Truyen3h.Co

Dia... Cinta Yang Kucari

Bab 10

karyaseni2u

GELAPNYA! Macam malam!

Payed garu kepala yang tak gatal. Matanya meliar mencari kelibat Luth tapi masih tak jumpa. Cepat sungguh Luth bergerak. Kakinya maju lagi ke depan dan berdiri di depan lobi bangunan.

Matanya menengadah langit. Hari dah hujan. Rintik-rintik halus ni bakal bertukar kasar bila-bila masa dari sekarang tapi mana pergi Luth pun dia tak tahu.

Dahlah Palee nampak Luth menangis. Muka dia pun sakit makan penumbuk kesan daripada apa yang Palee lihat. Kalaulah mummy dan abahnya tanya mengenai kesan tumbukan itu, takkan Payed nak jawab Palee tumbuk? Heh? Lepas tu disoal lagi kenapa, nak jawab apa? Sebab hampir rosakkan anak dara orang? Gitu?

Paling gila pun mummynya paksa kahwin. Tak ada kerja dia. Tak puas lagi nak bersendiri ke sana dan ke sini. Ini nak kelek isteri? Memang tidaklah. Jauh panggang dari api. Dan... Nak jumpa yang cantik ikut seleranya, sangat payah. Cantik yang dia sendiri tak tahu nak jelaskan macam mana.

Matanya kian meliar memerhati. Dari kiri ke kanan membuat imbasan tajam dan akhirnya dia ternampak samar-samar susuk tubuh makhluk yang dicari. Luth sedang berdiri di perhentian bas. Hujan pun nampak makin garang ni. Memang payah nak dapat bas atau teksi. Payung tak ada, entah macam mana nak dekati Luth.

Dari jauh, dia nampak Luth menjawab panggilan telefon. Terangguk-angguk sendiri. Sah, Palee! Tak boleh jadi ni! Payed terus berlari laju mendekati perhentian bas. Basah pun, basahlah.

Bahu Luth dicuit. Terus Luth kalih. Terkejut dan cuba berlalu tapi Payed mendepangkan tangan, menahan.

"Please... Hari hujan ni. I hantar balik," ujar Payed kuat melawan bunyi deruman kenderaan yang bertali arus. "Cepat, Luth. Hujan dah makin lebat ni. I dah basah ni..." Memang. Dah dekat nak lencun. Luth pun sama sebenarnya.

Bibir gadis itu terkatup rapat. Luth diam. Menggeleng saja. Bersuara tidak. Tak sanggup dah dia nak percaya dekat Payed. Sekelip mata Allah tunjuk yang dia tak sesuai bekerja di dalam satu bangunan dengan Payed.

"Luth... Come." Tangannya dihulur. Tapi sayang, Luth memandang sepi. "You pun dah basah tu..."

Memang basah. Baju kurung Luth dah mula mengikut bentuk badan. Dia tahu Luth segan. Tengok muka dah tahu.

"Please. Demi Allah, saya minta maaf," ucap Payed, mula berlembut. Pandai pula dia sebut nama Tuhan Yang Satu setelah sekian lama tak disebutnya. Masih percayakah dia dengan kewujudan Tuhan sedangkan segala suruhan dan larangan diingkari?

Wajah Luth terangkat. "Ayah saya datang jemput saya nanti..." Tak sanggup dah dia bertegang kata dengan Payed.

Lemah dah jasad dia dengan perbuatan Payed tadi. Masih rasa hangat kucupan Payed tapi untuk apa semua tu? Mengundang dosa semata-mata.

"Jalan jammed teruk ni. Tak tahu ayah awak boleh sampai. Call ayah awak cakap saya hantar. Nak tunggu sampai bila? Baju dah lencun tu haaa... Sikit lagi nak nampak semua," beritahu Payed telus. "Lagipun, awak tak takut sorang-sorang? Hari dah gelap. Karang lari mulut buaya, masuk mulut rimau, awak nak? Setidak-tidaknya, kalau buaya tu kacak macam saya, awak patut bersyukur," selar Payed sinis.

Berlagak! Luth menggeleng tak puas hati. Cakap ayat sesedap rasa aje.

"Buatnya rimau tu tak ada gigi, awak nak?"

Kali ini Luth mencebik lebar. "Leave me alone!" Malas dah dia nak pandang wajah Payed. Esok pun kalau boleh tak nak datang dah kerja. "Ada gigi ke tak ada, apa Encik Payed kesah? Your life is nothing to do with me. Please, leave!" suruh Luth menahan geram. Ikut hati, dia jerit dah ni.

"No... I won't. Memang hidup saya tak ada kena-mengena dengan awak tapi hidup awak tu, tanggungjawab saya sekarang. Awak pekerja adik saya. Saya nampak awak kesusahan. Macam mana nak biar awak sendiri?" bidas Payed kembali. Keras hati betullah perempuan ni!

"Kesusahan saya sebab awak..." Rendah perlahan Luth bersuara sambil merenung anak mata Payed mohon pengertian. Dia dah tak boleh pandang Payed.

Payed mahu melangkah setapak. Berdiri tegak di depan Luth. Rapat. Hingga dia nampak kesan air jernih yang masih ada pada alis lentik milik gadis itu. Dia yakin, itu kesan air mata. Bukan air hujan. Luth menangis sebab dia. Sebelum ini pun ramai yang menangis kerana perangai gila dia tapi menjengkelkan. Tapi, kenapa apabila air mata yang sama menghiasi wajah gadis ini, dia rasa terpukul?

Dan hakikatnya dia memang kena pukul. Sakit pun tak hilang tapi bercakap sikit punya banyak.

"Sebab salah saya, baru saya jadi orang bodoh dalam hujan ni, Fiya," balas Payed mencari sinar mata Luth yang memudar. "Awak nak ikut atau saya dukung awak tengah umum ni, Fiya..." Makin berani Payed mengugut biarpun dalam suara mesra.

Kalau bukan rasa bersalah dia menyentuh Luth tadi, tak adanya dia nak 'bertunggu-bertangga' di dalam hujan ni. Macam orang bodoh pun ada.

"By the way, apa bangganya kalau awak jadi buaya tu, Encik Payed? Seronok? Ada jaminan syurga? Ada ketenangan? Kebahagiaan? Atau kepuasan nafsu awak semata-mata?!" jerkah Luth. Dah hilang sabar.

Terkedu Payed. Sungguh. Soalan yang Luth aturkan buat dia hilang kata-kata. Luth mahu berlalu apabila hon kereta menyapa telinga dan sebuah kereta berhenti tepat di depan dia dan Payed.

Cermin kereta diturunkan. "Luthfiya, hoop in. I hantar you balik," pelawa Palee.

Pandangan Luth beralih pada Payed dua saat dan kali ini, matanya berkerut apabila jari Payed naik menyentuh bibir sendiri. Nampak kesan luka. Dahinya berkerut lebat. Kenapa? Renungan dia kepada Payed saat ini bagaikan renungan lain. Seperti renungan meminta izin. Meminta izin untuk apa, dia tak tahu biarpun dia mahu bertanya, keadaan wajah Payed.

Tapi, apabila masing-masing bisu, tanpa berfikir panjang, Luth masuk ke dalam kereta Palee tapi lebih pantas Payed menahan. Dia tahu dia akan kalah. Luth dah bersedia ikut Palee, adik dia. Dan sebagai abang, tak mungkin dia membentak. Biarpun sejuta kali Palee memaki atau menumbuknya, dia tak akan balas.

"Nah, pakai kot ni. Basah sikit tapi bolehlah tutup apa yang patut." Kot di tangan diletak di atas bahu Luth. "Pergilah. Awak boleh percayakan Palee..." Senyuman kalah terukir hambar. Matanya dikedipkan sekali bagai memberi maksud, 'saya izinkan' apabila bola mata Luth bagai meminta jawapan.

Pintu kereta dibuka dan saat Luth masuk, Payed rela hati merapatkan pintu Harrier milik Palee. Dia berundur beberapa tapak untuk berteduh. Hanya pandangan mata menghantar kereta yang bergerak perlahan kerana dia yakin, Luth sedang melihatnya.

Pandangan Luth tak lepas dari cermin sisi. Dia pun tak sangka dia berani juga ikut Palee lepas apa yang Payed lakukan kepada dia.

"Esok kalau tak sihat, tak payahlah datang kerja," tegur Palee tiba-tiba. "Lagipun, esok Jumaat. Kerja urgent pun banyak awak dah siapkan."

Luth tersentak beberapa saat sebelum mengangguk. "Insya-Allah, sihat." Dia letakkan kot Payed kemas di atas bahu. Sihat jasad tapi jiwa sakit, tak ada ubat melainkan Allah saja.

Palee yang melihat hanya mampu senyum sinis. Sikap Payed sekarang payah nak telah. Adakah sebab kehadiran dia? Matanya sepintas lalu mengerling sisi wajah Luth.

"What is going on between both of you actually?" soal Palee buat-buat tak tahu. "I tadi naik atas kejap tertinggal handphone. Jumpa Yed dekat lif."

"Tak ada apa..." Jawapan Luth cukup perlahan. Apa yang tak ada apa? Ciuman Payed tepat di tengah dahinya tadi masih terasa.

Perlahan-lahan, tangan dia naik menyentuh bekas kucupan tersebut. Hati dia terusik tapi tak kena masa. Kalau kata benar Payed inginkan dia kerana nafsu, dia tak sudi. Jika kerana cinta, sudah pasti tidak. Andai kerana jodoh, mohon Allah jauhkan semua ni. Kekurangan dia tak akan mampu diterima oleh sesiapa.

Tak mungkin!

Tak berapa lama, satu SMS masuk mengejutkan Luth. Matanya menatap pada skrin lama. Membaca dua baris ayat yang dihantar.

Maaf atas keterlanjuran saya, Fiya.

Teruskan berdoa moga saya berubah.

Dan, Luth melarikan pandangan ke sisi. Setitis air matanya mengalir juga.

BERSIN tak habis-habis. Rasa nak cabut aje hidung ni. Macam manalah antibodi boleh selemah ni? Sejak bila pula dia lemah tubuh ni? Tisu ditenyeh kasar pada hidung.

"Tak nak pergi klinik sungguh ke ni, Yed?" Puan Huda duduk di sisi Payed yang sedang terbaring lesu di atas sofa di ruang tamu. Payed menutup muka dengan sehelai tuala Good Morning.

"Yed..." Kaki Payed disentuh apabila tiada tindak balas. Tertidur pula ke budak ni? "Payed." Sepi. "Fareed Al-Fattah?" Ditarik tuala putih yang menutup muka. Terus Payed buka mata.

"Mummy ni. Orang mengantuk ni, tahu tak?" Dia merengus. Semalam dah la tak cukup tidur. Sampai rumah lambat kena soal macam penjenayah.

Lepas tu, kena soal kenapa bibir pecah. Macam mana nak jawab. Si Palee pun tenang aje tak berkata apa-apa. Tumbuk karang, baru bertemu buku dengan ruas.

"Haaa, hidup lagi. Ingatkan..."

"Mummy..." Sekali lagi dia mendengus. Nak cakap bukan-bukanlah tu. "Yed semalam tak cukup tidur ni, my. Please, let me take a nap..." Direnung mummynya manja.

Puan Huda menggeleng. Dipegangnya dahi Payed. Tak panas mana. Cuma selesema aje menjadikan wajah anaknya ini merah padam.

"Semalam macam mana boleh kena hujan?" Dia tanya Palee semalam, tak ada jawapan. Soal empunya diri lagilah haram nak menjawab. Risau sungguh hati dia.

"Yed hantar kawan dekat bus stand. Kenapa?" Tuala ditebar ke atas muka kembali. Tak sanggup nak pandang mummynya apabila menipu.

"Ya ke?"

"Kenapa tak ya pula?"

Bibir Puan Laila merekah dengan senyuman. "Perempuan ke?"

"Staf Palee..."

"Aik..." Senyuman Puan Huda mati. Ditukar dengan kerutan. "Macam mana Yed boleh ada dengan staf Palee? Yang tertukar jawatan tu ke?" Dia tahulah sikit-sikit apabila suaminya bercerita. Dia tahu Payed akan angin satu badan tapi selagi tak bertumbuk adik-beradik biarlah.

"Yang itu ke?" giat Puan Huda.

"Ya, mummy. Yang itulah. Fiya nama dia..." Payed ketap gigi. Tak nak cerita dah. Nanti keluar semua cerita jahat dia. Makan pelempang mummy pula dia nanti.

"Fiya?" Wajah Luth terbayang. Orang yang sama ke? "Errr... Siapa nama dia?"

"Mummy!" Suara Payed keras. "Nak tanya lebih-lebih pergi telefon Palee. Yed nak tidur ni. Sakit kepala." Malas betul nak cerita hal semalam. Tercalar jugalah ego dia apabila Luth pergi dengan Palee.

Setidak-tidaknya dia tunjuk sikap gentleman tu. Kalau dia nak seret, boleh sangat. Tapi dia bukan jenis begitu. Perempuan kena menyerah. Tak seronok nak paksa orang ni.

"Atau Yed sakitkan dia tak?" duga Puan Huda. Tengok daripada cara Payed kerut kening tu Puan Huda macam dah boleh agak. "Yed ada buat bukan-bukan dekat anak dara orang pula ke? Sampaikan muka Palee ketat semacam aje semalam," duga Puan Huda.

Memang. Palee tak bercakap langsung apabila dia bertanya kenapa lambat. Kenapa masing-masing buat muka ketat?

Payed telan liur. "Errr... Palee cerita ke?" Aiseh... Ke mummy serkap jarang ni?

Telahan Puan Huda tepat. Dia mengeluh. "Apa yang Yed buat?"

"Tak buat apalah, my. Jangan percaya cakap Palee tu..."

"Adik kamu tak cakap apa, Payed!" sergah Puan Huda menahan geram. "Bila nak berubah ni?"

Aiyark... Kantoi bodoh gitu aje. Payed pusing menghadap sofa.

"Yed buat apa dekat anak orang tu?"

"Nothing, my. Trust me," pinta Payed antara dengar dan tidak. "It was just..." Dia telan liur. Kehangatan kucupannya pada dahi Luth menjalar ke seluruh nadi. Dada dia bergelora. "A kiss..." Tak sedar, ayat itu terluncur tenang.

"What?" tempik Puan Huda lantas bangkit bercekak pinggang.

Tubuh Payed terangkat. Dia kaku menatap wajah berang mummynya. Salah cakap lagi. Dia mengeluh berat. 


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co