Bab 1
PROLOG
"SAYA minta maaf, Am. Ini keputusan dia. Saya tak mampu nak halang."
Suara yang lembut itu tidak mampu untuk menenangkan hati Hamsyari yang sedang galau. Dia tidak menyangka ini semua akan terjadi pada dia setelah hatinya dipenuhi dengan bunga-bunga cinta yang sedang mekar.
Hancur hatinya menjadi keping-keping yang tak akan mungkin bercantum kembali. Ke mana harus dibawa hatinya yang berantakan? Bagaimana caranya ingin merawat jiwanya yang terluka? Perasaan yang terdera?
"Tapi takkan tak boleh bagi saya satu peluang lagi? Saya tak tahu apa salah saya dengan dia sampai sanggup dia tinggalkan saya macam ni? Saya tak pernah berkasar dengan dia. Saya bagi apa saja yang dia nak tapi kenapa dia putuskan hubungan ni? Kenapa? Saya nak jumpa dia." Lirih saja suara Hamsyari kedengaran. Dia menggenggam satu kotak baldu warna merah yang berada di bawah meja.
"Saya tak tahu, Am. Awak jangan tanya saya. Saya cuma ikut cakap dia supaya datang jumpa awak. Dia harap awak jangan ganggu dia lagi atau cuba hubungi dia. Dia tak nak ada sebarang kaitan dengan awak. Saya tahu perkara macam ni susah untuk awak terima tapi suatu hari nanti awak akan faham. Awak lupakan ajelah dia."
Gadis di hadapannya berbicara perlahan. Wajahnya juga nampak tertekan.
Hamsyari tersenyum sinis. Senyuman yang sengaja dilakarkan untuk menyembunyikan rasa yang begitu memeritkan. Air mata yang bergenang akhirnya mengalir jua di pipinya.
"Dia cinta pertama saya. Saya tahu dia akan jadi cinta terakhir saya. Saya tak boleh lupakan dia semudah yang awak cakap. Saya nak penjelasan daripada dia. Dia milik saya! Awak faham tak?!" Suara Hamsyari meninggi.
Gadis itu terkulat-kulat. Dia memandang sekeliling. Beberapa pasang mata yang berada di dalam restoran itu memandang mereka berdua dengan wajah yang penuh tanda tanya.
"Saya minta maaf, saya tak dapat nak tolong awak kali ni. Ini keputusan dia. Saya pergi dulu," ucap gadis itu lalu bangkit meninggalkan Hamsyari keseorangan.
Hamsyari terdiam di tempat duduk. Saat ini fikirannya dipenuhi dengan bayangan wajah itu. Cukup cantik di matanya tetapi sayang, kecantikan itu telah menghancurkan sekeping hati miliknya.
Perlahan-lahan, kotak baldu berwarna merah ditarik dan diletakkan di atas meja. Dia membuka kotak tersebut dengan perasaan yang berkecamuk. Seutas rantai tangan emas terbias di ruang mata berselang-seli dengan gambaran wajah gadis yang berjaya mencuri hatinya.
Segala kenangan yang pernah mereka lalui bersama, terlayar di ruang mata. Tidak kurang juga pengorbanan demi pengorbanan yang dilakukan untuk gadis itu turut tertayang dalam kotak fikiran. Hamsyari tertekan. Dia menekup wajahnya ke meja. Dia menangis meratapi hatinya yang dihancurkan dengan kejam.
"Sampai hati awak buat macam ni pada saya. Saya sayangkan awak. Saya tak boleh hidup tanpa awak," ngongoi Hamsyari tanpa mempedulikan pandangan orang di sekelilingnya.
Apa lagi yang tinggal untuk dirinya setelah hatinya dikhianati sedangkan cintanya sungguh suci?
HAMSYARI memandang kosong telefon bimbitnya. Perit yang dirasakan sungguh tidak tertanggung. Pada siapa ingin diluahkan rasanya saat ini? Dia kehilangan punca. Kekasih hati yang dicintai sepenuh hati menolaknya mentah-mentah. Pada siapa harus dirungutkan beban perasaan yang menghempap diri?
Dia duduk berteleku di atas lantai. Kedua-dua belah lututnya ditarik hingga ke dada. Tiada sesiapa di sisinya saat ini untuk meluah perasaan. Dia keseorangan. Dia kesunyian. Bayang wajah gadis itu tidak mahu hilang dari fikirannya membuatkan jiwa Hamsyari bertambah kusut.
"Jangan kacau aku lagi! Kau tak faham bahasa ke? Aku tak nak ada apa-apa hubungan dengan orang miskin macam kau ni. Kau ingat kau boleh sara hidup aku dengan kerja kau tu? Lupakan ajelah. Selama ni aku rapat dengan kau sebab aku nak hilangkan bosan aku aje."
Suara yang selama ini lunak kini bertukar garang kembali terngiang-ngiang di telinga Hamsyari. Hatinya tersiat.
"Tapi saya cintakan awak. Saya tak boleh hidup tanpa awak!" ucap Hamsyari sambil memegang kemas telefon yang berada di dalam genggaman. Dia cuba memujuk.
Kedengaran suara di hujung talian merengus kasar.
"Eh, kalau kau tak boleh hidup tanpa aku, kau pergi mati! Menyemak ajelah!" Maki suara itu lagi sebelum talian diputuskan.
Lamunan Hamsyari terhenti apabila telefon bimbitnya menjerit nyaring. Cepat-cepat dia menjawab panggilan kerana terfikirkan itu mungkin panggilan daripada gadis yang dia cintai.
"Helo, saya tahu awak akan telefon saya balik. Awak sayangkan saya, kan?!" sergah Hamsyari dengan suara tersekat-sekat akibat menahan sendu. Hatinya begitu rapuh saat ini.
"Am, kenapa dengan kau ni? Ini abanglah. Abang dah on the way nak ke rumah. Kau tunggu abang tau?" tegur suara garau di hujung talian.
Senyum di bibir Hamsyari mati dengan sendirinya. Bayang wajah abangnya terlayar di ruang fikiran silih berganti dengan gambaran wajah yang dirindui itu.
"Abang, dia tak cintakan Am. Dia dah tinggalkan Am! Cinta memang kejam pada Am, bang," ngongoi Hamsyari dengan air mata yang semakin laju mengalir di pipi.
"Apa kau merepek ni, Am?" soal abangnya dengan nada yang terkejut.
Hamsyari menyeka air mata yang menodai pipi. Pandangannya terarah ke meja sisi. Terdapat dua papan Paracetamol berjenama Panadol dan sebotol ubat batuk yang sengaja dibeli menarik perhatiannya. Panggilan daripada abangnya tidak disahut. Hanya satu di dalam kepala saat ini, dia ingin menamatkan segala-galanya.
"Dia minta Am pergi mati, abang. Bidadari Am minta Am pergi mati! Kalau Am mati, dia akan cintakan Am kembali ke?" Lirih suaranya kedengaran.
"Am, kau kat mana? Cakap kat abang sekarang! Siapa yang buat kau macam ni?" Si abang menjerit lagi.
Tapi Hamsyari tidak peduli. Fikirannya terganggu saat ini. Segala perasaannya bercampur baur sehingga membuatkan otaknya menjadi tepu. Pandangannya kosong. Seakan-akan terlihat seorang gadis sedang melambai ke arahnya dengan senyuman manis. Mata Hamsyari sememangnya telah dikaburkan oleh perasaan yang menekan dalam jiwanya.
"Saya tahu awak cintakan saya. Saya akan mati kalau itu permintaan awak!" ucap Hamsyari.
Prankkk!
Telefon bimbit jenis Nokia 1200 dicampakkan ke dinding. Sekelip mata telefon tersebut pecah berderai. Sedangkan saat ini Hamsyari mula mencapai dua papan Panadol dan sebotol ubat batuk yang terletak di atas meja sisi.
Dia mengeluarkan hampir dua puluh biji Panadol lalu ditelan sekali gus! Mukanya berkerut menahan rasa pahit namun Hamsyari tetap gagahkan jua. Kemudian, dia mencapai ubat batuk lalu diteguk cecair itu tanpa meninggalkan walau setitik pun. Wajah Hamsyari mula berpeluh. Jantungnya mula berlari dengan laju. Lantas, dia merebahkan diri di atas lantai.
Mungkin dengan cara ini aku boleh lupakan kau. Mungkin dengan cara ini cinta yang menghuni hati aku akan terhakis dengan sendirinya, bisik hati Hamsyari. Dia memejamkan matanya dengan rapat. Serapatnya.
BAB 1
"JAUH termenung, Sufi," tegur satu suara mengejutkan Sufi daripada lamunan panjangnya. Dia kalih ke belakang. Hanya senyuman hambar yang dapat dia ukirkan kepada Abang Mie yang berdiri di belakangnya.
"Eh, Abang Mie. Dah siap masak ke?" soal Sufi sekadar berbasa-basi. Wajahnya ditundukkan sambil tangannya lincah memintal kain pengelap meja.
Abang Mie hanya tersenyum nipis. Dia dapat mengesan sesuatu daripada wajah Sufi yang tidak ceria seperti selalu. Senyuman hambar yang diukirkan oleh gadis itu menceritakan segalanya.
"Dah siap dah. Abang tengok Sufi ni macam ada yang tak kena aje. Kenapa? Ada masalah?" soal Abang Mie lantas menarik kerusi untuk duduk. Satu kerusi lagi ditarik untuk Sufi. Dia memberi isyarat mata pada Sufi agar turut duduk.
Sufi akur. Dia melabuhkan punggung di atas kerusi bersebelahan dengan Abang Mie. Satu keluhan dilepaskan.
"Saya risaukan Am," jawab Sufi perlahan.
"Haahlah, masuk hari ni dah tiga hari Am tak datang kerja. Tak pernah pula dia macam ni. Kalau dia nak cuti, mesti dia bagi tahu dulu. Dia tak ada call Sufi ke?" soal Abang Mie kembali setelah menyedari kehilangan Hamsyari.
"Tak ada pun, Abang Mie. Saya call dia pun tak dapat. Nombor tu dah tak guna. Saya risau dia merajuk dengan saya aje," jawab Sufi dengan wajah yang ditundukkan.
"Merajuk? Kenapa pula dia nak merajuk dengan Sufi? Kamu berdua ada apa-apa hubungan ke?" soal Abang Mie sambil memain-mainkan keningnya dengan senyuman penuh makna tersungging di bibir.
"Hesy, abang ni ke situ pula. Saya cuma risau aje. Tak pernah-pernah Am tak datang kerja lama macam ni. Abang tahu tak kat mana dia tinggal?" soal Sufi lagi sambil tangannya mengesat meja buat kesekian kalinya.
Abang Mie terdiam seketika. Dia memikirkan sesuatu sebelum satu keluhan dilepaskan.
"Alamak, abang lupa pula nak tanya, Sufi. Sufi tahulah restoran abang ni restoran biasa-biasa aje, jadi abang tak adalah guna borang masa ambil pekerja dulu. Dia pun tak pernah cerita pasal asal usul dulu. Kalau abang tanya apa-apa pasal diri dia, mesti dia senyap aje. Takkan Sufi tak tahu apa-apa pasal Am? Dia kan baik dengan Sufi?" balas Abang Mie kembali menatap wajah Sufi dengan penuh harapan.
"Memang kami kawan baik tapi setiap kali Sufi tanya, tentu Am tak jawab. Paling tak pun, dia senyum aje. Tapi Sufi tahulah dia anak yatim piatu. Pasal ahli keluarga dia yang lain, tak pernah langsung dia sebut. Soal famili ni sensitif, jadi Sufi tak naklah tanya lebih-lebih. Bila jadi macam ni, rasa rugi pula tak tanya dia betul-betul. Kalau jadi apa-apa pada dia, tentu susah kita nak maklumkan pada keluarga dia," ujar Sufi mula terasa kesal dengan ketidak prihatinan dirinya sendiri terhadap Hamsyari.
Jauh dalam hatinya timbul rasa bersalah yang kuat mencengkam jiwanya. Dia yakin kehilangan Hamsyari kali ini pasti ada kaitan dengan dirinya. Saya yang mulakan semua ni, Am. Saya tahu saya bersalah. Kalau ada apa-apa jadi pada awak, saya takkan maafkan diri saya, monolog Sufi dengan rasa kesal yang menggunung.
"Abang pun risau juga ni. Apa kata kita tunggu sampai esok? Kalau dia tak jawab call atau tak datang kerja, terpaksalah kita guna apa cara sekali pun untuk cari dia," balas Abang Mie sekadar untuk menyedapkan hati Sufi dan hatinya sendiri.
Sungguh, kehilangan Hamsyari menjadi tanda tanya pada dirinya sekarang. Selaku majikan, tipulah kalau dia tidak risau kerana segala apa yang berlaku pada pekerja adalah tanggungjawabnya.
Sufi hanya mampu mengeluh. Dia bermain dengan jari-jemarinya sendiri. Otaknya ligat memikirkan keberadaan Hamsyari saat ini. Mustahil lelaki itu balik kampung tanpa memaklumkan kepada Abang Mie terlebih dahulu. Atau ada apa-apa yang terjadi kepada Hamsyari selepas kejadian itu? detik hati Sufi mulai gundah. Saya harap awak tak apa-apa, Am, doa Sufi dalam diam. Dengan penuh keikhlasan dan pengharapan.
SATU renungan sayu dilemparkan kepada Hamsyari yang terbaring di atas katil. Wajah itu tampak lemah dan tidak bermaya. Begitu juga dengan wajahnya saat ini. Masih segar dalam ingatannya sewaktu dia menemui Hamsyari terbaring di dalam bilik dengan keadaan yang lemah dan separa sedar. Nafasnya cetek. Terdapat juga kesan muntah pada mulut dan pakaian Hamsyari. Perkara yang tidak dapat dia terima dengan akalnya adalah saat melihat dua papan Panadol yang kosong bersama sebotol ubat batuk yang turut kosong berselerakan di atas lantai bilik Hamsyari.
Saat itu, dia sedar. Dia tersedar yang Hamsyari cuba membunuh diri dengan menelan Panadol dan ubat batuk sekali gus. Hancur! Luluh! Itulah yang dirasakan oleh dirinya saat itu. Walaupun Hamsyari masih lagi bernyawa saat dia membawa adiknya ke hospital tetapi akibatnya, darah Hamsyari dicemari toksik. Kandungan Paracetamol yang tinggi dalam darah Hamsyari boleh merosakkan fungsi hati dan ginjal.
Nasib Hamsyari baik kerana ditemui dan segera dibawa ke hospital. Doktor cepat menyelamatkannya dengan memberi antidot. Cuma yang memeningkan kepala dia saat ini adalah sikap Hamsyari yang mendadak berubah walaupun adiknya itu telah sedarkan diri.
"Adik encik mengalami major depressive disorder yang membuatkan dia bertindak untuk membunuh diri. Biasanya, major depressive disorder ini berlaku disebabkan tekanan perasaan yang tak mampu dia kawal. Kebanyakan kes, depression ini terjadi disebabkan putus cinta yang mengakibatkan dia hilang semangat."
Suara Doktor Murni kembali terngiang di lohong pendengaran. Wajahnya diraup berkali-kali. Bunuh diri? Hamsyari cuba bunuh diri? Sungguh dia tidak percaya. Adiknya diberi didikan agama yang secukupnya malah Hamsyari bukan lelaki yang akan membelakangkan agama dalam apa hal sekali pun. Tapi cubaan membunuh diri yang dilakukan oleh adiknya itu membuatkan hatinya rawan. Apa penyebab yang memaksa Hamsyari bertindak senekad ini?
"Am... Maafkan abang sebab tak jaga Am dengan baik. Abang abaikan Am sampaikan Am nekad nak berdikari tanpa bantuan abang. Abang bukan tak endahkan Am, cuma abang sibuk. Tapi abang tak sangka kesibukan abang membawa padah pada Am. Maafkan abang sebab tak peka pada perubahan Am. Cakaplah pada abang, siapa yang buat Am sampai macam ni sekali? Kenapa Am nekad nak bunuh diri sedangkan abang masih ada untuk Am? Abang dah tak ada sesiapa lagi selain Am. Am kena kuatkan semangat. Kalau bukan untuk Am, Am kena kuat untuk abang. Abang sayangkan Am lebih dari segalanya," ucapnya dengan sendu yang makin kedengaran.
Dia mencapai tangan Hamsyari yang sedang nyenyak tidur. Wajah itu tidak setenang dulu. Dia dapat melihat jalur-jalur kesakitan yang terpamer di wajah si adik. Hail menundukkan wajah. Matanya dipejamkan seketika. Hatinya remuk. Jiwanya terdera dengan apa yang terjadi. Terngiang-ngiang suara sendu Hamsyari sebelum adik kesayangannya itu ditemui terbaring tidak berdaya di dalam bilik tidurnya.
"Abang, dia tak cintakan Am. Dia dah tinggalkan Am! Cinta memang kejam pada Am, bang."
"Apa yang Am cuba buat ni? Cakaplah pada abang. Siapa yang paksa Am bertindak sejauh ni? Siapa yang buat iman adik abang ni lemah sampai macam ni sekali? Cakaplah, Am. Biar abang heret dia jumpa dengan Am. Biar dia rasa apa yang Am rasa saat ini. Bangunlah, Am. Cakap dengan abang!" ngongoi dia lagi.
Tangan Hamsyari digenggam erat seakan-akan menyalurkan semangatnya buat si adik. Air mata yang mengalir diseka dengan kasar.
"Dia minta Am pergi mati, abang. Kalau Am mati, dia akan cintakan Am kembali ke?"
Suara Hamsyari kembali bergema dalam kotak fikirannya. Dia mengepal penumbuk. Dia yakin dan pasti adiknya telah putus cinta sehingga memaksa lelaki lurus seperti Hamsyari nekad ingin bunuh diri. Kata-kata itu menjelaskan segalanya.
"Aku takkan lepaskan kau, perempuan. Kau harus terima pembalasan kerana hancurkan hati adik aku. Kau harus rasa kesakitan yang terpaksa Am tanggung semata-mata kerana cinta kau yang tak guna! Kau tunggu. Aku takkan lepaskan kau dengan mudah. Kau harus bertanggungjawab!" ucapnya sarat dengan dendam.
Dadanya berombak ganas. Matanya merah menahan marah yang membuak-buak. Dia tidak tahu siapa kekasih hati Hamsyari tetapi itu bukan alasan untuk dia berpeluk tubuh. Dia akan tuntut bela terhadap Hamsyari. Dia tidak mahu Hamsyari hidup terseksa. Apa yang pasti, perempuan yang telah menghancurkan hati Hamsyari harus menerima nasib yang sama. Kehancuran harus dibalas dengan kehancuran. Itu janji Hail Haiyan!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co