Bab 1
Prolog
Senyum ditabur lepas. Manis, malah rasanya lebih manis dari madu. Tubuh pula sudah meliuk lentok agak manja cuma tidak bertukar menjadi kucing parsi yang suka bergesel-gesel minta perhatian. Zahin yang sedang leka memilih gelang emas di sebelahnya dipandang. Sebenarnya bukan Zahin yang dipandang tetapi gelang yang berderet-deret di hadapan Zahin yang menjadi perhatian. Lebih mengujakan apabila memikirkan salah satu dari gelang tersebut bakal tersarung di pergelangan tangannya. Itu belum lagi dia merengek-rengek manja. Rasanya tentu lebih dari satu anak tauke balak di sebelahnya itu sanggup belikan. Tetapi Nur Jannah Zahra tidak perlu jadi perempuan mengada-ada kerana dia sendiri memang punya pesona. Siapa yang memandang pasti tergoda. Perasan! Ya, tahap perasannya memang sudah sampai tahap dewa! Gelaknya dalam hati.
"So dear, you nak yang mana?" Zahin buang pandang ke sebelah. Dua bentuk gelang tangan yang berada di kiri dan kanan tangannya ditunjukkan kepada Nur Jannah.
"I rasa lebih baik you yang pilih sebab you yang akan pakai nanti."
Senyum riang hanya mampu dipamer dalam hati sahaja sedangkan kalau boleh dia mahu bersorak gembira di situ. Satu lagi aset bernilai yang bakal tersimpan di dalam peti barang-barang perhiasannya.
"Mahallah you. Tak payah belilah kut." Tolaknya manja bersama gelengan sambil muka dicemikkan. Ehem! sebenarnya dia sengaja buat-buat jual mahal. Alaaa... Dia tahu sangat, walaupun dia menolak beria-ia macam mana pun, Zahin pasti akan belikan juga. Tengoklah kalau tak percaya.
"Dear, gelang ni bukan mahal sangat pun. You lagi mahal dari barang-barang ni semua tau." Zahin mula bermanis mulut. Baginya perempuan seperti Nur Jannah ini tiada apa yang diingini mereka kecuali hanya mahu ditaburkan dengan kemewahan. Dan dia pula bukannya bodoh untuk menilai apa yang gadis itu inginkan.
"Tapi, sayang..."
"No dear, this is my present to you. " Zahin masih berkeras.
Nur Jannah senyum lagi tapi senyum yang disimpan dalam hati. Bukankah dia dah kata, tolak macam mana pun rezeki memang milik dia. Kalau sudah masuk ke tempat-tempat macam itu, memang wajib dia akan menerima sesuatu sebagai habuan. Bukan setakat Zahin tetapi 'boyfriend' yang lain pun sama juga. Itu untungnya jadi seorang Nur Jannah Zahra!
"You yang paksa I tau..." mata dilirikkan manja.
Zahin tersenyum. "Pilihlah yang mana-mana you suka," bisiknya. Tangan sudah melingkar di pinggang gadis tinggi lampai disebelahnya itu. Kemudian tubuh langsing itu ditarik rapat ke arahnya.
Terasa geli diperlakukan begitu, Nur Jannah tegakkan tubuh. Itu yang dia tidak suka. Apabila diberikan sesuatu, tangan Zahin akan selalu terlajak parking. Gatal!
"I nak yang ni." Tangan Zahin yang sedang elok melingkari pinggangnya ditarik dan gelang tangan tersebut diletakkan di tapak tangan lelaki itu. Dia memang sedikit 'menggoda' tetapi dia bukan jenis perempuan yang 'murah' untuk disentuh dengan sesuka hati.
"Good choice. I pun suka yang ni." Zahin kenyitkan mata. Walaupun tahu Nur Jannah sengaja menolak dari dipeluk tetapi dia tetap beriak selamba. Sabar, lama-lama dia akan dapat juga! desisnya.
Nur Jannah meleret senyum. Lebar. Tentulah pilihan yang baik, hampir lima ribu harganya. Nasib kaulah, Zahin, bisiknya dalam hati. Lelaki yang bernama Zahin itu agak kacak orangnya, penampilan memang kemas. Tapi yang dia tidak berkenan dengan perangai lelaki itu cuma perangainya yang sedikit liar. Kadang-kadang jemarinya selalu tersasar ke tubuhnya. Puas jugalah dia hendak menepis setiap masa. Kalau diikutkan hatinya, lama dah lelaki yang bernama Zahin itu ditinggalkan tetapi apabila memikirkan lelaki itu 'berduit' dan sikap 'pemurahnya', diteruskan sahaja perhubungan yang tidak-tahu-hala itu. Biarlah dulu, apabila sikap Zahin sudah terlebih berani nanti dia blah sahajalah. Rasanya Zahin pun tentu tidak akan hairan kalau setakat perempuan macam dia. Duit yang sudah dilaburkan tidak akan buat lelaki itu jatuh miskin pun.
"Thank you, sayang," bisiknya manja.
Zahin hela nafas. Macam manalah hatinya tidak tergoda habis-habisan dengan Nur Jannah. Senyumannya saja bisa bikin hatinya jatuh bergelimpangan. Bicara manjanya selalu membuatkan nafsu jantannya membara!
"I take this one." Gelang di tangannya dihulurkan kepada sales girl di hadapannya.
"You nak terus pakai ke?" pandangannya dibuang ke arah Nur Jannah pula.
Perlahan-lahan Nur Jannah gelengkan kepala. Kalau diikutkan hatinya memang dia hendak terus sahaja pakai. Bangga gila kut pakai barang mahal macam tu tetapi oleh kerana tidak mahu dikatakan berlebih-lebih, dia terus geleng kepala.
"Later," balasnya sepatah.
Zahin angguk. "Wrap it nicely." Suruh Zahin pula sebaik mata terarah kepada sales girl itu semula.
Melihat gelang yang berkilau-kilau apabila terkena cahaya lampu itu, hati Nur Jannah sudah rancak menyanyikan lagu kegemarannya. Yuna, Material.
"Mahu berkahwin dengan orang kaya,
Yang boleh belikan aku apa saja,
Mahu lebih bergaya darimu...
Wang ringgit dan dollar itu bukan isu."
Sambil menyanyi, hati juga turut berkompang bukan main hebat lagi. Apa tidaknya, gelang emas berharga lima ribu ringgit bakal tersarung di pergelangan tangannya. Yuhuuu... Bertuahnya kau, Nur Jannah Zahra!
Bab 1
"Nama dia Syed Azrai Mikael bin Tan Sri Syed Jalal."
Suara Jenny kedengaran di telinganya sedang mata leka memandang sesusuk tubuh tegap yang sedang berdiri tidak jauh dari tempat duduknya. Giler handsome!
"Umur dia, tiga puluh tahun. Pengarah syarikat hartanah terbesar di Malaysia."
Suara Jenny kedengaran lagi setelah lama terdiam.
"Dah kahwin?" Muka dipalingkan ke sebelah. Jenny yang sedang memerhati 'suspek' di hadapan mereka dipandang. Entah kenapa, tiba-tiba dia jadi teruja hendak tahu lebih lanjut tentang 'suspek' yang disebutkan.
Jenny turut menoleh memandang sahabatnya. "Siapa?" soalnya polos. Tubuh ditegakkan.
"Lelaki itulah." Muncung ditalakan ke arah 'suspek' itu kembali.
"Single and available." Yakin Jenny membalas.
"Are you sure lelaki yang hebat macam tu masih belum berpunya?" kening dijongketkan memandang Jenny semula. Macam tidak percaya sahaja dengan kata-kata Jenny tadi.
"Playboy, Jannah. Girls are always around him." Tingkah Jenny bersama cemikan.
"Hurmmm... Kaki perempuan," sinisnya pula. Gelas di atas meja dicapai dan air jus oren dihirup perlahan. Dari ekor matanya lelaki yang diperkatakan oleh Jenny tadi dikerling. Berkulit sawo matang, tinggi, tegap, berkarisma, kacak dan yang penting... Berduit!!! gelaknya dalam hati.
"Ya lorrr.... Orang banyak duit maaa... Sepuluh keturunan pun belum tentu habis. Entah-entah tidur pun atas duit." Jenny buang tawa. Geli hati dengan kata-kata sendiri tetapi siapa tahu, kan? Orang yang tak berduit banyak macam dia memanglah tak akan merasa ada duit berkepuk-kepuk macam orang kaya. Gaji pun setakat dua ribu lima ratus sahaja sebulan. Hanya cukup-cukup makan sahaja bak kata orang. Nasib baik tinggal dengan nenek yang banyak rumah sewa. Sesekali terdesak boleh juga dia minta neneknya membantu.
Nur Jannah turut tergelak. Jenny ingat orang kaya jakun sangat ke tengok duit banyak-banyak? Entah-entah mereka tak hairan pun. Kalau orang macam mereka mungkinlah. Silap hari bulan dilonggokkan duit sepuluh ribu depan mata pun boleh pengsan tak bangun-bangun.
"Kau tahu tak Jannah..." Jenny bersuara kembali. Tubuhnya disandarkan ke kerusi pula.
Kening dijongket. Tangan dipelukan ke tubuh.
"Tahu apa?"
"Syed Azrai tu dulu ada skandal dengan pelakon suam-suam kuku yang baru kahwin tu. Ala, yang sibuk digosipkan budak-budak dekat ofis tu." Jenny cuba mengingatkan.
"Kalau kau nak tahu, diusungnya perempuan tu ke sana ke mari sampai bercuti ke luar negara pun bersama-sama, akhirnya perempuan tu kena tinggal. Bodoh, kan? Nak rasa kesian pun aku tak sampai hati. Itulah, kejarkan RM sangat." Jenny menyambung ceritanya dengan gaya meluat di wajahnya.
Nur Jannah menggeleng. Amoi sorang ni tak padan, sampai ke gosip artis pun dia tahu. Ingat suka tengok wayang Melayu aje, rupa-rupanya kisah artis-artis Melayu pun dia ambil port juga.
"Gosip aje kut," telah Nur Jannah.
"No, its true Jannah. Kawan kepada kawan aku kenal perempuan tu. Hancur dah perempuan tu dikerjakan. Dah jemu, dia tinggalkan. Nasib baik ada lelaki lain yang nak ke dia." Beria-ia Jenny bercerita.
"Kau ni kan, cerita kawan dari kawan kau tu belum tentu betul. Kadang-kadang isunya kecil aje tapi sengaja dibesar-besarkan sebab nak nampak gempak. Aku kalau tak nampak dengan mata kepala aku sendiri, aku tak percaya. Fact, orang-orang berduit ni memang agak 'nakal' sikit, tapi kalau kena caranya tentu jadi lain, kan?" balasnya bersungguh-sungguh juga. Entah kenapa dia pula yang beria-ia mempertahankan anak-anak orang kaya. Seolah-olah mereka itu semuanya orang baik-baik sahaja di matanya.
"Kau jangan main-main, Jannah. Orang berduit ni cara mereka kejam. Masa dia nak dekat kau memang dia akan ikut cakap kau. Lebih-lebih lagi dengan orang cantik macam kau. Mereka akan beri apa sahaja yang kau nak, tapi apabila dia dah dapat, hai-hai bye-byelah jawabnya," nasihat Jenny pula.
"Dah tahu orang kaya macam tu, buat apa kau cerita dengan aku tentang lelaki tu?"
"Sebab kau yang nak tahu." Cemikan Jenny menjadi semakin dalam.
Nur Jannah tersenyum. "Untuk mencapai cita-cita, kita kena berusaha, Jen. Dapat atau tidak, itu belakang kira. Yang penting, kita dah buat yang terbaik." Kening dijongketkan lagi dan bibir menguntum senyuman lebar. Kata orang, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Sudah alang-alang ada yang menepati 'sasaran' masakan dia akan melepaskan!
"Apa pelan kau?" Dahi Jenny sudah berkerut seribu. Sangkanya Nur Jannah hanya main-main tetapi tidak sangka pula sahabat baiknya itu serius.
Bahu dijongketkan dan muka dicemikkan.
"Entah," balasnya.
"Lupakan ajelah. Aku kenalkan kau dengan calon lain yang sesuai. Dia ni macam jahat sangatlah." Jenny sudah mula tidak senang duduk. Dia sebenarnya risau kalau Nur Jannah betul-betul mengotakan apa yang ingin dilakukannya. Bimbang andai Nur Jannah akan senasib dengan 'mangsa' Syed Azrai Mikael yang baru diceritakan tadi.
"Tak salah mencuba, kan?" Senyum di bibir Nur Jannah terukir lagi. Lelaki yang bernama Syed Azrai Mikael itu sudah menepati apa yang dia inginkan. Bukan setakat berharta tetapi juga ada rupa. Kalau banyak duit tapi muka macam pecah rumah pun tak guna. Yang nak tengok setiap hari mata dia juga.
"Are you serious, Jannah?" Bersungguh-sungguh Jenny menyoal. Seolah-olah tidak percaya.
Kepala diangguk. Yakin.
Laju Jenny menggeleng. "Jadi apa-apa aku tak nak terlibat, okey? Jangan kau salahkan aku pula nanti," bebelnya.
"Nothing will happen, Jen. Kalau tiba-tiba keadaan jadi tak terkawal, I'm off!" selamba Jannah lagi.
"Kau memang degil, kan? Berani mati pun, ya," marah Jenny melepaskan geram.
Tawa Nur Jannah kedengaran lagi. "Dalam hidup kena berani, Jen. Kalau kau takut, kau tak akan ke mana-mana. Duduklah di takuk tu juga," tegasnya.
Malas hendak berbalah lagi, Jenny terus mendiamkan diri. Selama setahun mengenali gadis yang bernama Nur Jannah Zahra itu, dia sudah cukup memahami bagaimana sikap gadis itu. Dalam lembut ada tegasnya dan dalam senyum ada dinginnya. Nampak gedik menggoda tetapi bukan senang untuk mendekatinya.
"Nur... Bangunlah. Apa ni maghrib-maghrib membuta!" bebel Zulaiha agak keras. Kaki sahabatnya yang sudah terjuntai di bawah sofa diangkat dan diletakkan semula ke atas sofa. Perlahan-lahan dia menggeleng. Apabila sudah begitu keadaannya, harus sembahyang asar pun sudah melayang entah ke mana. Apa tidaknya, elok aje membuta dengan pakaian kerja yang dipakainya sejak pagi tadi.
"Nur..." kejutnya lagi. Bahu Nur Jannah digerakkan sedikit kuat.
"Hurmmm..." Suara halus sudah mula kedengaran. Tubuh ditelentangkan.
"Bangunlah. Maghrib dah nak sampai penghujung ni." Zulaiha membebel lagi apabila Nur Jannah langsung tidak membuka matanya. Masih keras di atas sofa dengan mata yang turut terpejam.
"Bangunlah, Nur. Tak elok melewat-lewatkan waktu solat." Bebelan Zulaika kedengaran lagi. Lebih keras dari tadi.
"Aku letihlah." Dengan suara yang tenggelam timbul Nur Jannah membalas. Tangan diangkat dan diletakkan ke dahi pula.
"Weh... Bangunlah!" Semakin lantang Zulaiha bersuara. Sengaja sebenarnya, kalau tidak memang sampai ke pagi sahabatnya itu akan terus tidur di situ. Bab solat Nur Jannah memang agak liat sedikit. Kadang-kadang memang akan lompang sana sini kalau tidak diingatkan. Kalau mereka di rumah bolehlah dia mengingatkan tetapi kalau di luar? Entahlah! Nur Jannah bukan tidak tahu berdosa hukumnya meninggalkan solat tetapi entah syaitan mana yang duduk bertenggek di badan sahabatnya itu pun dia tidak tahu.
Nur Jannah mendengus. Dengan malas, matanya dibuka dan dia terus bangun.
"Kau ni, tak boleh tengok aku nak berehat," bebelnya.
"Nak berehat bukan tak boleh Nur, tapi sudahkan dulu yang wajib. Kalau macam ni, macam mana doa-doa kau nak makbul? Sembahyang pun liat. Selain berusaha kita kena juga minta kepada Allah. Permudahkan dan luaskan rezeki. Ha, itu baru betul. Apabila lambat doa tu termakbul kau salahkan Dia, padahal apabila susah aje kau cari dan sujud kepada Dia." Panjang lebar Zulaiha membebel.
Nur Jannah mencebik. Macam mak nenek! marahnya dalam hati.
"Ha, pergilah solat. Minta daripada Allah supaya cepat sikit kau dipertemukan dengan 'anak dulang emas' yang kau cari-cari selama ni," sindir Zulaiha pula. Bukan niatnya hendak menyakitkan hati Nur Jannah tetapi dia sudah naik rimas dengan perangai Nur Jannah sejak akhir-akhir ini. Keluar dengan lelaki-lelaki yang digelarnya 'anak dulang emas' hampir setiap minggu tetapi sehingga kini tidak ada satu pun yang betul-betul melekat. Dia bukannya cemburu tetapi dia takut kalau-kalau sahabatnya itu terkena nanti. Perangai lelaki bukannya dia tidak tahu, lebih-lebih lagi kalau berdepan dengan perempuan cantik macam Nur Jannah.
Tidak sanggup mendengar bebelan demi bebelan, dia terus bangun. Makin lama dia di situ, makin panas hatinya nanti. Sebelum mereka berbalah kata atau bergaduh, lebih baik dia angkat kaki. Zulaika, walaupun agak bising mulutnya tetapi baik hati. Perkenalan mereka juga bukan baru sehari dua tetapi sudah mencecah berbelas tahun lamanya. Sebagaimana Zulaika masak dengan perangainya, begitu jugalah dia sudah faham dengan kerenah Zulaika. Sahabatnya itu juga sentiasa ada ketika dia memerlukan. Lebih-lebih lagi apabila ianya berkaitan dengan duit. Zulaika tidak pernah lokek memberi.
"Jangan tak solat pula," pesan Zulaika lagi. Lebih keras dari tadi. Dengan Nur Jannah memang kena berkeras sikit. Kalau tidak, harus dia sambung tidur di dalam bilik pula.
"Ya, tahulah aku," balasnya sambil laju mengayun langkah menuju kebiliknya.
"Kau masak apa malam ni?" laju soalan itu terluncur keluar sebaik muncul di muka pintu dapur. Zulaika yang sedang leka mengacau sesuatu di atas dapur ketika itu dipandang. Usai membersihkan diri dan bersolat tadi, dia terus sahaja keluar dari bilik. Terbau sesuatu dari arah dapur, kaki laju sahaja diayun ke situ.
Zulaika palingkan wajah memandang ke pintu.
"Kenapa?" Sengaja dia bertanya. Tangan yang sedang mengacau sesuatu di dalam periuk juga terhenti.
"Aku laparlah," rengeknya. Kerusi plastik ditarik dan dia terus duduk.
"Eh, kau bukan diet ke? Setahu aku malam-malam kau tak makan, kan? Takut gemuklah katakan," usik Zulaika bersama cebikan.
Nur Jannah mendengus. Kuat.
"Aku tak makan apa pun sejak petang tadi tau. Tengah hari tadi pun sempat makan sandwich aje. Lately ni banyak kerjalah," luahnya bersama keluhan.
Mendengar jawapan Nur Jannah, terasa simpati pula hatinya.
"Aku tak sempat masak apa-apa pun hari ni. Aku cuma sempat masak ni aje." Mulut dimuncungkan ke arah periuk di atas dapur.
"Apa tu?" Bersungguh-sungguh Nur Jannah bertanya. Pandangan turut dibuangkan ke arah periuk di atas dapur.
"Maggi asam laksa." Sengih Zulaika menjadi semakin lebar. Dia tahu mesti Nur Jannah tidak suka kerana memang menjadi kepantangan sahabatnya itu untuk makan Maggi. Tidak bagus untuk kesihatan katanya. Tapi kalau dalam keadaan darurat macam ni, rasanya telan Maggi lagi baik kut dari kebulur, bisiknya.
Nur Jannah mendengus. Zulaika dijeling.
"Kau ni macam tak ada benda lain nak makan," bebelnya dan terus bangun. Terus hilang rasa lapar. Makan Maggi? Memang tidaklah!
"Eh, kau nak ke tak ni?" Kuat Zulaika bertanya apabila Nur Jannah sudah mula mengayun langkah menuju keluar.
"Thanks but no thanks. Kejap lagi aku buat air Milo aje," balasnya acuh tak acuh.
"Nur... Aku ada benda nak cakap dengan kau."
Langkah terus terhenti. Tubuh dipalingkan menghadap Zulaika semula.
"Apa?" tanyanya.
"Puan Sofi minta aku tanyakan kepada kau kalau-kalau kau berminat nak jadi model untuk menggayakan baju-baju rekaan terbaru dia." Api dapur dimatikan dan tubuhnya dipalingkan menghadap Nur Jannah yang sudah berdiri di muka pintu.
"Puan Sofi mana?" Kening Nur Jannah sudah terjongket tinggi. Puas dia cuba mengingati orang yang bernama Puan Sofi yang disebut Zulaika tadi namun tiada satu wajah pun terlintas di kepalanya.
"Alaaa, klien aku yang kita jumpa dekat One Utama minggu lepas."
Nur Jannah terdiam. Lama.
"Yang bini nombor dua Dato tu ke?"
"Ha, yang itulah."
Nur Jannah terdiam lagi.
"Berapa dia nak bayar?" tanyanya. Kata orang, rezeki jangan ditolak.
"Itu aku tak tahu. Kau tanya dia sendiri. Dia suruh aku tanyakan kau dulu sebab dia nak cari model baru dan fresh."
"Hurmm... Nantilah aku fikirkan. Aku bukannya reti nak bergaya depan kamera. Kaku!" balasnya. Langkah diayun lagi.
"Ikut suka hati kau tapi tentu dia bayar lumayan. Puan Sofi tu kaya dan tak berkira. Boleh juga kau jadi glamor nanti," jerit Zulaika dari ruang dapur.
Jadi glamor? Oh! Please... Bukan itu yang dia cari! Dia cuma inginkan suami kaya. Titik!
"Yalah-yalah. Nanti aku fikir," balas Nur Jannah juga dengan jeritan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co