Truyen3h.Co

Cinta Infiniti

Bab 13

karyaseni2u

"Mana dapat nombor telefon Hani?" Aku tak pernah bagi dia nombor telefon. Takkan Nina pula yang baik hati bagi nombor telefon aku kat dia? Tak mungkin.

"Dapat daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai." Dia jawab sambil senyum. Hari ni dia pakai jean biru tua, t-shirt berkolar putih kuning dan sneakers yang juga berwarna biru tua. Kasual tetapi tetap kemas dan menawan seperti kebiasaannya.

"Mana tahu Hani ada kat sini?" Ada kuasa telepati ke apa dia ni?

"Abang dah pasang mikrocip kat Hani... Mana aje Hani pergi, abang boleh trace dengan mudahnya..." Dia petik jari hantu dengan ibu jari dia. Huh! Sungguhlah menakutkan kalau betul statement dia ni. Tapi aku tahu dia merepek aje. Mesti dia tanya siapa-siapa kat ofis tu. Pak cik guard ke contohnya.

"Makan jom... Laparlah." Klise betullah, cakap lapar mesti nak sentuh perut. Geli hati aku tengok gaya dia usap perut yang rata tu.

"Kenyanglah, tadi bos belanja KFC masa kat ofis. Dia orang tengah main boling kat atas tu." Aku beritahu dia sambil pandang atas.

"Teman abang makan, please..." Dia buat muka seposen. Kesianlah pula, tapi tekak aku pun dah kering ni. Nak minumlah.

"Jomlah... Hani pun dahaga ni. Nak makan kat mana?" Aku berdiri dan pandang dia yang baru nak bangun.

"Hardware Cafe."

"Ala... Kat tingkat 3 tu? Dia orang main boling kat sebelah tu aje." Tak boleh ke makan kat tingkat 1 aje? Nanti ada orang nampak aku dengan dia makan kat situ tak bestlah. Ingat aku ada skandal dengan dia ni pula.

"Tak nak! Nak makan kat situ juga." Dia buat muka degil. Saja ni.

"Jomlah!" Dia tarik lengan baju aku dan lepas tu dia mula berjalan. Alahai...

Dia oder Hardware Chicken Cheese Pasta dan Espresso Pvc untuk dia. Aku pula oder Strawberry Staples aje sebab aku tak nak makan.

Suasana dalaman restoran ni sangat bersih dan cantik. Pelanggan pun boleh tahan ramai juga waktu ni, mungkin sebab hari minggu, maka ramai yang makan di luar.

Sementara menunggu pesanan tiba, aku ambil kesempatan perhati keadaan sekeliling. Agaknya sedap-sedap hidangan yang dijual di sini, sebab hiasan dalamannya memang menarik hati. Tapi tak boleh nak melingaskan pandangan lama-lama, nanti pelanggan lain rasa tak selesa pula.

"Ehem... Ehem..." Aku pandang orang depan aku yang sedang berdeham. Sebenarnya aku cuba nak berlagak biasa, tapi aku agak segan dengan lelaki depan aku ni. Melihat keterampilan dan jawatan yang disandangnya memang mampu membuatkan aku rasa rendah diri.

"Nina tak datang pun dua hari ni." Aku macam dah tak tahu nak mulakan perbualan. Jadi aku mulakan dengan kisah Nina yang tak datang kerja ni. Hahaha...

"Biarlah dia... Hani ni risau sangat fasal Nina kenapa?" Bola mata dia yang bersinar cantik dipanahkan ke wajah aku. Membuatkan aku terpaksa mengalihkan pandangan mata.

"Mestilah risau, dia kan kawan saya. Dekat sini baru saya rapat dengan dia, saya tak naklah lepas ni Nina tak nak berkawan dengan saya lagi. Saya susah hatilah..." Aku memang sangat-sangat susah hati memikirkan Nina. Semalam apabila Jenny beritahu Nina tak dapat datang sebab tak sihat, aku terus WhatsApp Nina. Sampai sekarang dia tak balas walaupun aku nampak dia aktif aje kat WhatsApp tu. Tak sukalah macam ni!

"Relakslah... Nanti abang settlekan masalah ni."

"Baguslah... Nanti beritahu dia yang abang tak maksudkan apa yang abang cakap hari tu. Abang bergurau aje, kan?" Masa tu pelayan letakkan pesanan atas meja. Nampak sedap aje makanan yang dia pesan tu.

"Abang tak bergurau, Hani. Abang memang serius."

"Janganlah macam ni..." Aku memang tak rasa dia ni serius. Sebabnya aku tak percaya langsung seorang yang ada kerjaya sebaik dia tidak mempunyai teman wanita. Entah-entah dia dah kahwin. Cup! Cup! Kalau dia belum kahwin pun, mesti dia ada teman wanita keliling pinggang. Mustahil kut dia boleh suka kat aku macam tu aje. Aku bukannya lawa sangat, biasa aje. Ke dia memang suka jual minyak urat kat pelajar praktikal macam aku ni? Mesti pelajar praktikal yang lain pun dia ayat juga kut. Aku jadi skeptikal.

"Boleh nampak rona wajah Hani yang tak percaya kata-kata abang." Dia cakap sambil acukan sudu Chicken Cheese Pasta tu ke mulut. Nampak sedaplah pula. Aku cepat-cepat sisip minuman dalam gelas depan aku ni, sebelum air liur aku meleleh tengok dia makan.

"Alang-alang dah dating kat sini, kita buat sesi perkenalan, ya?"

Aku gelengkan kepala aje dengar cadangan dia tu. Ini bukannya dating pun, lebih kepada terserempak aje. Dating tu kalau kedua-dua pihak bersetuju lebih awal untuk keluar bersama-sama.

Aku suruh dia makan dulu sebelum bercakap sebabnya aku rasa makanan dia tu kalau dah sejuk mesti tak sedap. Tengok dia makan dengan penuh berselera buatkan aku terfikir nak tanya, adakah western food adalah makanan kegemaran dia? Aku pun sebenarnya suka juga western food. Kat rumah selalu aje aku masak burger, piza, mushroom soup dan roti bawang putih. Boleh layanlah sebab aku rasa western food ni agak ringkas penyediaannya. Jimat masa untuk orang yang selalu sibuk dan balik lambat.

"Dulu study kat mana?" Elok aje dia habis makan, aku terus serang dia dengan soalan pertama. Dia senyum aje dengar pertanyaan aku. Perlahan dia sisip minuman, penuh nikmat.

"Abang study dalam Malaysia aje... Keputusan tak cukup cemerlang nak ke overseas." Ek, eh... Bukannya itu maksud aku. Takkan sentap kut.

"Abang study di UIA, KAED."

"Kait?"

"KAED... Kulliyyah of Architecture and Environmental Design. Lepas dapat Bachelor of Architecture, abang terus bekerja dengan syarikat sekarang ni. Tahun ketiga bekerja, abang buat MBA Construction Business selama setahun. Dan cuba Hani teka... Berapa umur abang sekarang?" Hek eleh... Poyonya. Tetiba aje suruh aku teka umur dia.

Oleh sebab tak nak kecilkan hati dia, maka aku buat-buatlah macam nak teka sangat umur dia tu. Aku pandang wajah dia sekilas. Hrmmm... Jujurnya aku tak dapat agak umur dia. Tapi kalau dia ambil course archi dan dah ada master, pasti dia tak muda orangnya. Sebab archi student kena belajar setahun lebih lama daripada pelajar ijazah lain, tak silap akulah. Tapi dia juga tak nampak tua, ala... Macam mana ni?

"Cepatlah teka!" Dia buat muka comel dan kerdip-kerdip mata. Ala... Buruknya! Aku kutuk dia dalam hati.

"40 tahun kut?" Aku dah gelak dalam hati masa aku cakap macam tu. Aku bajet mesti dia marah. Hahaha...

"40 tahun?!" Dia terjerit kecil dan mendesit dengar jawapan aku.

"Am I that old?" Dia sambung cakap dan tunjuk muka tak puas hati. Aku sambung gelak jahat dalam hati. Muahaha.

Keluar dari restoran tu aje, dah jam 5 petang lebih. Lama juga kita orang borak-borak kat dalam tu. Umar Azharie banyak menceritakan perihal latar belakang dirinya. Barulah aku tahu, umur dia 29 tahun. Muda lagi.

"Jom, abang hantar Hani balik ofis." Dia cakap sambil pandang aku yang tengah terkial-kial nak sandang beg tangan ke bahu.

"Kereta tinggal kat basement, kan?" Dia sambung cakap apabila tengok muka pelik aku. Yalah, dia siap tahu yang kereta aku masih kat ofis. Dahsyat juga dia ni, ke memang dia ada pasang peranti kat aku?

"Abang nampak Hani naik kereta Mr. Danny tadi. Masa you all nak keluar dari basement, abang baru nak masuk. Sebab tu abang tahu kereta Hani ada kat basement. Suka sangat buat muka pelik. Ingat abang ni bomoh Siam ke apa? Abang suka dan sayang kat Hani, sebab tu abang ambil tahu semua fasal Hani." Aku terus rehatkan otot muka aku yang bekerja keras sebab nak buat muka tegang dan hairan depan dia tadi.

"Tunggu sini, abang masuk beritahu Mr. Danny abang hantar Hani balik."

"Eh, tak payah... Tak payah." Aku tarik lengan baju dia, terus tak jadi dia nak melangkah.

"Biar Hani yang beritahu, abang tunggu kat sini." Takkan aku nak biarkan dia masuk dalam Shalin's Bowl tu dan expose diri dia kat dalam tu. Heee... Dia ni memanglah, suka aje buat ikut kepala dia.

"Tunggu sini, jangan ikut Hani... Kalau ikut juga, Hani balik naik teksi." Barulah dia nak dengar cakap aku. Dia anggukkan kepala dan aku berjalan menuju ke arah Shalin's Bowl.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co