cik pun?" Khalif menyoal. Sedangkan sudah tiada orang lain dalam ruangan itu, hanya tinggal mereka berdua sahaja.

"Mak cik kamu dah balik awal tadi. Risau tinggalkan anak perempuannya sorang-sorang di rumah."

Khalif mengangguk kecil. "Oh... Patutlah tak nampak. Marilah pak cik, saya hantarkan balik. Dah lewat ni."

"Tak apalah encik, saya dah biasa berjalan kaki. Lagipun usia senja ni eloklah excersice sikit, tak begitu?" seloroh Encik Saleh sambil tertawa kecil.

"Betul tu, pak cik... Tapi dah lewat malam ni, biarlah saya hantarkan pak cik. Lagipun saya pun menghala arah yang sama juga. Tak susah mana pun." Khalif sudah membukakan pintu kereta di bahagian penumpang untuk Haji Saleh.

Niatnya ikhlas mahu menghantar pulang Haji Saleh yang sangat dihormati itu. Seorang bekas guru yang disegani ramai di kawasan sekitar itu. Juga aktif dalam melakukan aktiviti setempat.

Haji Saleh teragak-agak untuk melangkah masuk ke perut kereta.

"Betul tak menyusahkan encik? Saya dah biasa berjalan kaki," ucapnya bersungguh. Tidak berniat untuk menyusahkan orang apalagi mengambil kesempatan.

"Eh, apa pula menyusahkan? Tapi pak cik... Dah berapa kali saya cakap jangan panggil saya encik? Boleh tak pak cik panggil saya Khalif aje?" pinta pemuda itu. Terasa kekok apabila dipanggil sebegitu. Terlalu formal.

"Hmmm, yalah... Khalif." Encik Saleh kagum dengan sikap Khalif.

Beberapa minit kemudian, kereta berwarna hitam metalik itu menyusur keluar dari pekarangan masjid. BMW itu hilang dalam kegelapan malam. Kedua-duanya rancak berbicara di dalam kereta.

Sara menangkap bunyi kereta yang berhenti di depan pagar rumahnya. Seketika kemudian abahnya terpacul di muka pintu rumah.

"Sara belum tidur lagi? Ibu dah sampai?" tanya Haji Saleh apabila tidak melihat kelibat isterinya di ruang tamu.

"Sara tak mengantuk lagi. Leka berbual dengan ibu lepas balik dari masjid tadi. Lambatnya abah balik, siapa yang hantar abah?" Sara bertanya. Matanya masih tunak menonton TV.

"Kenalan abah yang tumpangkan."

Hajah Zarina menatang dulang berisi air kopi kegemaran suaminya ke ruang tamu terdengar perbualan dua beranak itu.

"Siapa yang rajin menghantar abang ke rumah?" soal Hajah Zarina.

"Encik Khalif."

"Ooo..." Panjang o isterinya.

Sara membayangkan Encik Khalif itu pasti sudah separuh abad usianya. Berperut buncit, rambut sudah beruban. Dan tidak mustahil jika kepalanya juga sudah separuh botak. Sara tertawa kecil. Tinggi sungguh imaginasinya terhadap lelaki yang bernama Encik Khalif.

Tit... Tit...

Ada mesej yang bertandang. Sara bingkas bangun dan meninggalkan kedua-dua orang tuanya yang sedang rancak berbual. Jarinya menyentuh dada skrin. Berbunga hati apabila nama orang yang sedang dirindui terpapar.

Tidur?

Giliran Sara pula membalas mesej tersebut. Kembang hatinya.

Belum. Tak mengantuk.

Good.

Sara tersenyum sendiri. Saat ini dialah orang yang paling bahagia. Deringan telefon melebarkan lagi senyumannya.

"Assalamualaikum," sapa Sara memberi salam terlebih dahulu.

"Waalaikumussalam... Sweetheart, how are you?"

Soalan lazim Idzham terhadap gadis kesayangannya.

"Sihat. Baru ingat nak call?"

Sara bernada merajuk. Sudah lebih dua minggu dia tidak dihubungi oleh Idzham. Lelaki yang sudah menjadikan Sara tidak keruan.

"Sorry, sweetheart. Id baru sampai dari LA. Belum sampai rumah lagi ni tau, Id terus call Sara dulu. Id belikan sesuatu untuk Sara dari LA."

"Wow! Bestnya. Apa dia?"

"Cuba teka..."

Idzham masih ingin berteka-teki.

"Diamond pendant, earing, or...

"Wooo... Wooo... Melampaulah tu. Kalau teringin sangat, belilah sendiri!"

Idzham sudah tertawa besar dengan sikap Sara yang selamba. Tetapi gelagat itulah yang sering menghiburkan hatinya.

"Habis tu apa?!"

"Kalau nak hadiah, tunggu esok kat tempat biasa, satu tengah hari. Jangan lambat.

"Okey... Dan untuk makluman, Sara pun tak suka menunggu."

Sara juga tidak lupa memulangkan paku buah keras kepada Idzham. Selalunya janji hanya tinggal janji. Kalau Idzham tidak terlewat, dia pula yang tidak datang tepat pada masanya.

"Deal."

Idzham menambah. Faham sangat tentang sahabat yang dikenali dari bangku sekolah lagi. Siti Sara binti Saleh. Sweet!


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co