Truyen3h.Co

Cinta Si Wedding Planner

Bab 5

karyaseni2u

Aku menyusuri jalan kecil yang bertar. Kiri dan kanan aku menyajikan pemandangan sawah yang menghijau. Aku membuka tingkap kereta untuk mengambil udara dan angin petang. Nyamannya.

Senyuman aku mati serta-merta dek sengihan Alif, rakan sepermainan aku. Alif yang sedang menunggang motosikal lantas memberhentikan motosikalnya dan memberi laluan kepada aku. Aku melewati Alif lalu memberhentikan kereta di sebelah motosikal Alif.

"Terima kasih, Alif," ucap aku. Alif tersengih-sengih mempamerkan barisan giginya yang kelihatan kekuningan. Kuat merokok!

"Lama cuti, Zara?" soal Alif. Aku terdiam seketika. Otak aku ligat memikirkan tempoh aku akan berada di kampung.

"Tak lama kut. Tiga hari aje. Tak boleh tinggal lama-lama cik abang kat KL. Nanti meroyan satu KL cari aku," seloroh aku dengan perkataan cik abang. Alif ni sebenarnya menaruh hati kepada aku. Tetapi, awal-awal lagi aku dah tolak! Bukan kerana memilih, tetapi disebabkan Alif ni dah berkahwin.

"Cik abang?" soal Alif semula. Aku mengangguk laju.

"Anak sihat?" Sepantas mungkin aku cuba mengalih topik perbualan kami berdua.

"Anak-anak sihat. Alhamdulillah," balas Alif. Terlopong aku mendengar jawapan Alif. Anak-anak?

"Dah bertambah seorang lagi ke?" teka aku. Alif mengangguk kecil dengan senyuman malu. Malu la sangat. Dalam hati bangga gila!

"Wah! Semakin bertambah anak kau, Alif. Rezeki Allah nak bagi!" sambung aku lagi.

"Alhamdulillah. Terfikir juga nak tambah 'cawangan' baru. Itu pun kalau kau bagi lampu hijau la. Malam ni juga kita bernikah. Tak payah nak membazir masa," seloroh Alif tanpa rasa malu. Buntang mata aku dengan lawak selamba Alif.

"Kau sanggup nak bertumbuk dengan cik abang aku? Cik abang aku bukan calang-calang orang. Sekali dia debik kau, tersungkur pengsan dua hari." Kalau lawak selamba ni didengar dek Bazli mahu dikejarnya Alif di tengah-tengah petak sawah dengan pelepah kelapa. Nak cari nahas! Barannya jangan diusik.

"Eleh... Aku tak takut la. Ni Alif! Sekali aku buka kekuda, dia yang tersungkur atas tanah," jawab Alif dengan penuh rasa riak.

"Weh! Aku blah dulu. Perut aku memulas la. Dah tak sabar nak termenung dalam jamban rumah mak lang aku." Aku memintas sebelum Alif meneruskan niatnya untuk mengayat aku lagi.

Tanpa menunggu jawapan daripada Alif, segera aku memasukkan gear dan menekan pedal minyak. Kereta mula bergerak meninggalkan Alif yang terkulat-kulat ditinggalkan aku. Tak padan anak dah dua, ada hati nak tambah 'cawangan' lagi. Memang nak kena bedal dengan pelepah kelapa dek Bazli la tu.

Aku memasuki simpang kecil ke rumah mak lang yang terletak di tengah-tengah sawah. Island house! Itu yang aku dan Kak Dina gelarkan. Rumah mak lang terletak di tengah-tengah sawah, tak ubah seperti pulau yang berada di tengah laut.

Bunyi deruman enjin kereta yang memasuki halaman rumah kelihatan seperti mengejutkan mak lang dan pak lang. Kedua-duanya menjenguk melihat aku dari tingkap yang terbuka luas. Melebar senyuman di kedua-dua wajah yang sudah aku anggap seperti ibu bapa aku sendiri setelah kehilangan ibu dan abah.

Aku mematikan enjin kereta lalu melolos keluar dari perut kereta. Mak lang menapak laju menuruni tangga apabila terlihat kelibat aku. Dia menerpa ke arah aku lalu memeluk tubuh aku. Aku membalas pelukan mak lang.

"Ya Allah! Rindunya mak lang kepada Zara. Rindu sangat!" luah mak lang, masih tidak melepaskan pelukan.

"Zara pun rindukan mak lang," sahut aku. Terasa pelukan sedikit regang. Wajah aku dipegang oleh mak lang. Bertalu-talu ciuman sayang mak lang mendarat di wajah aku. Mak lang rindu sangat kepada aku nampaknya.

"Ya Allah! Bibah! Kut ya pun, kesian Si Zara tu sama. Penat tak hilang lagi, Bibah dah tambahkan penat Zara lagi. Dah naik lemas Zara tu Bibah peluk," tegur pak lang dengan reaksi mak lang yang tanpa dijangka itu.

"Abang mana tahu macam mana Bibah rindukan Zara. Zara aja yang kita ada nak tumpang rindu. Dina dengan Li jauh kat tempat omputih," bebel mak lang dengan sendu kecil. Hujung lengan baju Kedah dijadikan kain pengesat air mata. Mak lang dah mula melodrama. Telenovela Melayu!

"Tak apa, pak lang. Zara, okey. Mak lang kan buah hati Zara. Hilang penat Zara bila mak lang peluk Zara tadi. Sayang mak lang ketat-ketat!" Aku kembali memeluk tubuh mak lang. Mak lang mencebik bibir kepada pak lang. Boleh pula mak lang melawak macam tu dengan pak lang.

"Dah! Jom naik. Mak lang dah masak sambal petai udang. Abang, bawakan beg Zara ke atas," ajak mak lang sambil memberi arahan kepada pak lang. Sempat lagi bagi arahan mak lang ni.

"Abang juga yang kena buat semuanya," bebel pak lang dengan arahan mak lang. Ketika aku melintasi pak lang, aku tunduk menyalami tangannya.

"Tak apa, pak lang. Nanti Zara bawa naik sendiri," ujar aku kepada pak lang ketika pak lang bertanyakan kunci kereta kepada aku.

Selepas bersolat maghrib berjemaah, kami bertiga makan malam bersama-sama. Riuh suasana di meja makan apabila mak lang dan pak lang saling berlumba-lumba mahu melayani aku. Penuh pinggan dengan lauk-pauk yang dicedok oleh mak lang dan pak lang.

"Masjid kampung nak dipindahkan ke pak lang?" soal aku mengenai masjid kampung yang seperti mahu dirobohkan ketika aku melewati kawasan masjid petang tadi.

"Taklah. Diubah suai jadi lebih besar. Ada orang derma ke masjid dan usulkan mahu besarkan masjid. Pak lang dengar kontraktor juga," jelas pak lang. Aku mengangguk kecil lalu meneruskan suapan ke mulut.

"Kat KL Zara tak berkawan dengan siapa-siapa ka?" celah mak lang pula.

"Bibah." Mendatar sahaja suara pak lang menegur mak lang. Eh, kenapa pula ni?

"Berkawan la, mak lang. Kan kawan-kawan U Zara ada di KL. Kadang-kadang kita orang jumpa, lepak, makan sama-sama," jawab aku. Kelihatan mak lang seperti teragak-agak mahu bertanya dengan lebih lanjut.

"Kenapa, mak lang?" soal aku pula.

"Kawan laki ka perempuan?" soal mak lang semula.

Aku tersenyum dengan pertanyaan mak lang. "Dua-dua, mak lang."

Sekali lagi mak lang kelihatan teragak-agak mahu bertanya kepada aku. Aku terkesan sesuatu dari lirikan mata mak lang kepada pak lang. Aku abaikan sahaja lirikan mata suami isteri di hadapan aku ini. Suapan diteruskan lagi ke mulut.

"Mak lang hang ni ha, Zara. Nak tanya hang ada boyfriend ka belum? Susah sangat nak bertanya. Asyik kona kanan, kona kiri aja." Pak lang berterus terang tanpa selindung.

Tersedak aku dengan pertanyaan pak lang yang straight to the point. Serta-merta sambal petai terasa amat pedas di dalam mulut. Segera aku capai gelas dan meneguk air masak kosong sehingga habis segelas. Masih terasa pedas namun sedikit reda berbanding tadi.

"Apa dia, pak lang? Boyfriend?" soal aku semula. Pak lang diam tanpa reaksi. Mak lang pula yang mengangguk laju.

"Dah ada ka?" soal mak lang pula. Aku hanya tersenyum penuh makna kepada mak lang dan pak lang. Biar Bazli sendiri yang ceritakan semuanya.

"Zara?" Mak lang masih ternanti-nanti akan jawapan aku. Aku pula hanya mendiamkan diri dan tersenyum penuh makna. Malu alah dengan pertanyaan mak lang.

"Kalau senyum tu ada la. Tak payah la duk risau sangat. Nanti dia dah bersedia, dia bawalah jumpa kita. Pandai la Zara nak jaga diri dia. Tak payah nak kalut sangat," tegur pak lang apabila mak lang asyik nak mengorek rahsia aku.

"Mana tak risaunya, bang. Zara tu dah la duk sorang-sorang. Tak dak sapa-sapa nak jaga dia kat sana. Lain la dengan Bazli tu. Katanya dah ada, nanti nak bawa mai jumpa kita," sahut mak lang.

Aik? Lagi cepat si rocketman ni beritahu mak lang kata yang dia dah ada. Tak payah nak bawa mai jumpa, mak lang. Dah ada depan mata mak lang pun. Cuma belum diperkenalkan sebagai buah hati pengarang jantung anak kesayangan mak lang aje.

"Entah-entah, omputih mana la dia nak bawa balik nanti. Mintak simpang la Bibah, oit..." bebel pak lang.

Sekali lagi aku tersedak dengan kata-kata pak lang. Bazli nak bawa omputih? Langkah mayat aku dulu! Memang cari nahas la kalau macam tu!

"Ya Allah! Cuba makan tu perlahan-lahan. Bakal mak mentua datang nak meminang terus tak jadi. Tak lari ke mana pun sambal petai tu," tegur mak lang sambil menuang air ke dalam gelas aku yang sudah kosong.

Dah ada depan bakal mak mentua pun, mak lang. Confirm mak lang takkan reject Zara! Mak lang kan sayang Zara.

Leher aku terasa lenguh kerana asyik menundukkan kepala sambil mengedit gambar majlis perkahwinan semalam. Kerja aku dibawa sekali pulang ke kampung. Biarlah... Dapat juga aku mengisi masa lapang.

Sekeping demi sekeping gambar aku edit sehinggalah jari-jemari aku terhenti apabila tiba di sekeping gambar. Kelihatan pemuda yang berwajah seperti keturunan Cina sedang berdiri megah di sebelah pengantin lelaki. Wajahnya mengukir senyuman. Tetapi senyuman itu aku rasakan seperti dipaksa, dan bukan dari kerelaan hati. Tak ikhlas!

Aku amati wajah itu. Matanya yang sepet, hidung sedikit mancung, bibirnya kelihatan kemerahan, alis kening yang tebal dan... Kalaulah dia senyum seikhlas hati, pasti wajah itu akan kelihatan sangat kacak. Silap-silap boleh cair hati mana-mana wanita yang tengok senyuman dia.

Aku? Cair dengan dia? Please la... Nak cari nahas dengan Ikmal Bazli? Bukan bergegar satu KL, tetapi bergegar satu Malaysia dengan amukan dia. Baran dia jangan diusik. Karang meletup gunung berapi yang dah lama tak meletus.

"Ooo... Ni la bakal menantu untuk mak lang, eh?" sergah mak lang tiba-tiba. Terkejut aku dengan sergahan mak lang. Terkebil-kebil aku memandang mak lang.

"Apa dia, mak lang?" soal aku semula.

"Abang! Mai lekas! Ni ha, bakal menantu kita! Segaknya! Cina ka?" Alamak! Mak lang mula menyebar khabar angin. Pak lang pun dah mula ambil tempat kat sebelah mak lang. Kedua-duanya memandang pemuda iras Cina yang segak bergaya di skrin komputer riba aku itu.

"Mak lang... Pak lang... Dia bukan boyfriend Zara. Dia kawan pengantin lelaki. Kami terserempak kat majlis aje," terang aku sebelum mak lang dan pak lang mula berangan akan menantu yang kacak ini.

"Cina ka, Zara?" soal pak lang pula.

"Melayu. Fariz Adryan," jawab aku.

"Hah! Dah tau nama tu. Ni mesti dah lama kenal. Zara pun nak jadi macam Bazli juga ka? Nanti nak bawa mai jumpa mak lang dengan pak lang ka?" sergah mak lang lagi. Pantas aku menggelengkan kepala dengan laju.

"Bukan macam tu, mak lang. Kebetulan aje semua ni. Zara bukannya kenal dia pun," tekan aku sebelum mak lang dan pak lang salah anggap akan gerangan Fariz Adryan lagi. Apa punya malang la nasib aku hari ni? Boleh pula aku leka tengok gambar si mamat berlagak ni. Hesy... Bala ni! Bala!

Belum sempat pak lang membuka mulut bertanyakan gerangan Fariz Adryan, kedengaran deringan panggilan video dari komputer riba aku. Tertera nama rocketman di skrin. Fuh! Penyelamat aku!

"Bazli," ujar aku kepada pak lang dan mak lang. Pantas aku menekan butang Accept dan memberi ruang kepada mak lang dan pak lang untuk berada di hadapan skrin.

"Sweetheart," sapa Bazli. Terkejut aku dengan sapaan Bazli. Dia memang cari pasal la.

"Eh? Mak... Ayah." Suara Bazli seperti terkejut apabila melihat wajah mak lang dan pak lang.

"Siew kepala hotak hang!" bebel pak lang. Pantas mak lang menampar bahu pak lang.

"Dah tak kenal Zara dengan Siew?" sambung pak lang lagi. Nasib baiklah pak lang tak faham apa yang Si Bazli cakapkan. Kalau tak, mampus aku!

"Zara balik kampung, eh?" soal Bazli semula. Malu la tu.

"Tak. Balik bandar," balas pak lang bersahaja.

"Errr... Mak dengan ayah sihat?" soal Bazli yang terkena dengan sindiran pak lang. Aku tersengih kegembiraan apabila memperolehi modal untuk mengenakan Bazli selepas ini. Aku berlalu ke dalam bilik untuk mengambil tudung. Pasti Si Bazli akan mencari aku selepas ni.

"Sihat, alhamdulillah. Li, sihat?" Kedengaran suara mak lang pula mencelah.

"Alhamdulillah, mak."

"Semakin segak anak mak," puji mak lang dengan penampilan baru Bazli.

"Ya ka, mak? Li, segak eh? Patut la ramai sangat suka kat Li," seloroh Bazli bangga dengan diri sendiri. Masuk bakul angkat sendiri!

"Bila hang nak balik, Li? Setahu ayah, tempoh pengajian dah tamat. Hang buat apa kat sana lama-lama, Li? Ayah dah penat nak layan kerenah mak hang ni. Hang balik layan mak hang la pula."

Aku yang mendengar bebelan pak lang juga turut ketawa kecil. Bazli pula dah ketawa terbahak-bahak. Mak lang apa lagi, mulalah dengan sepitan ketam apabila pak lang mula merungut. Aku tersenyum bahagia melihat kemesraan mak lang dan pak lang.

"Yalah! Penat nak dengar Bibah membebel tentang anak-anak. Sorang kat sana, sorang kat sini, sorang lagi kat situ pula. Dina dah berkahwin, kena la ikut suami. Zara pun kalau dah berkahwin lepas ni kena la ikut suami dia," tambah pak lang.

"Zara takkan ke mana-mana pun, ayah." Tiba-tiba sahaja Bazli menjawab kata-kata pak lang. Tergamam aku dengan jawapan Bazli. Jangan la buat hal!

"Kenapa? Li tak nak bagi Zara kahwin?" soal mak lang pula. Suasana semakin panas pula aku rasakan. Tiada langsung balasan daripada Bazli. Kelu lidah la tu.

"Bulan depan Li balik Malaysia. Li cuti lama. Li ada sesuatu nak bincang dengan mak dan ayah. Mengenai masa depan Li dan hidup Li," ujar Bazli tanpa menjawab pertanyaan mak lang.

"Li nak kahwin ka?" teka mak lang. Bazli tidak segera menjawab.

"Li harap mak dan ayah tak tolak pilihan Li." Jawapan Bazli sudah cukup membuatkan mak lang tersenyum lebar. Pertanyaan mak lang sudah menemui jawapannya.

"Mana budak bertuah, Izara Batrisya binti Aziz?" tambah Bazli bertanyakan diri aku. Terkejut aku apabila Bazli menyebut nama penuh aku.

"Zara... Nak ke mana pula malam-malam ni?" soal mak lang apabila terlihat aku sudah siap bertudung.

"Tak ke mana-mana pun. Tu, ha... Li," jawab aku sambil jari ditunjukkan ke arah komputer riba.

Riak wajah mak lang sedikit terkejut dengan jawapan aku. Mak lang mengalih pandangan pada pak lang. Mereka berdua saling berpandangan dengan penuh rahsia. Kemudian, mereka memandang aku semula. Perlahan-lahan aku merapati mak lang dan pak lang yang masih berhadapan dengan komputer riba.

"Hai Li," sapa aku apabila terlihat akan wajahnya di skrin. Rindunya aku kepada dia.

"Balik kampung tak beritahu Li." Bebelannya mula kedengaran. Aku tersengih-sengih mempamerkan barisan gigi kepadanya.

"Kita chat kejap lagi, okey?" pesan aku kepadanya. Bazli hanya mengangguk kecil.

Mak lang dan pak lang kembali meneruskan perbualan dengan Bazli. Pelbagai soalan ditanya oleh pasangan suami isteri itu yang amat merindui anak tunggal mereka yang jauh di perantauan.

Dua puluh minit kemudian, mak lang dan pak lang sudah penat mahu berbual lagi dengan Bazli. Tambahan pula, mak lang mula berasa mengantuk. Memang peluang aku ni! Sebaik sahaja mak lang dan pak lang menghilangkan diri ke dalam bilik, aku juga turut menghilang ke dalam bilik tidur.

<ultraviolet>: Sorry tak bagi tahu Li yang Zara balik kampung minggu ni. Unplanned program. Mak lang suruh Zara balik. Zara pun rindu mak lang.

Itu alasan aku. Hantar.

<rocketman>: Nasib baik tak kantoi tadi. Kalau kantoi, malu Zara nanti. Jawab la dengan mak dan ayah.

<ultraviolet>: Yalah, Siew! Nasib baik pak lang tak dengar jelas. Yang Li tiba-tiba panggil Zara macam tu kenapa?

<rocketman>: Sebab Zara memang sweetheart Li. My one and only.

<ultraviolet>: Buwekkk! Geli pula tekak ni. Hihihi...

Kami berdua bersembang di Yahoo Messenger tidak sampai lima belas minit apabila aku mula berasa mengantuk. Aku meninggalkan Bazli dengan janji akan mimpikan dirinya dalam tidur aku. Tetapi... Bukan Bazli yang muncul! Si sombong, Fariz Adryan pula yang muncul! Apa kes aku mimpikan dia pula? Ni mesti penangan deretan pertanyaan daripada mak lang dan pak lang malam tadi. Cis! Buat rosak tidur aku aje.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co