Truyen3h.Co

Dendam Cinta

Bab 12

karyaseni2u

TEPAT jam tiga setengah pagi, Dyla bangun sendiri untuk bersiap ke surau. Berqiamullail. Dia berjalan seorang diri kerana yang lain masih belum bangun. Letih barangkali. Sewaktu lalu di hadapan chalet Alfan, pintu bilik lelaki itu sudah sedia terbuka. Lelaki itu kelihatan bersongkok dan berkain pelekat. 'Untuk ke surau juga ke?'

Dyla buat tidak nampak. Alfan juga tidak menegur. Masing-masing berjalan ke destinasi yang sama – surau. Walaupun jalan bersebelahan, tidak seorang pun yang bersuara.

Selesai berwuduk, Dyla menunaikan solat tahajud dan istikharah. Dia cuba tahan diri, tetapi air mata tidak mahu berhenti. Empangan pecah barangkali. Pecah hancur berderai bersama hatinya, mungkin?

Angin yang meniup langsir tempat pembahagi ruangan lelaki dan perempuan mengizinkan Dyla untuk melihat kelibat Alfan yang sedang menadah tangan berdoa. Entah khusyuk entahkan tidak.

Dyla pelik bila terlihat lelaki itu mengelap matanya. 'Kenapa dengan dia? Menangis ke?'

Hanya sekali itu dia nampak kelibat Alfan. Kemudiannya ada beberapa pelajar mulai masuk ke dalam surau. Semakin lama semakin ramai.

"LEPAS ni, kita breakfast. Habis breakfast, pinggan cawan minta tolong cuci sendiri. Makanan jangan tak habis. Jangan ada pembaziran. Kalau saya nampak ada sisa, siap kau orang. Sampah! Jangan buang merata." Suara Amir kuat bergema di kantin.

Masing-masing ada yang meletakkan pipi di atas meja. Mengantuk! Ada yang menahan kepala dengan tangan, ada yang menguap entah kali ke berapa.

Dyla hanya merenung makanannya. Teh O panas diletakkan di sebelah pinggan. Alfan yang duduk berdepan dengannya sesekali menjeling.

Rasa mengantuk yang teramat baru terasa. Dyla sumbat nasi goreng ke dalam mulut. Dirinya hampir separa sedar. Sudahlah tidur lima belas minit saja.

Mata Alfan memandang Dyla tajam. Adilah dan Saadah yang berada di kiri kanan Dyla, seram melihat Alfan. Tenung orang macam nak telan!

Dyla capai cawan kertas. Terus dihirupnya tanpa melihat.

"Ahhh!" Cawan terlepas daripada tangan. Air teh tersimbah di baju dan tangannya. Lidahnya perit. Alfan bingkas bangun.

"Mata tu ada, boleh tak guna?" Keras suara Alfan. Dia mendekati Dyla. Tisu ditarik kasar daripada kotak. Tangan Dyla dilap dengan tisu pada saat lututnya mencecah lantai bersebelahan Dyla. Lantas gadis itu menarik tangannya.

"Tangan tak kena kulit awak pun, lah!" Sisa marah masih jelas dalam suara Alfan.

"Sakit tak Dyla? Kau nak pergi klinik?" tanya Saadah yang risau.

Alfan bangun dari melutut. Lengan Dyla ditarik supaya bangun daripada kerusi. Dyla yang lemah terikut bangun. Entah ke mana lelaki itu melangkah, Dyla hanya mengekor. Adilah dan Saadah jongket bahu.

Alfan membuka pintu kereta tempat duduk penumpang.

"Duduk!" perintah Alfan.

Dyla duduk. Kaki dilunjurkan ke luar. Alfan buka pintu tempat duduk belakang. Mencari kotak peti kecemasan yang sentiasa dibawa ke mana-mana.

Alfan melutut sekali lagi di hadapan Dyla. Dyla tenung lelaki itu.

"Awak ni apa? Doraemon? Thumb drive ada, first aid box ada." Dyla bersuara.

"Keperluan. Kalau kau belajar dekat luar, kau sendiri-sendiri. Apa-apa kemungkinan nak jadi, kena fikir. Daripada menyusahkan orang, baik kau simpan sikit kepandaian untuk bersedia dalam apa jua keadaan. Be prepared." Alfan berkata tanpa memandang wajah Dyla. Dia mencari-cari ubat.

Alfan menghulurkan krim kepada Dyla. Tangan Dyla yang sudah merah dipandang. Gigi diketap. 'Boleh tak kau jangan sakit depan aku?'

Dyla mengusap perlahan ubat yang diberikan. Kadang-kadang dahinya berkerut menahan perit.

"Macam mana kau nak buat aktiviti kalau tersentuh sikit pun dah sakit?" Suara Alfan macam marah. Tetapi sebenarnya lelaki itu lebih bernada risau.

"Okey aje ni." Dyla pulas penutup krim. Dia cuba bangun. Alfan cepat-cepat berdiri dan menolak bahu Dyla untuk kembali duduk.

"Aku ada bandage. Balut tangan tu. Kejap lagi pergi tukar baju. Bau teh aje kat kau! Aku pergi inform ketua kau." Alfan terus berlalu pergi.

Dyla hanya mampu memandang belakang tubuh lelaki itu dengan pandangan redup. Air matanya menitis.

'Shah...!' Mahu sahaja dipanggil nama itu, namun tidak kesampaian. Air mata dilap dengan belakang tangan. Selesai membalut kesan curahan air panas, dia bangun dan menutup pintu.

"Kawan-kawan kau akan buat flying fox kejap lagi. Aku dah bagi tahu dia orang, kau tak boleh buat." Alfan yang berada di belakang, mengejutkan Dyla. Tetapi Dyla lebih terkejut dengan penyataan Alfan. 'Aku tak boleh buat?'

"Mind your own business boleh tak? Jangan sibukkan hal orang lain." Dyla terus ke khemahnya untuk mencari baju ganti. Alfan mengekor.

"Aku tolong pun dah kira cukup baiklah."

"Well, saya tak mintak awak tolong saya pun!" Beg baju Dyla hempas-hempas dek marah.

"Tak reti nak ucap terima kasih? Berat sangat mulut tu nak ucap terima kasih?"

Dyla keluar dari khemah dengan mata merah tidak berkelip memandang Alfan.

"Terima kasih! Tapi saya lebih berterima kasih kalau awak langsung tak ganggu saya. You have nothing to do with me!" Dyla melangkah pergi. Alfan ketap gigi.

Kakinya menyadung kaki Dyla hingga gadis itu terjatuh.

Dyla terjerit kecil. Tangannya menggenggam pasir. Sakit hati.

"I am not gonna help this time. But dear, you have nothing to do with me? You are wrong. You are my fiance. Act like one." Alfan terus berlalu pergi.

'Tak guna! Tak guna! Memanglah kau takkan tolong sebab kau yang buat aku jatuh! Tak de sebab kau nak tolong kalau kau yang jadi punca!'

"Dan bila pula saya jadi tunang awak?" jerit Dyla. Namun Alfan tidak menghiraukan dirinya. Dyla gagah bangun sendiri. Terasa sakit di lututnya. Tidak cukup dengan kena simbah air panas, lutut pula luka.

DYLA berlari-lari menyertai rakan-rakannya yang sedang sibuk mendongak ke atas melihat kawan-kawan mereka sedang melakukan aktiviti flying fox.

"Dilah, Adah, kau orang dah buat ke?" Nafas Dyla tercungap-cungap.

"Dah. Eh, kita orang ingat kau tak join tadi. Tangan kau okey?" Saadah membelek tangan Dyla yang berbalut.

"Okey aje. Aku nak naiklah." Dyla terus mendekati Amir yang bertugas.

"Eh, Dyla! Bukan tadi Abang Alfan kata kau cedera ke?" Amir kerut dahi. Keliru.

"Sikit ajelah. Bukannya sakit apa pun. Tangan aje terkena air panas. Bukan senang nak buat flying fox ni. Kat kampus mana ada!" sengih Dyla.

"Sure okey ni?"

"Ya!"

Amir mengangguk dan membenarkan Dyla memanjat tangga hingga ke atas.

Alfan dari bawah hanya memerhati. 'Degil!' bisiknya.

"Amir, abang nak naik." Alfan turut sama menyertai bila Amir mengangguk. 'Sporting gila!'

Azam mengikat tali keselamatan pada tubuh Dyla.

"Dyla, tepi sikit tangan. Azam nak ikat kat pinggang," ujar Azam.

Dyla mengangkat tangan untuk membiarkan Azam yang lebih arif membuat tugasnya.

"Biar abang buat." Alfan mendekati Dyla.

Azam terkebil-kebil. "Eh tak pe, bang. Saya boleh buat."

"Dia tunang abang. Abang tak suka orang lelaki sentuh dia." Keras suara Alfan.

Azam pantas ke belakang. Dyla ketap gigi. Pandangannya mencerlung ke arah Alfan.

Alfan diam sambil tangannya lincah membuat kerja. Kasar caranya.

"Sakitlah!" Dyla sengaja menguatkan suara biar Azam dengar.

"Sakit? Baguslah. Lebih selamat," jawab Alfan.

Dyla menjeling.

"Dah, turun!" Alfan menolak kasar belakang tubuh Dyla bila dia sudah siap memeriksa tali keselamatan.

Dyla langsung tidak memandang Alfan dan terus turun. Bibirnya mengukir senyuman. Tudung bawal ditiup angin yang berhembus.

"Wohooo!!!" jerit Dyla keriangan. Terasa bebas.

"Dylaaa!" Adilah dan Saadah bersorak. Entah kenapa ya... tika buat flying fox, bila turun sahaja, mesti orang lain pun turut menjerit sama. Teruja!

Selesai Dyla, giliran Alfan pula yang kononnya 'terbang'.

Selesai aktiviti flying fox, kesemua pelajar diminta untuk memanjat tembok dan melalui titi berlumpur. Ada yang terjatuh, ada yang selamat. Gelak tawa menghiasi aktiviti mereka.

"Okey, yang ini... kamu kena selam kepala kamu walau macam mana pun." Suara Liyana memberi arahan dengan terang.

Dyla memandang jijik akan apa yang berada di hadapannya. Sebuah longkang besar yang digali, kemudian dicurahkan air. Air pun sudah macam kopi. Di atasnya ada ranting kayu. Paras air hampir dengan ranting itu. Memang kena selamlah cerita dia.

Dyla masuk ke dalam air. 'Baunya... urgh! Bau darah pun ada. Ni mesti sesiapa yang period, masuk sekali ni!' teka Dyla. Habis basah dengan tudung-tudungnya sekali. Elok daripada putih suci, sudah bertukar coklat warna tudungnya.

"Ahhh!" Dyla menjerit. Sakit.

"Kenapa Dyla?" Liyana di atas memandang ke dalam longkang.

"Nothing." Dyla masih meneruskan selamannya. Lutut sakit pun, dia buat bodoh. Sebab memang mereka kena merangkak dalam longkang itu. Lutut amat penting dalam menjayakan aktiviti itu.

Sampai ke destinasi terakhir, ada satu lagi latihan yang mereka perlu jalani. Sebuah kolam besar digali. Ada sedikit air. Semua pelajar diminta masuk ke dalam kolam itu dan naik kembali ke sebelah sana. Dalamnya, tiga kali ganda ketinggian Dyla.

Dyla mengeluh. Lututnya terasa perit. Tadi sudah luka, entah apa yang terjadi selepas menyelam tadi.

Dyla masuk ke dalam kolam dengan sekali lompat. Terpelecok dia dibuatnya. Mujur tiada apa-apa. Dia bangun berdiri.

Alfan di atas sudah bulat mata. 'Perempuan ni gila. Dia terjun sekali lompat aje?'

Alfan turut terjun ke dalam.

"Aku naik dulu, nanti aku tarik kau keluar," kata Alfan.

Dyla menjeling. Dia membantu kawan-kawannya yang lain masuk ke dalam kolam.

Alfan memanjat tebing tanah yang licin. Dua tiga kali, masih gagal. Kali keempat baru dia berjaya naik.

"Dyla! Bagi tangan!" jerit Alfan.

Dyla hanya memandang tangan yang dihulur Alfan dengan pandangan kosong. Ikram di sebelah sudah naik sama dengan Alfan.

"Dyla!" Ikram turut sama menghulur tangan.

Terus Dyla tarik lengan baju panjangnya ke hadapan supaya kulit tidak tersentuh. Tangannya cuba mencapai tangan Ikram. Mata Alfan sudah membulat. Tubuh Ikram ditolak ke tepi lantas Alfan menginjak badan ke hadapan sedikit dan mencapai lengan Dyla. Digenggam kuat lengan itu. Dyla terkesima.

"Naik!" jerit Alfan. Entah jerit marah atau kerana mahu didengari Dyla dek tenggelam dengan suara ramai yang lain.

Dyla tiada pilihan dan terpaksa bantu diri untuk naik ke permukaan kerana lengannya sudah berada dalam genggaman lelaki itu.

"Push yourself!" Alfan membantu Dyla naik.

Dyla cuba sedaya upaya hingga dia selamat naik ke permukaan. Nafas turun naik dek kepenatan. Alfan senyum puas.

"Siapa yang dah naik, terus lari bersihkan diri. Check-point anda di surau. Dalam keadaan dah mandi, wangi dan yang perempuan bawa telekung untuk solat zuhur," arah Liyana.

Dyla memandang ke bawah. Adilah dan Saadah masih di bawah.

"Pergi mandi!" tegas Alfan.

"Adilah dengan Saadah belum naik!" Dyla menentang mata Alfan.

"Dia orang boleh naik sendiri. Kau pergi mandi!" Alfan amat tidak suka arahannya diingkari.

"Not until Adah dengan Dilah naik!" Dyla menepis genggaman Alfan di lengannya dan terus menghulur tangan untuk membantu Saadah dan Adilah.

Alfan gigit bibir bawah. Nak tak nak dia bantu juga dua orang kawan Dyla hingga mereka naik.

"Kak!" jerit Amani. Meminta tolong.

"Kejap!" Jeritan dibalas jeritan. Lengan Dyla sudah sakit.

Alfan sedar perubahan wajah Dyla. Pasti gadis itu menahan perit.

Tangan dihulur buat kali ketiga untuk Amani. Alfan menolak tubuh Dyla ke belakang.

"Pergi mandi!" Kasar tolakan itu. Alfan terus menghulur tangan kepada Amani untuk membantu. Dyla terkebil-kebil.

"Mandi!" tempik Alfan.

Pelajar lain tidak menghiraukan mereka berdua kerana masing-masing mahu selamatkan diri daripada didenda. Siapa yang lambat akan didenda. Itu janji Amir.

Dyla terus bangun untuk melangkah ke bilik mandi.

"Abang Alfan akan tolong Amani, okey?" Dyla serba salah untuk meninggalkan gadis itu.

Amani mengangguk.

Separuh jalan, Dyla berhenti berlari. Lutut yang luka tadi terasa sakit. Dia berpatah kembali. Kelibat Amani dengan Alfan kelihatan sedang berlari.

"Orang suruh mandi, kan?" kata Alfan dengan dahi berkerut.

Dyla lega.

"Awak ingat senang nak tinggalkan kawan kita kat belakang sorang-sorang?" Dyla menarik tangan Amani.

"Tapi senang tinggalkan kekasih sorang-sorang kat belakang." Alfan bersuara.

Dyla terkejut. "Apa maksud awak?"

"Apa?"

"Macam mana awak tahu?"

"Kau yang bagi tahu. Kau pernah permainkan hati orang, kan?"

Amani sudah jauh ke depan. Justeru itu dia tidak dengar panggilan "aku – kau" daripada Alfan.

Dyla ketap bibir.

"Pergi mandi cepat!" Alfan melanggar bahu Dyla hingga membuatkan tubuh gadis itu ke belakang sedikit. Lututnya bertambah perit.

SELESAI mandi, Dyla membelek lutut kirinya. Luka yang tadi sedikit, menjadi lebih besar. Mungkin kerana lututnya terkena benda asing di dalam longkang tadi. Ditambah pula aktiviti-aktiviti lasak yang lain.

Dia membalut lututnya dengan bandage yang diminta daripada Liyana.

"Kaki akak kenapa?" Amani menegur. Dyla lekas-lekas tarik seluar ke bawah.

"Scratch sikit."

"Tapi kenapa sampai berbalut dengan bandage?" Amani merapati.

"Tak de apalah. Sikit aje."

"Cuba Amani tengok?" Amani menyelak seluar Dyla.

Takkan dia hendak tepis serta-merta? Nampak sangat kurang ajar di situ. Akhirnya Dyla hanya membiarkan.

Balutan bandage dibuka. Mulut Amani turut sama terbuka.

"Besarnya luka akak! Kenapa ni?"

"Terlanggar benda dalam longkang tadi kut?"

"Akak boleh jalan tak?"

"Boleh aje. Amani, dah pukul berapa?"

"Satu setengah. Akak! Kita dah lambatlah!" Amani kelam-kabut. Dyla telan air liur.

"Amani pergi dulu. Nanti akak follow." Dyla membalut kembali lukanya.

"Akak tak tinggal Amani tadi, takkan Amani nak tinggalkan akak?" Bibir gadis itu mengukir segaris senyuman.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co