Truyen3h.Co

Cinta Si Wedding Planner

Bab 3

karyaseni2u

Sudah seminggu adik Farid, Fauzan membantu aku di bahagian fotografi. Orangnya cekap dan senang diajar. Hanya sekali sahaja aku memberi tunjuk ajar, Fauzan sudah memahaminya. Cara kerjanya juga amat aku senangi. Tak perlu aku nak berleter panjang kalau masing-masing dah tahu tugas dan tanggungjawab.

Kini, aku mempunyai sedikit masa untuk meluangkan masa di kedai bunga pula. Membantu pekerja menyiapkan gubahan hantaran perkahwinan para pelanggan yang ingin menggunakan bunga segar sebagai gubahan hantaran mereka. Bab hantaran ini sedikit mencabar kerana bunga perlu kelihatan segar sehingga selesai majlis. Memang mencabar!

Kadangkala ada juga para pelanggan yang datang memesan kalungan bunga untuk majlis pengebumian, terutamanya pelanggan Cina. Nasib baik aku mempunyai dua orang pekerja yang berbangsa Cina. Mereka berdua banyak membantu aku.

"Kak Zara... Kalungan bunga ni nak hantar ke mana?" soal Fauzan yang secara tidak langsung membantu aku dalam bab penghantaran.

"Kat situ Kak Zara dah lekatkan alamat. Jan tahu tak kat mana tempat tu?" soal aku semula.

"Saya tahu, Kak Zara," balas Fauzan.

"Okey. Drive carefully," pesan aku sebelum Fauzan menghilangkan diri bersama-sama kalungan bunga yang perlu dihantarnya.

Aku kembali leka dengan gubahan bunga. Sekejap lagi pelanggan akan datang mengambilnya. Bunga daisi. Penerimanya juga bernama Daisy. Romantik sungguh si teman lelaki yang beria-ia mahu menunjukkan rasa sayang kepada cinta hatinya.

Tiba-tiba tumpuan aku diganggu dengan deringan telefon di atas meja. Aku tercari-cari akan telefon bimbit aku yang terlindung dengan batang-batang bunga yang dikerat. Terlihat sahaja nama yang tertera di skrin, terus aku capai dan menjawab panggilan itu.

"Assalamualaikum, mak lang!" sapa aku riang apabila sudah mengetahui akan gerangan si pemanggil.

"Waalaikumussalam. Ya Allah! Sakit telinga mak lang dengar Zara menjerit. Nak jadi tarzan ke apa?" bebel mak lang di hujung talian.

Aku ketawa kecil. "Haah, mak lang! Tarzan Malaya!" seloroh aku. Mak lang kembali dengan bebelannya. Bebelan itulah yang amat dirindui setelah dua bulan aku tidak balik menjenguk mak lang di kampung.

"Bila Zara nak balik? Mak lang rindukan Zara. Sibuk sangat ke dengan business tu sampai tak ingat mak lang di kampung?" Mak lang mula bertanyakan kepulangan aku. Aku tersenyum kecil dengan pertanyaan mak lang.

"Insya-Allah, minggu depan Zara balik. Minggu ni Zara ada satu majlis nak diuruskan. Selesai sahaja semuanya, Zara balik jenguk mak lang dengan pak lang," janji aku kepada mak lang.

"Mak lang ada Zara aje kat sini nak lepaskan rindu. Dah la Dina pun jauh. Bazli pun jauh. Mak lang ada Zara aje nak tumpang sayang. Zara tak sayangkan mak lang ke?" Mak lang memang pandai bermain dengan emosi aku. Aku mudah cair apabila mak lang mula beremosi sebegini.

"Zara sayangkan mak lang. Mak lang tempat Zara tumpang kasih sayang lepas ibu dah tak ada. Zara janji, minggu depan Zara balik jenguk mak lang. Mak lang masak masakan kegemaran Zara, eh? Sambal petai udang!" pinta aku.

Dengan cepat mak lang bersetuju. "Yalah! Mak lang buatkan untuk Zara."

Aku tidak berbual lama dengan mak lang apabila Dayana mula memanggil aku. Aku meninggalkan gubahan bunga yang telah siap digubah. Aku mendapatkan Dayana yang sudah beralih ke butik, bersebelahan dengan kedai bunga.

"Anak lelaki Puan Marina datang bagi baju contoh. Katanya tak boleh tunggu lama untuk bagi ukuran badan. Dia hanya pesan, ikut saiz dan ukuran baju contoh ni. Seluar pula tak nak dijahitkan butang. Dia nak digantikan dengan kancing seperti biasa," ujar Dayana akan pesanan anak lelaki Puan Marina.

Aku mengambil beg kertas yang mengandungi baju Melayu milik anak lelaki Puan Marina. Aku keluarkan sepasang baju Melayu itu. Agaknya si 'angah' kut datang. Aku belek baju Melayu itu dan mengagak saiz badannya dalam fikiran aku.

Tinggi... Bersaiz besar, bukan gemuk. Maybe tough... Besar sedikit daripada Mikail. Tinggi lebih kurang sama. Hati aku meneka akan gerangan si anak lelaki Puan Marina yang seorang lagi. Misteri sungguh anak kedua Puan Marina ni.

"Fashion designer kita tak balik dari lunch lagi?" soal aku kepada Dayana akan gerangan pereka pakaian yang bekerja dengan aku. Tidak lain tidak bukan, Si Farid. Dialah yang banyak membantu aku dalam hal rekaan terkini pakaian pengantin.

"Belum. Dia keluar dengan Shikin," balas Dayana.

Terjongket kening aku dengan jawapan Dayana. Menarik ni! Sejak bila Farid berskandal dengan pembantu sendiri? Hmmm... Mesti siasat ni.

"Anak lelaki Puan Marina yang seorang ni lagi handsome daripada bakal pengantin. Cair hati saya bila berpandangan dengan dia. Subhanallah! Indahnya ciptaan Allah. Tapi... Dia macam sombong. Susah sangat nak senyum." Dayana pula mula membebel akan gerangan anak kedua Puan Marina.

"Yana... Handsome kadang-kadang tak menjamin kebahagiaan. Biar buruk di luar tetapi handsome di dalam. Itu yang penting. Handsome di dalam yang akan memberikan kebahagiaan kepada kita. Handsome di luar kadang-kadang akan membuatkan kita makan hati aje. Kalau kedua-duanya handsome, anggap aje satu pakej lengkap. Kita kena bersyukur kepada Allah sebab memberikan kita satu anugerah yang lengkap pakejnya," ujar aku apabila Dayana asyik memuji kekacakan anak kedua Puan Marina.

Tiba-tiba terdetik sesuatu dalam hati. Handsome sangat ke? Teringin juga aku nak tengok. Boleh lawan dengan ketampanan Ikmal Bazli, buah hati pengarang jantung aku? Cakap tentang Ikmal Bazli, mak lang tak tahu ke anak kesayangan mak lang nak balik bulan depan?

Malam-malam aku ditemani dengan aktiviti membaca novel. Aku meniarap di atas katil sambil membaca novel karya Zura Asyfar. Sebenarnya Saya Isteri Dia. Memang melekakan aku dengan jalan ceritanya yang amat menarik.

Tumpuan aku diganggu dengan deringan. Tapi, bukan dari telefon bimbit, dari komputer riba sebenarnya. Aku hanya biarkan sahaja komputer riba aku dibuka. Dan Yahoo Messenger dibiar log in. Aku mendapatkan komputer riba. Terpamer nama rocketman di skrin. Buah hati pengarang jantung aku!

Pantas sahaja aku mencapai kardigan lalu disarungkan ke badan untuk melindungi tubuh aku yang dilapisi pijama nipis. Tuala sekadar aku letakkan ke atas kepala dan diselempangkan untuk melindungi batang leher aku. Selesai sahaja aku menutup aurat yang terdedah, aku lantas menekan butang Accept. Terpamer wajah Ikmal Bazli di skrin.

"Lambatnya..." Itu perkataan pertama yang disebutnya apabila kami saling berpandangan di skrin.

"Dah buat VC tanpa beritahu dulu. Take time la nak capai kardigan dan segalanya. Lain kali beritahu dahulu kalau nak VC," bebel aku semula kepadanya. Terukir senyuman di wajah Bazli.

"Miss you," ucapnya berterus terang.

"Me too," akui aku akan perasaan aku kepadanya.

"Zara buat apa tadi?" soalnya lagi.

Aku capai novel dan tunjukkan muka depan novel kepadanya. "Aktiviti berfaedah. Baca novel," balas aku.

"Sebenarnya Saya Isteri Dia..." Bazli membaca tajuk novel yang aku pegang. Aku mengangguk.

"Hmmm... Sebenarnya, Saya Skandal Dia," sambung Bazli lagi.

"Siapa? Jangan cari pasal dengan Zara, eh?" gertak aku apabila Bazli mula dengan perangainya yang suka mengusik.

"Kita kan berskandal, sayang. Selagi tak ikat apa-apa, kira berskandal la tu. Itu yang Li nak ikat dengan Zara. Dah tak nak skandal lagi," jelas Bazli.

"Zara dapat tahu Li ada skandal lain selain Zara, siap Li! Zara cari Li sampai dapat!" gertak aku lagi. Kedengaran tawa Bazli.

"Tak la, sayang. Hanya ada Izara Batrisya dalam hati Ikmal Bazli. Tiada yang lain. Melainkan..." Kata-kata Bazli terhenti di situ sahaja. Aku mula merenung wajah Bazli di skrin komputer riba.

"Melainkan apa?"

"Melainkan... Lahirnya Izara Batrisya junior nanti. Tanda cinta kita, sayang. Our daughter," jawab lelaki yang kelihatan tampan dengan penampilan wajahnya yang baru. Kumis yang tumbuh di wajahnya itu dijaga rapi. Itu yang membuatkan wajahnya kelihatan tampan.

"Ikmal Bazli!" Terkejut aku dengan jawapan Bazli. Apa lagi, bulat la mata aku memandang wajah Bazli yang sudah ketawa terbahak-bahak di skrin.

"Angan-angan mat jenin!" tempelak aku.

"Tak salah, kan? Li akan jadikan ia kenyataan selepas tiga bulan kita bernikah. Janji!" sahut Bazli yang seronok menyakat aku.

"Tak senonoh!" tempelak aku lagi dengan lawak Bazli yang sememangnya membuatkan aku malu sendiri.

"Bukan tak senonoh. Tapi, perancangan. Kita kena ada perancangan, sayang. After all, anak kan anugerah daripada Allah. Pengikat kasih sayang kita berdua. Dan kehadiran tanda cinta dalam hidup kita akan mengukuhkan lagi kasih sayang. Betul tak, sayang?" jelas Bazli. Aku tersenyum dengan penjelasannya itu.

"That is my girl. Li rindukan senyuman tu. Dan rindukan pemilik senyuman itu sangat-sangat. Tak sabarnya nak balik bulan depan," luah Bazli lagi.

"Speaking about that... Mak lang tak tahu lagi eh Li nak balik bulan depan?" soal aku apabila teringat semula akan perbualan aku dengan mak lang siang tadi.

Bazli hanya tersengih-sengih dengan pertanyaan aku. Daripada caranya itu, sudah aku faham akan jawapan daripada Bazli.

"Mak dan ayah tak tahu lagi. Hanya Zara yang tahu tentang kepulangan Li. Lagipun, Li akan turun di KL dulu. Jumpa Zara dan kita sama-sama balik kampung," ujarnya. Semakin membulat mata aku dengan perancangan yang sudah dibuatnya.

"Bestnya dia buat perancangan tanpa beritahu kita dulu. Rasa macam nak piat-piat aje telinga dia." Aku mula geram dengan rancangannya. Sengaja aku menunjukkan gaya seperti mahu menarik telinganya.

"Ala... Jangan la. Dah la mak dan ayah selalu tarik telinga Li. Kalau Zara tarik telinga Li juga, bertambah capang la telinga Li. Jatuh la saham Li. Hantaran daripada sepuluh ribu dah tinggal lima ribu, gara-gara telinga lebar macam telinga gajah." Bazli mula dengan melodramanya seperti mak lang. Anak dan mak memang pandai main emosi aku. Aihhh... Sabar ajelah.

"Mana belajar perempuan kena hantar hantaran kepada lelaki? Ikut adat orang India, eh?" soal aku kepadanya semula.

Bazli tersengih-sengih dengan pertanyaan aku. "Sekali-sekala ubah adat," balasnya lagi. Lantas aku menunjukkan buku lima kepadanya. Segera Bazli menggelengkan kepala. Kami berdua sama-sama tertawa dengan gelagat masing-masing.

"How's your business?" soal Bazli, mula menanyakan tentang perniagaan aku.

"Alhamdulillah. Kedai bunga mula mendapat sambutan. Terutamanya bakal pengantin. Dia orang banyak nak gubahan hantaran fresh flower. Dan ada juga yang nak gunakan fresh flower dalam wedding dia orang. Actually, ia memang idea yang bagus. Perniagaan butik pengantin digabungkan dengan perniagaan bunga. What a good combination!"

"Ehem... Ehem... Siapa la yang bagi idea tu, kan? Share daripada idea tu pun tak merasa lagi. Agak-agaknya bila la dapat merasa, kan?" Aku amat memahami kata-katanya itu. Ingat aku lupa la tu yang dia tu si penyumbang idea.

"Yalah... Yalah! Zara ingat! Li penyumbang idea. Balik nanti Zara bagi la share Li."

Bazli kembali ketawa apabila aku mengingati semula penyumbang idea dalam perniagaan baru itu. Mahu saja aku menarik telinga sepupu merangkap buah hati pengarang jantung aku itu kerana seronok sangat mengusik aku. Nasib baik tak ada depan mata. Kalau tak, bertambah lebar la telinga tu.

"Li dah ada plan bila dah tamat belajar ni? Nak kerja di KL?" soal aku apabila teringat semula akan soalan yang ingin aku tanyakan kepadanya sejak beberapa hari lepas.

"Tak sure lagi. Tapi Li ada kejutan untuk semua," jawab Bazli dengan teragak-agak. Aku dapat kesan ada sesuatu yang disembunyikan oleh Bazli.

"Li... Li ada sesuatu yang Li sorokkan daripada Zara, kan? Zara dapat rasakan, ada sesuatu yang penting Li sorokkan daripada Zara."

Pertanyaan aku dijawab dengan senyuman oleh Bazli. "Yeah! Sesuatu yang agak penting. Mesti Zara terkejut punya. Nanti bila Li balik, Li bagi tahu. Tunggu, ya?"

Aku mula berasa seram sejuk dengan jawapan Bazli. Apa yang disembunyikan oleh Bazli daripada pengetahuan aku sebenarnya? 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co