Truyen3h.Co

Bisik Pada Langit

Bab 13

karyaseni2u

BANG!

Bunyi hentakan di atas meja mengejutkan beberapa orang pelanggan yang sedang menunggu burger mereka disiapkan. Azlan yang sedang leka membuat burger juga terkejut. Dia mendongak ke hadapan.

"Hah, kau rupanya Am. Apa hal bising-bising ni? Nampak bengang semacam aje," tegur Azlan kemudian menunduk memandang kuali burgernya.

Iqram tidak menjawab. Dia hanya mendengus kasar. Rasa sakit hatinya masih bersisa. Kata-kata Zaidi terngiang-ngiang di telinga.

"Abang, saya nak burger macam biasa. Tak nak sayur!" pinta Iqram tanpa menjawab soalan Azlan. Dia lebih rela duduk membatukan diri.

"Yalah," jawab Azlan pendek. Kepalanya digeleng-gelengkan melihat perangai Iqram yang tidak seperti biasanya.

Bukan sehari dua dia mengenali Iqram malah sudah dua tahun lebih Iqram bekerja sebagai mekanik di bengkelnya. Sikap Iqram yang cepat belajar, amanah dan jujur membuatkan Azlan senang dengan lelaki itu. Meskipun umurnya masih lagi mentah, tetapi Iqram tetap tahu tanggungjawabnya sebagai seorang anak. Sanggup mengorbankan masa mudanya untuk membantu keluarga.

"Nah, ni burger kau," ujar Azlan lalu menolak piring yang berisi burger daging tanpa sayur ke hadapan Iqram. Kemudian, dia turut duduk berhadapan dengan lelaki itu.

"Kenapa dengan kau ni, Am? Ada masalah ke?" soal Azlan lembut. Persis seorang abang melayani adiknya.

"Entahlah, bang. Saya ni suka cari masalah agaknya," jawab Iqram acuh tak acuh. Dia menyuapkan burger ke dalam mulutnya.

"Masalah keluarga?" teka Azlan sambil mengamati wajah Iqram yang berubah riak. Mungkin tekaannya tepat.

Satu keluhan lepas dari bibir Iqram. Azlan memang pandai membaca fikirannya. Memang masalah itulah yang kerap bermain di fikirannya.

"Entahlah, bang. Saya rasa macam saya ni anak yang tak guna. Saya ada ke, tak ada ke, dalam rumah tu, ayah saya tak pernah peduli. Asyik-asyik kakak. Saya pun anak dia juga. Tapi dia tak pernah nak hargai saya. Apa yang saya buat semuanya dia tak ambil peduli," luah Iqram akhirnya. Sudah tidak tertanggung rasa yang menghimpit dada. Mungkin dengan cara meluahkan, dia beroleh ketenangan sepicing dua.

"Perasaan kau aje tu. Mana ada bapak yang tak sayang anak, Am."

"Ada, bapak saya," pintas Iqram pantas. Dia geram sebenarnya.

Azlan menggelengkan kepala tanda tidak setuju dengan kata-kata Iqram.

"Am, setiap mak atau bapak mesti nak yang terbaik untuk anak-anak dia. Kau biasa tengok kasih sayang seorang ibu tapi bapak ni lain sikit. Dia takkan tunjuk yang dia sayang anak dia secara terang-terangan. Terutama kat anak lelaki. Bagi bapak, anak lelaki ni kuat macam dia jadi tak perlulah dia tunjukkan kasih sayang yang beria-ia," ujar Azlan sekadar memberi pendapat.

Iqram mencebikkan bibir. Kata-kata Azlan tidak sampai ke hatinya. Azlan sama macam Zaidi. Semua nak dia faham perasaan ayah, habis tu ayah tak perlu faham hati anak ke? Berlegar-legar persoalan itu dalam fikiran Iqram.

"Kalau macam tu lebih baik lepas lahir, hantar aje kat rumah anak-anak yatim. Habis cerita," jawab Iqram masih lagi melawan.

"Am, tak baik kau cakap macam tu. Kau nak ke duduk rumah anak-anak yatim tanpa mak dan ayah? Kau pernah rasa peritnya jadi anak yatim? Kau pernah rasa macam mana hidup dibuang keluarga sebab sikap kau sendiri? Kalau kau tak pernah rasa, abang pernah rasa semua tu." Suara Azlan kedengaran tegas. Dia tidak mahu Iqram tersasar dari jalan yang sepatutnya.

Iqram menoleh. Tepat anak matanya menikam bola mata Azlan.

"Apa maksud abang?" soal Iqram ingin tahu.

"Dulu sebelum abang bukak workshop tu, abang macam kau juga. Suka memberontak. Suka nak perhatian mak ayah abang. Macam-macam hal abang buat semata-mata nak tarik perhatian ayah abang tapi ayah abang ni bukan orang senang. Dia keluar pagi, malam baru balik semata-mata nak cari duit. Abang ni jenis nak itu dan ini. Dia tak dapat nak bagi semua kat abang sebab abang ada adik perempuan. Abang mengamuk. Abang cakap ayah abang tu tak sayang abang. Abang lari dari rumah ikut kawan-kawan. Abang merempit, berlumba, buat apa saja kerja semata-mata nak tunjukkan pada ayah yang abang boleh hidup tanpa dia. Tapi abang silap, masa abang balik kampung ni, nak tunjuk pada ayah abang yang abang dah berjaya, ayah abang dah tak ada. Ayah abang dah meninggal masa dalam perjalanan balik beli helmet baru untuk abang. Dia tahu abang nak sangat helmet tu. Tapi dia tak sempat nak bagi..."

Azlan tidak meneruskan kata. Dia sebak apabila terkenangkan wajah arwah ayahnya yang meninggal tahun lalu akibat dilanggar oleh lori sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah.

Iqram tidak menyampuk. Cerita Azlan yang panjang lebar menyentuh hatinya. Sayu pula apabila dia memandang raut wajah Azlan yang sarat dengan penyesalan.

"Saya mintak maaf, bang. Saya tak bermaksud pun nak ingatkan abang pada arwah ayah abang. Sumpah saya tak tahu kisah abang ni..." ucap Iqram dengan riak bersalah tergambar di wajahnya.

Azlan menyeka air mata yang ingin tumpah dengan hujung jari. Sedaya upaya dia cuba mengukir senyuman buat Iqram.

"Am tak salah apa-apa pun, abang aje yang terlebih emosi. Maklumlah dah tua," jawab Azlan sambil ketawa kecil. Sekadar untuk menutup galau di hati.

"Sebab itu abang nak kau fikir panjang sebelum kau cakap apa-apa. Harta, cinta, duit, kawan-kawan semua kita boleh dapat ganti, tapi mak dan ayah hanya satu dalam dunia ni. Takkan bertukar ganti," sambung Azlan perlahan.

Iqram termenung panjang. Kata-kata Azlan ada benarnya cuma hati dia yang masih keras untuk mengakui kebenaran itu. Bagi Iqram, ayahnya terlalu memilih kasih sedangkan dia juga perlukan kasih sayang seorang ayah.

"Terima kasihlah bang atas nasihat tu. Saya balik dululah. Esok nak kerja pula," ujar Iqram lantas bingkas berdiri. Dia mengeluarkan not lima ringgit lalu dihulurkan pada Azlan.

"Tak apa, Am. Hari ni abang belanja kau. Abang tahu hati kau tengah panas tu, tapi jangan biarkan kemarahan tu membutakan akal kau. Kalau kau nak marah sangat, jangan lupa ambil wuduk," nasihat Azlan lagi. Sempat dia melemparkan senyuman manis buat Iqram.

Iqram membalas senyuman Azlan dengan senyuman tawar. Dia mengangguk kecil lalu beredar meninggalkan Azlan. Motor Honda EX5 menderum laju meninggalkan pekarangan kedai Azlan.

Iqram mengeluh panjang. Angin malam yang menyapa kulitnya sedikit sebanyak menenteramkan hatinya yang tadinya panas. Cerita Azlan kembali berlegar-legar dalam fikirannya.

"Harta, cinta, duit, kawan-kawan semua kita boleh dapat ganti, tapi mak dan ayah hanya satu dalam sejuta. Takkan bertukar ganti."

Lembut suara Azlan berputar di minda. Namun, suara itu ditelan dengan bunyi bising betul-betul di sisi Iqram. Dia berpaling. Kelihatan sekumpulan mat motor mengelilinginya. Iqram kaget seketika.

Nun, dari kejauhan kedengaran bunyi siren polis menggamatkan suasana. Iqram gelabah apabila melihat sekumpulan mat motor yang memakai motosikal jenis Yamaha 135 LC mula kehilangan punca. Mereka seolah-olah dikejar oleh dua buah kereta peronda polis.

"Berhentikan kenderaan anda!" Kedengaran suara pegawai polis dari pembesar suara.

Iqram turut sama gelabah. Apa tidaknya, dalam sekumpulan motosikal itu, dia terbabit sekali. Tambahan pula dia baru teringat yang cukai jalannya masih belum diperbaharui. Tidak dapat tidak, dia harus melarikan diri sebelum ditangkap oleh pihak berkuasa.

"Habis aku kali ni!" getus Iqram. Dia turut memulas minyak dengan sekuat-kuatnya.

ZAIDI duduk bersantai di atas pangkin sambil memandang bintang yang bergemerlapan di langit kelam. Sesekali pandangannya ditebarkan ke arah jalan masuk ke rumahnya. Menanti kelibat Iqram yang tidak muncul-muncul. Rajuk adik lelakinya itu semakin menjadi-jadi. Bukannya Zaidi tak pernah menasihati cuma jiwa anak muda memang mudah terasa hati.

"Hah, Zaidi kau buat apa kat luar ni sorang-sorang?" tegur satu suara dari arah belakang membuatkan Zaidi berpaling. Dia tersenyum tawar.

"Eh, ayah. Ayah tak tidur lagi ke? Dah malam ni," ujar Zaidi sambil memberi ruang untuk ayahnya melabuhkan punggung.

"Ayah tengok lampu kat luar ni terang, sebab itulah ayah jenguk. Ternampak pula kamu termenung panjang kat luar ni. Ingatkan buah hati ke?" soal Wak Rosli selepas melabuhkan punggung di atas pangkin bersebelahan Zaidi.

Zaidi terkinjat. Dia tersengih-sengih kepada Wak Rosli.

"Ayah ni ke situ pula. Zaidi ni mana ada masa nak bercinta-cinta bagai. Lebih baik Zaidi fikir macam mana caranya nak tambah duit untuk keluarga kita ni, hah," ujar Zaidi.

Memang itulah yang dirasakan saat ini. Menyaksikan keperitan Wak Rosli dan Mak Nab mencari duit sewaktu dia kecil dulu membuatkan Zaidi nekad untuk membantu. Biarlah harus dia korbankan cita-citanya asalkan mak dan ayahnya hidup selesa. Dia tidak mahu ayahnya terus mengutip tin-tin dan botol kosong di tepi jalan semata-mata untuk menyara hidup mereka sedangkan dia selaku anak sulung masih kuat untuk membanting tulang mencari rezeki.

"Duit tu boleh cari, Zaidi. Sampai ke tua pun kamu boleh cari duit tapi bila dah sampai jodoh, jangan diabaikan aje. Kerja tu satu ibadah, perkahwinan pun juga satu ibadah. Tapi dengan berkahwin aje yang dapat melengkapkan separuh agama kamu. Selebihnya bergantung pada amal sedekah kamu. Kalau kamu ada berkenan dengan mana-mana anak dara, bagi tahu kat mak atau ayah, biar kami pergi pinangkan. Tapi sebelum tu kamu kenalah kumpul duit lebih. Nak sara anak dara orang ni bukan senang. Ayah tak nak kamu jadi macam ayah. Ayah tak mampu beri kesenangan pada mak kamu," ujar Wak Rosli meluahkan rasa yang terbuku di hati.

Zaidi berpaling ke sisi. Terbetik rasa sayu saat dia melihat wajah sendu milik Wak Rosli. Walaupun ayahnya kelihatan kuat di luar, tapi Zaidi tahu hati Wak Rosli menangis.

"Ayah jangan cakap macam tu. Mak tak pernah mengeluh walaupun tak dapat hidup senang. Sebaliknya kasih sayang ayah yang tak pernah berbelah bahagi tu sudah cukup untuk kami," jawab Zaidi perlahan.

Wak Rosli tidak membalas. Sekejap dia menundukkan kepala, kemudian dia mendongak memandang bintang di langit. Satu keluhan dilepaskan. Harapan terbesar seorang lelaki adalah untuk melihat insan tersayang di sisinya hidup sempurna tetapi Wak Rosli tidak dapat memberikan kesempurnaan itu.

"Am mana? Ayah tak nampak pun dia," ujar Wak Rosli mengalih topik pembicaraan.

Zaidi menarik nafas dan menghembuskan nafas perlahan. Dia tersenyum kelat.

"Di tengah tungguh dialah ni. Lepas makan tadi, dia keluar sekejap tapi sampai sekarang tak balik lagi. Agaknya rancak sangat berborak dengan kawan-kawan dia tu," jawab Zaidi cuba melindungi perkara yang sebenar.

"Berbual tu boleh tapi jangan sampai buat benda tak elok pula belakang ayah. Kamu tengok-tengok sikit Si Am tu. Dia muda lagi. Otak pun tak berapa nak betul. Ayah tak nak dia bergaul dengan budak yang entah apa-apa," balas Wak Rosli.

Zaidi hanya mampu tersengih. Dia mengangguk laju.

"Baik, ayah. Di akan..."

Belum sempat Zaidi meneruskan ayat, telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Sebaris nombor tidak dikenali tertera di skrin. Berkerut dahi Zaidi cuba mengenali nombor tersebut. Namun, dia tiada pilihan apabila nombor itu terus membuat panggilan. Dengan rasa yang berdebar-debar, Zaidi menjawab.

"Helo, siapa ni?" soal Zaidi penuh sopan. Sesekali dia mengerling pada Wak Rosli yang setia menanti.

"Apa?" Zaidi tersentak. Dia bingkas bangun. Jantungnya bagaikan direntap keras mendengar berita yang disampaikan oleh pemanggil.

Wak Rosli yang melihat anaknya terkejut turut terpinga-pinga. Hatinya mula dipagut bimbang, andai berita yang diterima adalah berita buruk.

Zaidi menamatkan panggilan.

Dia memandang Wak Rosli dengan serba salah.

Bagaimana harus disampaikan berita ini pada Wak Rosli? Dia menjilat bibir yang terasa kering. Air liur ditelan berkali-kali.

"Kenapa, Di? Apa yang berlaku?" soal Wak Rosli turut bingkas berdiri.

Anak mata Zaidi mula melilau-lilau. Dia kehilangan kata.

"Am, ayah..."

"Kenapa dengan Am?"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co