Truyen3h.Co

Dia Bukan Bidadari

Bab 10

karyaseni2u

Zahin direnung. Tajam. Cawan latte di atas meja dicapai semula dan dihirup sehingga habis. Hati sudah mula membahang geram.

"I nak balik," tekannya keras. Rasanya sudah beberapa kali dia mengulangi kata-kata yang sama tetapi riak Zahin tetap begitu. Bersahaja malah langsung tidak mengendahkan kata-katanya.

Zahin tersenyum. Seakan-akan tidak terkesan dengan kata-kata Nur Jannah sedari tadi.

"You dengar tak I cakap I nak balik!" Nur Jannah mengulangi kata-katanya semula. Kalau mereka hanya berada di tempat-tempat biasa sudah lama dia pergi sahaja dari situ tetapi dia berada di Bukit Tinggi sekarang! Sejak tadi dia sudah mula menyesal kerana mengikut Zahin petang tadi. Sangkanya mereka hanya akan minum di kafe-kafe biasa tetapi dia dibawa ke situ tanpa kerelaannya. Tak guna punya jantan! jeritnya dalam hati.

Zahin palingkan wajah dan pelayan yang duduk tidak jauh dari situ dipandang. Tangan terus diangkat dan digoyang-goyangkan.

"Bill, please," ucapnya sebaik pelayan tersebut menghampiri meja mereka. Pelayan itu akur dan pergi ke kaunter bayaran sebelum kembali ke meja mereka semula.

"Bill, sir." Buku kecil di tangan diletakkan ke atas meja.

Sebaik melihat jumlah bil yang tertera di resit yang diberikan, Zahin terus mengeluarkan not lima puluh ringgit sebanyak tiga keping dan diletakkan ke dalam buku kecil di atas meja.

"You can take the balance." Dia terus berdiri. Nur Jannah dihampiri dan tangan gadis itu diraih.

"Lepaslah," jerit Nur Jannah perlahan. Tangannya cuba ditarik tetapi semakin kuat pula tangannya dicengkam.

"Jom," ajak Zahin agak keras. Tangan Nur Jannah ditarik.

Dalam keadaan rela terpaksa, Nur Jannah terus bangun dan langkah lelaki itu diekori.

"Zahin, kita nak ke mana ni?" soal Nur Jannah agak cuak apabila Zahin terus berjalan masuk ke Hotel Colmar Tropicale di pusat peranginan tersebut.

"Kita akan menginap di sini," selamba Zahin bersuara.

"No!" jerit Nur Jannah sedikit keras dan tangannya ditarik agak kasar. Kali ini dia benar-benar takut. Dengan siapa dia harus meminta tolong kalau terjadi sesuatu sedangkan dia tidak kenal sesiapa pun di situ.

"I don't care you suka atau tidak. We'll stay here for tonight!" Suara Zahin sudah mula berubah rentak. Tegas dan dalam. Tangan Nur Jannah dicengkam semakin kuat.

"Sakitlah, Zahin!"

Zahin palingkan wajah dan Nur Jannah ditarik semakin rapat ke arahnya.

"Kalau you tak nak sakit, behave!" bisiknya dalam nada mengugut.

Nur Jannah terus terdiam. Sungguh dia takut dan hati sudah mula berdetak semakin cemas memikirkan nasib dirinya. Ya Allah, lindungilah aku. Doanya tidak henti-henti sedari tadi. Pada saat itu juga wajah abah dan mak datang silih berganti di kepalanya. Ketika itu juga timbul rasa menyesal dengan sikapnya yang terlalu mengejar kemewahan tanpa memikirkan risiko yang bakal diterima.

Melihat Nur Jannah yang sudah mula mendengar kata, Zahin terus berjalan ke kaunter. Selesai urusan mendaftar masuk dan menerima kunci, dia terus menarik tangan Nur Jannah untuk beredar.

"Zahin, I tak ada baju lain nak pakai." Nur Jannah memberi alasan. Suara sudah mula bergetar menahan rasa. Debaran di dada semakin menggila. Otak pula ligat memikirkan cara untuk melepaskan diri dari situ.

"You tak perlukan baju lain, sayang. Sebab... Aktiviti kita malam ni tak perlukan semua tu." Zahin mula berbisik nakal. Matanya dikenyitkan. Tubuh Nur Jannah semakin ditarik rapat ke arahnya sebelum pinggang gadis itu dirangkul.

Berderau darah Nur Jannah apabila diperlakukan begitu. Tetapi kata-kata Zahin tadi lebih menakutkan. Ya Allah, lindungilah aku dari lelaki berperangai syaitan ini. Doanya lagi tanpa henti. Pandangannya dibuangkan ke sekeliling. Apa yang perlu dia buat sekarang? Menjerit meminta tolong? Dalam masyarakat yang tidak pernah kesah tentang orang lain sekarang, adakah akan ada manusia yang akan menolongnya? Allah... Nama Yang Maha Agung itu diseru lagi. Berkali-kali.

"Zahin, please... I nak balik. I tak nak stay dekat sini." Nur Jannah sudah mula merayu. Mengharap semoga tiba-tiba Zahin lembut hati.

"You jangan ingat I akan lepaskan you dengan mudah, Jannah? Kalau I tak dapat, I pun tak akan beri orang lain merasa," bisik Zahin perlahan tetapi tajam bunyinya.

"Zahin, I tak cintakan youlah," jerit Nur Jannah hampir menangis. Zahin memang lelaki durjana.

"Untuk dapatkan tubuh you, I tak perlukan cinta, sayang," kata-kata Zahin semakin tidak beralas. Rangkulannya dipinggang Nur Jannah dilepaskan dan jemari gadis itu digenggam pula.

"Come, I dah tak sabar nak merasa kehalusan kulit you yang putih ni." Lengan Nur Jannah yang tidak beralas itu diusap-usap.

Hampir putus nafas Nur Jannah apabila diperlakukan begitu. Sungguh dia jijik!

"Please, Zahin... this is wrong... I tak nak." Mata sudah mula berkaca-kaca. Abah... Nama abahnya diseru berkali-kali dalam hati.

"Sama ada you nak atau tak, itu tak penting. What important, I'll enjoy the night. Lagipun I dah spent banyak duit I untuk you, Jannah. Jadi I inginkan balasan." Mata dikenyitkan dan langkah diayun semakin laju menuju ke pintu lif.

"I akan pulangkan semua pemberian you. Handphone, barang kemas dan duit. Semuanya I akan pulangkan." Terketar-ketar Nur Jannah membalas. Semakin menghampiri pintu lif, detak jantungnya menjadi semakin laju.

Zahin lepaskan tawa. "I tak perlukan semua tu, sayang. I cuma perlukan diri you," bisiknya rapat ke telinga gadis itu. Dan pada saat itu juga satu kucupan singgah dipipi gebu gadis itu.

Air mata mula menitis. Geli! Jijik! Ya, itulah yang dia rasa ketika itu. Tangannya yang dicengkam kemas oleh Zahin sedaya mungkin cuba dilepaskan tetapi nampaknya Zahin bukan bodoh untuk melepaskannya begitu sahaja. Semakin dia cuba melepaskan diri, semakin kuat Zahin menggenggam jemarinya. Ya Allah, beginikah perjalanan hidupnya? Maruahnya akan hancur di tangan lelaki yang bukan bergelar suami? Tubuhnya akan diratah rakus oleh lelaki bernafsu binatang ini? Abah... Tolong kakak, abah!

Pandangan dibuangkan ke arah jam di dinding kemudian kepalanya digelengkan. Waktu sudah menginjak hampir ke pukul sembilan malam tetapi batang hidung Nur Jannah masih belum kelihatan lagi. Kerja sampai lewat malam? Tak mungkin kerana Nur Jannah biasanya akan menghubunginya sekiranya terpaksa pulang lewat.

Telefon bimbit yang terletak elok di atas meja dikerling. Tidak menunggu, laju sahaja telefon bimbitnya dicapai. Nombor Nur Jannah didail. Senyap. Didail lagi. Masih juga senyap. Jantung terus berdegup. Skrin telefon bimbit dipandang. Lama.

"Janganlah ada apa-apa berlaku kepada kau, Nur," desis hatinya.

Jari meluncur di atas skrin telefon dan nama Jenny dicari. Sebaik nama Jenny ditemui, nombor gadis cina itu terus didail.

"Jenny..." Sebaik panggilannya bersambut, laju sahaja nama gadis itu diseru.

"Ya, Ika. Apa hal?"

"Jannah ada dengan kau tak?" soalnya tak bertangguh. Dari duduk, dia terus berdiri semula.

"Tak adalah, Ika. Pukul lima petang tadi dia dah balik. Kenapa?" Suara Jenny juga sudah mula berubah rentak.

"Dia belum balik lagilah, Jen. Aku call dia tak dapat." Zulaika semakin bingung. Hati sudah mula rasa tidak tenteram. Pada saat itu juga wajah Pak Cik Ahmad terbayang-bayang dalam ingatannya. Dia masih ingat lagi pesanan Pak Cik Ahmad semasa dia dan Jannah ingin bekerja di Kuala Lumpur.

"Di Kuala Lumpur nanti kamu tiada siapa-siapa. Saudara-mara pun tak ada, jadi jagalah diri kamu sesama sendiri. Ambil berat antara satu sama lain. Apabila salah seorang susah, yang seorang lagi kena bantu. Dan Ika, pak cik minta kamu tolong tengok-tengokkan anak pak cik ni."

"Ika..." Suara Jenny sudah mula cemas.

Mendengar suara Jenny ketika itu, berderau darahnya. Dia pasti mesti ada sesuatu yang berlaku.

"Kenapa, Jen? Kau jangan takut-takutkan aku." Suara Zulaika juga sudah mula terketar-ketar.

"Zahin..." Sepatah lagi Jenny membalas.

"Siapa Zahin tu?" Zulaika seakan-akan sudah tidak sabar mendengar bicara gadis Cina itu. Sebiji-sebiji disebutnya.

"Lelaki tu ada cari Jannah di ofis petang tadi. Dia ugut Jannah."

Sekali lagi darah Zulaika terasa menyerbu naik ke kepala.

"Ya Allah, Nur," desahnya.

"Dah tu, apa jadi?" soalnya semakin cemas.

"Aku tak tahu Ika, tapi aku rasa Jannah pergi jumpa lelaki tu."

"Apa pasal kau suka cari pasal, Nur?" bebel Zulaika agak keras.

"Dah tu apa kita nak buat ni, Ika?"

Zulaika hela nafas. Dia sendiri pun bingung tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

"Nak repot polis ke, Ika?" Jenny memberi cadangan.

"Belum 24 jam lagilah, Jen."

"Habis tu?"

Suasana terus sepi. Zulaika diam. Jenny juga turut diam.

"Okey, macam ni. Kita tunggu dulu sampai pukul dua belas malam. Kalau masih belum ada khabar berita, kita buat repot polis," cadang Zulaika setelah lama mendiamkan diri.

"Kalau kau dah kata macam tu, okeylah. Tapi apa-apa hal kau call aku. Kalau perlu nanti aku pergi rumah kau." Jenny bersetuju.

"Alright."

Talian terus dimatikan. Jam di dinding dikerling lagi. Sekilas kemudian pandangan dibuangkan ke arah pintu. Mengharap agar tiba-tiba Nur Jannah muncul di situ. Walaupun lama matanya tertancap di muka pintu yang tertutup itu namun wajah Nur Jannah masih juga tidak kelihatan. Perlahan-lahan nafasnya dihela. Rambut yang tidak diikat itu diraup kasar.

"Nur... Dekat mana kau sekarang?" luahnya resah.

"Allah..." Pak Cik Ahmad tersentak. Dia bingkas bangun. Wajahnya diraup dan bibir beristighfar panjang. Berkali-kali.

"Kenapa, bang?" Mak Cik Latipah turut bangun. Wajah suami yang kelihatan agak kusut itu dipandang dengan kerutan di dahi.

"Kakak..." ucap Pak Cik Ahmad sepatah.

"Kenapa dengan kakak?"

"Entahlah, Pah. Abang mimpikan kakak. Rasa macam terdengar-dengar suara dia panggil abang." Pak Cik Ahmad terus bangun. Dada yang terasa berdebar-debar itu diusap.

"Mimpi aje tu, bang. Tak ada apa-apalah," pujuk Mak Cik Latipah lembut.

Dengan riak yang masih seperti tadi, Pak Cik Ahmad mengangguk. Jam di dinding yang kelihatan agak usang dikerling. Waktu ketika itu hampir menginjak ke pukul sebelas malam. Tentu anak gadisnya sedang tidur ketika itu, fikirnya.

"Abang nak Pah telefon kakak?" Mak Cik Latipah turut bangun. Suaminya dihampiri.

Pak Cik Ahmad menggeleng.

"Tak payahlah ganggu kakak. Dia mesti dah tidur." Langkah terus diatur untuk keluar.

"Abang nak ke mana tu?"

"Nak ke dapur Pah, abang rasa haus pula." Dadanya diusap lagi. Suara Nur Jannah seakan-akan terdengar-dengar lagi. Ya Allah, lindungikah anak aku walau di mana dia berada, doanya dalam hati.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co