Truyen3h.Co

Bius Cinta Dari Ardul Kinanah

Bab 9

karyaseni2u

"DAH lama hang menyusahkan hidup aku. Sejak aku kenai hang dari tingkatan tiga, hang hanya tau nak mengenakan orang yang lemah iman macam aku ni hang tau dak!"

Haris dan Ijan yang baru selesai makan di kantin sekolah terdengar tempikan suara dari semak belakang makmal Biologi sekolah. Mereka menuju ke arah suara itu untuk melihat apa yang sedang berlaku.

Perlahan-lahan mereka meninjau di sebalik pokok-pokok yang menjalar liar. Dahi Ijan berkerut-kerut. Haris pula dalam kebingungan. Mereka berdua saling berpandangan antara satu sama lain. Hanya isyarat mata yang memainkan peranan ketika ini. Apa kena dengan kawan mereka yang sorang ni?

"Hang ni memang licik. Aku tak tau apa menariknya hang ni sampai ramai gila laki suka kat hang. Bukan setakat dalam sekolah ni aja tapi kat luaq sana pun hang nak sebat juga. Apa motif hang buat semua ni kat kami, hah?" Yasser menahan sabar melihat benda yang berada di hadapannya.

"Yasser cakap dengan siapa?" bisik Ijan di telinga Haris.

"Aku pun musykil juga. Dari tadi aku tak nampak sesiapa pun depan dia. Awat la jadi mereng pula dah nak dekat exam ni. Dia tertelan ubat gegat ka malam tadi? Ya Allah, Engkau lindungilah sahabat kami." Sempat Haris berdoa.

Yasser mundar-mandir seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Sikapnya itu menambahkan lagi rasa pelik Haris dan Ijan.

Akhirnya Yasser berhenti. Kemudian dia tersenyum lebar. Memang sah Yasser dah tertelan ubat gegat malam tadi! Something wrong somewhere la ni. "Hang dengaq baik-baik apa yang aku nak habaq ni. Mulai dari hari ni aku ceraikan hang dengan talak tiga!" tegas Yasser.

Dua orang sahabatnya yang berada di belakang jatuh rahang.

Bila masa pula Yasser ni kahwin? Awat aku tak tau? Monolog Ijan sendirian.

"Hang dengaq tak ni? Lepas ni aku tak nak tengok muka hang lagi. Hang berambus dari hidup aku dan jangan sesekali berani muncul depan aku lagi." Dada Yasser berombak kencang setelah melepaskan segala amarahnya.

Haris dan Ijan terus menerpa ke arah Yasser. "Hang sihat ka dak ni?" Haris meletakkan tangannya di dahi Yasser. Okey aja. Tak panas sangat, sejuk sangat pun tidak.

"Bila masa pula hangpa ada dekat sini?" Yasser pula yang bingung.

"Kami dah lama ada kat belakang hang dan kami dah dengaq semuanya. Aku nak tanya hang ni, bila masa hang kahwin? SPM pun tak lepas lagi, berani hang terlibat dengan benda yang memerlukan komitmen tersangatlah tinggi tu." Ijan menuntut penjelasan daripada Yasser.

Tiba-tiba Yasser tersengih. La, awat pula buat muka macam pondan nak mengurat teruna ni? Kemudian, Yasser menyeluk kocek seluarnya untuk mengambil sesuatu dan perlahan-lahan dia menghampiri Ijan.

Ya Allah, kawan aku ni dah tak betul ka lepas lafazkan talak tadi? Talak tiga pula tu. Lindungilah hamba. Ijan sudah memejamkan matanya kerana tidak sanggup melihat aksi seterusnya. Yasser mengusap lembut pipi Ijan dengan 'benda' yang dikeluarkan dari poket seluarnya tadi.

"Benda ni sebenarnya yang aku gaduhkan tadi. Hang pikiaq apa tu Ijan? Dah, buka la mata tu. Aku ni lurus lagi tau. Bukan bengkang-bengkok macam apa yang ada dalam kepala otak hang tu. Kuning betul la otak hang ni." Ijan membuka matanya perlahan-lahan.

Haris menggeleng. Ternyata memang mereka salah faham tentang apa yang mereka dengar sejak dari mula lagi.

"Hang pun satu la Yasser. Cara hang cakap, bahasa yang hang guna, memang semua orang yang dengaq pun pikiaq sama macam kami. Kut ya pun nak berhenti merokok, tak payah la sampai nak lafaz cerai segala bagai," bebel Ijan.

"Betul la apa yang aku cakap tadi. Aku ceraikan rokok ni dengan talak tiga terus. Maknanya, aku tak nak dia ada lagi dalam hidup aku. Lingkup hidup aku dibuatnya. Sekotak dah la sepuluh ringgit, tu tak kira lagi asap yang aku dah sedut. Memang patut pun tindakan aku ni." Yasser ingin membela diri.

Haris datang menghampiri Yasser. "Aku gembira akhirnya hang dah berhenti merokok. Hang ni muda lagi, tak usahlah duk tempah tiket mati awal. Kesian kat mak hang. Hantaq hang pi sekolah tapi tak sempat nak ambil SPM." Usik Haris.

"Mulut hang mengalahkan nenek aku. Kalau aku ada cabai, la ni juga aku tenyeh kat mulut hang tu," ujar Yasser.

Ketawa mereka bertiga bersatu.

SPM telah pun berakhir dua minggu yang lalu. Cuti panjang sementara menunggu keputusan peperiksaan keluar digunakan oleh Haris sebaik mungkin. Dia bekerja sementara waktu di salah sebuah sekolah agama berdekatan dengan rumahnya.

Jadualnya agak padat dengan aktiviti-aktiviti yang telah pihak sekolah aturkan untuk para pelajar di situ. Muda-muda lagi sudah mendapat gelaran ustaz. Tapi gelaran yang disandang itu sudah cukup berat. Ustaz? Orang akan melabel kita sebagai seorang yang alim dan baik. Akhlak dan sahsiah diri perlu dijaga kerana banyak mata yang memandang.

Di sekolah itu, Haris mengajar subjek Akhlak untuk pelajar tahun tiga. Selepas tamat waktu rehat yang pertama, Haris masuk ke dalam kelas untuk mengajar. Hari ini masuk bab batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.

"Adik-adik, hari ni ustaz nak ajar tajuk baru. Buka muka surat dua puluh tujuh, ya?" Mata Haris menebar ke seluruh kelas. Semua pelajarnya telah duduk dengan tertib. Mula-mula sebelum masuk ke kelas tadi budak-budak ni bising sangat macam orang berjual beli di pasar malam. Tapi apabila nampak kelibatnya, semua lari lintang-pukang macam nampak hantu. Haris tersenyum sendiri. Zaman kanak-kanak dia dulu juga begini. Ianya memang fitrah kanak-kanak kerana mereka belum mengenal erti serius dalam melakukan sesuatu perkara.

"Siapa dalam kelas ni tau, apa sebab Allah larang lelaki bergaul bebas dengan perempuan?" Haris melemparkan soalan untuk budak-budak itu berfikir sejenak.

"Memang la Allah tak bagi lelaki dengan perempuan berkawan ustaz. Budak perempuan suka main masak-masak, mana sama dengan budak laki. Kami main bola sepak aja," jawab salah seorang daripada pelajarnya. Jawapan itu mengundang senyum di bibir Haris.

"Allah bagi kita berkawan antara satu sama lain tapi kena jaga batas." Tiba-tiba pelajar tadi mengangkat tangan.

"Ada apa Muiz?"

"Ustaz, batas tu makna dia apa? Kami tak faham la."

"Okey. Batas tu sama la macam adab. Islam ni kan penuh dengan adab. Bermula dari kita bangun tidoq sampai la kita tidoq balik. Semuanya ada adab-adab tertentu," terang Haris.

"Antara adab-adabnya ialah, kita tidak boleh bersentuhan antara satu sama lain. Haram hukumnya. Kamu yang pelajar lelaki ni bila dah besaq nanti jangan duk gatai pi pegang tangan perempuan yang tak ada kaitan dengan kamu. Berdosa tau." Haris menulis isi yang pertama di papan putih.

Kemudian dia menyambung lagi. "Daripada kita pegang tangan depa, baik kita pegang khinzir."

"Hesy, ustaz! Mana boleh pegang babi. Haram juga tu," jawab salah seorang daripada pelajar perempuan.

"Pegang babi tak haram cuma kena samak aja. Kalau pegang perempuan, nak samak guna apa?" Semua pelajarnya menggaru-garu kepala kerana tidak dapat mencari jawapan untuk soalan yang dilontarkan kepada mereka.

Bibir Haris mengoyak senyum. Macam-macam ragam budak-budak ni. Biasalah, budak-budak yang sedang membesar ini memang banyak soalan yang hendak ditanya. Kekusutan itu perlu dileraikan dengan ilmu yang mudah untuk mereka faham dan hadam.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co