Bab 11
"BILA kakak nak balik, Su? Kau kata dia nak kerja kat sini." Suara Nek Asiah memecah kesunyian sewaktu mereka berdua sedang bersarapan pagi itu.
Puan Suraya menoleh. Dia tersenyum nipis.
"Tadi kakak ada telefon Su, dia cakap dia dapat kerja kat tempat lain. Gajinya lebih besar daripada kerja yang dia dapat kat sini. Tak kesahlah mak dia kerja kat mana-mana pun, janji dia selesa," jawab Puan Suraya.
Nek Asiah hanya mengangguk.
"Mak pun tak kesah dia kerja kat mana pun. Kakak tu pandai berdikari, cuma mak risau kalau-kalau dia tak selesa kerja kat tempat baru. Dia tak cakap kat kau ke dia kerja apa? Kerja kat mana?" soal Nek Asiah lagi.
Puan Suraya termenung sejenak. Cuba mengimbas kembali perbualan antara dia dan anak gadisnya tadi.
"Tak ada pula, mak. Dia cuma pesan jangan risau tentang dia. Dia minta Su maklumkan pada abah dia yang dia dah dapat kerja kat tempat lain," jawab Puan Suraya.
Nek Asiah terdiam apabila perihal bekas menantunya disebut. Dia tersenyum nipis apabila melihat riak wajah anaknya kelihatan bersahaja.
"Su minta diri pergi kerja dululah, mak. Hari ni Su balik lambat sikit. Su overtime," ujar Puan Suraya lantas bingkas berdiri.
"Overtime? Kau kerja kat mana pula? Kau tu bukannya sihat sangat, Su."
"Macam biasalah mak, Su ambil upah bersihkan kebun Tuan Johari. Alah, kebun tu belakang rumah Tuan Johari aje. Alang-alang tukang kebun Tuan Johari tu sakit, Su ambil upahlah. Tuan Johari tak paksa pun. Su yang rela. Lagipun kita tak boleh harapkan kakak aje untuk sara kita. Su pun kena kerja juga untuk keluarga kita," jawab Puan Suraya dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya.
Nek Asiah menggigit bibir. Sayu hatinya mendengar kata-kata Puan Suraya. Mengenangkan kisah hidup anaknya yang tidak pernah bahagia sejak zaman remajanya membuatkan Nek Asiah merasakan dirinya tidak berguna. Sebagai seorang ibu sepatutnya dia memberikan kesenangan buat anaknya tetapi sebaliknya berlaku.
"Maafkan mak, Su. Kalaulah mak halang kau dari berkahwin dengan lelaki tu, semua ni takkan jadi. Mak tak sangka dia tak sanggup nak hidup susah dengan kita..." ucap Nek Asiah lantas mencapai tangan Puan Suraya.
Puan Suraya terdiam apabila Nek Asiah mula membangkitkan kisah lama. Senyum yang sentiasa terhias di wajahnya yang tenang terus sirna.
"Jangan cakap macam tu, mak. Semuanya dah berlaku. Pasti ada hikmah untuk keluarga kita. Semua yang jadi dulu bukan salah mak tapi salah Su. Su yang ikutkan perasaan. Su ingatkan cinta akan mengatasi segala harta benda dalam dunia ni tapi Su silap, untuk meneruskan hidup, cinta saja tak cukup. Mak janganlah sedih. Su bahagia bila mak dan kakak ada dekat sisi Su. Mak dan kakak harta dan cinta yang cukup berharga untuk Su," balas Puan Suraya lantas menggenggam tangan Nek Asiah dengan kuat. Cuba menyalurkan secebis kekuatan untuk mak kesayangannya.
Biarlah dia kehilangan cinta daripada seorang lelaki asalkan kasih sayang daripada insan yang melahirkannya tidak pernah pudar. Itulah cinta yang diperlukan untuk dia meneruskan kehidupan. Puan Suraya melepaskan nafas pendek. Wajah tua milik si emak dipandang dengan penuh kasih sayang. Su janji, Su akan bahagiakan mak dan kakak sehingga hujung nyawa Su, desis hati Puan Suraya.
PERLAHAN-LAHAN anak mata Sufi mengerling ke arah Baim yang berjalan di sisinya manakala Hail berjalan jauh ke hadapan. Saat ini mereka sedang menuju ke suatu tempat yang Sufi sendiri tidak tahu di mana letak duduknya. Kiri kanan dipenuhi dengan pokok kelapa sawit.
"Kita dekat mana ni, encik?" soal Sufi dengan suara yang agak perlahan. Cukup hanya Baim yang mendengar.
Baim menoleh sejenak ke arah Sufi sebelum pandangannya kembali tegak ke hadapan.
"Ladang kelapa sawit," jawab Baim ringkas.
Sufi mengetap bibir. Dia mengecilkan mata memandang Baim. Sedikit sebal dengan jawapan yang diberikan oleh Baim.
"Saya tahulah ni ladang kelapa sawit tapi kenapa kita datang ke sini? Saya kena kerja dekat sini ke?" soal Sufi lagi. Hatinya tidak senang selagi dia tidak mendapat jawapan yang sebenarnya.
Baim hanya menganggukkan kepala sebagai jawapan.
"Semuanya dah jelas dalam kontrak. Lepas siap kerja di kebun sayur, awak kena datang ke sini. Lepas makan tengah hari barulah awak mula kerja di ladang ni," ujar Baim.
Sufi mengeluh. Penat mencangkul batas di kebun pisang tadi masih belum hilang, kini ditambah pula dengan kerja di ladang kelapa sawit. Entah apa kerja yang menantinya Sufi juga tidak tahu. Dia mendongak. Belakang tubuh Hail yang berjalan di hadapannya ditenung dengan hati yang membengkak. Kalau bukan disebabkan rasa bersalah aku pada Am, dah lama aku lari dari sini, desis hati Sufi.
Dia meneruskan langkah. Sesekali anak matanya meliar memandang kawasan sekitar. Kedengaran bunyi burung berkicauan memenuhi ruang ladang. Dari kejauhan dia dapat melihat sebuah bangunan batu seakan-akan rumah kedai berada di tengah-tengah ladang kelapa sawit. Bangunan bercat putih itu kelihatan tertutup. Beberapa orang keluar masuk dari tempat tersebut.
"Tempat apa tu?" soal Sufi lebih kepada dirinya sendiri.
"Kantin pekerja ladang," jawab Baim sebaik saja mendengar soalan Sufi.
Mulut Sufi sedikit ternganga. Dia tidak menyangka dalam ladang kelapa sawit ini disediakan kantin untuk pekerja. Bermakna segala makan dan minum pekerja ladang ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan. Baru Sufi perasan, di kebun sayur juga terdapat kantin untuk pekerja-pekerja. Tiba-tiba terselit rasa kagum dalam diri Sufi dengan cara pengurusan yang Hail lakukan.
Bukkk!
"Adoi!" Tiba-tiba Sufi menjerit apabila dengan tidak sengaja kepalanya terlanggar belakang Hail yang berhenti secara mendadak.
Hail berpaling ke belakang.
"Kau apa hal?" soal Hail garang. Wajahnya bengis seperti kebiasaannya.
"Maaf, tak sengaja terlanggar tuan. Tuan yang berhenti tiba-tiba."
"Aku nak berhenti ke, aku nak berjalan ke, aku tak perlukan izin daripada kau. Dengar sini, bila kau nak bercakap dengan aku, pastikan jarak kau empat meter dari aku. Jijik aku nak duduk dekat kau," pintas Hail lantas memalingkan wajahnya. Tanpa menunggu balasan daripada Sufi, Hail meneruskan langkah.
Sufi menayang muka bosan. Satu penumbuk dilayangkan sekadar untuk memuaskan hatinya sendiri.
"Baim..." panggil Hail sebelum dia kembali menoleh ke belakang.
Sufi tersentak. Dengan pantas, tangan yang dikepal disorok ke belakang. Dia meneguk liur. Bimbang jika perbuatannya tadi disedari oleh Hail.
Baim yang menjadi pemerhati hanya mengulum senyum dengan telatah Sufi yang kelihatan gelabah.
"Ya, tuan," sahut Baim. Dia menggosok hidungnya bagi melindungi rasa geli hati.
"Kau bawa perempuan ni pergi makan. Aku tak nak dia mati kebulur kat ladang aku. Kat kampung ni tak ada tanah kubur yang disediakan untuk perempuan tak guna macam dia ni. Aku tunggu dekat sungai. Pastikan dia tak berbual dengan pekerja lain. Bagi aku, dia bukan pekerja tapi hamba. Dia tak layak bergaul dengan pekerja-pekerja yang lain," ucap Hail tanpa mempedulikan wajah Sufi yang sudah berubah. Dia menjeling dengan senyuman sinis terukir di bibirnya.
Bulat mata Sufi mendengar kata-kata Hail. Dia kata aku hamba? Kurang ajar punya Tuan Hell. Sabar, Sufi. Sabar, pujuk hati Sufi. Dia menggenggam tangannya dengan erat.
"Baik, tuan!"
BUNYI riuh-rendah suara pekerja yang sedang menjamu selera membuahkan senyuman di bibir Sufi. Entah mengapa dia berasa cukup gembira kerana dapat bertemu dengan orang lain selain Baim dan Hail. Terasa yang dia tidak terasing. Sekurang-kurangnya dia boleh mencari kawan yang baharu meskipun Hail tidak sesekali membenarkan.
Baim memandang ke sisi. Dahinya berkerut apabila melihat mata Sufi yang berkaca.
"Awak menangis? Kita nak makan ni bukan nak pergi berperang," ujar Baim pelik.
Sufi tersengih. Dia menyeka air mata yang hampir gugur.
"Saya bukan menangis tapi terharu..." ucap Sufi sambil anak matanya melingas memandang ke sekeliling. Ternyata kantin yang tersedia di tengah-tengah ladang kelapa sawit ini cukup selesa. Ruang yang cukup besar malah lantai dan tempat letak lauknya cukup bersih. Boleh dikatakan pekerja-pekerja di sini cukup berdisiplin.
"Terharu kenapa?" soal Baim lagi. Masih pelik dengan perubahan sikap Sufi.
"Terharu sebab dapat jumpa orang..." jawab Sufi selamba.
"Jumpa orang? Habis tu saya dan Tuan Hail bukan orang?" soal Baim pantas. Matanya membulat memandang Sufi yang sudah tersengih mempamerkan giginya yang putih bersih.
Sufi hanya menayang gigi sebagai jawapan. Awak fikirlah sendiri, Encik Baim, ujar hati Sufi.
"Saya lapar. Saya nak makan. Kat mana saya boleh ambil makanan?" soal Sufi cuba mengalih topik perbualan mereka. Dengan pantas, dia berjalan laju ke kaunter makanan meninggalkan Baim yang terkulat-kulat.
Selesai memilih lauk, mata Sufi melingas mencari tempat untuk duduk. Di bahagian kanannya dipenuhi dengan pekerja-pekerja wanita manakala di sebelah kirinya hanya terdapat beberapa orang saja pekerja lelaki. Anak mata Sufi terpandang di sudut belakang yang kosong. Dia tersenyum kecil lantas dia mengatur langkah menuju ke meja yang kosong tersebut.
"Eh, nak ke mana tu?" tegur satu suara membantutkan langkah Sufi. Sufi menoleh.
"Saya nak makan," jawab Sufi sambil memandang tepat ke wajah seorang wanita yang berusia awal 30-an. Wajah wanita itu tampak tenang.
"Nak makan kat mana?" soal wanita itu lagi.
"Kat sana," jawab Sufi lalu menuding jari ke arah meja yang kosong di hujung kantin.
"Sana tu tempat makan pekerja lelaki. Pekerja wanita tak dibenarkan sama sekali masuk ke ruang tu. Sama juga dengan tempat makan pekerja wanita. Pekerja lelaki tak dibenarkan masuk. Kalau tuan besar tahu, nahaslah. Dalam kantin ni ada CCTV, kalau tuan besar dapat tahu siap sedialah terima hukuman," ujar wanita itu ramah.
Sufi terdiam. Dia hanya menadah telinga mendengar bicara wanita yang masih tidak diketahui namanya itu. Sesekali matanya mengintai kelibat Baim. Jelas, lelaki itu sedang memerhatikannya. Sufi mengeluh kecil, sekarang ini mata manusia lebih menakutkan daripada CCTV.
"Hukuman apa?" soal Sufi lambat-lambat.
"Tak tentu. Kebiasaannya tuan besar suruh balik lambat ataupun bersihkan ladang. Awak ni tentu baru kerja kat sini, kan?" Wanita itu bersuara lagi.
Sufi hanya menganggukkan kepala. Bukan baru bekerja kak, tapi baru dipaksa bekerja, jawab Sufi cuma dalam hati.
"Oh, patutlah awak tak tahu tentang pantang larang kerja kat sini. Akak nak panggil awak apa, ya?" soal wanita itu lagi dengan senyuman di bibir.
Dia menarik lengan Sufi menuju ke ruang kosong di bahagian pekerja wanita. Bekas makanan diletakkan perlahan sebelum mereka berdua melabuhkan punggung. Di meja itu terdapat dua lagi pekerja wanita. Mereka saling bertukar senyum.
"Awak boleh panggil akak, Kak Syima. Akak nak panggil awak apa?" soal Kak Syima lagi setelah soalannya dibiarkan sepi oleh Sufi.
Sufi terdiam seketika. Dia memandang sekeliling. Saat itu juga anak matanya bertembung pandang dengan anak mata Baim yang kelihatan memberi amaran. Dia meneguk air liur.
"Errr... Akak boleh panggil saya Sufi," jawab Sufi tanpa mengendahkan pandangan Baim yang kelihatan curiga.
"Okey. Sufi ni nampak muda lagi. Kenapa pilih kerja dekat ladang? Kenapa tak kerja kat bandar?" soal Kak Syima lagi.
Sufi menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Apa jawapan yang harus diberikan? Sedangkan kerja ini tidak pernah berada dalam pilihannya. Malah dia sendiri tidak tahu di mana dia berada.
"Sekarang ni dah tak boleh pilih kerja, kak. Kat bandar pun susah dapat kerja," jawab Sufi. Inilah jawapan yang dirasakan paling selamat.
Kak Syima menganggukkan kepala. Setuju dengan kata-kata Sufi.
"Errr... Boleh saya tahu apa nama tempat ni?" soal Sufi lambat-lambat. Dia memandang wajah Kak Syima dengan lama.
Kak Syima sedikit tercengang. Dia bertukar pandang dengan dua lagi sahabatnya itu.
"Sufi datang bekerja kat sini tapi Sufi tak tahu apa nama tempat ni?" soal Raudah dengan mata yang membulat. Sedikit tidak percaya dengan soalan yang diutarakan oleh Sufi.
Gulp! Air liur ditelan. Sufi dapat rasakan darah panas menyerbu ke segenap wajahnya.
"Saya tak tahu sangat pasal tempat ni, itu yang bertanya," jawab Sufi lambat-lambat.
"Nama kampung ni, Kampung Indah Sempurna," balas Adila yang sedari tadi hanya mendiamkan diri.
"Kampung Indah Sempurna? Rasanya inilah kali pertama saya dengar nama kampung ni," ujar Sufi.
"Kampung ni pedalaman, mana ada orang kenal. Kalau Sufi nak tahu, moyang tuan besar yang buka kampung ni dulu. Sebab itu sebahagian tanah daripada kampung ini milik keluarga tuan besar." Raudah mula bercerita.
Sufi hanya mendengar. Dia tidak menyangka keluarga Hamsyari sekaya ini. Dari penampilan jelas menunjukkan yang Hamsyari seperti lelaki biasa. Langsung tidak menunjukkan yang dia datang dari keluarga yang berharta. Sebaik saja teringat tentang Hamsyari, hati Sufi dirundung sayu. Disebabkan cinta, lelaki sebaik itu sanggup memperjudikan hidupnya dan dia menjadi tawanan sehingga Hamsyari sihat sepenuhnya.
"Tetapi kesian kan apa yang jadi pada tuan muda? Aku harap-harap sangat dia cepat sembuh. Sedih pula aku tengok muka tuan besar. Dulu dia ceria bukan main. Pantang jumpa pekerja, semua orang dia sapa. Sekarang aku tengok dia hidup dalam dunia dia sendiri. Mesti dia sedih bila tengok adik dia sakit macam tu." Adila menyambung.
Kak Syima dan Raudah terdiam. Wajah mereka kelihatan sayu. Sufi hanya memerhati. Tentu pada mereka, Hail merupakan seorang baik padahal hakikatnya, mereka tidak tahu perangai sebenar yang disembunyikan oleh majikan mereka itu.
"Abang mana yang tak sedih, Dila? Tuan besar tu cuma ada seorang aje adik. Lepas mama dan papa dia meninggal, semua kasih sayang dia curahkan pada adik dia tu. Aku rasa tuan besar sayangkan tuan muda lebih dari dirinya sendiri..." sambung Kak Syima.
Sufi tersentak. Mama dan papa Hail dah meninggal? Patutlah lelaki itu sanggup lakukan apa saja untuk Hamsyari meskipun perkara tersebut menyalahi undang-undang. Sufi melepaskan nafas pendek. Benarlah, rasa cinta itu mampu menjadikan orang hilang kewarasan.
"Dahlah, tak payah sedih-sedih. Kita doakan tuan muda cepat sembuh. Aku rindu nak tengok dia senyum," balas Raudah cuba mengembalikan suasana ceria dalam perbualan mereka.
"Tapi aku lagi rindu tengok senyuman tuan besar." Raudah menyampuk sambil tersengih.
Kak Syima dan Adila hanya ketawa lepas. Hanya Sufi yang mencebik. Senyuman Hail? Sampai ke hari ini dia tidak pernah melihat lelaki itu tersenyum. Ketawa apatah lagi. Agaknya dah putus segala urat di wajah lelaki itu atau pun lelaki itu sudah terlupa cara untuk tersenyum.
"Sufi..." panggil Kak Syima apabila melihat Sufi tenggelam dalam lamunannya. Gadis itu hanya fokus pada makanannya tanpa menyampuk perbualan mereka bertiga.
"Sufi..." panggil Kak Syima lagi. Dia berpandangan dengan Raudah dan Adila.
"Sufi!" Kali ini Kak Syima menguatkan suaranya.
Sufi tersentak. Dia mengangkat pandangan.
"Akak bercakap dengan saya ke?" soal Sufi kebingungan.
"Yalah, akak bercakap dengan awak. Raudah tanya, awak ada baca tak kontrak kerja kat sini?" soal Kak Syima bagi pihak Raudah.
"Kontrak kerja? Kena baca ke?" soal Sufi sambil tersengih.
"Kenalah baca. Awak kena tahu pantang larang kalau nak kerja kat tempat ni. Salah satunya, jangan cuba untuk bercinta dengan pekerja lelaki di tempat kerja. Itu sama sekali dilarang," jawab Kak Syima.
Dahi Sufi berkerut. Ada juga peraturan macam tu? Sah, otak mamat tu tak betul. Dah nama pun perasaan, mana boleh nak halang, omel hati Sufi.
"Kalau terjatuh cinta kak, apa akan jadi?" soal Sufi sekadar ingin tahu.
"Salah seorang kena berhenti kerja atau kerja di tempat lain."
"Kejamnya..." desis Sufi perlahan.
"Apa awak cakap, Sufi?" soal Raudah apabila mendengar seperti Sufi mengatakan sesuatu tetapi tidak jelas.
Sufi menggelengkan kepala. Dia tersengih. Lantas, dia menyeluk poket seluarnya. Kertas kontrak kerja yang diberikan oleh Hail pagi tadi dikeluarkan daripada poket. Disebabkan rasa sakit hati pada lelaki itu, Sufi langsung tidak membaca kontrak yang telah pun ditandatangani pagi tadi. Namun, apabila Kak Syima membangkitkan isu ini, tiba-tiba terdetik hatinya untuk mengetahui syarat-syarat yang perlu dia patuhi sewaktu dia berada di sini.
Sufi membuka lembaran kertas. Anak matanya laju membaca setiap bait yang tertaip kemas di dada kertas dengan dada yang berombak ganas. Dia menggeleng kepalanya dengan laju. Rasa amarah membuak dalam jiwa sebaik saja membaca syarat terakhir yang terlakar dalam kertas tersebut. Hail dah melampau! jerit hatinya.
"Tak boleh jadi! Ni tak adil!" ucap Sufi dengan dada yang naik turun petanda dia sedang mengawal kemarahan.
"Apa yang tak adil, Sufi?" soal Adila pelik dengan perubahan Sufi.
Sufi tidak menjawab sebaliknya dia bingkas bangun dari tempat duduk. Dia harus menyelesaikan perkara ini dengan Hail. Dia inginkan kepastian. Lantas, dia berjalan pantas menuju ke arah Baim yang sedang meletakkan pinggan di dalam besen.
"Tuan Hail mana? Saya nak jumpa dia!" ucap Sufi. Tegas. Wajahnya bertukar kelat.
Baim hanya kelihatan selamba. Sedikit pun tidak terkesan dengan kemarahan Sufi.
"Kenapa awak nak jumpa dia?" soal Baim pula.
"Saya nak tahu kenapa dia tak adil pada saya? Syarat apa yang dia buat untuk saya? Dia ingat dia siapa? Saya nak jumpa dia sekarang. Dia kat mana?" soal Sufi lagi. Dia mengepal penumbuk.
"Entah," jawab Baim acuh tak acuh.
Sufi mengetap bibir. Terasa kemarahannya semakin memuncak dengan sikap Baim sekarang ini.
"Mana Tuan Hail? Saya nak jumpa! Encik dengar tak?!" bentak Sufi. Suaranya melengking tinggi. Serentak, suasana yang tadinya hingar-bingar bertukar menjadi hening.
Baim meneguk air liur. Kecut juga perutnya melihat kemarahan yang terpancar daripada anak mata Sufi.
"Errr... Tuan Hail ada... Ada... Kat tepi sungai hujung ladang ni..." jawab Baim akhirnya.
Sufi mendengus. Tanpa menunggu lama, dia berlari meninggalkan ruang kantin. Dia tidak peduli akan pandangan orang. Dia harus berhadapan dengan Hail hari ini. Harus!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co