Truyen3h.Co

Bukan Tak Suka

Bab 8

karyaseni2u

PINTU bilik pejabat yang tertera nama DR. OTHMAN BIN ZAINUL itu dibuka dari dalam. Seorang pelajar keluar dari bilik itu sambil menangis teresak-esak. Di belakangnya, seorang rakannya sedang berusaha memujuk dan menenangkannya.

"Dahlah, tak payahlah menangis."

"Macam mana aku tak menangis kalau projek kita kena reject?"

"Tak apalah, sekurang-kurangnya Doktor O beri peluang untuk kita baiki semula."

"Ini semua kau punya pasallah! Kau yang cadangkan kita buat bahagian sendiri-sendiri," marah pelajar itu.

"Eh, aku pula? Dah kau pun tak bantah, kan?"

Pertengkaran dua sahabat itu membuatkan Elfira dan Danish yang sedang menunggu di luar bilik itu terkedu. Mereka berbalas pandangan.

"Ha, Elfira, Danish, buat apa berdiri kat luar? Masuklah," pelawa Dr. O.

Serentak Elfira dan Danish berpaling ke arah pensyarah mereka itu. Perlahan-lahan kedua-duanya menapak masuk ke dalam bilik pejabat Dr. O.

Selepas dipelawa, masing-masing melabuhkan punggung di atas kerusi yang diletakkan di hadapan meja pensyarah itu. Sememangnya bilik itu tidaklah besar mana namun cukup untuk memuatkan sebuah meja dan almari buku.

"Awak berdua tahu kenapa saya panggil awak berdua?" soal Dr. O sambil memandang mereka dengan pandangan yang serius.

Elfira memandang Danish. Danish memandang Elfira. Kemudian, kedua-duanya memandang Dr. O lalu menggeleng.

Dia sendiri terkejut apabila Dr. O menyuruhnya datang ke bilik pejabat pensyarah itu pagi tadi. Lebih mengejutkannya apabila melihat Danish turut berada di situ. Sangkanya, dia tidak perlu bertemu dengan Danish lagi. Ternyata harapannya itu meleset. Entah apa pula kali ni.

"Awak berdua ni ada masalah ke?" tanya Dr. O lagi.

Kedua-dua wajah pelajar di hadapannya itu diamati. Nampak sangat yang mereka berasa kekok antara satu sama lain.

"Tak ada," jawab Elfira laju.

Kenapa pula Dr. O fikir mereka ada masalah?

"Betul awak berdua tak ada masalah?" ulang Dr. O inginkan kepastian.

Elfira dan Danish diam.

Melihatkan kebisuan mereka, Dr. O menyambung kata-kata.

"Kalau awak berdua tak ada masalah, boleh awak berdua jelaskan kepada saya kenapa tugasan awak berdua teruk sangat?"

Dr. O mencampak sekeping cakera padat di hadapan mereka.

"Design setiap slaid tak sama, warna cacamarba, nampak sangat buat kerja asing-asing," tegas Dr. O.

Elfira tunduk merenung lantai. Dia tahu ini semua salah dia. Dia yang mencadangkan kepada Danish agar mereka membuat tugasan itu secara berasingan. Dia buat begitu sebab dia tidak mahu duduk berdua dengan Danish.

Rasanya jika mereka berdua buat tugasan itu bersama-sama pun, pastinya tiada apa-apa yang berbeza pun. Danish tetap tidak akan bercakap sangat. Jadi, lebih baik mereka buat kerja asing-asing.

"Terus terang, saya kecewa dengan awak berdua. Saya mengharapkan sesuatu yang luar biasa daripada awak berdua. Tapi ternyata awak berdua mensia-siakan peluang yang saya beri."

Dr. O memerhatikan mereka. Danish, seorang pelajar yang mahir dalam multimedia tapi sering tak hadir ke kelas. Elfira pula seorang pelajar yang tidak pernah ponteng kelas dan sentiasa fokus di dalam kelas tapi agak kurang mahir dalam multimedia.

"Saya tahu awak berdua tak berapa mengenali antara satu sama lain tapi itu bukanlah alasan untuk awak berdua tak boleh bekerjasama. Dalam kerja berkumpulan, kita kena bertolak ansur, belajar menerima idea orang, banyakkan berbincang untuk mencapai hasil yang terbaik. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Belajar menerima kekurangan tersebut dan sama-sama atasi kekurangan tu," nasihat Dr. O.

Dia yakin mereka berdua ada kelebihan masing-masing. Jika mereka bijak mengimbangkan kelebihan yang mereka ada, dia pasti tugasan mereka akan menjadi jauh lebih baik.

Dr. O diam sejenak sebelum menyambung lagi.

"Saya nak awak berdua buat balik tugasan ni dan hantar semula kepada saya. Kali ni, saya nak awak berdua bekerjasama sebagai satu kumpulan. Duduk berbincang dan bekerja bersama-sama."

Elfira melepaskan keluhan. Nampaknya dia sudah tiada pilihan lain lagi. Mahu tidak mahu, dia tetap perlu menghabiskan masa dengan Danish sehingga tugasan mereka siap. Sekurang-kurangnya seminggu!

"ISY, apalah Doktor O ni! Kita dah buat cantik-cantik pun kena komen teruk juga. Bukannya teruk sangat pun," rungut Elfira sejurus mereka keluar dari bilik Dr. O.

Punyalah penat dia bersengkang mata demi menyiapkan tugasan itu tapi sudahnya kena buat semula! Terasa sia-sia saja kerjanya selama beberapa hari ini. Dia melepaskan keluhan.

Elfira memandang Danish yang hanya diam dari tadi. Baru dia sedar yang dia cuma bercakap seorang diri. Berbeza dengan dirinya, Danish menerima komen itu dengan tenang.

"So, bila kita nak start buat amendment ni?" tanya Elfira.

"Sabtu dan Ahad saya tak boleh," balas Danish.

"Kenapa pula?" Elfira mempamerkan riak tak puas hati.

Kalau nak diikutkan, Sabtu dan Ahad sajalah waktu yang mereka ada memandangkan hari lain mereka perlu menghadiri kelas. Tambahan pula, jadual kelas mereka tidak sama. Lagipun, mereka sudah kesuntukan masa. Mahu tak mahu, mereka harus korbankan cuti hari minggu untuk menyiapkan tugasan tersebut.

Danish tidak menjawab.

Melihatkan itu, Elfira bertanya lagi.

"Habis tu, bila nak buatnya?"

"Emmm..." Danish berfikir sejenak sebelum bersuara.

"Bagi nombor telefon."

"Ha?" Spontan perkataan itu terkeluar dari mulutnya.

Adakah dia tersalah dengar? Danish meminta nombor telefonnya? Nak buat apa? Elfira teragak-agak. Perlu ke?

"Kenapa? Awak takut pakwe awak marah, ya?" Danish cuba menebak.

"Saya mana ada pakwelah!" marah Elfira.

Entah mengapa soalan Danish itu seolah-olah menyindirnya. Mentang-mentanglah dia hanya memakai baju T dan seluar jean. Mekap pun tak. Tak macam pelajar-pelajar perempuan Mass Comm yang lain. Fauziah yang ambil jurusan perakaunan tu pun lebih pandai bergaya daripadanya.

Sekali tengok, mesti orang takkan sangka yang dia ialah pelajar Mass Comm. Berkali-kali tengok pun, confirm orang takkan percaya yang dia pelajar Mass Comm. Jangan kata mereka, dia sendiri pun tak percaya yang dia dapat kursus ni setelah permohonannya untuk belajar di Fakulti Seni Lukis Dan Seni Reka ditolak.

Nak tak nak, terpaksalah dia terima juga. Tapi adakalanya dia menyesal juga sebab ada sesetengah mata pelajaran yang tak kena dengan jiwanya. Tambahan pula, apabila ramai orang yang menganggap pelajar-pelajar Mass Comm ni sosial dan bergaul bebas antara lelaki dengan perempuan.

"Garang macam mak tiri, memanglah tak ada siapa nak," jawab Danish perlahan tapi masih dapat didengari oleh Elfira.

Mata Elfira membulat. Seolah-olah tidak percaya ayat yang baru dia dengar dari mulut Danish.

"Apa awak cakap?" Elfira mula naik angin.

Bukannya dia tak dengar tapi dia sengaja nak tengok sama ada Danish berani atau tidak mengulangi ayatnya tadi.

"Saya cakap awak ni garang macam mak tiri," ulang Danish dengan berani.

Sungguhpun nada suara Danish masih lembut tetapi kata-kata itu tetap merentap tangkai hatinya. Tak pernah lagi ada orang yang kata dia garang macam mak tiri.

Amboi, sesedap hati dia aje kata orang garang macam mak tiri! Siapa kata mak tiri tu semua garang? Entah-entah dia ni ada mak tiri yang garang tak?

Elfira cuba menyabarkan dirinya. Dia tak nak bergaduh dengan Danish yang terang-terang tak kenal siapa dirinya. Buang masa saja kalau dia terangkan kepada Danish pun. Lagipun apa gunanya dia bersusah payah membetulkan andaian Danish terhadap dirinya? Danish bukan orang penting pun dalam hidupnya. Jadi, terpulanglah kalau Danish nak fikir yang buruk pun pasal dia.

"Berilah nombor telefon, mak tiri."

Danish sudah mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam poket dan bersedia untuk mencatat nombor telefon Elfira.

Nak tak nak, Elfira menyebut juga nombor telefon bimbitnya lambat-lambat. Harap-harap Danish tak 'jual' nombor telefonnya. Alah, kalau 'jual' pun, tak ada siapa yang nak beli kut.

Tidak lama kemudian, Danish membuat Missed Call di telefon bimbitnya.

Elfira melihat telefon bimbitnya. Nombor telefon Danish disimpan dalam Contact.

"Kalau ada apa-apa nanti, saya beritahu ya, mak tiri."

Danish turut menyimpan nombor telefon Elfira dalam telefon bimbitnya dengan nama 'mak tiri'.

"Eee, suka-suka hati aje panggil orang mak tiri. Sejak bila pula saya kahwin dengan ayah awak?" marah Elfira.

Panggilan itu dirasakan terlalu tua untuknya. Tak sesuai langsung. Kahwin pun belum, nak jadi mak apanya?

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata? Tiba-tiba dia teringat yang Danish sudah tiada ayah.

Aduh, kenapalah mulutnya celopar sangat?

"Janganlah marah, mak tiri." Danish memujuk. Langsung tiada tanda-tanda yang dia terasa dengan kata-kata Elfira tadi.

Tengok tu, panggil orang mak tiri lagi!

Elfira ingin memarahi Danish namun rasa marahnya hilang apabila melihat senyuman Danish.

"Saya ada hal, saya pergi dulu, ya. Apa-apa nanti SMS. Bye, mak tiri!" ujar Danish lantas terus berlalu sebelum Elfira sempat menahan.

Elfira melepaskan keluhan geram. Eee, tak pasal-pasal dia mendapat gelaran 'mak tiri' pula hari itu!


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co