BAB 7
"Kenapa Kak Aiya tengok kamu dari tadi ni, asyik muncung mulut Raudhah?" soal Suraiya.
Raudhah memotong-motong bawang di depannya dengan kasar untuk melepaskan geram. Hendak diluahkan kepada Suraiya, dia terasa malu. Usianya sudah beranjak jauh. Anaknya sudah seramai empat orang. Dia malu untuk mengakui yang dia masih cemburukan Auzir pada usia sekarang. Apatah lagi dia tidak mempunyai bukti sahih untuk menuduh suaminya berlaku curang. Kamarul sendiri ada berkata yang Emma memang menyukai Auzir sejak dulu tetapi Auzir menyukai Raudhah.
"Ada tak perempuan yang suka pada seorang lelaki ni sampai bertahun-tahun, dari zaman sekolah sampai lelaki tu dah kahwin beranak-pinak pun dia masih sukakan lelaki tu juga?" soal Raudhah secara tiba-tiba, berasa pelik dengan situasi Emma dan Auzir. Kalau suaminya tidak pernah memberikan harapan, takkanlah Si Emma terus tergila-gilakannya?
"Kak Aiya sampai sekarang sukakan Shah Rukh Khan, Raudhah. Walaupun dia dah tua dan dah kahwin, hati Kak Aiya tak berubah," luah Suraiya dalam nada berseloroh.
Raudhah dipukul rajuk sekali lagi.
"Kak Aiya ni! Orang betul-betul, dia main-main," rungut Raudhah.
Suraiya tertawa.
"Manusia ni macam-macam, Raudhah. Tak ada yang pelik. Lelaki pun satu. Mula-mula tak sukalah konon. Tapi nanti kalau dah tergedik-gedik perempuan tu kat dia, cairlah," ujar Suraiya. Dia belum dapat membaca yang lelaki yang Raudhah maksudkan ialah suaminya, Auzir.
Bibir bawah Raudhah digigit sejenak, memikirkan Auzir. Dia sudah tidak secantik sewaktu mula-mula bernikah dulu. Mukanya sudah mulai berkedut. Kulit tangannya kasar dan kekeringan. Adakah benar suaminya takkan berubah hati? Apatah lagi Emma masih kelihatan cantik. Maklumlah, gadis itu belum bernikah dan mempunyai anak-anak sepertinya. Mustahil hati Auzir tidak terketar ketika Emma cuba mendampinginya.
Air mata Raudhah tertumpah sendiri apabila memikirkan rahsia yang diperam Auzir selama ini. Kalau dia tidak ke bengkel semalam, barangkali dia tidak akan tahu tentang kewujudan Emma. Auzir tidak pernah bercerita tentang Emma. Mungkinkah ada rahsia yang cuba Auzir sembunyikan daripada pengetahuannya? Mungkinkah mereka pernah berpacaran sebelum ini? Adakah benar Emma hanya bertepuk sebelah tangan?
Pelbagai soalan mulai meracuni fikirannya.
"Mak," panggil Mirza. Dia mengintai di sebalik pintu dapur.
Raudhah cepat-cepat mengesat air mata. Pandangannya jatuh pada anak susuannya yang bergigi sumbing itu. Mirza dilihatnya sedang berjalan terjengketjengket. Seakan-akan ada sesuatu yang sedang disorokkan si kecil itu di belakangnya.
"Ada apa, Mir?" soal Raudhah.
Mirza menayangkan kertas lukisan yang sudah dilipat kemas. Di atasnya dilukiskan gambar seorang perempuan dan seorang budak lelaki.
"Mak, kita tak pernah ada gambar berdua. Mir lukis gambar mak dengan Mir," ucap si kecil yang baru menjengah usia lima tahun itu.
"Cantiknya. Mir lukis mak cantik sangat ni, Mir. Mak kan dah gemuk, muka kedut-kedut. Lukisan Mir ni cantik sangat," luah Raudhah sambil melihat lukisan comot anaknya.
Mirza menggeleng, menidakkan tuduhan emak yang dia sudah berkedut.
"Mak Mir perempuan paling cantik dalam dunia," umum Mirza. Dia memeluk erat pinggang emaknya.
"Mir sayang mak."
"Betul Mir sayang mak?" soal Raudhah.
Mirza mengangguk.
"Nanti dah besar, ada isteri, dah tak ingat kat mak lagi," usik Raudhah, sengaja menduga anaknya.
Mirza menggeleng pula.
"Tak! Mir nak mak!" laung Mirza seakan-akan merajuk. Dia menenyeh muka ke baju buruk emaknya dengan manja.
"Si Mirza ni agaknya kalau boleh, nak duduk dalam kain kau saja, Raudhah. Dia nak melekat dengan emaknya," luah Suraiya sambil menujah kepala bulat Mirza dari belakang dengan perlahan.
Adakalanya Suraiya rasa geram melihat si kecil itu. Kalau emaknya pulang ke rumah, becok mulutnya bertanya bila emaknya akan datang semula meskipun dia sudah sedia tahu yang Raudhah sentiasa kembali keesokan harinya. Tak kesahlah kalau Raudhah sakit ataupun hujan lebat ribut petir sekalipun, emaknya akan tetap datang menjenguknya.
"Tahun depan, nak masuk pra-sekolah, tak boleh manja-manja macam ni lagi tau. Nanti cikgu marah," luah Raudhah.
"Tak nak pergi sekolah, nak duduk dengan mak," luah Mirza, bersungguh-sungguh. Dia mahu bekerja dengan emak. Kalau dia ada duit, dia boleh menyara emak. Dia boleh buat semua kerja emak di rumah itu. Jadi, emak boleh duduk berehat. Mudah otak Mirza berpusing. Dia belum faham pentingnya pelajaran untuk mencorak masa depannya. Dia belum tahu yang emaknya menyimpan harapan agar dia berjaya ke menara gading.
"Kenapa nak duduk dengan mak? Nanti macam mana nak jadi pandai? Tak mahu masuk universiti?" soal Raudhah.
Mirza menggeleng.
"Mir nak kerja. Nak jaga mak. Mir tak mahu pergi sekolah," balas Mirza. Raudhah mengucup ubun-ubunnya.
"Mir, kalau Mir sayang mak, Mir kena pergi sekolah. Mir kena belajar rajin-rajin. Nanti Mir dah keluar universiti, dapat kerja, baru boleh cari rezeki untuk jaga mak," pujuk Raudhah.
"Nanti kalau mak sakit, siapa nak jaga mak?" soal Mirza.
"Sekarang mak kuat lagi, mak boleh jaga diri sendiri. Sebab tu Mir kena pergi belajar sementara mak masih sihat. Nanti mak dah tua dan dah tak larat, siapa nak jaga mak?"
"Mir jaga mak," balas Mirza.
Raudhah tersenyum.
"Pandai pun," ucapnya.
"Kau ni, Mir. Sana, cari mak. Sini, cari mak. Cuba berdikari sikit. Pergilah main dengan budak-budak lain tu. Tengok Si Wahyu, elok saja main. Kau ni asyik kerja menempek dekat dapur ni. Orang nak kerja pun susah," bebel Suraiya.
"Mir tak kacau Tok Aiya pun," balas Mirza, mencebik.
"Mak Cik Aiya! Apa Tok Aiyanya? Aku belum cukup tua lagi. Hish, sekali tempeleng!" ugut Suraiya.
"Hish! Suka marah-marah. Sebab itulah cepat tua. Tengok mak Mir, tak tua pun," bebel Mirza sambil menghentak-hentak kaki tembamnya. Dia melangkah keluar, menuju ke halaman depan, melihat budak-budak lain sedang bermain.
Raudhah yang tadi sedang dirundung duka terus
tergelak. Risaunya pergi. Cemburunya mati. Anak itu ubat hati yang terbaik buatnya. Dia menguntum senyuman tanpa dipaksa-paksa. Benarlah kata seluruh penghuni di situ, Mirza anak syurganya. Tak pernah Raudhah ke sana tanpa menguntum senyuman sebaik saja ternampak Mirza sudah ternanti-nanti di depan pintu rumah. Tak pernah sehari Mirza terlupa untuk menunggu emaknya.
Pernah sekali, Mirza demam panas sehinggakan terlalu lemah untuk bangkit daripada katil. Dia merangkak turun apabila tak siapa perasan biarpun sudah berkali-kali mereka melarang. Dia mengengsot sampai ke gril depan, menunggu emaknya datang dengan mata bengkak kemerahan dek tak mampu tidur semalaman. Selepas Raudhah tiba, barulah dia mahu lena di dalam pelukan emaknya.
"Eh, Kak Ayu! Kenapa nangis ni?!" soal Mirza sewaktu melihat Wahyu sedang duduk memeluk pahanya, menangis tersedu-sedan.
"Irwan bagi putus tangan dia," luah Wahyu sambil menunjukkan patung beruangnya yang sudah cacat, terputus tangannya.
"Wan, apa pasal kau suka usik akak aku?!" tengking Mirza sebelum cuba menyondol perut Irwan dengan kepalanya.
Irwan yang jauh lebih besar daripada Mirza hanya menadah kepalanya dengan sebelah tapak tangan. Kawan-kawannya yang lain mengetawakan Mirza.
Mirza terus menggigit tangan Irwan sampaikan budak itu mengaduh. Irwan melawan. Dia menempeleng Mirza sampai terjatuh ke tepi sebelum memeriksa kesan gigitan di tangannya. Mirza bangun berdiri semula, langsung tidak menangis biarpun ditempeleng. Pipinya membusut tinggi, bengkak.
"Mir!" panggil Wahyu. Dia menarik dan memeluk adiknya. Patung beruangnya sudah dibuangkan ke tepi. Mirza membalas pelukannya.
"Jangan!" tempik Wahyu sewaktu Irwan mahu merapati mereka, masih geram kerana gigitan Mirza. "Kau sentuh adik aku, aku beritahu mak! Aku beritahu Mak Cik Aiya! Aku beritahu Ibu Fauziah!" ugut Wahyu.
Irwan menuding jari ke arah Mirza bagaikan sedang mengugut. Kemudian, dia melangkah masuk bersama kawan-kawannya semula.
"Sakit?" soal Wahyu sambil melihat pipi adiknya.
Mirza menggeleng, menipu. Dia menguntum senyuman meskipun pukulan Irwan berbekas di pipinya. Dia mengambil semula patung beruang Wahyu. Safety pin yang dikenakan pada poketnya yang berlubang dibuka dan dipakaikan pada teddy bear Wahyu. Ia dikembalikan kepada kakaknya.
"Sayang adik," ucap Wahyu. Dia memeluk Mirza.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co