Truyen3h.Co

Dia... Cinta Yang Kucari

Bab 1

karyaseni2u

Prolog I

Kusangka hidupku selamanya kelam.

Terbelenggu ikatan tanpa manisnya cinta.

Memaksa diriku, menapaki jalan.

Arah yang tak pernah kumahu dalam hatiku.

Kini Engkau pun hadir memberi cahaya.

Membangunkan aku dari suramnya mimpi ngeri.

Menuntun hatiku ke jalan yang benar

Seakanku hidup kembali dari matiku.


Prolog II

DIA tahu renungan mummynya hangat membara. Dia juga tahu dia memang akan dimarahi. Memang! "Don't look at me like I'm a snickers bar, mummy." Payed buat muka tak puas hati di depan mummynya. "You scared me..."

"Tahu pun takut!" bentak Puan Huda, marah. Berketup-ketup giginya dikacip kemas. "Kalau Payed kata takut bila mummy renung macam ni, Payed tak pernah takut dengan pandangan Tuhan kepada Payed?" Ikutkan hati, memang dia nak tampar aje anak sulung dia ni. Perangai semakin menjadi-jadi. Semalam terkejut dia sewaktu mengutip baju kotor milik Payed. Dia melihat terdapat kesan gincu pada baju dan juga ada resit Hotel Istana. Mahu tak sakit hati.

"Sejak bila Payed pandai usung perempuan masuk hotel? Sejak bila?!" jerkah Puan Huda masih tak puas hati. Birai matanya sudah basah. Sedih tak terkira.

"Mummy... Kita orang masuk tak buat apa pun. Lepak-lepak, makan-makan..." Sebenarnya lain yang terjadi. Bukan seperti apa yang dia gambarkan.

"Lepak makan atas katil?" Hati Puan Huda tak mampu menahan sabar lagi. "Apa? Dah tak ada restoran untuk kamu bawa perempuan tu lepak makan? Hah, Payed?!" jerkah Puan Huda mencantas garang.

Payed garu kepala. Salah dia sebab terkantoi dengan mummynya. Dia hela nafas panjang. Butang baju yang terkancing sampai leher dibuka sampai ke tengah dada. Sesak.

"Habis tu, mummy nak Yed buat apa ni?" Senada. Datar dan tiada tanda penyesalan sewaktu soalan itu diungkapkan.

"Kalau macam inilah perangai kamu, kahwin ajelah. Kamu ada tempat untuk lepaskan nafsu kamu tu!" putus Puan Huda lantas dia berpaling hendak masuk ke dalam bilik. Biarlah air mata dia jatuh dan disaksikan oleh Allah. Dia sudah tewas dalam mendidik Payed. Dia kalah.

Mendengarkan perkataan kahwin itu buat Payed gelak sendiri. Kahwin? Aku ke? Dengan siapa? Tapi... Akalnya buat gila. "Kahwin boleh, mummy..."

Langkah Puan Huda terhenti. Dia pandang anaknya seraya mengesat tubir mata. Tak percaya. "Sungguh?"

Payed angguk. Yakin! "Janji calonnya cantik macam bidadari..." Dia sengih jahat. Dia tahu yang mummynya tahu cita rasa dia terhadap perempuan. Dan dia yakin, kemahuan dia tak mungkin akan terlestari.

"I keep your promise, Fareed Al-Fattah." Amaran keras daripada Puan Huda.

Bibir Payed mekar dengan senyuman. Nampak mummynya dah tak berapa nak marah, dia angkat ibu jari dan mengangguk laju. Pastikan cantik, mummy... Pastikan!

Prolog III

DIA hanya mampu ketap bibir melihat kakaknya yang terlompat gembira saat mengkhabarkan berita itu. Sungguh dia tumpang bahagia. Melihatkan air wajah mama dan ayahnya yang tersenyum penuh makna, tiada kata lagi untuk Luth ucapkan melainkan syukur.

Angin yang mengelus wajah, menolak selendangnya ke belakang membuatkan Luth menarik semula selendang itu dan menutup separuh wajahnya. Petang yang damai namun awan berarak menjadikan langit bertukar kelam secara tak diduga.

Rintik hujan mula menyentuh bumi. Luth mengucap syukur. Segera surah al-Kausar dibaca. Dia mendongak ke langit yang kelam. Menerima titisan hujan pada pipinya. Kerana dia tahu, salah satu fadilat surah ini adalah apabila dibaca kala hujan turun, insya-Allah doanya akan dimakbulkan.

"Tak!!!" Tiba-tiba tempikan Fina sepuluh tahun lalu bergema di telinga. Birai matanya terasa basah. "Fina tak pernah anggap dia adik Fina!" Masa itu Fina bagai kerasukan. Tak tahu apa sebabnya.

Luth menghampiri Fina. Memujuk biarpun mama dan ayahnya melarang dan perkara itu terjadi dengan pantasnya. Saat dia terjaga esok hari, nyata dia bukan lagi Luth semalam. Dia dah lain. Dah berubah. Saat itu, dia tak menangis melainkan jiwanya terasa mati.

"Luth..." Bahunya disentuh. Cepat-cepat dia halau pergi kenangan yang menyakitkan itu. Malah masih terasa sampai sekarang. Luth menoleh ke belakang. Mama.

"Hujan ni. Jom masuk," ajak Puan Laila kepada anak bongsunya.

Luth bangkit dan tangannya dipimpin oleh Puan Laila kemas. "Luth, boleh mama cakap?" Gugup sebenarnya dia kerana ada niat tersembunyi saat ini.

"Apa dia, ma?"

Kaki mereka menapak. Tapi makin perlahan biarpun hujan makin kasar. "Ada orang pinang Luth. Luth terima?"

Soalan Puan Laila membuatkan Luth merentap tangannya dari pegangan Puan Laila. Spontan. Dia terkejut. "Siapa?"

"Anak kawan lama mama," jawab Puan Laila sambil cuba menarik kembali tangan Luth tapi anaknya mengelak.

"Mama terima?" soal Luth dengan lidah yang kian memberat.

Dengan berat hati, Puan Laila angguk. Kening lebat Luth berkerut hebat. Mama tak sedar kesan keputusan mama. Mama bukan tak tahu tapi kenapa? Dia tak ada jawapannya.

Hujan makin lebat. Puan Laila berlari ke bawah garaj tapi anak gadisnya kekal berdiri di situ. Di dalam hujan lebat. Salah dia. Salah dia. Tapi, ini adalah yang terbaik buat Luth. 

BAB 1

TAK tahulah lagi apa yang kakaknya tak puas hati tentang dia. Segalanya tentang dia. Apa lagi yang tak kena? Luth tak tahu. Bertahun-tahun dia mencari jawapan tapi hampa. Apabila ditanya kepada mama dan ayahnya, mereka tiada jawapan dan apabila ditanya kepada Fina sendiri, kakaknya itu hanya mencebik. Buat hatinya semakin luka.

Dia hanya mampu memandang pakaian yang ada di dalam pelukan Fina. Dress labuh yang dibelikan untuk dia. Tapi kini, Fina yang sedang menayang dress itu pada tubuh sendiri. Luth ketap bibir. Terasa hendak menangis tapi mampukah dia? Jika lima tahun dulu dia tak pernah menangis, kenapa kini dia mahu menangis pula? Semakin lemahkah dia?

"Cantik, kan?" Fina saja menyakitkan hati adiknya kerana dia tahu Luth tak akan membantah.

"Itu baju aku, Fina. Aku nak interview esok..."

"Sekarang jadi hak aku. Aku pun nak interview juga." Selamba Fina mencantas. "Tapi, baju aku kurang cantik. Mama ni memang pilih kasihlah. Kau punya semua cantik..." Dia mencebik lebar. Sengaja salahkan mamanya kerana dia tahu memang Luth pantang andai dia kaitkan dengan nama mama dan ayahnya.

"Agaknya sebab kau dah sedia tak cantik, biarlah sekurangnya baju-baju kau cantik, kan?!" herdik Fina. Dress labuh itu dicampak ke tengah permaidani di dalam bilik Luth.

Apabila melihatkan wajah Luth tertunduk menekur ke atas lantai dan tiada lagi suara bantahan daripada Luth, Fina terus saja berlalu keluar dari bilik Luth dengan senyuman herot menghiasi bibirnya yang kemerahan. Betapa terluka pun Luth, pada Fina, tiada apa-apa yang perlu dibimbangkan. Pada dia, Luth bukan lagi manusia. Luth tak berupa manusia.

Setelah Fina menghempas daun pintu, Luth terduduk sendiri. Dia menggeleng kesal mendongak ke siling kapur yang bercorak warna-warni itu. Bibirnya bergetar dan air matanya jatuh melalui juring mata. Hari ini dia tak ada pilihan melainkan menangis. Dia sudah rasa terbeban. Sangat. Dengan sikap Fina. Biarpun mama dan ayahnya sentiasa menyokong tapi Fina lain. Fina suka membentak. Fina suka menyakitkan dirinya. Andai kehendak Fina tak dituruti, Fina akan membuatkan dia, mama dan ayah mereka serba salah.

Apa perlu aku buat, Tuhan? Telapak tangannya naik menyentuh pipi yang basah. Matanya terpejam lama dan apabila dia buka mata, mamanya berdiri tepat di depannya. Wajah mamanya murung. Luth dah serba tak kena.

"Ma... Bila masuk?" Dia senyum menyembunyikan resah.

Puan Laila tidak menjawab. Dalam hati berbisik, mama dah berdiri di depan pintu masa Luth cakap itu baju Luth. Dia ada menegur Fina tadi tapi begitulah Fina, tak pernah mahu mengalah.

"Jom kita keluar," ajak Puan Laila kepada Luth.

"Nak pergi mana?" Dahi Luth berkerut. Dia jarang keluar. Sangat jarang. Kalau keluar pun... cuma jadi pemandu, menghantar mamanya ke destinasi tertentu dan dia hanya duduk di dalam kereta. Menanti.

"Esok kan Luth dengan Fina nak interview." Puan Laila tunduk mengutip dress yang dia tempah khas dengan kawan baiknya, Ku Zarina. Khas mengikut ukuran tubuh Luth tapi begini jadinya. Dia ukir senyuman payah. Kelat.

"Tak payahlah pakai baju ni, Luth. Nanti kita pergi beli baju kurung, ya? Luth suka pakai baju kurung, kan?" pujuk Puan Laila.

Mengerti dengan mamanya yang sedaya upaya menjaga hatinya, Luth angguk dan terus memeluk bahu Puan Laila. "Sayang mama..."

"Sayang Luth jugalah..." Pipi Luth diusap. Serta-merta dadanya sempit apabila meraba pipi kiri anak dara ini. Apabila hampir saja air matanya menitis, dia terus bangkit. Menyembunyikan tangis. "Mama tunggu dekat luar, ya? Cepat siap..." Suaranya serak.

Lepas Puan Laila hilang di balik pintu, Luth kembali murung. Dia dah siap. Dia memang berpakaian begini di rumah. Menutup aurat dan selesa. Apa yang perlu, hanya jaket yang punyai hud untuk menutup wajahnya.

Dia bangkit tapi sebelum berlalu, sempat lagi dia melihat dress putih labuh itu. Tak padan dengan dia sebenarnya dan dia dengan rela hati akan memberikan dress itu kepada Fina.

RUMAH ini tak sebesar mana. Tapi, agak lapang. Boleh jadi orang senang. Lebih senang daripada keluarga dia yang pastinya. Mata Luth meliar memandang sekitar rumah. Ada laman biarpun tak sebesar mana. Ada air terjun di hujung pagar. Ada rumput karpet yang ditanam elok.

"Kata nak keluar, ma? Ini rumah siapa?"

Puan Laila senyum. Dia memang nak keluar tapi semalam dia ada terima panggilan daripada kawan lama dia yang baru balik dari luar negara selepas mengikut suami berhijrah ke United Kingdom. Dia rindu sangat.

"Ini rumah kawan lama mama. Dah lama sangat tak jumpa. Last mama jumpa dia masa dia nak berangkat ke UK dulu ikut husband dia. Husband dia tu kawan baik ayah, tau. Ni dah dua minggu dia balik tapi baru hari ni sempat jenguk..."

Luth angguk mengerti. Dia betulkan skirt kembang labuh yang dipakainya, baju T lengan panjangnya yang dirasakan sedikit tersingkap, dan juga hud yang ada di atas kepala.

"Bukalah baju luar tu, Luth," suruh Puan Laila.

Tapi, Luth menggeleng. "Mama tahu kan... Luth selesa macam ni."

Puan Laila ketap bibir. Anak dia cantik. Terlalu cantik malah sesiapa saja akan jatuh sayang saat pertama kali melihat Luth. Bukan satu dua pinangan yang datang ke pintu tapi dia terpaksa tolak kerana Luth masih lagi belajar dan sekarang ini, Luth dah mampu jadi isteri andai ada yang sudi.

"Tak apalah kalau Luth selesa macam ni. Jom kita masuk..." Pintu Kia Cerato itu dirapatkan. Tangan Luth diraih dan dipimpin kemas.

"Assalamualaikum..."

Sekali memberi salam, ada yang menyahut dan saat pintu terkuak, muncul wajah seorang wanita separuh usia. Wanita itu menekup mulut dek terkejut lantas menarik Puan Laila ke dalam pelukan. Kemas.

Melihatkan perkara ini, Luth mula mengerti apa yang mamanya katakan tentang rindu. Setelah beberapa saat, mata wanita itu naik memandang Luth yang tertunduk malu.

"Ini..." Puan Huda meleraikan pelukan kawan daripada zaman anak daranya itu. Memandang tepat pada anak gadis ini pula. "Anak kau kan, Laila?"

Puan Laila angguk. "Luth..."

"Fina?" tebak Puan Huda. Tapi, rasanya dia silap. Entahlah. Mereka tak kembar tapi wajah agak seiras. Sama cantik tapi rasanya yang bernama Luthfiya lagi cantik. Ada beza juga sikit. Entah. Dah lama tak jumpa. Dia tinggalkan Malaysia masa anak-anak itu berumur belasan tahun, kini mereka dah menginjak dewasa.

"Ini Luthfiya, Huda..."

Puan Huda sengih lebar apatah lagi apabila tangannya dipaut lembut dan terus disalami, dikucup. Ringan dia menyentuh belakang kepala Luth. Baik budaknya. Pandai Laila didik anak. Tak macam dia.

"Sihat, aunty?" Luth angkat mata.

Puan Huda angguk. Rasanya hati dia tertawan melihat senyuman pada bibir mungil yang nampak merah kebasahan itu.

"Jom masuk..."

Mereka sama-sama menapak. Luth hanya mendengar setiap perbualan antara dua rakan lama itu. Melihat keadaan rumah yang penuh dengan kotak-kotak, dia tahu mereka baru saja kembali ke Malaysia. Di tengah ruang tamu, hanya ada sofa dan TV. Yang lainnya masih lagi tersandar pada dinding.

"Maaflah, Laila. Aku ni nama aje dah balik dua minggu tapi satu apa pun tak buat. Fuad pula terus kena masuk kerja. Mana nak sempat. Anak bujang aku seorang lagi pun dah mula kerja. Yang seorang lagi masih terbongkang. Baru sampai semalam. Jet lag katanya..." Puan Huda tak puas bercerita itu dan ini.

Luth tak lepas-lepas memberi senyuman. Sesekali dia membetulkan hudnya sambil menapak mendekati pintu luncur yang sedia ternganga lebar dengan langsir putih yang melambai ditiup angin. Matanya dipejam rapat. Puan Huda yang sedang menikmati minum petang dengan Puan Laila saling berpandangan.

"Cantik betul dia, Laila..."

Kepala Puan Laila jatuh. Dia setuju malah sesiapa saja akan setuju. Tapi, tiada orang yang tahu andai tidak memerhati. Luth istimewa. Luth punya kekurangan tapi hati Luth bak bidadari. Bagai puteri yang cintakan rakyat.

"Itulah dia..." Sebenarnya, dia tak tahu nak komen apa lagi. Bibir cawan didekatkan ke mulut. Hati dia sebu. Hendak diluah kepada Puan Huda kawannya itu, rasanya belum tiba waktu.

"Sorang lagi mana?"

"Fina?"

Puan Huda angguk.

"Keluar. Aku nak keluar tadi dia pun nak keluar. Ajak pun, dia dah janji dengan kawan dia. Jadinya, aku bawa Luth ajelah..."

Senyuman manis tak lepas dari bibir Puan Huda apatah lagi setelah Luth berpaling dan menggariskan senyuman manis buat dia. Sungguh, dia jatuh hati. Sungguh, dia berkenan. Dia jatuh kasih.

"Aku jatuh kasihlah kepada dia, Laila..." Matanya memandang teman lama di depan yang nampaknya tersenyum kelat. "Muka kau kelat, kenapa? Dah tak suka aku sayang anak kau?" Dia rasa berjauh hati juga. Sudahlah sepuluh tahun tak jumpa. Tak ada pula anak perempuan.

"Tidaklah..." Geleng. Mata Puan Laila dan Puan Huda bertentangan lama. "Luth tu lain sikit, Huda. Tapi, nak sayang macam anak sendiri tu, aku pun suka. Cumanya kalau kau ada niat nak..."

"Memang. Aku nak buat menantu," sampuk Puan Huda separuh berseloroh. Dia gelak kecil tapi niatnya padu.

"Kau ni, Huda... Tak berubah. Suka betul gurau dengan aku hal-hal macam ni..."

Wajah Puan Huda berubah serius. "Aku sungguh, Laila. Aku tunggu aje kau datang. Aku tunggu aje sampai Malaysia. Aku tunggu nak tengok Luth. Aku tahu daripada apa yang kawan-kawan kita cakap, kau berjaya besarkan Luth lebih baik daripada Fina. Aku juga tahu hal sepuluh tahun lepas, hal yang terjadi lepas aku berangkat ke UK," ujar Puan Huda.

Boleh jadi Puan Laila ingatkan Puan Huda tak tahu. Tapi Puan Huda tahu. Dunia di hujung jari biarpun Puan Laila tak pernah bercerita tentang anak-anaknya selama mereka berbalas e-mel.

"Huda... Luth dia..."

"Aku tahu...." Tangan Puan Laila digenggam.

Saat ini Luth sampai. Duduk di sisi Puan Laila dan terus saja perbualan mereka mati. Mata Puan Huda memandang Luth. Mengintai di balik hud yang sedikit menutupi wajah. Cantik. Hanya itu sepatah kata yang terbit dari hati dia. Cantik segalanya.

"Duduk, Luth..."

"Cantik rumah aunty... rasa tak puas tengok," puji Luth tulus.

"Nak duk sini tak?" duga Puan Huda. Puan Laila hanya diam menanti jawapan Luth.

"Boleh ke?" Luth gelak halus. Saja melayan gurauan kawan mamanya.

"Kalau Luth nak duduk, aunty nak serahkan kunci rumah. Biar Luth jaga rumah ni. Jaga aunty... uncle..." jawab Puan Laila penuh makna.

Matanya merenung mata teman lama. Janji diungkapkan melalui sinar mata. Puan Laila ketap bibir. Dia tahu teman lamanya, Puan Huda itu baik. Boleh jadi dah sampai masa Luth temui bahagia di luar rumah itu.

"Luth nak tengok atas, pergilah. Tapi semak sikit," pelawa Puan Huda. Dia masih ada perkara yang mahu dibincangkan dengan Puan Laila. Tentang anak-anaknya. Tentang Fareed Al-Fattah dan Fadlee Al-Fallah. Dua dunia berbeza.

"Boleh tak, ma?" tanya Luth teruja apabila tuan rumah mempelawa.

Puan Laila sekadar kerdipkan mata. Mengizinkan. Luth senyum dan terus bangun. Perlahan-lahan menapak ke atas. Dia tak mahu mengganggu perbualan mamanya dan Puan Huda.

Kala melintasi beranda, kaki Luth terhenti di situ. Dia mendekati pagar dan memandang ke bawah. Hembusan angin terasa damai. Memang cantik rumah Puan Huda tapi rumah dia ialah syurganya. Biarpun Fina begitu, tapi Fina tetap darah daging dia. Tak akan putus pertalian itu. Duduknya dilabuhkan di atas sebuah kerusi besi bercat putih. Menghela nafas tenang. Terasa hening tiba-tiba. Hud dijatuhkan. Selendang ditolak sedikit ke belakang daripada terus menutup wajah. Bibir Luth mengukir senyuman sambil merenung ke dada langit yang membiru. Tenang!

KEPALANYA digaru beberapa kali. Dia menggeleng kecil bersama senyuman senget. Rambut yang kusut tak dipedulikan. Saat dia menolak langsir, matanya terpandang akan satu susuk tubuh yang sedang mengambil angin di beranda.

Siapa pula rajin naik atas ni? Orang gaji ke? Mummy tak suka orang gaji. Atau upah orang untuk kemas barang? Payed terus merenung. Sesekali apabila gadis itu nampak menggumam dan senyum, jantung dia hampir terhenti.

Cantik!

Sepatah ayat itu saja yang mampu dia ungkapkan. Memang cantik. Matanya semakin payah nak lepas daripada memandang sisi wajah tenang itu. Wajah itu tertutup dengan hud dan selendang. Nak aje dia jerit supaya empunya diri berkalih agar dia dapat melihat wajah penuh perempuan itu. Andai kata melihat sisi juga sudah hampir buat jiwa dia bergelora, tak tahulah andai menatap penuh wajah perempuan itu.

Tangan kasar Payed singgah pada birai tingkap yang sudah ditolak sedikit. Tak sedar dia sudah tidur sampai petang. Naik pening kepalanya. Ikut hati dia tak nak balik tapi sudah mummy dan abahnya paksa. Bosan betul.

Tapi, kalau sebegini indah bunga di beranda, rasanya penerbangan yang hampir seharian itu dirasakan berbaloi. Baru nak menapak ke beranda, suara mummynya terjerit kuat.

"Luth... Mari turun, nak. Rasa kek aunty buat ni..."

Payed sengih. Senyuman jahat terukir kemas pada bibirnya. Baru hendak beralih semula ke tepi tingkap, nyata bangku itu kosong.

Hampa.

Tapi, satu nama itu berlegar kemas di dalam kepala.

Luth...


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co