Truyen3h.Co

BUNGA API

Bab 4

karyaseni2u

Daerah yang berupa petak-petak sawah itu kelihatan begitu mendamaikan tetapi daerah itu juga terasa asing kerana masih ditabiri kelam. Di hujung horizon, dia nampak garis cahaya matahari mula perlahan-lahan menguak celahan awan dan menyuluh daerah itu. Warnanya terang dan menghangatkan tetapi dia masih terasa dingin. Sisa kabus masih nampak berbalam di kejauhan.

Pandangannya kemudian menangkap satu figura di tengah sawah. Seorang kanak-kanak perempuan. Dari kejauhan, bagai ternampak kanak-kanak yang bertocang dua itu seolah-olah melambai kepadanya. Dia mendekat tetapi kanak-kanak tersebut berpaling lalu melarikan diri daripadanya. Dia mempercepatkan langkah dan mengejarnya dari belakang namun kanak-kanak itu kian menjauh. Dia dengan cemas memekik memanggilnya. Seketika kemudian, kanak-kanak itu terhenti dan berpaling semula ke arahnya semula tetapi dia masih tidak dapat melihat dengan jelas wajah kanak-kanak tersebut.

Perlahan-lahan Najmi membuka mata. Lenanya terganggu dengan cahaya matahari yang tajam memijar bebola mata dari celahan dedaun pohon mangga yang menjadi tempat sandarannya. Najmi menggawangkan tangan kanannya, menghalang cahaya itu daripada terus menyakiti pandangannya. Dia telah kembali ke alam realiti kerana dia mendengar desiran angin antara dedaun pohon mangga dan juga angin yang saling melaga batang-batang padi.

Najmi bangkit. Entah berapa lama dia terlena di bawah pohon mangga itu. Sesekali mimpi itu datang menjengah. Sudah beberapa kali pengakhiran mimpinya begitu. Apabila dia mahu mendekat, kanak-kanak perempuan itu pasti akan berpaling dan mula berlari. Seolah-olah mahu bercanda dengannya.

Sepasang tekukur tanah terbang melayah di antara pokok-pokok padi yang sedang membunting. Tekukur jantan hinggap di atas tebing permatang saliran air diikuti tekukur betina. Di dalam saliran air yang bertakung di sepanjang permatang sawah, kelihatan anak puyu dan haruan sedang berenang-renang. Sekali-sekala dia mendengar puyu melompat di antara kiambang dan keladi bunting yang terapung, menghasilkan bunyi plop, plop lalu mengocak ketenangan permukaan air.

Dia mengenakan semula butnya yang dikotori dengan selut yang telah mengering. Matahari sudah tinggi benar. Najmi bangkit dan mengibas punggungnya. Tong racun yang diletakkan di atas permatang sawah tidak jauh daripada tempat duduk tadi dipikulnya. Pekerjaannya meracun rumpai pada hari ini telah selesai. Dia mula mengorak langkah menelusur permatang sawah.

Seekor sesibur yang baru sahaja bertenggek di atas bunga lalang terbang semula apabila Najmi melanggar rerumput tempatnya bertenggek. Anak-anak puyu dan haruan berenang-renang resah mendengar derap langkahnya. Pasangan tekukur tadi terbang menjauh, terkejut akan kehadirannya.

Najmi mendapatkan motosikalnya yang dipakir di hujung permatang. Dia menebar pandang sekali lagi ke arah dua pohon mangga di hujung petak sawah dan juga kaki langit yang melatarinya. Walaupun mindanya dengan mudah memangkas mimpi-mimpi itu sebagai mainan tidur, namun jauh dalam sudut hatinya, dia tahu sesuatu yang sudah lama menginap dalam hati dan memorinya tidak pernah padam selama ini.

"Najmi, tadi pak su telefon. Dia kata pak long masuk wad," kata umi ketika mereka berdua duduk di meja makan menjamah hidangan tengah hari yang sedikit lewat.

Seusai pulang dari sawah, Najmi menanak nasi dan menggoreng ikan kembung untuk mereka berdua. Sempat juga dia menyediakan sambal kicap dan sup labu air yang dipetik di belakang rumah. Ini sahaja masakan yang mudah baginya.

"Hah?! Bila?" soalnya.

"Pagi tadi. Keluarga pak long dah ada dekat Hospital Kuala Lumpur."

"Dia sakit apa? Teruk ke sakit pak long tu?"

Umi tidak meneruskan suapannya lagi. Ikan kembung dan nasi berkuah sayur labu bening di atas pinggannya tercuit sedikit sahaja.

"Entahlah. Cara pak su cakap tu, macam teruk. Tak tahu berapa lama kena duduk dalam wad. Najmi pergilah tengok keadaan pak long macam mana."

"Tapi kalau Najmi pergi, siapa nak jaga umi? Dahlah umi demam dua tiga hari ni."

"Tak apa. Demam biasa aje. Tak teruk mana." Umi terbatuk sedikit. Sungguh ironi. Walaupun nyata umi kurang sihat, namun dia masih mahu bersikap seperti biasa di hadapan Najmi. Najmi sedikit rasa terkilan dengan sikap umi itu.

"Tapi umi masih dikira tak sihat. Takkan Najmi nak tinggalkan umi dan tengok orang lain pula?" Najmi cuba memujuk menunjukkan rasional.

"Kalau kita tak pergi tengok, nanti saudara-mara yang lain kata apa pula?"

"Pernah ke dia orang anggap kita ni saudara-mara dia orang?"

Umi diam.

"Macam mana dengan ayam-ayam Najmi nanti?" soal Najmi kemudian.

"Munir kan ada. Mintalah tolong dia sekejap."

Najmi tidak membalas. Seleranya mula sirna. Munir, satu-satunya kawan baik merangkap kawan niaga itu memanglah boleh membantunya melihat-lihat ternakan ayam mereka. Dia tahu kalau dia minta tolong Munir untuk jangka masa yang lama pun, kawan baiknya itu tidak akan menolak. Kalau mahu beri alasan, ada banyak yang boleh difikirkan kerana dia sebenarnya tidak senang mahu melawat bapa saudaranya itu.

"Najmi, jangan asyik berkira dengan perkara yang dah lepas. Kalau kita asyik berkira saja, hidup kita ni tak akan tenang."

"Tapi pak long bukannya suka jumpa Najmi." Matanya bulat memandang umi.

"Dia kan saudara kandung ayah. Pergilah tengok sekejap," kata umi.

Dia diam. Nasi di atas pinggannya dikuis-kuis.

"Najmi... Pergi ya, nak?"

Najmi tidak dapat menolak lagi.

"Esok Najmi pergi ke sana."

"Pak su pesan tadi suruh Najmi datang tidur rumah dia saja. Senang. Nanti telefon pak su, ya?"

Najmi angguk.

"Nanti kirim salam umi pada pak long sekeluarga, ya." Umi mengukir senyum tawar.

Usai makan tengah hari, Najmi seperti biasa akan mengemas meja dan membasuh pinggan. Umi sudah menghilangkan diri ke biliknya untuk berehat. Kadang-kadang umi lelap sebentar sementara menunggu waktu zohor.

Sewaktu mengelap meja makan, Najmi ternampak plastik berisi ubat milik umi yang mereka ambil dari klinik di bandar kelmarin masih lagi berada di atas meja makan. Dia memeriksa. Tiada kesan kotak ubat telah dibuka.

"Mesti umi lupa nak makan pagi tadi," gumam Najmi sendirian.

Dia menuang segelas air. Plastik ubat dicapai dan dia mula melangkah menuju ke bilik umi. Bilik umi terbuka sedikit tapi langkah kakinya terhenti di hadapan pintu bilik. Di dalam, dia nampak bahu umi terenjut-enjut sambil tangannya memegang beberapa helai pakaian di dalam beg kecil. Najmi nampak umi mencium pakaian tersebut sambil mengusap air matanya.

Baju ayah dan adik. Kalau pun umi tidak pernah beritahu akan 'harta' tersebut, Najmi masih dapat mengagaknya.

Bukan sekali dua Najmi nampak umi menangis dalam diam meratapi masa lalu. Umi tidak pernah menyatakan kesedihannya secara terang-terangan di hadapan Najmi. Setiap kali itulah Najmi rasa hatinya retak seribu. Berkeping-keping tidak terkira. Tapi mereka hidup pada masa sekarang. Mereka bukan hamba masa lalu. Dan setiap kali itulah Najmi pura-pura tidak tahu dan menegur umi seperti tiada apa-apa berlaku.

Setelah tercegat lama, barulah Najmi mengetuk bilik umi.

"Umi tidur ke? Umi belum makan ubat."

Tidak lama kemudian, barulah dia mendengar umi memanggilnya masuk. Sebaik masuk ke bilik itu, matanya tidak dapat mencari beg berisi pakaian ayah dan adik tadi. Pasti umi telah menyimpannya.

"Umi lupa umi belum makan ubat. Umi tertidur tadi." Umi memberi alasan sambil tersenyum.

Najmi membalas senyum umi. Meski dia tahu alasan umi itu langsung tidak mampu menutup sisa kesedihan yang terpapar di wajahnya.

"Umi mana boleh ponteng makan ubat," kata Najmi sambil meretas sebiji Amlodipine 10 mg dari bungkusannya.

Umi dan dia sama-sama menelan pahit masa lalu. Umi dan dia saling berpura-pura yang masing-masing tiada apa-apa. Tingkah laku ibunya itu Najmi mafhum benar. Sebab dia sendiri juga enggan umi tahu situasi dirinya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co