Truyen3h.Co

DIA BUKAN SYURGA

Bab 11

karyaseni2u

"Kau dari mana ni? Berpeluh-peluh semacam. Takkanlah baru lepas berjoging kut. Agak-agaklah, baru pukul tiga petang. Awal sangat lagi kalau nak berjoging." Pelik Effa melihat wajah Nuha yang dibasahi peluh. Tudung pun sudah senget semacam. Tadi dalam mesej yang dikirimkan Nuha kepadanya, kata Nuha mahu keluar dengan Tajul. Tapi tidak pula dia mendengar enjin kereta Tajul berhenti di hadapan rumah seperti selalu. Enjin kereta Tajul itu memang sudah dihafal oleh masing-masing di dalam rumah itu. Menderum semacam dengan ekzos yang sebesar meriam buluh tu. Bak kata Dian, sekali Tajul lalu, satu taman boleh terjaga dibuatnya.

Nuha melemparkan beg tangan yang tersandang di bahunya. Punggungnya dihempaskan di atas kerusi kayu yang sememangnya disediakan oleh tuan rumah. Tubuhnya disandarkan ke belakang. Nafasnya naik turun menahan lelah.

Melihat keadaan Nuha yang sudah seperti ikan kekurangan air, Effa terus bingkas bangun menuju ke dapur. Seketika kemudian, dia kembali semula ke ruang tamu dengan segelas air sejuk di tangan.

"Nah! Minum air ni dulu." Cepat-cepat Nuha menyambut gelas yang dihulurkan Effa. Dengan tiga kali teguk, habis air segelas diminumnya.

"Terima kasih, Effa," ucap Nuha kemudiannya. Gelas yang sudah kosong diletakkannya di atas meja.

"Kau dari mana ni? Berpeluh-peluh macam baru lepas dikejar anjing. Kata tadi kau nak keluar dengan Tajul. Tapi tak ada pula aku dengar bunyi enjin keretanya di luar menghantar kau macam selalu. Kau ke mana sebenarnya ni?" Effa mengulang kembali pertanyaannya.

"Keluar dengan dialah!"

"Habis tu, dia tak hantar kau balik?"

Nuha tidak menjawab sebaliknya mencapai akhbar beberapa hari lepas yang berada di bawah meja. Dilipatnya dua. Lalu dikipasnya ke muka. Panas!

"Bergaduh lagilah ni?" Melihat wajah Nuha yang sudah kelat semacam itu, Effa sudah dapat mengagak puncanya. Tak lain dan tak bukan, pasti Nuha berselisih faham lagi dengan Tajul.

"Hurm..." balas Nuha lemah. Penat bergaduh dan letih membela diri. Ada sahaja isu yang mahu dibangkitkan Tajul. Kadang-kadang tak ada perkara pun yang mahu digaduhkan, tetapi ada sahaja benda-benda remeh yang mahu digaduhkan Tajul. Seolah-olah bergaduh itu sudah menjadi hobi teman lelaki yang sudah lebih dua tahun dikenalinya.

"Hari ini bergaduh fasal apa pula? Kawan yang mana pula yang jadi tukang sampai kali ni?" Bukan Effa tidak tahu, Tajul itu pantang mendengar kawan-kawan mengadu. Nampak Nuha makan di gerai, nampak Nuha berjalan balik ke rumah sewa sambil ketawa dengan housemate, terserempak Nuha bercakap dengan kawan sekerja, semuanya mahu dilaporkan kepada Tajul. Sudahlah Tajul itu kalau boleh, senyum Nuha pun mahu dikawalnya. Cemburunya kalau boleh diukur, mungkin setinggi bangunan Burj Khalifa yang terletak di Dubai sana tu. Dapat pula laporan sebegitu daripada wartawan-wartawan yang tidak bergaji, apa lagi, melentinglah dia dibuatnya.

"Entahlah! Marah-marah tak tentu fasal. Boleh dikatanya aku ni perempuan murah. Sakit hati aku."

"Sebab apa pula dia kata kau macam tu?"

"Tadi, kami keluar makan. Terserempak dengan kawan dia Si Faizal tu. Mamat tu pun satu, mana-mana tempat aku pergi mesti ada aje muka dia. Kita menyewa dekat sini, dia pun menyewa dekat sini. Kadang-kadang aku rasa dia tu memang diupah Tajul untuk mengintip aku." Marah nampaknya Nuha kali ini. Faizal tu nama sahaja lelaki. Tapi mulutnya mengalahkan mulut tempayan. Kalau boleh, setiap pergerakan Nuha pun mahu diintipnya lalu dikhabarkan kepada Tajul. Naik meluat juga Effa dengan perangai Faizal yang suka menyibuk tu.

"Okey, kau keluar pergi makan, jumpa dengan mamat mulut tempayan tu. So, what's happen next?" tanya Effa sedikit tidak sabar.

"Mula-mula macam biasalah. Dia datang tegur Tajul, aku buat-buatlah tak tahu. Malas nak mengadap muka dia tu. And then kau tahu, tak fasal-fasal dia buka cerita ternampak aku keluar pergi beli burger dekat depan simpang depan sana tu malam tadi. Depan Faizal, Tajul tersenyum-senyumlah macam tak ada apa-apa. Masuk dalam kereta, apa lagi, melentinglah dia! Katanya perempuan yang suka keluar malam-malam ni, perempuan yang nak cari pelanggan. Kurang ajar betul!" Semakin kuat akhbar yang dipegang Nuha dikipasnya ke muka. Marah bercampur geram.

"Dah tu?"

"Dah tu apa? Bergaduhlah kami tadi. Dia mengamuk dalam kereta. Klimaksnya, dia tinggalkan aku dekat tepi jalan. Suruh aku balik jalan kaki. Tak mahu kotorkan kereta dia dengan tumpangkan perempuan macam aku." Mulut Effa sudah melongo. Jahatnya Tajul!

"Dah tu, kau balik naik apa tadi?"

"Naik bas. Nak naik teksi, tapi bawa duit tak cukup. Naik bas kau tahulah, bukannya masuk sampai ke dalam.Berhenti setakat depan simpang jalan besar tu aje. Menapaklah aku dari hentian bas tu ke rumah." Hentian bas ke rumah sewa mereka boleh tahan juga jauhnya. Sempatlah basah baju dibuatnya. Tambah-tambah lagi dalam keadaan cuaca panas begini.

"Aku dah agak. Dah banyak kali aku cakap dengan kau, dia tu jenis lelaki tak boleh dibuat calon suami. Panas baran, cemburu buta, ego tinggi macam apa. Kalau kau kahwin dengan dia, entah-entah, lepas tu dia buat kau macam sayur. Lunyailah kau jadi bahan dia nak lepaskan marah. Orang macam tu bukan boleh dibuat kira." Effa melepaskan geram. Sudah banyak kali sebenarnya dia menasihati Nuha. Tapi Nuha tu sayang sangat dengan Tajul. Biarpun seburuk mana layanan Tajul, lepas dipujuk, pasti hati Nuha akan lembut semula. Effa sudah faham sangat.

"Tapi, dia belum pernah naik tangan pada aku. Setakat marah-marah tu biasalah."

"Habis tu kau nak tunggu dia naik tangan baru kau nak tinggalkan dia? Dia tinggalkan kau dekat tepi jalan hari ni pun kau tak marah? Aduh, Nuha! Tolonglah sedar sikit. Dia tu tak layak dibuat kekasih, apatah lagi suami. Jangan jadi buta kerana cinta, Nuha."

"Tapi kami dah bincang soal kahwin. Dah bertemu dengan keluarga masing-masing pun. Takkanlah mahu dibatalkan? Lagipun sayanglah Effa, aku dengan dia dah dua tahun berkawan. Tajul tu baik sebenarnya. Dia tu bukannya jahat. Cuma dia cepat marah dan kuat cemburu aje."

"Kau nak hidup dengan lelaki macam tu, Nuha? Kau fikir lojiklah. Kalau kau tersenyum pada lelaki lain pun dia marah, kau bayangkanlah macam mana kau nak bekerja nanti."

"Tapi setakat ni, Tajul tak ada halangan pun kalau aku terus bekerja meskipun selepas kahwin. Cuma yang dia selalu pesan, pandai-pandailah aku jaga diri sebagai isteri orang."

"Nuha, Nuha. Kau ni bukan setakat naif, tapi buta! Tajul dah buat kau macam-macam, tapi kau still nak bertahan dengan lelaki macam tu. Kalau sebelum kahwin dia tak hormat kau, cemburu yang tidak-tidak sahaja, kau bayangkanlah selepas kau berdua dah kahwin. Jangan-jangan, dengan abang-abang kau pun dia akan cemburu nanti."

Nuha menelan liur. Tak mungkinlah cemburu Tajul hingga ke tahap itu. Bukannya orang lain, abang-abang kandungnya sendiri juga.

"Aku yakin dia akan berubah selepas kahwin. Tambah-tambah bila kami dah ada anak nanti."

Effa mendengus. Bercakap dengan Nuha kadang-kadang dia pula yang boleh hilang sabar. Entah apalah yang sudah digula-gulakan Tajul sehinggakan Nuha seolah-olah buta untuk melihat segala sisi buruk yang dipamerkan Tajul selama ini.

"Orang kalau dah perangai tu memang sebati dalam diri, bukannya senang nak berubah, Nuha."

"Mungkin aku orangnya yang mampu mengubah sikap Tajul, siapa tahu?" Nuha masih lagi bersikap optimis.

"Suka hati kaulah Nuha. Aku dah nasihat, terpulanglah sama ada kau nak dengar atau tidak. Cuma aku harap kau tidak tersilap dalam membuat pilihan."

Nuha terdiam. Sedikit sebanyak sebenarnya kata-kata Effa meresap juga ke dalam hati kecilnya.

Malam itu Nuha termenung panjang. Cuba menilai semula hubungannya dengan Tajul sepanjang dua tahun ini. Apabila diingatkan, memang benar kata Effa, lebih banyak dia menangis daripada tertawa gembira sepanjang perhubungan ini terjalin.

Nuha menarik nafas. Dia perlukan petunjuk sebelum membuat keputusan. Kakinya melangkah menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Dia tidak mahu terburu-buru lagi. Biarlah keputusannya kali ini dibuat bukan lagi berdasarkan rasa cinta dan sayang yang membuta tuli.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co