Truyen3h.Co

Cinta Si Wedding Planner

Bab 1

karyaseni2u

Sedang aku leka membelek rekod kewangan keluar masuk bulanan, aku dikejutkan dengan bunyi dari komputer riba jenama Acer yang dah berusia lima tahun aku milki. Tertulis Buzz di skrin komputer riba. Aku tersenyum apabila melihat nama pengirim.

<rocketman>: Tak tidur lagi?

Hmmm... Agak-agaknya pukul berapa sekarang di Switzerland, eh? Dalam mengagak kitaran jam di benua lain, jari-jemariku pantas mengetuk papan kekunci komputer riba. Rekod kewangan aku letak ke tepi sebentar.

<ultraviolet>: No! Tak mengantuk lagi... Tengah periksa rekod monthy financial.

<rocketman>: Dah lewat ni. Pergi la tidur.Esok-esok boleh periksa, kan? Tak lari pun rekod tu. Tidur, eh? You must take care of yourself. I am coming back to see you soon.

<ultraviolet>: Serious???

Aku sudah lupa dengan rekod kewangan. Perhatian aku tertumpu pada skrin komputer riba. Berita ini benar-benar mengejutkan aku. Biar betul nak balik ni? Dah empat tahun tak balik, tiba-tiba pula dia nak balik?

<rocketman>: Yes, my sweetheart... Izara Batrisya. Li balik 4 Mac ni sampai la hujung bulan April.

<ultraviolet>: Wow! Syoknya! Akhirnya, selepas empat tahun, Li balik juga. Mesti mak lang dengan pak lang suka sangat. Zara pun suka sangat.

<rocketman>: Li rindu mak dan ayah. Dan Li pun rindu banyak-banyak kat Zara.

<ultraviolet> : Buweeekkk!

<rocketman>: Kita bincang dengan mak dan ayah pasal kita berdua, eh? Kalau boleh, sebelum balik Swiss semula. And kalau diizinkan oleh Allah, kita bertunang dulu sebelum Li balik penghujung bulan April.

Aku gugup seketika dengan rancangannya. Bertunang? Alamak! Mahu menggeletar lutut nak berhadapan dengan mak dan ayah dia. Bukan aku tak kenal mak dan ayah dia. Terlebih kenal ada la. Boleh ke aku nak berhadapan dengan mak dan bapa saudara aku sendiri? Berkasih dengan sepupu sendiri, ni la akibatnya.

<ultraviolet>: Perlu ke? Tak terasa awal lagi ke? Dah habis studi ke nak menggatal sangat ni?

<rocketman>: Dah habis studi tu la yang menggatal ni. Boleh eh, sayang? Dah tak nak tangguh lagi. Dah lama sangat berskandal ni. Kita bertunang, eh?

<ultraviolet>: Itu pun kalau mak lang dengan pak lang tak reject. Kalau reject, sila cari orang lain la.

<rocketman>: No! They won't! Mak dan ayah tak akan menghampakan kita. Nanti kita bincang dengan mak dan ayah secara elok-elok. Insya-Allah... Mak dan ayah akan faham.

<ultraviolet> : Hmmm... Okey!

<rocketman>: Dan... Li ada kejutan untuk Zara. Tapi kena tunggu lepas Li balik dulu, okey?

<ultraviolet>: Arghhh... Baik tak payah bagi tahu kat sini. Buat tertanya-tanya aje. Hampeh!

<rocketman> : Hahaha...

Tidak lama aku berbual dengan gerangan si dia di Yahoo Messenger. Hanya sekadar lima belas minit, kemudian dia telah memaksa aku untuk pergi tidur sementelah malam semakin larut. Arahannya aku akur apabila kelopak mataku juga sudah berat untuk dibuka lagi.

Selesai menggosok gigi, aku mendapatkan katil bersaiz queen yang menjadi tempat aku beradu. Comforter aku tarik sehingga ke paras dada. Tersenyum-senyum aku apabila membayangkan wajah si rocketman setelah empat tahun tidak bersua muka. Hanya sekadar menatap di skrin komputer riba apabila membuat panggilan video bersamanya.

Rocketman... Nickname di Yahoo Messenger. Nama yang tertulis di sijil kelahiran dan juga kad pengenalan ialah Ikmal Bazli bin Aziz. Pelajar jurusan kejuruteraan kimia di salah sebuah universiti terkemuka di Switzerland. Dan juga salah seorang sepupu aku di sebelah keluarga arwah ibu. Sepupu aku yang teramat nakal pada zaman kanak-kanak.

Dia selalu mengusik aku tidak kira masa dan tempat. Ikmal Bazli juga ialah anak tunggal mak lang dan pak lang. Hanya kepada Ikmal Bazli sahaja mak lang dan pak lang mencurahkan kasih sayang mereka.

Dan aku... Sejak kematian abah dan ibu dalam kemalangan tiga tahun lepas, aku hanya menumpang kasih sayang mak lang dan pak lang. Aku juga rapat dengan mak ngah, mak teh, mak long, tetapi tak dapat disamakan dengan mak lang. Mak lang seperti ibuku. Susah dan senangku hanya diketahui oleh mak lang dan pak lang.

Aku juga mempunyai seorang kakak yang kini berada di Auckland. Irdina Hasya, kakakku. Selepas berkahwin empat tahun yang lepas, Kak Dina dan suami, Abang Naufal berhijrah ke Auckland kerana Abang Naufal mendapat tawaran bekerja di kedutaan Malaysia di sana. Kini, Kak Dina menjadi pensyarah di salah satu universiti di Auckland.

Aku pula, selesai sahaja belajar, aku mengambil alih perniagaan butik pengantin yang diuruskan oleh arwah ibu dan abah sebelum meninggal dunia. Walaupun secara kecil-kecilan perniagaan arwah ibu dan abah... Alhamdulillah dapat membesarkan aku dan Kak Dina.

Kini, setelah empat tahun meninggalkan dunia pelajar dan kampus, aku menyara diri sendiri dengan perniagaan yang ditinggalkan oleh arwah ibu dan abah. Alhamdulillah, dengan izin Allah aku mampu membuka kedai bunga bersebelahan dengan butik.

Selesai sahaja bersarapan, aku mengemas meja dan menyiapkan diri untuk ke butik dan juga kedai bunga. Walaupun mempunyai kakitangan yang bertanggungjawab untuk menguruskannya setiap hari, aku pasti akan datang menjenguk mereka. Aku akan berada seharian di sana sehinggalah tamat waktu operasi.

Aku memandu kereta Proton Satria milik aku dengan penuh berhati-hati. Kejadian perlanggaran minggu lepas masih terbayang lagi dalam fikiran aku. Salah pemandu kereta itu juga kerana keluar simpang tanpa melihat kenderaan yang datang dari arah kanannya. Akibatnya, keretaku kemik di bahagian kiri.

Walaupun pada mulanya insiden itu malang bagi aku, namun akhirnya ia mengundang rezeki kepada aku pula. Pemandu kereta itu rupa-rupanya sedang mencari butik pengantin yang diusahakan oleh aku. Pemandu itu berjanji akan membayar ganti rugi kepada aku.

Bukan calang-calang orang juga pelangganku ini. Memandu kereta BMW 5 Series. Mahu bertahun juga aku nak membayar ganti rugi. Tapi, nasib baiklah pemandu itu mengaku akan kesalahan dia sendiri. Fuh! Selamat aku! Kalau tak, mana aku nak cekau duit nak bayar ganti rugi? Kereta mahal tu!

Aku memberhentikan kereta di hadapan butik pengantin. Megah berdiri tanda papan yang tertulis 'Dilarang Meletakkan Kenderaan' di hadapan butik. Kotak parkir itu telah dikhaskan hanya untukku. Aku keluar dari perut kereta untuk mengalihkan papan tanda itu. Setelah mengalihkan papan tanda itu ke tepi, aku kembali memasuki ke dalam perut kereta. Belum sempat aku memasukkan gear, sebuah kereta Audi A5 berwarna putih memasuki kotak parkir milik aku itu dengan penuh rasa megah dan selamba.

Tercengang aku dengan kelakuan tidak bermoral pemandu kereta mewah itu. Aku memandang kereta mewah itu, menanti akan gerangan pemandu yang bakal keluar dari perut kereta. Selang beberapa saat kemudian, seorang lelaki muda yang segak berkemeja warna ungu lengkap dengan bertali leher keluar dari perut kereta.

Pantas aku keluar dari perut kereta semula. Aku menanti dengan sabar apabila pemuda itu berjalan melintasi aku. Aku pandang riak wajah pemuda yang persis keturunan Cina itu. Tegang riak wajahnya. Kalau silap tegur ni, memang boleh bergaduh pula kami berdua.

"Excuse me... Ini parking saya. Saya memang dah reserved," tegurku apabila pemuda itu berjalan di hadapan aku. Spontan pemuda itu menghentikan langkahnya dan memandang aku.

Lidah aku kelu berpandangan dengan pemuda yang dikategorikan sebagai golongan yang tampan dan bergaya itu. Walaupun pemuda itu mengenakan cermin mata hitam, aku dapat merasakan anak matanya memandang aku.

"Excuse me?" balasnya semula.

"Ini parking saya. Saya memang dah reserved sejak dulu lagi," ulangku sekali lagi.

"Tak ada apa-apa tanda yang tunjukkan itu adalah parking awak. So, sesiapa pun boleh parking kat situ," balas pemuda itu semula. Berdesing telinga aku mendengar kata-kata sinis daripada pemuda itu.

"Sorry. Saya tak ada masa nak bertekak dengan awak pasal parking. Cari aje parking lain. Saya tak kesah kat mana pun awak nak parking," sambung pemuda itu lagi. Tanpa sempat aku membalasnya semula, pemuda itu terus mengorak langkah meninggalkan aku yang masih termangu-mangu.

Saya tak kesah kat mana pun awak nak parking. Terngiang-ngiang kata-kata pemuda itu di telingaku. Dengan perasaan yang sebal, aku kembali memasuki perut kereta dan memarkirkan kereta aku betul-betul di sebelah kereta yang dipandu oleh pemuda itu.

Lantaklah! Berlagak sangat, kan? Pandai-pandai kau la nak keluar macam mana sekejap lagi. Aku tak nak ambil tahu. Terus sahaja aku menapak masuk ke dalam butik seperti tiada apa-apa yang berlaku.

"Kak Zara." Namaku dipanggil oleh Farid, pembantu aku.

"Kenapa, Farid?" sapaku kembali.

"Kak Zara datang dengan Audi ke? Cayalah!" Mahu nak terburai ketawa aku dengan pertanyaan Farid.

"Haah! Datang dengan Audi. Audi buruk sebelah sana," sahut aku. Termangu-mangu Farid dengan jawapan aku. Aku tersenyum kecil dan berlalu meninggalkan Farid.

Aku menapak masuk ke dalam bilik kecil yang dijadikan sebagai bilik kerja aku. Pantas sahaja aku menekan butang On di komputer. Beberapa minit kemudian, terpamer skrin utama di komputer. Gambar arwah ibu dan abah tersenyum kepada aku.

Aku membelek fail yang berderet di skrin. Jumpa sahaja fail yang aku cari, terus aku klik. Tersusun deretan gambar yang aku ambil di majlis perkahwinan pelanggan aku. Disebabkan aku kekurangan kakitangan di bahagian fotografi, aku menjadi bidan terjun untuk menguruskan bahagian itu. Pada masa yang sama, aku perlu menguruskan majlis bersejarah pelanggan aku mengikut kehendak mereka.

Ketika arwah ibu dan abah masih ada, aku juga yang menguruskan bahagian fotografi. Jadi, tidak ada masalah padaku untuk melakukannya. Cuma, keletihan agak terasa kerana semuanya diuruskan olehku. Farid pula hanya ditugaskan untuk membantu.

Aku kembali leka dengan tugas aku mengedit gambar-gambar. Selesai sahaja tugas itu, aku akan ke kedai gambar rakanku untuk mencetak dan membuat photobook. Sejam berlalu tanpa gangguan daripada staf yang turut bekerja dengan aku.

"Kak Zara..." Mula kedengaran suara pekerja aku dari muka pintu yang terbuka. Aku mengalihkan pandangan aku dari skrin komputer.

"Kenapa, Dayana?" soal aku semula.

"Ada lelaki ni... Marah-marah di depan butik. Dia suruh Kak Zara alihkan kereta sebab dia nak keluar," jelas Dayana akan kedatangannya.

"Lelaki? Kemeja warna purple, black tie and...chinese look?" tekaku. Dayana menganggukkan kepalanya.

Aku mengeluh kecil lalu bangun dari kerusi dengan kunci kereta yang digenggam kemas. Aku mengorak langkah keluar dari butik. Kelihatan kelibat pemuda itu dari belakang sambil bercekak pinggang.

"Menyusahkan orang aje!" Kedengaran bebelan pemuda itu.

Dengan wajah yang penuh selamba, aku menghampiri kereta aku dan terus sahaja meloloskan diri ke dalam perut kereta. Aku mengundurkan kereta ke belakang untuk memudahkan kereta mewah itu keluar dari kotak parkir.

Aku dan pemuda itu berpandangan seketika. Wajahnya kelihatan semakin tegang. Tiada langsung secarik senyuman di wajah itu. Garangnya! Kereta mewah itu keluar dari kotak parkir dan aku segera memarkirkan kereta aku di situ.

Setelah mengunci pintu kereta, aku ingin mengorak langkah memasuki ke dalam butik semula. Tetapi, langkah aku dihalang dengan satu suara yang memanggil aku tanpa rasa hormat. Aku menoleh ke arah suara itu.

"Hei! Pergi belajar ambil lesen semula kalau tak tahu parking," perli pemuda itu. Belum sempat aku menjawab, kereta mewah itu telah pun meluncur laju.

"Berlagak!" dengus aku dengan kelakuan pemuda itu. Macam ni agaknya perangai orang kaya. Berlagak! Di dunia boleh la berlagak dengan kekayaan. Di akhirat kelak, semua hamba-Nya adalah sama dari segi pangkat dan darjat. Tidak kira miskin atau kaya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co