Bab 15
"Nanti jangan serik datang sini lagi ya, Jenny?" Mak Cik Latipah menitipkan pesanan. Gadis Tionghua yang nampak sopan berbaju kurung itu dipandang dengan senyuman. Sejuk matanya memandang.
"Ya, mak cik. Pasti akan datang lagi. Saya suka sangat dengan suasana di sini. Pemandangan indah, udara segar dan yang paling penting, dapat makan sedap-sedap," balas Jenny berseloroh. Walaupun cara cakapnya seperti bergurau tetapi sungguh dia selesa berada di situ. Nyaman dan tenang.
"Amboi Jen, dari semalam tak habis-habis membodek mak aku," kutuk Nur Jannah selamba. Beg bajunya terus dimasukkan ke dalam bonet kereta Toyota Vios milik sahabatnya itu.
"Mana ada membodek. Jujur dari hati tu."
"Hurmmm... Yalah kau." Bonet kereta terus ditutup. Malas hendak melayan Jenny lagi, dia terus berjalan menghampiri Pak Cik Ahmad yang sedang berdiri tidak jauh dari situ. Sampul surat kecil yang diletakkan di dalam beg tangannya diambil.
"Kakak dah nak balik, bah. Abah jaga diri baik-baik. Kalau ada apa-apa telefon kakak, jangan nak sembunyikan macam hari tu," pesannya. Itupun gara-gara dia tahu apa yang berlaku kepada abah beberapa minggu yang lepas sehinggakan dia tidak dibenarkan balik. Kalau bukan kerana Najihah yang digelarkan si mulut busuk bercerita, entah-entah sampai bila pun dia tidak akan tahu. Lebih menyakitkan hati apabila si mulut busuk itu menuduh dia sengaja tidak ambil tahu tentang orang tua di kampung setelah duduk di bandar. Helo! Dia kalau boleh hendak sahaja bawa abah dan emak tinggal di bandar tetapi hidupnya sendiri pun masih terumbang-ambing lagi. Kalau ikutkan hatinya, dia tidak mahu langsung berjauhan dari keluarga tetapi dia juga ada kehidupan yang perlu dia lalui.
"Ala kakak, hari tu abah luka sikit aje. Jauh lagi dari nyawa." Pak Cik Ahmad berseloroh. Padahal yang sebenarnya, hampir seminggu jugalah dia tidak boleh bergerak ke mana-mana kerana keadaan luka di kakinya ketika itu.
"Tengok tu. Suka cakap macam tu." Nur Jannah tarik muka kelat. Mulalah dia rasa berat hati hendak balik ke bandar semula.
Pak Cik Ahmad menggeleng. Bibir pula menguntum senyum lebar. Apa tidaknya, suka dia melihat wajah anak gadis yang sudah berubah cemberut begitu. Sedari kecil sehinggalah sudah besar panjang begini, perangai anak gadisnya itu langsung tidak berubah.
"Sudahlah, baik kakak gerak sekarang nanti lambat pula sampai rumah," suruh Pak Cik Ahmad sengaja malas hendak memanjangkan isu tersebut.
Nur Jannah mendengus. Tahu sangat abahnya sengaja mahu mengubah topik perbualan mereka.
"Yalah, kakak gerak dulu," balasnya perlahan. Tangan diangkat untuk bersalaman.
"Ini ada duit sikit untuk abah dengan mak. Kakak nak beri banyak kakak tak mampu lagi, tapi kakak nak abah dan mak merasa hasil titik peluh kakak." Sampul di tangannya dihulurkan untuk Pak Cik Ahmad sambut.
Pak Cik Ahmad terus terdiam. Anak gadisnya itu dipandang tak berkelip. Entah kenapa tiba-tiba hatinya terasa sayu pula.
"Abah, ambillah." Sampul di tangannya dihulur lagi apabila Pak Cik Ahmad masih terus diam membatu ditempatnya.
Perlahan-lahan Pak Cik Ahmad lepaskan nafas. Mata yang terasa basah cepat-cepat digosok dengan ibu jarinya.
"Kakak simpanlah duit tu. Abah tak perlukan duit tu."
"Abahhh..." Belum sempat Pak Cik Ahmad menghabiskan kata-katanya cepat sahaja Nur Jannah memintas.
"Selama ni abah tak pernah ambil duit yang kakak bagi. Setiap kali kakak hulur abah mesti tolak. Abah rasa duit yang kakak beri ni kotor ke sampai abah langsung tak nak terima?" ucapnya berjauh hati.
Laju Pak Cik Ahmad menggeleng dan beristighfar.
"Astaghfirullahalazim... Kenapa kakak cakap macam tu? Abah tak pernah pun fikir sampai ke situ," ucapnya.
"Abah tak ambil sebab abah tahu kakak lebih memerlukan duit tu. Abah tahu kakak pun susah dekat sana. Abah tak nak kakak sampai ikat perut semata-mata nak hulur duit kepada abah setiap bulan. Bagi abah, apa yang abah ada sekarang dah cukup untuk kami hidup," luah Pak Cik Ahmad panjang lebar.
"Tapi kakak teringin abah merasa duit gaji kakak. Hasil penat lelah kakak." Suara Nur Jannah sudah mula berubah rentak. Entah kenapa hatinya menjadi sayu tiba-tiba.
"Kakak, orang tua membesarkan anak tak pernah minta balasan. Abah bersusah payah cari duit dan hantar kakak belajar sampai ke universiti sebab abah tak nak kakak jadi orang bodoh macam abah. Bukan abah hantar kakak sekolah tinggi-tinggi sebab nak suruh kakak kerja dan bagi abah duit. Bukan macam tu kakak. Bagi abah, dapat tengok anak abah berjaya dalam hidup, abah dah bersyukur sangat-sangat. Dapat tengok anak abah bahagia, hati abah pun ikut bahagia." Pak Cik Ahmad bersuara lagi. Kepala Nur Jannah yang lengkap ditutupi tudung itu disentuh dan diusap perlahan.
"Abah tak minta banyak, kakak. Abah minta kakak jaga diri, jaga maruah diri dan jaga nama baik diri dan keluarga. Itu aje yang abah minta dari kakak," sambungnya lagi menitipkan pesanan.
Air mata Nur Jannah sudah mula menitis. Hati semakin sayu dan sebak. Tidak mampu untuk membalas kata-kata abahnya itu, kepalanya diangguk perlahan.
"Dah, pergilah balik. Abah takut lambat pula kakak sampai KL nanti." Air mata yang masih mengalir di pipi anak gadisnya itu disapu.
Sekali lagi Nur Jannah mengangguk. Tangan Pak Cik Ahmad terus diraih dan dikucup. Lama. Kepala diangkat dan wajah tua itu dipandang lagi.
"Kakak sayangkan abah," bisiknya dengan nada suara yang bergetar.
Pipi Pak Cik Ahmad turut dibasahi air jernih yang hangat. Dia mengangguk.
"Abah pun sayang kakak. Lebih dari abah sayangkan diri abah sendiri." Tubuh Nur Jannah terus diraih dan dibawa ke dalam pelukan.
"Jaga diri baik-baik, kakak. Abah jauh nak ambil tahu tentang kakak dekat sana. Abah dah tak boleh jaga kakak kalau kakak sakit atau demam macam dulu." Dengan nada tersekat-sekat Pak Cik Ahmad bersuara lagi.
Nur Jannah angguk. Langsung tidak mampu untuk bersuara lagi.
"Dah, pergilah..." Pak Cik Ahmad terus meleraikan pelukannya. Air mata yang masih bersisa di pipi anak gadisnya terus disapu. Abah akan rindukan kakak, bisiknya dalam hati.
Nur Jannah menurut. Kaki diayun dan Mak Cik Latipah dihampiri pula.
"Kakak balik dulu, mak." Tubuh Mak Cik Latipah terus dipeluk. Erat.
"Jaga diri baik-baik, kakak."
"Kakak tahu, mak. Tolong jaga abah baik-baik. Beritahu kakak kalau ada apa-apa berlaku kepada abah," pesannya bersungguh-sungguh. Pelukannya dileraikan.
"Yalah. Mak tahu." Mak cik Latifah berjanji.
Pandangan dibuangkan ke arah Pak Cik Ahmad semula. Lama wajah tua itu diperhati sebelum kaki diayun menuju ke kereta Jenny. Sebaik menitipkan kata-kata terakhir, dia terus masuk ke dalam perut kereta. Jenny yang hanya memerhati sedari tadi juga turut masuk. Melihat Nur Jannah dan abahnya tadi, tanpa sedar air matanya juga turut gugur tanpa dipinta. Begitu utuh sekali hubungan bapa dan anak itu. Sepanjang dua hari dia bersama Nur Jannah dan keluarganya, dia dapat melihat betapa Pak Cik Ahmad begitu menyayangi Nur Jannah. Beruntungnya Jannah kerana masih memiliki orang tua lagi. Hatinya berbicara sayu.
"Ray!" Nama Syed Azrai dilaung sambil terkedek-kedek berlari mengejar lelaki itu yang sudah jauh di hadapan.
"Ray!" jeritnya lagi semakin lantang sambil dalam hati membebel-bebel memarahi skirt ketat dan kasut tumit tinggi yang dipakainya ketika itu. Menyusahkan! bebelnya apabila langkahnya menjadi agak terhad.
Syed Azrai hanya beriak selamba. Jeritan Naina langsung tidak diendahkan. Hanya kakinya sahaja yang diayun semakin laju.
"Ray!" Naina menjerit semakin kuat. Melihat Syed Azrai yang sudah jauh meninggalkannya, kasut tumit tingginya terus dicabut dan langkahnya semakin dipercepatkan.
"Rayyy..." Melihat Syed Azrai yang sudah membuka pintu keretanya, Naina berlari semakin laju. Tapak kaki yang terasa sakit kerana memijak entah apa-apa benda ketika berlari tadi dibiarkan sahaja.
"Waittt!" Tangan Syed Azrai terus ditarik. Nafas yang sudah mulai tidak teratur ditarik dan dilepaskan agak laju.
Syed Azrai mendengus. Tangannya ditarik dari terus dipegang oleh Naina.
"You ni kenapa?" soalnya agak keras. Naina dipandang dengan riak menyinga. Memang jenis perempuan tidak tahu malu. Walau sudah beberapa kali ditolak masih juga tidak pernah serik.
"Sampai hati you buat I macam ni? Penat tau I kejar you. Tengok ni, sakit tapak kaki I," rengek Naina agak manja dan tapak kakinya ditunjukkan kepada Syed Azrai supaya lelaki itu melihat sendiri keadaannya.
"I tak suruh pun you kejar I. Nasiblah!" Syed Azrai masih beriak seperti tadi. Jengkel dan acuh tidak acuh sahaja layanannya.
"Youuu... I tengah sakit ni," rengek Naina lagi. Tangan Syed Azrai dipaut semula. Kali ini dengan lebih kemas lagi.
"Nainaaa!" Suara Syed Azrai sudah mulai meninggi. Rimas dia dengan gelagat gadis itu. Tangannya cuba dilepaskan tetapi semakin kuat gadis itu memeluk tangannya.
"Pleaselah, I nak balik ni. I penat."
"I nak ikut," rengek Naina selamba. Langsung tiada rasa malu.
"Eh! I nak baliklah. Apa hal you nak ikut pula?" marahnya.
"Ala, mummy you bukan tak kenal I. Lagipun tak lama lagi kita akan bertunang, so nak malu buat apa?" Tubuhnya semakin dirapatkan ke tubuh Syed Azrai dan tangan lelaki itu semakin dipeluk kemas.
"Excuse me! Bila masa I cakap I setuju bertunang dengan you? Oh! Pleaselah Naina, stop dreaming!" bentak Syed Azrai keras. Tubuh gadis itu terus ditolak untuk melepaskan dirinya.
Naina tersentak apabila tubuhnya terasa melayang dan hampir terjatuh.
"Ray!" jeritnya kuat sambil membetulkan tubuh agar tidak jatuh. Kasut tumit tinggi yang dipegangnya terus dijatuhkan ke atas jalan.
"I beritahu mummy you apa yang you buat kepada I tadi!" marahnya sambil menarik muka geram.
"Like I care!" sinis Syed Azrai membalas. Daun pintu keretanya semakin dikuak lebar. Baru sahaja tubuhnya ingin masuk ke dalam perut kereta, tangannya ditarik lagi. Tubuhnya dipalingkan ke belakang semula.
"You nak apa lagi ni? Don't disturb me! Get that?" marahnya pula.
"No!" jerit Naina seperti orang yang terkena histeria. Tubuh Syed Azrai ditolak ke dinding kereta dan dada lelaki itu ditekan kuat.
"Hei! You buat apa ni?" Syed Azrai mulai cuak. Gila ke apa?! Pandangannya dibuangkan ke sekeliling untuk melihat mata-mata yang sedang memerhatikan mereka.
"I nak ingatkan you, jangan nak cari pasal dengan I. You tahu kan apa yang I mampu lakukan? Dan you pun tahu yang mummy you akan sentiasa berpihak kepada I!" ugut Naina agak keras.
"I don't care, Naina! Buatlah apa yang you suka dan ianya tak akan mengubah apa-apa pun!" Tangan gadis itu diraih dan ditolak agak kasar.
Sekali lagi tubuh Naina melayang dan hampir terjatuh ke atas lantai tar jalan.
"Ray!" jeritnya geram.
Sambil mengemaskan kemeja dan tali lehernya, Syed Azrai terus masuk ke dalam perut kereta. Secepat kilat pintu keretanya ditutup dan dikunci dari dalam. Bimbang perempuan yang digelarnya gila itu tiba-tiba membuka pintu keretanya.
"Ray!" Naina masih terjerit-jerit. Cermin kereta lelaki itu diketuk-ketuk, kuat.
Enjin terus dihidupkan dan tidak menunggu lagi keretanya terus dipandu keluar dari kawasan parkir tersebut. Sambil berlalu tangannya dilambai-lambai ke arah Naina sambil tersenyum sinis.
Naina mendengus keras. Just wait and see Ray! I'll do something! bisiknya geram.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co