Bab 10
KETIKA mereka tiba di kafeteria, Irwan sudah pun berada di sana. Sejurus ternampak mereka, Irwan melambai. Melihatkan itu, Elfira dan Fauziah terus menghampiri Irwan.
Elfira mengambil tempat di depan Irwan manakala Fauziah pula duduk di sebelahnya. Elfira memperkenalkan Fauziah kepada Irwan. Irwan dan Fauziah saling berbalas senyuman tanda sapaan.
"Dah lama sampai ke?" tanya Elfira sambil melihat telefon bimbit di tangan Irwan. Hatinya kuat mengatakan bahawa Irwan pasti sedang menantikan mesej daripada Anzalna.
"Baru aje," balas Irwan.
"Dah oder makan ke belum?" tanya Elfira lagi apabila melihat hanya ada segelas teh ais di depan Irwan. Dia cuba bersikap biasa walaupun dia tidak biasa berjumpa dengan Irwan tanpa Anzalna. Kalau hanya dia dengan Irwan, memang dah lama dia menolak ajakan Irwan. Nasib baik Fauziah ada sekali.
"Tunggu kau oranglah," jawab Irwan. Kemudian, dia menggamit salah seorang pelayan di situ.
"Kau orang nak makan apa?"
Selepas memesan makanan dan minuman masing-masing, suasana menjadi sunyi. Ketiga-tiganya melayan perasaan sendiri.
Elfira memandang Irwan yang asyik dengan telefon bimbitnya. Dia mula bosan dengan suasana sunyi itu.
"Mesej dengan Anzalna ke?" Elfira sengaja menebak. Ingin memecah kesunyian sebenarnya. Dia memang tidak suka keadaan yang terlalu sunyi.
Irwan cuma tersenyum.
Namun, Elfira perasan akan kehambaran pada senyuman itu. Pasti ada sesuatu yang ingin dikatakan oleh Irwan dan sesuatu itu pastilah ada kaitan dengan Anzalna. Kalau tak, tak ada maknanya Irwan sanggup mengirim SMS kepadanya. Siap ajak makan lagi.
"El, aku pergi beli pisang cheese kejap, ya. Kau nak?" soal Fauziah.
Elfira menggeleng.
"Irwan?" Fauziah memandang Irwan.
"Tak, terima kasih," balas Irwan.
"Aku pergi beli kejap, ya," ujar Fauziah lalu bangkit ke salah satu gerai yang menjual pisang cheese. Seolah-olah memberi ruang kepada mereka berdua untuk berbicara. Mungkin Irwan segan nak bercakap di hadapannya.
"Jangan lama-lama tau," pesan Elfira. Takut benar dia jika ada antara budak kelasnya yang nampak dia dan Irwan duduk berdua begitu. Nanti tak pasal-pasal dia kena gosip pula dengan Irwan. Lagi 'mengamuk' Anzalna jawabnya.
Sebaliknya, Irwan pula memang berharap yang dia dapat berdua-duaan dengan Elfira. Kesempatan itu digunakan oleh Irwan untuk bertanya kepada Elfira tentang Anzalna.
"El, kau rapat dengan Anzalna, kan?" umpan Irwan.
"Rapatlah juga. Kenapa?" Elfira seakan-akan sudah dapat mengagak arah tuju perbualan Irwan. Seperti yang dia duga!
"Mesti kau tahu dia keluar dengan siapa, kan?"
Elfira agak terkejut mendengar pertanyaan Irwan. Macam pelik pula apabila Irwan bertanya begitu. Biasanya Irwan lebih mengetahui segalanya tentang Anzalna berbanding dirinya. Walaupun dia dan Anzalna menghuni asrama yang sama, Anzalna jarang-jarang bercerita tentang hal peribadinya. Anzalna agak berahsia perihal dirinya. Justeru, dia pun malas nak ambil tahu sangat.
Kalau Anzalna bercerita, dia dengar. Kalau Anzalna tak bercerita, dia pun malas nak bertanya. Kalau orang tak bercerita tu, faham-faham sajalah. Nanti tak pasal-pasal dia dicup penyibuk pula. Sibuk nak tahu hal orang.
"La, manalah aku tahu. Aku ada ajak dia makan sama tadi tapi dia kata dia keluar dengan kawan. Aku ingat tadi dia keluar dengan kau," balas Elfira.
"Tak. Patutlah bila aku ajak keluar, dia tak nak. Rupa-rupanya dia keluar dengan lelaki lain," adu Irwan.
Entah mengapa dia berasa ingin mengadu kepada Elfira. Firasatnya kuat mengatakan Elfira orang yang dapat dipercayai dan seorang pendengar yang baik. Tambahan pula, Elfira boleh dikatakan agak rapat dengan Anzalna. Jadi, pastinya Elfira mengenali Anzalna dengan lebih mendalam. Justeru, jikalau dia ada kemusykilan tentang Anzalna, pasti Elfira tahu jawapannya.
"Mana kau tahu dia keluar dengan lelaki lain? Dia beritahu kau?" duga Elfira. Dia hairan dengan kata-kata Irwan. Mana pula Irwan tahu Anzalna keluar dengan lelaki lain? Adakah Anzalna sendiri yang beritahu Irwan?
Tapi kalau betul Anzalna keluar dengan lelaki lain pun, dia tak rasa itu suatu kesalahan kerana Anzalna sudah menegaskan bahawa dia dengan Irwan tidak ada apa-apa hubungan istimewa selain kawan baik.
Selama dia mengenali Anzalna, sememangnya Anzalna seorang yang ramah dengan semua orang apatah lagi sikap manjanya yang adakala sukar dikawal. Mungkin disebabkan itu ada yang salah faham dengan layanan yang diberi. Mungkin Irwan salah seorang daripada mereka.
Tambahan pula, Anzalna pernah menceritakan yang dia selesa berkawan dengan Irwan tetapi bukan sebagai teman lelaki. Kalau Anzalna sudah berkata begitu, dia tidak mahu mempertikaikannya. Baginya, Anzalna berhak berkawan dengan sesiapa sahaja. Kalau lelaki-lelaki ini yang salah faham, nak buat macam mana, kan?
"Aku telefon dia tadi, nak ajak makan. Dia kata dia kat luar. Lepas tu aku dengar suara orang lelaki kat sebelah dia," terang Irwan.
Elfira tidak tahu mahu memberi komen. Irwan kawan dia, Anzalna juga kawan dia. Tak tahu siapa yang harus dia menangkan. Tapi dia rela meminjamkan telinganya untuk sesiapa saja. Mungkin Irwan cuma mahu meluahkan perasaan.
"Aku tahu aku tak ada hak nak halang dia keluar dengan lelaki lain tapi aku agak kecewa bila dia macam dah berubah." Irwan menyambung selepas diam seketika.
Elfira tidak mengerti. Berubah? Siapa yang berubah? Anzalna ke?
"Kenapa kau cakap macam tu pula?"
"Tiba-tiba aje dia macam dingin dengan aku. Macam nak jauhkan diri pun ya. Dia dah jarang-jarang mesej aku. Bila aku mesej pun dia tak balas. Macam ada sesuatu yang dia rahsiakan daripada aku," cerita Irwan lagi.
Jadi, selama ini mereka selalu berbalas mesej? Wow! Adakah mereka selalu keluar bersama juga? Eh, sejak bila pula dia suka jaga tepi kain orang ni?
"Boleh aku tanya kau sesuatu tak?" soal Elfira teragak-agak.
"Tanyalah." Irwan memberi kebenaran.
"Kau dengan Anzalna memang betul-betul tak ada apa-apa hubungan istimewa ke?" Akhirnya, terlontar juga soalan itu walaupun payah untuk diluahkan.
Dia bukan nak menyibuk. Dia cuma nak tahu status hubungan mereka yang sebenarnya. Kalau hanya sekadar kawan, takkanlah Irwan berkelakuan sebegini? Pasti ada apa-apa antara mereka.
"Susah aku nak cakap. Kadang-kadang aku rasa macam dia layan aku lebih daripada seorang kawan, tapi bila depan orang lain, sikap dia berubah pula sampaikan aku sendiri pun keliru," ujar Irwan.
"Dia pernah cakap dia sayang kau, I love you atau yang sewaktu dengannya?" soal Elfira lagi.
Amboi, El! Tak agak-agak kau, ya. Dah macam penyiasat persendirian dah hah! Elfira mengutuk dirinya sendiri.
Irwan diam.
Melihatkan wajah Irwan yang serba salah itu, Elfira pantas menukar soalan.
"Okey, kau tak perlu jawab kalau kau tak nak jawab. Kau pernah tak tanya dia sama ada dia dah ada seseorang atau tak?"
Irwan mengeluh sebelum menjawab.
"Aku pernah tanya dia tapi dia kata dia tak ada siapa-siapa lagi. Aku ni bukanlah teruk sangat. Kalau dia kata dia dah ada seseorang, aku pun takkan berani rapat dengan dia macam sekarang."
Elfira bersimpati dengan Irwan namun dia tidak dapat berbuat apa-apa. Nak menasihatkan orang, dia tak pandai kerana dia sendiri tak pernah melalui apa yang dilalui oleh Irwan. Jadi, ada baiknya jika dia diam saja.
Kalau ikutkan hati, nak aje dia cakap, kalau Anzalna tak pernah cakap sayang, so tak payahlah nak perasan lebih-lebih. Anzalna tu memang cepat mesra dengan semua orang. Tapi dia tak sampai hati pula. Orang tu dahlah tengah frust.
"Kalau kau nak kata aku perasan atau syok sendiri, aku ada alasan untuk rasa perasan. Cuba kau tengok ni," ujar Irwan seraya menyuakan telefon bimbitnya kepada Elfira.
Zap! Elfira berasa tersentap. Irwan macam tahu-tahu aje apa yang ada dalam hati dia. Lambat-lambat dia melihat telefon bimbit Irwan. Dia membaca sesuatu yang ditunjukkan oleh Irwan dalam telefon bimbitnya.
Matanya membulat. Dia memandang Irwan seperti tidak percaya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co