Bab 1
ELEYA menggeliat malas. Deringan telefon membingitkan telinganya. Sudah beberapa kali telefon itu menjerit minta diangkat.
Ganggu aku tidur la pagi-pagi ni, rungut Eleya dengan mata yang masih terpejam. Beratnya rasa nak buka mata. Namun, tangan kanannya mencapai jua jam loceng di sisi katil.
Sembilan setengah pagi? Awal lagi rupanya. Eh! Kejap. Otaknya ligat memikirkan sesuatu. Oh, no! Dahinya ditepuk kuat. Aku ada meeting pukul sembilan pagi ni. Mata yang masih mengantuk terus dibuka luas. Macam mana boleh lupa ni? Telefon bimbit dicarinya pula. Mak ai! Lima belas missed call? Semua missed call dari daddy dan Kak Rita.
Tunggu apa lagi, El? Cepat la siap sebelum daddy kau mengamuk nanti. Seakan-akan ada satu suara yang bercakap dengannya. Tanpa berlengah, terus dia terjun dari katil dan berlari menuju ke bilik air.
ELEYA tercungap-cungap sewaktu tiba di hadapan pintu bilik mesyuarat. Mujurlah jalan raya tidak sesak sewaktu dia datang tadi. Jam di pergelangan tangan dipandangnya. Tepat jam sepuluh setengah pagi.
Aku dah lewat sejam setengah. Nak masuk ke tak ni? Kalau masuk memang sah aku akan kena dengan daddy lepas ni. Aishhh... Kenapa kau kesah sangat ni, Eleya? Sebelum ni bukannya kau rajin sangat hadir meeting. Tak boleh! Kata daddy, meeting ni sangat penting. Cari nahas kalau aku tak hadir. Sempat lagi dia mengomel sendirian.
Tombol pintu dipulasnya perlahan. Dan kini semua mata terarah kepadanya. Tan Sri Megat Khalid turut berhenti bercakap dan mula merenungnya tajam. Eleya masih berlagak tenang.
Apa pandang-pandang macam nak telan orang? Buat macam tak biasa aku lewat datang meeting. Helo! Aku ni boleh masuk The Malaysia Book Of Records tau sebab memang tak pernah lagi meeting yang aku hadir tepat pada waktunya. Ada aku kesah? Kau ada? Haha.
"Sorry, I'm late," ucapnya ringkas seraya melabuhkan punggung ke tempat duduknya. Memang ayat ini pun yang dia selalu guna setiap kali lewat masuk meeting. Eleya hanya mampu mengukir senyuman tipis saat terpandangkan renungan tajam Tan Sri Megat Khalid ketika itu. Tak perlu nak cakap apa-apa, dah terpampang perkataan 'I want to see you after this meeting' di dahi daddynya. Baik aku fikir nak jawab apa dekat daddy nanti, desisnya.
"Macam saya katakan tadi, projek ni sangat penting sebab ini kali pertama Vistana Holdings akan bekerjasama dengan Golden Empire. Peluang ni memang kita nantikan dari dulu lagi, dapat bekerjasama dengan syarikat yang begitu hebat dan terkemuka. Jadi, saya harap kita dapat buat yang terbaik." Tan Sri Megat Khalid meneruskan bicaranya.
"Kali ini kita bukan nak bangunkan banglo atau kondominium tetapi kita diberi kepercayaan untuk membangunkan sebuah kolej yang akan diberi nama Kolej Yayasan Al-Fateh. Reka bentuk kolej ini lebih bercirikan seni bina Islam," sambung Tan Sri Megat Khalid.
Lima belas minit berlalu. Eleya sudah mula mengantuk. Dia paling tak suka hadir meeting macam ni. Eleya tak tahu apa yang daddynya dan ahli lembaga yang lain sedang bebelkan. Eleh, setakat nak bangunkan kolej tu benda kecil la. Tak perlu nak meeting lama-lama. Sudah masuk kali ketiga dia menguap.
Lagi best kalau main game Candy Crush waktu ni. IPhone 6S dikeluarkan. Ikon Candy Crush ditekannya. Muzik dari game itu mula bergema kuat memenuhi ruang bilik mesyuarat. Alamak! Dia lupa pula nak perlahankan volume. Sekali lagi semua mata kembali merenungnya tajam terutama sekali Tan Sri Megat Khalid. I'm sorry, daddy. El bosan, desisnya dalam hati.
"So Eleya, what do you think about this project?" soal Tan Sri Megat Khalid tiba-tiba. Mata yang mengantuk terus dibuka luas. Wajahnya terus diangkat. Matanya merenung sekeliling sambil berusaha mendapatkan pertolongan sesiapa. Uncle Rahim yang duduk di hadapannya dipandang dengan penuh berharap. Help me, uncle. Belum sempat Uncle Rahim membuka mulut, namanya dipanggil sekali lagi oleh daddynya.
"Hurm... I think I'm agree with you, dad... Errr... Tan Sri." Lain yang ditanya lain pula yang dijawabnya.
"I'm asking your opinion, Eleya!" Tegas suara Tan Sri Megat Khalid ketika ini.
Eleya sudah mula terkinja-kinja. Daddy memang begini. Suka sangat malukan aku depan ahli lembaga yang lain. Tapi ada aku kesah semua tu? Yang penting aku ni anak Tan Sri Megat Khalid bin Megat Hamzah, CEO Vistana Holdings Berhad yang memang dikagumi oleh ramai orang dan aku pula satu-satunya anak perempuan yang dia ada. Betul ni daddy nak tahu tentang pendapat El? omelnya dalam hati.
"Tan Sri, I tak rasa nak bagi apa-apa pandangan. I mengaku yang I datang lewat dan sampai sekarang I sebenarnya masih tak faham tentang apa yang semua orang tengah bincangkan ni? I keliru kita ni nak bangunkan sebuah kolej ke sebuah masjid? Can you explain back to me after this meeting?" Selamba sahaja Eleya menjawab di hadapan Tan Sri Megat Khalid serta ahli lembaga yang lain. Tan Sri Megat Khalid hanya mampu menggelengkan kepala.
"Mungkin kita patut tangguhkan dulu meeting untuk hari ni. So, see you all again on the next meeting," ujar Tan Sri Megat Khalid. Ahli lembaga serta beberapa staf yang lain mula berkemas untuk meninggalkan bilik mesyuarat itu.
"Eleya, stay here."
"Of course, Tan Sri," jawab Eleya pendek. Bersedialah Eleya untuk bersoal jawab dengan Tan Sri Megat Khalid sebentar lagi. Kini, hanya tinggal mereka berdua di dalam bilik mesyuarat itu. Eleya mengubah tempat duduknya. Dia kini duduk bersebelahan dengan daddynya.
"Kenapa El datang lewat?" Itu soalan pertama yang terpacul dari bibir Tan Sri Megat Khalid.
"El bangun lewat." Pendek sahaja jawapannya.
"Semalam balik pukul berapa?"
"Around two a.m." Tan Sri Megat Khalid menggelengkan kepalanya. Dia sendiri tidak tahu macam mana nak ubah perangai anak tunggalnya ini.
"El pergi mana? Kenapa balik lewat sangat?"
"Macam biasa la, clubbing. Sebelum ni daddy bukan pernah kesah pun El balik pukul berapa. You're too busy with your work," balas Eleya.
"I'm sorry about that. So, apa pendapat El tentang projek ni? Daddy tahu El dengar apa yang daddy tengah bincangkan tadi," ujar Tan Sri Megat Khalid sekali lagi. Bukannya dia tidak tahu Eleya sengaja bercakap begitu sewaktu mesyuarat sebentar tadi.
"Betul ni daddy nak dengar pendapat El?" Cepat sahaja Tan Sri Megat Khalid mengangguk kepala.
"I think you should reject this project and spend more time with me. Do you agree, dad?" cadang Eleya.
"Daddy tengah serius ni, El."
"El pun serius. Remember, you forced me in this field. El tak minat semua ni. Dulu, daddy paksa El ambil architecture and now daddy paksa El jadi macam daddy. El bukan macam Abang Mika. El langsung tak ada minat dalam syarikat ni."
"El kan satu-satunya pewaris daddy. Either you like it or not, El wajib belajar semua benda ni. If Mika boleh ikut cakap daddy, kenapa El tak boleh? So, start from today, daddy tak nak dengar apa-apa alasan lagi dari El!" Tegas suara Tan Sri Megat Khalid kali ini. Eleya mencebik bibirnya. Memang dia tidak pernah menang kalau bertekak dengan daddynya.
"Daddy nak El serius untuk projek kali ni. Dah lama daddy impikan nak bekerjasama dengan Golden Empire," sambung Tan Sri Megat Khalid.
Eleya merengus geram. Selalu sangat daddy banggakan syarikat itu. Sikit-sikit sebut pasal Golden Empire tu. Eleya akui Golden Empire memang salah satu nama besar dan sememangnya terkenal dalam bidang perniagaan. Mereka merupakan sebuah syarikat konglomerat multinasional yang terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan termasuklah industri perladangan, pembangunan hartanah, industri automotif, perhotelan, makanan dan minuman, pendidikan, prasarana serta hospitaliti.
Kira habis semua benda la Golden Empire ni bolot. Memang tujuh keturunan pun tak habis kalau nak kira pasal harta pemilik Golden Empire ni. Tapi syarikat daddy pun apa kurangnya? Vistana Holdings Berhad juga memang tidak asing lagi dalam dunia hartanah dan pembangunan kerana banyak projek-projek besar yang telah dikendalikan oleh Vistana Holdings Berhad.
Dalam diam, Eleya sebenarnya begitu berbangga dengan Tan Sri Megat Khalid yang begitu bersungguh-sungguh memajukan syarikatnya. Malangnya, Eleya tidak mempunyai kesungguhan yang tinggi seperti daddynya, bebel Eleya dalam hati.
"Apa kata El study tentang syarikat tu terutama sekali tentang CEO mereka? Daddy dapat tahu CEO dia muda lagi sebenarnya. Maybe around twenty eight years old macam tu." Suara Tan Sri Megat Khalid memecah lamunan Eleya.
Tan Sri Megat Khalid akui dia sangat berbangga dengan kejayaan yang dicapai oleh Golden Empire. Tambahan lagi, sejak anak kepada Tan Sri Mukhriz iaitu pengasas kepada Golden Empire mengambil alih syarikat tersebut, nama mereka semakin gemilang dan hangat diperkatakan hingga ke peringkat antarabangsa. Tan Sri Megat Khalid sendiri sangat berharap suatu hari nanti dia dapat bersemuka dengan anak muda itu.
"Buang masa El aje study tentang syarikat lain. Syarikat sendiri pun El tak pernah ambil tahu." Selamba sahaja Eleya menjawab.
"For your information, Golden Empire tu sebenarnya..."
"Okey la, daddy. Next time kita cerita pasal syarikat yang daddy banggakan sangat tu. El minta diri dulu sebab banyak lagi kerja yang El perlu buat. Lagipun daddy sendiri yang suruh El serius, kan?"
Belum sempat Tan Sri Megat Khalid meneruskan bicara, Eleya sudah memotong percakapannya. Sempat Eleya mencium manja pipi daddynya sebelum melangkah keluar dari bilik mesyuarat itu.
Tan Sri Megat Khalid hanya mampu menggelengkan kepala sambil menghantar pergi kelibat Eleya. Maafkan daddy, El. Bukan niat daddy untuk memaksa, cuma semua ini adalah untuk kepentingan El juga. Tan Sri Megat Khalid bermonolog sendirian.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co