Bab 4
JAM di dinding yang berdetak terasa mengganggu ritma jantung. Airin menggenggam tangan Marsha. Ada ketakutan yang mencekik dirinya saat itu membuatkan remaja itu berpeluh dingin.
"Masuk."
Dua orang remaja itu melangkah masuk. Seperti pesalah, mereka berdiri tegak di hadapan meja peguam tersebut dengan wajah menunduk.
Peguam itu terlihat berkerut saat matanya melihat satu wajah yang cukup dikenalnya.
"Marsha?"
"Hai, Uncle Ali." Marsha tersenyum canggung memandang ayah 'bekas' kawan baiknya.
"Duduklah." Peguam berusia 50-an itu mempersilakan mereka duduk. Matanya menatap Marsha yang sudah dianggap seperti anak sendiri. "Kenapa datang sini? Nak minta uncle jadi peguam ayah ke?"
Marsha menggeleng-geleng laju.
"Bukan, Marsha datang sebab nak teman kawan," ucap Marsha sambil menunjuk ke arah Airin di sebelahnya.
Encik Ali memandang Airin dengan pandangan ramah. "Assalamualaikum, saya Encik Ali. Nama kamu siapa?" Dia menyapa ramah remaja di hadapannya itu. Lama dia menatap remaja itu. Sepertinya dia sudah dapat menduga tujuan Airin datang ke sini.
"Nama saya Airin Husna," ucap Airin takut-takut.
Encik Ali mengangguk-angguk.
"Airin. Ada apa yang boleh saya bantu?"
Airin menggenggam tangan Marsha lebih kuat. Jantungnya berdegup kencang. Trauma yang menghantuinya membuat gadis itu menangis. Tangannya mengusap-usap perutnya yang sarat mengandung. Dengan saki-baki keberanian yang ada, Airin mencuba sedaya upaya menceritakan pengalaman lukanya. Bagaimana menyakitkannya kerana tiada tempat berlindung, dipaksa berkurung di rumah, semuanya diceritakan tanpa ada satu pun yang tersisa.
"Jadi, kamu nak tuntut ayah kamu?"
Airin mengangguk membenarkan. "Macam mana prosedur dia ya?"
"Kamu dah pernah buat laporan polis?"
"Belum. Belum pernah..." Airin menggeleng-geleng.
Encik Ali tampak mengangguk-angguk tanda faham dengan jawapan Airin.
"Macam inilah. Nanti, kamu buat laporan polis dulu. Kemudian, baru pegawai penyiasat akan buka kes ni." Encik Ali berhenti sejenak, mengeluarkan sekeping kertas kecil berukuran tangan. Dia menghulurkannya kepada Airin. "Lepas tu, kamu boleh contact saya. Kita selesaikan kes ni sama-sama."
Airin menyambut kertas kecil itu.
"Terima kasih, encik."
Remaja itu menundukkan kepalanya sebelum melangkah keluar dari pejabat guaman itu bersama Marsha. Saat ini, segaris cahaya mula tampak menerangi dunianya yang kelabu.
MALAM itu, cuaca di Kuala Lumpur bersahabat. Guruh berdentum-dentum diikuti hujan lebat membasahi kota metropolitan itu. Seolah-olah ikut merasakan kegundahan yang bertapak dalam hati Marsha.
Untuk kesekian kalinya, Marsha memicit dahinya yang terasa berdenyut. Di hadapannya, berselerak segala macam dokumen yang semuanya tidak jauh antara satu sama lain, berkisarkan wang. Gadis itu menyeluk poketnya. Matanya tampak sayu melihat sekeping RM 50 di tangannya. Hanya itu yang tersisa untuk saat ini.
Jika dilihat pada riwayat telefonnya, sudah kurang lebih 10 orang dihubunginya untuk meminta kerja. Namun, tidak ada satu pun yang mahu menerimanya. Mungkin faktor usia Marsha yang baru mencecah angka 15.
Fokus gadis itu teralih saat mendengar bunyi pintu utama dibuka. Kepalanya dijengukkan sedikit dari ruang santai. Mencari tahu individu yang pulang pada masa selewat satu pagi ini.
"Marsha, belum tidur lagi?" Wanita muda berpakaian jururawat dengan tag nama 'Juwita' itu menyapanya ramah.
Marsha menggeleng-geleng. "Belum, kak. Ni Marsha tengah sibuk cari kerja. Tapi diorang semua tak nak ambil Marsha." Marsha berbicara dengan wajah sugul.
Juwita yang mendengar ikut merasa hiba. Dia boleh mengerti perasaan gadis itu. Sebelumnya, Juwita juga sudah pernah merasakan kesusahan mencari kerja. Itu ketika usianya 20 tahun. Hal itu pasti lebih susah bagi Marsha yang berusia 15 tahun, memandangkan usianya yang masih sangat muda.
"Sebenarnya, akak tahu satu tempat ni yang memang terdesak sangat nak cari pekerja. Tapi tak tahulah Marsha nak ke tak." Juwita memandang Marsha ragu-ragu.
Marsha berkerut. "Kenapa pula tak nak? Kerja apa tu kak?"
"Yalah. Marsha dulu kan orang kaya. Ada hotel. Cawangan tiap-tiap negeri. Jadi akak tak tahu nak cakap atau tak."
Marsha menundukkan wajah. Ya, Juwita tidak salah bahawa ayah Marsha memang pernah menjadi korporat kaya raya. Tapi itu dulu. Mengapa hal itu menjadi kekurangannya? "Yang kaya tu ayah Marsha, kak. Marsha tak kaya," jawabnya.
"Jadi Marsha okeylah nak buat kerja apa-apa pun?" Juwita bertanya terkejut. Jarang sekali ada anak konglomerat yang berfikiran begitu. Selalunya, sudah jatuh miskin pun, masih mahu tunjuk lagak.
"Asalkan halal, apa salahnya? Jadi, kerja apa tu kak?"
"Cleaner kafe kat hospital akak. Marsha nak?"
Senyuman Marsha pudar saat mendengar itu. Menjadi pembersih kafe, bermaksud dia harus membersihkan dapur juga. Harus setiap hari melihat orang menggunakan api untuk memasak. Dia tidak bersedia untuk itu. "Kena bersihkan dapur juga ke?"
Juwita berkerut, tetapi kemudian dia tersenyum. Tidak. Masih terlalu awal untuk dia mengatakan gadis di hadapannya ini geli dengan kerja dapur. Mungkin ada alasan lain dia bertanya begitu. "Taklah. Dapur ada cleaner dia sendiri. Marsha bersihkan tempat orang makan-makan je."
"Bolehlah kalau macam tu. Macam mana nak apply?"
"Nanti akak cakap dengan manager kafe tu. Esok Marsha datang je interview."
Marsha bangun daripada duduknya. "Terima kasih, kak! Terima kasih sangat. Marsha doakan akak selalu bahagia, sihat, sejahtera, semualah..."
Juwita hanya tertawa melihat tingkah Marsha yang sudah seperti adiknya sendiri. Walaupun terlihat kuat, ternyata jiwa gadis muda itu benar-benar berusia 15 tahun.
DARI jauh sudah kelihatan Marsha yang berjalan santai menuju ke kantin. Gadis itu kelihatan sugul, sama sekali tidak tersalut emosi positif.
"Assalamualaikum, puan." Marsha menunduk hormat saat terserempak dengan puan pengetua. Itu adalah adab yang diajarkan kepada setiap pelajar SMK Netra Kirana.
Wanita berusia 50-an itu tersenyum memandang atlet kebanggaan sekolah itu. "Marsha, apa khabar?"
"Baik, puan." Marsha tersenyum.
Puan pengetua mengangguk-angguk. Tangan beliau bergerak mengusap bahu Marsha. "Nanti kalau ada apa-apa masalah bagi tahu cikgu, ya?"
Marsha mengangguk. Dia memerhatikan langkah wanita itu yang semakin menjauh. Gadis itu kemudian berjalan menuju ke kantin
"Terima kasih, mak cik." Marsha mengambil mi kari dari kaunter kantin dengan berhati-hati. Gadis itu berjalan perlahan. Matanya melilau mencari meja kosong untuk diduduki.
"Lin, sini-sini!"
Terdengar, suara seorang pelajar memanggil rakannya dari salah satu meja. Seketika, terdetik rasa rindu dalam hati Marsha. Dulu, dia juga begitu.
Rasanya masih terngiang bagaimana tawa Chayra dan Reena menyambut sendaannya. Bagaimana mereka selalu meluangkan masa ketika waktu rehat sejak di tingkatan satu. Bagaimana mereka menepis kata para pelajar yang mengatakan mereka bersahabat atas dasar status.
Dulu, dia fikir kata-kata mereka tidak berasas. Sama sekali dia tidak menyangka bahawa persahabatan tiga tahun itu boleh terlerai dan kini dirinya terbuang jauh ke longkang tepi kantin ini. Marsha pasti, mereka membuangnya bukan kerana ayahnya seorang penjenayah, tetapi kerana dia tidak punya apa-apa harta lagi untuk dibanggakan.
Marsha mengusap perlahan air matanya yang mengalir. Hari ini, dia sudah berjanji untuk tidak menangis. Mi kari di dalam mangkuknya dimakan penuh selera.
"Sedap ke?"
Marsha menangkap suara yang cukup dikenalnya. Suara yang membuat kemarahannya naik berapi-api. "Kau tak ada duit ke tak ada lidah?" Marsha memandang Reena tajam.
"Wow... Takutnya. Mana saya awak? Jatuh miskin terus jadi kasar?" Chayra tertawa kecil di hujung katanya.
Marsha membuang pandangan. Benci memandang wajah mereka. Dia meneruskan aktivitinya. Beriak seolah mereka tidak ada.
"By the way, semalam kau jumpa Uncle Ali kan? Nak tolong kawan?"
Marsha terdiam. Dia meneruskan kunyahannya. Berpura-pura tidak mendengar kata-kata Chayra.
"Well, aku sebenarnya tak percaya cerita kawan kau tu. Jangan-jangan, dia yang liar. Orang miskin ni bukan boleh percaya sang..."
Kata-kata Reena terhenti di situ kerana mi kari milik Marsha sudah mendarat sempurna mengotori tubuh gadis itu. "Jaga mulut kau!"
Seisi kantin kini terfokus dengan pertengkaran mereka.
Mereka berdua terlopong melihat baju Reena yang saat ini sudah tidak putih lagi. "Kau!"
"Apa?!" Marsha menengking.
"Nasib baik aku buang kau. Anak criminal memang perangai tak semenggah."
Wajah Marsha merah padam mendengar kata-kata Chayra.
"Kau cakap apa?!" Marsha menolak tubuh gadis itu.
"Kalau berani ulanglah lagi sekali!"
Chayra mempamerkan muka menyampah.
"Ayah kau tu..."
"Marsha! Chayra! Reena!"
Pertengkaran mereka terhenti di situ.
"MACAM mana sekolah berprestij macam SMK Netra Kirana ni boleh biarkan kes buli macam ni berlaku?"
Encik Azman, bapa Chayra masuk ke dalam bilik disiplin dengan kemarahan berapi-api. Sorot matanya yang tajam jelas menunjukkan kebencian yang amat sangat.
Matanya menatap ke arah Marsha. Sejak awal, dia memang sudah prejudis terhadap gadis itu memandangkan dia dan Dato' Azlan merupakan pesaing perniagaan. "Seorang atlet tak sepatutnya menggunakan kemahirannya untuk menindas yang lemah. Saya nak pelajar ni dihukum seberat-beratnya."
"Sabar, encik. Jangan buat keputusan terburu-buru. Kita tunggu kedatangan ayah Adreena dahulu." Guru disiplin itu bersuara, cuba terlihat rasional. Dia memandang ke arah salah satu guru muda yang ada di situ.
"Mana ayah Adreena?"
"Tadi saya dah telefon, dia cakap dia tak boleh datang sebab ada perbicaraan kat mahkamah. Katanya, dia minta puan mewakili dia."
Guru disiplin itu mengangguk-angguk. Dia berjalan kembali menghampiri Encik Azman.
"Encik Ali tak dapat datang kerana urusan kerja. Saya akan mewakili dia." Wanita itu duduk di salah satu sofa di bilik disiplin itu.
Setiap orang di situ dipandang dengan saksama. Matanya berhenti pada dua orang pelajar yang berperanan sebagai 'mangsa' di situ.
"Boleh kamu berdua ceritakan apa yang berlaku? Bermula dengan Adreena."
Reena memasang tampang sedih. "Sebenarnya, saya pun tak tahu kenapa dia tiba-tiba mengamuk. Tadi, saya nampak dia makan seorang kat longkang. Jadi, saya pun tegurlah. Saya gurau aje. Tapi tiba-tiba dia melenting dan tuang kari ni kat saya." Gadis itu berbicara dengan wajah polos. Di hujung kata, dia menunjukkan baju putihnya yang sudah kotor terkena mi kari.
Guru disiplin itu mengangguk-angguk.
"Chayra?"
"Saya pun sebenarnya tak adalah niat nak cari gaduh. Tujuan asal saya sama dengan Reena, nak gurau-gurau. Tapi bila dia tiba-tiba marah Reena, saya bela Reena. Tapi lepas tu dia tolak saya. Saya pun tak tahu apa yang dia tak suka sangat dengan saya."
"Puan dah dengar kan apa yang dia orang cakap? Budak ni memang panas baran! Saya cadangkan puan gantung dia. Biar dia sedar," ujar Encik Azman emosi.
"Sabar, Encik Azman. Kita dengar dulu sudut pandang Marsha."
"Buat apa kita nak dengar pendapat pelaku? Dia mestilah akan bela diri dia!" Encik Azman terlihat berkeras dengan pendapatnya.
"Tak apa Encik Azman." Puan pengetua menyampuk, sambil kepalanya mengangguk sekilas. Satu isyarat yang difahami oleh Marsha.
"Masa saya makan tu, tiba-tiba dia orang datang kat saya. Dia orang datang dengan muka sinis. Hina saya. Hina ayah saya. Dia orang cakap ayah saya criminal."
"Dia orang tak salah." Encik Azman memotong kata-kata Marsha, membuat kemarahan Marsha semakin membuak-buak.
Gadis itu menjeling tajam.
"Saya ada seorang kawan yang mengandung disebabkan ayahnya seorang pedofilia. Tapi dia orang tuduh kawan saya mengandung sebab berperangai liar." Marsha berhenti sejenak sebelum menyambung kata-katanya.
"Menurut puan, tuduhan kurang ajar macam tu gurauan atau bukan? Puan rasa, perbuatan dia orang hina ayah saya, itu satu gurauan?"
"Tak puan kita orang tak cakap macam tu. Dia tipu untuk tutup kesalahan dia." Reena cepat-cepat menafikan kata-kata Marsha.
Guru disiplin itu menghela nafas. Berniat memberi pendapat, sebelum kata-katanya dipotong oleh puan pengetua.
"Marsha, terlalu berlebihan untuk kamu tuduh kawan kamu cakap macam tu."
"Cih!" Marsha membuang pandangannya.
"Dan kalaupun itu betul, kata-kata dia orang tak buat kamu terluka sikit pun. Kamu masih boleh berjalan dengan baik, bercakap dengan baik. Lebih-lebih sangat kalau kamu sampai tolak, simbah kawan kamu dengan mi kari."
Marsha terlopong mendengar kata-kata itu. Tidak menyangka penjelasannya akan setidak rasional itu.
"Lagipun, macam apa yang Encik Azman cakap, sebagai seorang atlet, kamu tak boleh menggunakan kemampuan kamu untuk menindas orang lain. Itu menunjukkan kamu tak profesional sebagai seorang atlet."
Saat ini kata-kata yang keluar dari mulut wanita itu seperti menghunjamnya. Membuatnya terdiam tidak berkata-kata.
"Kamu dah melakukan dua pelanggaran. Sebagai pelajar dan sebagai atlet. Kerana itu, kamu dijatuhkan hukuman cuci tandas selama sebulan."
Kata-kata wanita 50-an itu terhenti di situ. Marsha sudah tak kuasa menahan kesabaran.
"Puan hukum saya? Macam mana dengan dia orang?"
"Tak ada bukti konkrit dia orang cakap macam tu kat kamu."
Marsha tercengang. Ada rasa kecewa yang menjalar dalam jiwanya.
"SMK Netra Kirana? Ya, mungkin kirana kalau dilihat dengan tunanetra, tapi tidak dengan nuraga."
"EOMMA, na musowo. Jinjja musowo." Lelaki itu berbicara dengan air mata deras membasahi pipinya. Dia memegang dadanya yang terasa sakit kerana ketakutan yang mencengkam.
Marsha menghentikan video di komputer ribanya. Tangannya mencapai tisu di sebelah. Adegan yang sungguh meruntun hati itu berjaya membuat air matanya mengalir.
Sejauh ini, drama Korea memang selalu menjadi pelarian saat Marsha berhadapan dengan saat-saat sulit. Sejak dulu selalu begitu. Bukan tanpa alasan, tetapi jika menonton drama Korea, dia jadi punya alasan untuk menitiskan air mata sepuasnya tanpa perlu memberitahu alasannya.
Ya, kedengarannya menyedihkan. Tapi setidaknya lebih baik jika orang berfikir Marsha mudah terbawa perasaan berbanding dia harus membongkar masalahnya. Itu akan jadi pisau tajam yang menghancurkan hari-harinya.
Tok... Tok... Tok..
Pintu terbuka perlahan. Dapat dilihat, Airin berdiri di ambang pintu.
"Eh, Airin." Marsha menghapus air matanya. "Masuk, masuk."
Airin kelihatan bimbang. Dia berlari menghampiri Marsha. Matanya meneliti setiap inci wajah Marsha.
"Kenapa awak nangis?"
Ada rasa hancur yang muncul dalam diri Marsha saat ditanya begitu. Benteng pertahanan yang sejak tadi dibina tinggi-tinggi rasanya kini sedikit terhakis. Menyisakan rasa sesak yang mencekik.
Marsha menundukkan wajah. Mencuba mengukir senyum.
"Scene K-drama ni sedih sangat."
Pada akhirnya Marsha akan mengatakan itu. Seperti selalu. Dia tidak mahu ada orang yang mengetahui masalahnya.
Airin tergelak kecil. "Awak tengok K-drama tak pakai subtitle?"
Marsha tersenyum. Akhirnya ada topik lain yang dibuka. "Tak. Sebab saya ada masuk kelas bahasa Korea. Sekarang dah fasih."
Airin terlopong. Terkejut. Jarang sekali dia bertemu orang Melayu yang boleh berbahasa lain selain daripada bahasa Melayu dan Inggeris. Lebih mengejutkan, orang itu semuda Marsha.
"Kenapa?" Marsha bertanya dengan wajah menahan tawa melihat ekspresi Airin. Rasa sedihnya terhakis sedikit. Ternyata benar, bersahabat dengan orang polos itu menghiburkan.
"Hebatnya Marsha!"
Marsha tersenyum bangga. "Well, this is Marsha Adlina. Minggu depan saya nak ambil TOPIK, doakan tau!"
Airin bertepuk tangan kagum. "Mesti," ucapnya yakin.
"Teringat masa saya kecil-kecil. Dulu, masa saya kecil, ayah saya hantar saya kat international school. Macam-macam bahasa saya belajar. Jepun, Mandarin, Belanda," Airin berhenti sejenak. Suaranya menjadi lebih berat. "Tapi sekejap aje. Sampai umur saya 11 tahun. Lepas tu..."
Kata-kata Airin terhenti di situ. Satu per satu air mata jatuh membasahi pipi remaja itu. Gugur, seperti bunga tika musim gugur.
Detik itu juga Marsha ikut merasa remuk. Jika tadi kerana dirinya, kini kerana cerita Airin. Rasa marahnya membuak-buak. "Awak dah report ke?"
Airin mengusap air matanya. "Saya tak peduli kalau orang cakap saya anak derhaka. Saya dah report tadi." Senyum terukir di wajah sembap gadis itu.
"Sebenarnya saya nak cakap pasal nilah tadi," ucapnya gusar.
"Tapi, saya belum dapat bukti yang cukup untuk paksaan gugur. Doktor tu tak nak bagi kerjasama."
"Macam mana kalau dakwaan tu ditolak?" Air mata yang mengalir di wajah Airin benar-benar menggambarkan tekanan yang dihadapi ibu muda itu.
Marsha memeluk Airin. Melihat keadaan Airin yang runtuh itu melukainya. Mengingatkannya kepada dirinya sendiri. "Kita cuba pujuk doktor tu sama-sama. You will survive. You have to."
PERSIDANGAN pertama terhadap Dato' Azlan kini sudah selesai. Lelaki itu kini berjalan sambil pihak polis mengiringinya. Saat melangkah keluar dari dewan persidangan, cahaya kamera dan kerumunan para wartawan terlihat meramaikan kawasan mahkamah.
Dari jauh, Marsha berjalan memerhatikan ayahnya. Air mata membasahi pipi gadis yang memakai topi hitam itu. Rasanya dia ingin sekali mendekati ayahnya dan memberi sokongan moral. Tapi keramaian media membuatnya takut dan diam memerhati dari jauh.
Hingga mereka menjauh dari para wartawan, barulah Marsha mendekati ayahnya, meminta izin untuk berbicara.
Di sebuah ruangan kecil, dua manusia itu bertemu. Marsha menundukkan wajah. Mencuba meredam air matanya.
"Ayah apa khabar?" Marsha berbicara dengan suara berat. Membuat Dato' Azlan sesak mendengarnya.
Dia memandang puterinya sayu. "Sepatutnya ayah yang tanya. Maaf, sebab ayah kakak jadi susah."
Marsha terdiam. Tidak mampu mengungkapkan apa yang di benaknya saat ini. 'Kenapa ayah minta maaf? Cakaplah sebenarnya ayah kena paksa. Ayah tak rela. Kenapa ayah tak cakap macam tu kat Marsha?' Fikiran-fikiran itu terus bermain dalam mindanya.
Keheningan menguasai suasana. Selama beberapa minit, mereka berdua larut dalam perasaan masing-masing. Marsha sedar masanya bersama ayahnya tidak tersisa banyak. Ada terlalu banyak perkara yang ingin diungkapkan olehnya. Tetapi, entah mengapa, mulutnya terkatup begitu saja.
"Kakak sebenarnya tak tahu sama ada ayah rela atau tak buat semua ni. Apa motif ayah? Kakak tak pernah tahu," ucap Marsha memecah keheningan. Dia memandang lelaki itu dengan wajah berpura-pura tegar.
"Cuma, apa pun alasannya, kakak harap ayah boleh renung balik nanti. Kejadian ni, kita jadikan pengajaran untuk jadi versi yang lebih baik."
Mulut Dato' Azlan terkatup mendengar kata-kata anaknya. Ada satu luka dalam yang tidak mampu diungkapkan olehnya dengan kata-kata.
Polis datang, "Masa dah habis!"
Marsha berdiri. Mempamerkan senyum paling bahagia bagi menutup kesedihan. "Kakak balik dulu ya, ayah."
Remuk hati Dato' Azlan melihat senyuman Marsha. Gadis itu terlalu mempedulikan orang lain, sehingga membiarkan dirinya sendiri berada dalam luka. "Marsha jaga diri baik-baik. Ayah sayang Marsha. Anak ayah yang terbaik."
Mendengar itu, air mata Marsha sudah tidak boleh ditahan lagi. Dia mengangguk dengan senyum dan air mata secara bersamaan menghiasi wajahnya.
Tangan Dato' Azlan segera digari. "Jumpa lagi ya," ujarnya sebelum berlalu pergi.
Marsha terjatuh. Air matanya mengalir lagi. Tanpa sesiapa di sisi, gadis itu merasakan dirinya hancur tanpa sisa.
TENGAH HARI itu, Pusat Pengajian Bahasa Dan Linguistik Universiti Kebangsaan Malaysia dipenuhi oleh manusia daripada pelbagai lapisan usia. Masing-masing kelihatan tegang, memandangkan dalam jangka masa dua jam, kertas peperiksaan TOPIK akan sampai ke tangan mereka.
Marsha melangkahkan kaki ke fakulti itu dengan hati berdebar-debar. Peluh membasahi pelipisnya. Ada ketakutan yang menguasai dirinya kala itu.
Tangannya mencapai buku dari dalam beg. Mencuba memantapkan persediaan di masa-masa yang tersisa.
"Marsha."
Satu suara yang terdengar meremehkan membuat Marsha menoleh. Orang itu lagi. Dia sudah menduga.
Chayra menghampiri gadis itu dengan senyuman sinis. "Kau buat apa kat sini?"
Marsha tergelak sarkastik. Lagi-lagi soalan pura-pura polos seperti itu. "Kau tak ada cara lain ke nak cari gaduh? Klise betul."
"Oh, ya. Kau mestilah datang nak ambil TOPIK." Chayra mengangguk-angguk. Dia melangkah mendekati Marsha. "Tapi buat apa? Kau bukan ada duit pun nak sambung belajar kat Korea."
Panas telinga Marsha mendengar kata-kata itu. Ingin rasanya tangannya menampar Chayra. Tetapi dia sedang tidak punya tenaga untuk bertelingkah.
Gadis itu akhirnya berlalu begitu saja tanpa mempedulikan Chayra. Dia tidak mahu semua usahanya selama ini sia-sia kerana perdebatan tidak penting yang mengganggu emosi.
Marsha mengatur nafasnya sejenak. Terdengar, pengumuman yang mengarahkan para calon untuk segera masuk ke dalam dewan peperiksaan.
Marsha melangkah perlahan. Mengikuti arus perjalanan orang di sekitarnya yang tentu saja punya tujuan yang sama.
Hingga,
Deg!
Langkah kaki Marsha terhenti.
'Kau bukan ada duit pun.'
Kata-kata itu terus memenuhi ruang kepalanya. Membuatnya ketakutan. Gadis itu tertunduk.
Marsha memejamkan matanya sebentar. Mencuba mencari harapan di tengah kegelapan. Kakinya melangkah maju memasuki dewan peperiksaan.
Well, no one can predict the future.
"Persidangan ditangguhkan." Ketukan tukul hakim menutup sidang pada pagi itu. Sebaik sidang ditutup, Marsha dan Airin berjalan keluar dari dewan persidangan.
Saat itu, terdengar bisik-bisik sumbang orang di luar mahkamah.
"Tak sangka kan budak-budak zaman sekarang. Umur baru 17 tahun dah pandai fitnah bapa sendiri."
"Alah, mesti budak tu memang jenis liar! Kalau betul macam apa yang dia cakap tu, mana dia berani nak tuntut bapa dia. Keluar rumah pun tak berani."
Sesaat selepas itu, terdengar ilai tawa keluar dari mulut wanita-wanita itu. Airin tertunduk, berusaha menahan tangisnya daripada tumpah. Gadis itu memegang kuat tangan Marsha yang saat itu sedang memandang tajam ke arah wanita-wanita itu.
"Airin."
Langkah kaki Airin terhenti saat suara garau itu memanggil namanya. Seketika, ketakutan menguasai segenap tubuhnya. Memori-memori itu, semuanya muncul serentak. Membuat kepalanya serasa ingin pecah.
Perlahan, badan remaja itu berbalik. Matanya menangkap seorang lelaki memakai baju banduan dari kejauhan. Sorot mata keangkuhan masih terlihat jelas di wajahnya.
Kini, lelaki dewasa bersut hitam di hadapannya ditatap. Salah satu orang kepercayaannya dahulu. Sebelum orang itu juga mengkhianatinya.
Satu sampul tebal dihulurkan oleh setiausaha ayahnya itu. "Apa ni?" Airin bertanya bingung.
"Airin tarik balik tuduhan itu."
Dua sahabat itu terlihat tersentak. Airin meramas kuat tali begnya, sementara Marsha memasang wajah kesal. Gadis itu berniat mencaci-maki sebelum Airin menahannya.
"Airin tak nak!" ucap Airin tegas, membuat lelaki itu mengukir senyum sinis.
"Airin dah dengar kan apa orang cakap? Kita orang tengah bagi Airin peluang."
Airin mengepal tangannya. "Apa? Yang Airin budak liar? Airin fitnah bapa sendiri?" Gadis itu berbicara dengan nada emosi. "Airin ada baby ini untuk buktikan. Buat ujian DNA lepas tu..."
"DNA?" Lelaki itu ketawa sinis. "Airin Husna, don't be so naive. Airin lupa ayah Airin siapa? DNA? Dia boleh manipulasi bila-bila je."
Airin terpempan. Ketakutan yang tiba-tiba membelenggu seperti mencekiknya, membuat lidahnya kelu untuk berbicara. Rasanya seperti ada raksasa yang sedang menatapnya, seperti hanya kesilapan yang tak berpenghujung yang memerangkapnya.
Seluruh tekad dan semangatnya tiba-tiba hilang, meninggalkan raga yang ketakutan. Airin sudah tak kuasa menahan ketakutan. Cemuhan orang terus memenuhi kepalanya, membuat ibu muda itu menitiskan air mata.
"Oh ya? Terima kasih sebab bagi tahu. Even though no one asked you for that."
Airin dapat merasakan Marsha menarik tangannya. Dia tahu, Marsha hanya berpura-pura. Hakikatnya, kebimbangan turut bersarang dalam hati gadis itu.
Airin mengambil telefonnya yang bergetar kerana panggilan yang masuk. Telefon daripada doktor sakit puan langganan ayahnya. Dia menarik nafasnya. Bersedia menerima penolakan sekali lagi. "Helo doktor?"
"Cik, saya bersedia memberi kesaksian."
15 April 2014.
"ENCIK RAZIF, anda didapati bersalah di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan perbuatan sumbang mahram kepada Nur Airin Husna binti Razif sehingga melahirkan anak dan dihukum penjara selama 20 tahun berserta sebatan berkuatkuasa tarikh penahanan."
Akhirnya, perjuangan mereka selama berbulan-bulan lamanya telah membuahkan hasil. Ayah Airin telah pun dijatuhkan hukuman atas kesalahannya. Syukurlah, ayah Reena mahu membantu mereka dan memberitahu satu per satu prosedur yang perlu dijalankan. Benar kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Meskipun mereka masih berusia belasan tahun, dengan usaha dan tekad, mereka berjaya mempertahankan keadilan.
Wekk... Wekk...
Tangisan seorang bayi mematikan lamunan mereka. Ya, itu anak kepada Airin. Hyejin namanya. Sebab kenapa anaknya diberikan nama sebegitu kerana Airin sudah dipengaruhi oleh Marsha untuk menonton drama Korea sepanjang menunggu masa bersalinnya. Oleh sebab Airin masih remaja, maka nama bayinya pun diberikan mengikut minatnya. Haih, ada-ada saja. Untung nama itu tidak membawa maksud buruk. Airin masih berhati-hati dalam menamakan anaknya. Kerana nama ialah doa. Sebelum memberikan nama, dia telah mengkaji terlebih dahulu. Berdasarkan kajiannya, Hyejin bermaksud pandai dan berharga.
Ting!
Telefon bimbit Marsha berbunyi menandakan mesej masuk.
'Jumpa aku kat Rose Café esok. Ini pasal Azlan.' Sebaik membaca pesan itu, segala yang di hadapan mata tiba-tiba menjadi kabur dan...
BEDEBUK!
"Marsha? Marsha bangun!"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co