Bab 12
"Kaki kau macam mana? Dah okey?" Mulut berbicara tetapi mata liar memandang kaki Nur Jannah yang dilindungi seluar panjang warna hitamnya. Malam tadi ketika Nur Jannah balik, kakinya nampak merah dan seperti membengkak.
"Dah okey sikit kut. Malam tadi aku sapu minyak panas." Acuh tak acuh Nur Jannah membalas.
"Dah tu nak pergi kerja juga ke?" Zulaika kerutkan kening.
"Habis tu takkan nak MC lagi? Hari tu aku dah MC berhari-hari." Nur Jannah melepaskan keluhan. Kalau ikutkan hati memang dia malas hendak bekerja hari itu tetapi apabila memikirkan itulah periuk nasinya, terpaksa juga dia kuatkan diri.
"Susahlah nak naik bas dalam keadaan macam tu," bebel Zulaika pula. Bimbang melihat keadaan Nur Jannah ketika itu.
"Aku naik teksi aje nanti. Tak larat nak berkejar dengan bas."
"Hurmmm... Kalau macam tu okeylah. Hati-hati tau," pesan Zulaika pula.
"Insya-Allah, jangan risau." Nur Jannah pamer senyum. Beruntung ada sahabat seperti Zulaika. Selalu mengambil berat akan susah senangnya. Tentang perihal yang berlaku malam tadi juga Zulaika nampaknya tidak bertanya lebih. Apabila ditanya kenapa dengan kakinya dan dijawab dia terjatuh, Zulaika terus tak bertanya lagi. Cuma mulutnya sahaja tidak henti-henti membebel supaya dia lebih berhati-hati. Dia tidak mahu Zulaika terus-terusan bimbang tentang dirinya. Mengenali Zulaika sejak mereka kecil, dia tahu bagaimana sikap sahabatnya itu.
"Mari minum dulu." Zulaika tuangkan air Milo panas ke dalam mug dan diletakkan ke atas meja sebelum punggung dilabuhkan ke atas kerusi.
Nur Jannah akur dan terus duduk.
"Nah, biskut kering aje yang ada." Zulaika tolakkan tin biskut Hup Seng di tangannya kepada Nur Jannah. Mug air Milonya dicapai dan dihirup perlahan-lahan.
Nur Jannah menggeleng. Tin biskut tersebut ditolakkan ke tengah meja. Mug dicapai dan air Milo dihirup.
"Ika, kau teman aku sampai aku naik teksi." Perlahan Nur Jannah bersuara. Entah kenapa tiba-tiba dia rasa takut pula hendak menunggu teksi bersendirian. Dalam kepala masih terbayang-bayang wajah bengis Zahin malam tadi. Bimbang juga andai Zahin sudah menunggunya di mana-mana. Walaupun Zahin tidak pernah tahu di mana tempat tinggalnya tetapi dengan sikap Zahin itu, rasanya untuk mencari di mana dia tinggal bukan perkara sukar. Pejabatnya sahaja Zahin selamba terjah, inikan pula tempat tinggalnya.
Zulaika kerutkan dahi. Air muka sahabatnya itu dipandang. Lama. Lain benar riak Nur Jannah pagi itu.
"Ada apa-apa yang berlaku ke malam tadi? Yang aku tak tahu?" soalnya.
Laju Nur Jannah geleng.
"Tak... Mana ada apa-apa," balasnya teragak-agak.
"Kalau tak ada apa-apa, kenapa muka kau kalut semacam aje tu? Zahin tu ada buat apa-apa ke kepada kau?" tebak Zulaika lagi. Mata semakin bulat memandang Nur Jannah.
Nur Jannah mendengus.
"Tak ada apa-apa yang berlakulah, Ika. Kami pergi makan malam aje," tipunya. Kalaulah Zulaika tahu apa yang bakal terjadi kepada dirinya malam tadi tentu beristighfar panjang sabahatnya itu. Tapi cukuplah hanya dia yang tahu kisah yang memalukan itu.
Zulaika mengangguk. Malas hendak bertanya lagi.
Jeda.
"Aku rasa aku nak beli keretalah." Tiba-tiba Nur Jannah bersuara dengan mata tajam menekur meja.
Zulaika mendongak. "Dah cukup duit ke nak bayar down payment?" tanyanya.
"Aku ingat aku nak jual barang kemas yang ada sikit tu. Nanti aku tambah dengan saving aku yang ada sikit tu rasanya cukuplah kut nak bayar down payment."
"Tak sayang ke nak jual barang-barang kemas kau tu?" Zulaika jongketkan kening. Kenapa tiba-tiba Nur Jannah terdesak sangat ingin memiliki kereta? Bukan rancangan asalnya hendak kumpul duit untuk bayaran muka dulu sebab hendak meringankan bayaran bulanan? Hati Zulaika tertanya-tanya sendiri.
Nur Jannah hela nafas.
"Aku rasa susahlah nak pergi kerja hari-hari. Lagipun kalau balik lewat nak naik teksi rasa macam tak selamat pula," balasnya.
"Selama setahun lebih ni okey aje."
"Mungkin sekarang aku dah rasa susah kut," ucapnya lagi. Sebenarnya dia takut. Takut senang sangat Zahin mencarinya. Kalau dia ada kenderaan sendiri, tentu langkahnya tidaklah sesempit sekarang. Nak pergi kerja pun takut-takut. Ya, sungguh dia takut sekarang.
"Hurm... Terpulang kepada kaulah, Nur. Kalau aku, aku cukupkan simpanan aku dulu baru beli. Sayang kut nak jual barang-barang kemas tu. Aset tu!" nasihat Zulaika.
"Walaupun sebenarnya bukan kau beli sendiri pun semuanya," sindirnya pula.
Nur Jannah terdiam. Hendak terasa? Hurmmm...Memang betul pun apa yang Zulaika katakan. Ya, barang kemas yang ada dalam simpanannya itu bukan daripada hasil titik peluhnya pun. Semuanya hasil pemberian orang lain.
"Eh! Dah. Jom kita gerak. Nanti lambat pula kita masuk kerja." Zulaika terus bangun. Mug yang digunakan tadi terus dibawa ke singki sebelum dicuci.
Nur Jannah ikut bangun. Muknya juga turut dibawa ke singki dan dibasuh. Dengan debar di dada, langkah Zulaika dibuntuti sebelum mereka terus keluar.
"Jen, boleh tolong hantarkan aku balik tak hari ni?" Kepala ditolehkan ke arah work station Jenny sebaik jam di tangan dikerling. Sejak pukul empat tadi hatinya sudah mula berdebar-debar. Hendak balik keseorangan lagilah dia takut.
Jenny angkat kepala. Tangan diangkat dan jam dipergelangan tangannya dipandang.
"Dah pukul lima. Hurm... Sibuk punya pasal sampai tak sedar," keluhnya.
"Okey, babe. Aku hantar kau balik. Lagipun kesian pula aku nak biarkan kau balik dalam keadaan kaki tak berapa okey macam tu," sambungnya pula. Barang-barang di atas meja terus dikemaskan.
Nur Jannah buang senyum. Lega. Mejanya juga dikemaskan.
"Jom," ajak Jenny sambil membetulkan beg tangan di bahu.
Dengan anggukan, Nur Jannah mengekori dengan langkah yang di atur perlahan.
"Sakit lagi ke babe kaki kau?" Langkah Jenny terhenti dan Nur Jannah yang sedikit jauh di belakang dipandang.
Lambat-lambat Nur Jannah angguk.
Jenny terus menghampiri Nur Jannah semula. Tangan sahabatnya itu dipaut. "Kau kena pergi berurutlah ni, Jannah. Kut masuk angin tak?"
Nur Jannah tersenyum. Amoi sorang ni pandai aje bab-bab macam tu. Duduk bandar tapi cara pemikiran macam orang kampung.
"Bukan terseliuhlah cuma sakit sebab bergesel dengan jalan agaknya."
"Nasib tak luka," balas Jenny beria-ia.
Nur Jannah mengangguk.
"Haah, nasib tak luka tapi seluar aku terkoyaklah," gelaknya.
Jenny menggeleng.
"Seluar boleh beli, babe. Kalau kaki kau luka dan berparut... Hodoh! Hilang RM untuk hantaran. Mesti kau tak rela, kan?" selorohnya.
Nur Jannah buang tawa. Lepas. Dan langkah diatur lagi.
"Betul ke Zahin tak buat apa-apa dekat kau semalam?" Perlahan Jenny bertanya sebaik mereka turun dari pintu pejabat.
Nur Jannah palingkan kepala ke sebelah. Rasanya sudah berkali-kali Jenny bertanya tentang hal tersebut. Amoi ni memang lagi kepochi dari Ika.
"Tak adalah." Tetap jawapan yang sama yang dijawabnya.
"Yang aku pelik, macam mana kau boleh jatuh? Puas aku fikir sejak pagi tadi." Kening Jenny semakin tinggi terjongket.
"Dah nak jatuh." Selamba Nur Jannah membalas.
"Dahlah, jom balik. Letihlah," ucapnya lagi sengaja mengelak dari disoal dengan lebih banyak lagi. Bimbang juga andai tersilap mengelak, semua cerita yang sebenarnya terkeluar.
Jenny mencemik.
"Kau tunggu sini aku pergi ambil kereta. Kesian kau kalau nak kena jalan jauh-jauh." Kunci kereta dari dalam beg tangan dikeluarkan.
Nur Jannah mengangguk.
"Thanks, Jen," ucapnya perlahan. Terharu dengan keprihatinan gadis berbangsa Tionghua itu. Kalau di rumah dia ada Ika. Di pejabat gadis ini pula yang sering membantunya.
"It's not a big deal, babe." Jenny kenyitkan sebelah matanya dan terus pergi dari situ. Baginya setakat membantu seorang sahabat apalah sangat.
Bosan menunggu keseorangan di situ, Nur Jannah terus mencapai telefon bimbitnya. Aplikasi WhatsApp di buka dan mesej dihantar kepada Zulaika.
<Jannah> Aku dah nak balik ni. Jenny hantar. So, don't worry about me.
Butang Send ditekan. Aplikasi Facebook dibuka pula. Sengaja hendak merayau-rayau di alam maya pula. Dari berdiri tidak berbuat apa-apa, baiklah dia layan apa yang patut, fikirnya.
"Jannah..."
Sedang leka berbalas komen dan tersenyum-senyum menghadap telefon bimbitnya, dia terdengar seseorang memanggil namanya. Nur Jannah terkedu. Jemari yang tadinya ligat menekan kekunci di telefon bimbit terus terhenti. Dada sudah mula berombak cemas. Kepala masih tidak berani diangkat untuk melihat siapakah gerangan yang memanggilnya ketika itu.
"Jannah..."
Sekali lagi namanya dipanggil. Debaran semakin menggila. Nafasnya dihela dan mata dipejamkan. Kepala semakin ditundukkan. Ya Allah, janganlah dia! doanya berkali-kali dalam hati.
"Jenny, please datanglah cepat..." bisiknya. Telefon bimbit semakin digenggam kemas dan tangan sebelah lagi mula mencengkam beg tangannya sebagai persediaan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diduga.
"Are you trying to avoid me?"
Terdengar suara yang agak lain intonasinya itu, Nur Jannah terus mengangkat kepalanya. Terpandangkan seseorang yang memang tidak disangkanya akan berada di situ, dia terkedu. Ternganga mulutnya memandang Syed Azrai yang sedang tersengih-sengih memandangnya.
"I know you are so excited to see me tapi janganlah tunjuk sangat," gelaknya. Tangan dimasukkan ke dalam poket seluarnya.
Nur Jannah berdeham. Excited? Hurm... Honestly yes tapi bukan sekarang. Masa tak sesuai sangat kut untuk berjumpa atau terjumpa. Nyaris saja dia fikir hendak melibas orang dengan beg tangannya tadi. Nasib baik Syed Azrai hanya menegur sahaja. Kalau dibuatnya lelaki itu menyentuhnya, rasanya bengkak juga muka Syed Azrai dikerjakannya petang itu.
"Kenapa you boleh ada dekat sini?" Pandangan dibuangkan ke sekeliling. Entah apa yang dia cari agaknya atau sengaja mengurangkan debar di dada. Hurmm...Ingatkan berdebar sebab Zahin tapi rupa-rupanya sebab 'suspek' idaman hati, gelaknya dalam hati.
"Saja," balas selamba Syed Azrai pula.
Baru sahaja Nur Jannah ingin menjawab, kereta Jenny sudah berhenti di tepi jalan tidak jauh dari tempat dia berdiri.
"Got to go," ucapnya dan mula ayun langkah. Lambat-lambat.
"Jannah..." Kaki Syed Azrai juga ikut melangkah dan nah! Dia sudah berada di hadapan gadis itu semula.
Serta-merta itu langkah Nur Jannah terhenti. Sudahlah kakinya sakit terpaksa brek mengejut begitu lagilah sakit dibuatnya. Dia ni memang suka buat aksi mengejutkan orang begitu agaknya. Hesy!
"My friend is waiting Encik Azrai. So please... let me..." pinta Nur Jannah bersungguh-sungguh. Kasihan membiarkan Jenny menunggu lama-lama. Sudahlah berhenti di belakang kereta orang lain. Kena marah tentu tidak pasal-pasal sahaja.
Syed Azrai menggeleng.
"Nope, until you give me your number." Sengihan dipamer. Nakal. Tubuh Nur Jannah masih dihalang dengan tubuh sasanya.
Nur Jannah mendengus. Buat perangai pada waktu-waktu yang tak sesuai betul, marahnya dalam hati.
"I have no time for this... So, excuse me!" balasnya bersama jelingan tajam. Dia terus mengelak ke sebelah dan mula ayun langkah.
Bengang dengan apa yang Nur Jannah lakukan, Syed Azrai terus merentap tangan gadis itu agak kasar sehingga tubuh Nur Jannah terdorong ke arahnya.
Oleh kerana berada di dalam keadaan yang tidak bersedia, kaki Nur Jannah yang sakit itu terpeleot sekali lagi.
"Ouch!" jeritnya lantang. Tubuh ditundukkan dan kakinya dipegang.
Syed Azrai tergamam.
"Am I hurt you?" soalnya cemas. Tangan Nur Jannah dipaut.
Pautan Syed Azrai ditolak kasar. Lelaki itu dijeling. Tajam.
"Lelaki macam you ni cuma tahu mendesak saja ke? Lelaki macam you ni memang jenis tak reti bahasa ke?" Kasar Nur Jannah menghamburkan marahnya. Sudahlah sememangnya sakit dan sekarang ditambah lagi sakitnya.
Syed Azrai tercengang.
"Kalau I tak nak beri maknanya I tak suka ada apa-apa hubungan dengan you. Even berkawan pun!" marah Nur Jannah lagi.
"Jannah... Kau okey ke?" Jenny terus memaut tubuh Nur Jannah yang sedang terbongkok-bongkok memegang kaki.
"Jannah, I'm sorry. I... I tak sengaja." Teragak-agak Syed Azrai bersuara. Terpinga-pinga dia di situ. Apa yang dia sudah lakukan? Oh my god! What have I done? jeritnya dalam hati.
"Encik, lain kali kalau orang tak suka tu janganlah kacau. Dah jadi macam ni siapa yang sakit? Encik ke?" Jenny pula menghamburkan marah.
"I... I..." tergagap-gagap Syed Azrai mahu membela diri. Tetapi apa yang perlu dia katakan?
"Apa I... I? Takkan tiba-tiba terus gagap kut!" bedil Jenny selamba.
"Sudahlah Jannah, jom aku bawa kau pergi klinik." Tubuh Nur Jannah dipapah dan dibawa ke kereta. Sampai sahaja di keretanya, sahabatnya itu dibantu untuk masuk. Sebaik pintu ditutup, dia terus berlari menuju ke tempat pemandu pula dan dia memboloskan tubuh ke dalam perut kereta.
"Habislah! Huk... Huk!" tiba-tiba Nur Jannah bersuara dengan nada yang bukan main syahdu lagi. Syed Azrai yang masih bingung di tempatnya dipandang.
"Apa yang habis?" Jenny kerut dahi. Pelik, tiba-tiba sahaja Nur Jannah bereaksi begitu.
"My future husband!" Hampir menangis Nur Jannah menyebut ayat tersebut. Pasti Syed Azrai akan terus angkat kaki dengan apa yang berlaku tadi. Tentu Syed Azrai terkejut melihat perangainya yang begitu. Arghhh! Memalukan! Dia pun satu, kenapalah over sangat tadi! Uwaaa!
"Weh! Kaki kau tengah sakit, kan?" marah Jenny agak keras.
Perlahan-lahan Nur Jannah angguk.
"Dah tu sempat lagi fikirkan future husband segala?" marah Jenny bersama gelengan.
"He is rich! Handsome! Charming and ermmm...Tough! Oh! What a waste! Uwaaa..." rengek Nur Jannah bersama tangisan yang dibuat-buat. Satu-satu perkataan yang disebutnya ditekankan agak kuat.
Jenny menggeleng.
"Oh my god! Kau memang gatal, Jannah!" ejeknya. Mulutnya dicebikkan. Mabuk betul sahabatnya yang seorang ini. Bukan mabuk air tapi mabuk duit!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co