Truyen3h.Co

DR. ALPHA MALE

BAB 1

karyaseni2u

"Hazel!" Panggilan itu buatkan aku menoleh ke belakang.

Hazel. Ya... Itu nama aku. Nama penuh, Tristin Hazel binti Tahir. Nama aku biasa-biasa aje. Tapi... Kenapa orang kalau dengar nama aku mesti komen pertama mereka adalah, peliknya? Tristin mahupun Hazel, dua-dua orang cakap pelik.

Tak tahulah apa yang pelik. Tak faham aku. Lainlah kalau letak nama Corylus Avellana, aku tak peliklah kalau nak jatuh rahang depan aku. Apa tu? Silalah Google sendiri, ya. Kira nasib baiklah mak aku tak letak nama tu, kan?

"Hazel-nut. Hazel-nut butter." Aku dengar dia menyambung sebelum mengatur langkah ke arahku. Sengih lebar macam biasa.

Hazel-nut. Memang ramai sangat suka panggil aku dengan nama tu. Banyak lagi gelaran orang lain yang suka main-mainkan nama aku. Dulu, ada rasa juga nak tendang sampai enam kaki ke bawah. Tapi sekarang ni, aku dah tak kesah. Dah imun.

Nama aku memang Hazel. Tapi, jangan risau. Nama abang aku bukan gajus, adik aku pun bukan pistachio. Hanya aku, Hazel. Kenapa? Entahlah... Mak aku mengidam kacang hazel masa mengandungkan aku dulu agaknya. Mungkin juga sebab mata aku memang warna hazel. Satu-satunya pewaris mata mak aku.

Hazel aku cuma pada nama. Yang pasti aku tak suka kacang hazel. Aku punya masalah dengan nama aku ke? Langsung tidak. Aku suka nama aku. Aku tak rasa pelik pun. Kalau orang boleh letak nama bunga, kenapa tidak nama kacang? Lagipun, di luar negara berlambak orang letak nama Hazel.

"Hazel... Hazel... Hazel..." Cantik sangat agaknya nama aku sampai tak puas-puas budak tu seru.

Aku turut senyum sambil melambai tangan ke arah si pemanggil itu. Sabiha. Kawan baikku di universiti ni. Orang pertama yang aku kenal sejak jejak kaki ke kampus ni. Orang sama yang sama-sama kena denda sebab tak pakai stoking masa minggu orientasi dulu. Orang yang sama aku ajak bersubahat, mintak dia tandatangan kalau aku ponteng kelas. Tak sangka kami dah kenal lebih tiga tahun. Dan sekarang, kami dah di tahun akhir.

"Lamanya tak jumpa kau. Rindu..."

Kami terus berpelukan lepas jumpa. Perempuan... Biasalah kalau dah jumpa. Teori tentang perempuan. Bila berjumpa, kalau tak terkinja-kinja macam monyet bukan perempuan namanya. Saja nak jejak kasih kat tengah-tengah kafe ni.

"Tak payah nak poyo sangat, boleh? Lama pekebendanya. Dua bulan aje kut." Aku mencebik. Balasannya, kena hempuk dengan buku setebal Kamus Dewan kat bahu.

"Woi... Sakitlah! Kalau dislocate bahu aku ni, apa kau nak jawab dekat Iwan?" marahku sambil gosok-gosok bahu kanan yang tak bersalah dan dah jadi mangsa kekejaman Sabiha.

Siapa Iwan? Iwan tu tunang aku. Bukan kekasih ya, tapi tunang. Umur dia lebih tua dua tahun daripada aku. Dia senior aku dulu. Sekarang dah kerja kat Johor. Jarang-jarang dah kami jumpa. Hubungan jarak jauh la katakan.

Cebikan Sabiha buatkan khayalan aku tentang tunangku terbang. Di depan mata sekarang, nampak muka comel Sabiha yang menyampah tiap kali aku keluarkan nama tunang tersayang.

"Eleh... Gedik. Lapar... Jom makan." Dia ajak aku. Pantang nampak aku, mesti ajak makan.

"Dah... Jom." Aku setuju. Lapar juga sebenarnya.

Kelas aku habis agak awal hari ni. Maklumlah... Semester baru buka. Pensyarah bukannya nak mengajar sangat. Sesetengah tu sengaja batalkan kelas. Sesetengah pula jumpa sekadar nak bagi pengenalan tentang apa yang akan diajar.

Tapi... Kira baiklah aku datang juga. Maklumlah... Dah jadi senior. Dah insaf. Dah kembali ke pangkal jalan dan tinggalkan alam jahiliah.

"Weh... Jom teman aku pergi post office. Aku nak settle bendalah." Sabiha mengajakku.

"Lepas tu nak belanja aku apa?" Aku sengih jahat.

"Hazel-nut butter betul kau ni! Dengan aku pun nak berkira." Dia tarik muka masam dan aku terus gelak.

"Mestilah weh. Tu aku belum kenakan GST lagi, tahu?" jawabku. Sengaja nak mengusik.

"Aku belanja kau tengok wayang. Nak?"

Lebar sengih aku. Pantang dengar perkataan wayang. Memang aku ni kaki movie. Apa-apa cerita baru, mesti aku pergi menonton di panggung wayang.

"Mestilah nak. Jom." Terus aku setuju. Dah lama tak lepak dengan Sabiha. Minggu pertama la nak berhuha-huha. Sebelum kepala sesak dengan assignment. Sebelum jadual padat nak berkejar ke kelas. Sebelum sibuk kendalikan final year project.

Daripada bosan menunggu Sabiha yang tengah menunggu giliran di pejabat pos itu, ada baiknya aku keluar jalan-jalan. Nampak 7-Eleven yang berada bertentangan dengan pejabat pos ni. Nak beli top up. Baru teringat kredit telefon dah nyawa-nyawa ikan. Maklumlah... Standard pelajar. Pakai kad prabayar aje la.

Alang-alang dah singgah 7-Eleven, mata gatal jeling peti besar aiskrim. Cun pula aiskrim Magnum duduk paling atas. Tekak terus gatal mengidam. Dah lama tak makan aiskrim yang sama harga dengan sepinggan nasi tu. Aku memang suka aiskrim Magnum. Magnum almond. Tapi... Boleh beli seminggu sekali, tak pun sebulan sekali. Kalau dah hujung-hujung semester pula, makan dalam mimpi aje la. Maklumlah... Ekonomi merudum.

Lepas bayar, aku jalan keluar. Terus aku buka plastik aiskrim itu sambil tangan menolak keluar pintu kedai. Baru sahaja aiskrim itu digigit sedikit, tiba-tiba bahuku dirempuh. Kuat tak kuat, bergegar jugalah 3.1 skala Richter tubuh aku ini. Nasib baik tak terbalik.

"Oh, shit! Damn it!"

Aku tak sempat menganalisa pemilik suara yang menyumpah itu apabila aku perasan yang Magnum aku dah lesap dari tangan. Terus pandang bawah. Nak menangis aku tengok Magnum aku yang tengah seronok bercium dengan lantai itu! Rezeki lantai. Waaa... Magnum aku!

"Hei, apa ni? Buta ke?" Aku terdengar komen tu. Suara garau yang agak keras. Terus aku angkat muka. Lelaki. Muka agak tegang sambil gosok-gosok jaket kulitnya. Takut aku kotorkan jaket kulit mahal dia agaknya.

Ewah... Buta kau panggil aku? Berasap rasa telinga. Macam tahu-tahu aku tengah marah, dia angkat muka. Mata kami berlaga. Terpaku juga aku dengan panahan matanya yang tajam tu. Sebab sumpah mata dia sangat lawa. Jeling tajam macam tu pun tetap lawa.

Oh... Muka macam ni aku klasifikasikan dia sebagai penyebar virus T.I. Apa tu T.I? T.I tu adalah teleng inducing. Maksudnya bila dia lalu sebelah perempuan, perempuan mesti terteleng-teleng nak pandang lagi sekali. Lagi dan lagi dan lagi. Oh... Bahaya betul virus T.I ni!

Rambut gaya pacak. Kening agak lebat, kena dengan bentuk wajahnya. Hidung sekali tengok orang dah cakap mancung. Berjambang nipis dan terurus. Tak berserabut macam hutan belukar belakang rumah nenek aku. Just nice! Bibir pun merah. Tengah senyum sinis. Tapi dah cukup menunjukkan dua lesung pipit di pipinya. Sinis-sinis pun lawa. Kalaulah dia senyum manis...

Eh, kejap! Apa aku merepek ni? Dia senyum sinis? Aku terus tersedar. Sekali lagi mata pandang dia. Ya... Dia tengah senyum sinis. Macam tengah mengejek aku. Macam dah tahu itulah reaksi perempuan tiap kali terpandang wajah dia. Membuktikan lagi teori aku tadi. Menularnya virus T.I di udara. Cis!

"Dah habis tenung dah? Tak nak ambil gambar ke? Letak bawah bantal. Malam-malam boleh cium." Sarkastik suara dia sesarkastik senyuman di bibir merahnya.

Merah muka aku! Kurang ajar! Aku mendengus geram. Terus aku mengalih pandang. Nampak Magnum aku dah cair di atas lantai. Rasa kembali marah dengan dia.

"Lain kali jalan guna mata. Menyusahkan orang aje. Sebab tu Tuhan ciptakan mata kat kepala. Bukan kat lutut," marahnya lagi.

Inilah kelemahan manusia. Bahasa tak seindah wajah. Amboi, sedap mulut mamat ni bercakap! Tegur baik-baik tak boleh ke? Lagi... Memang salah aku ke? Aku rasa dia yang salah. Sepatutnya aku yang marah dia. Jalan main rempuh orang aje. Ingat ni apa? Ragbi? Dia ingat dia besar daripada aku, dia boleh buli aku ke? Dia ingat dengan muka handsome dia tu aku nak control ayu ke?

Hei... Salah orang la derrr!

"Ya... Memang Tuhan tak ciptakan mata kat lutut. Tapi Tuhan pun tak ciptakan mulut kat punggung. Cakap elok-elok sikit tak boleh ke, sedara?" marahku lagi. Dia nampak terkebil-kebil mendengar bahasaku.

Kalau dia cakap aku buta, aku nak dia tahu aku cakap mulut dia macam longkang! Patut ke aku masuk balik 7-Eleven ni, pergi beli Clorox kalau ada jual? Bagi mamat ni minum seteguk dua. Manalah tahu boleh cuci kesan-kesan degil yang melekat di kotak suara dia!

"Sedara?" Aku tak tahulah maksud suara dia itu apa. Dia tak faham ke sebab muka dia nampak blur? Baru mendarat dari planet Utarid ke apa mamat ni? Sedara pun tak tahu ke?

"Ya... Sedara. Saudara-saudari cikebong cikebong." Aku cakap lagi kot-kot dia tak faham. Siap lagu aku bagi tu!

Lagi sekali mata dia mencerlung pandang aku. Muka serius. Aku buat tak tahu.

"Lagipun sedara, saya rasa sedara yang salah. Sedara yang langgar saya." Aku pula tuduh dia.

Betul apa? Nasib baik tak terbalik aku tadi. Ingatkan langgar tiang. Rupa-rupanya orang. Gegaran otak aku sebab terlanggar dada dia tu.

"Jangan nak..."

"Baby..." Baru aje dia nak menjawab, datang seorang wanita cantik mencelah.

Hei... Tengah-tengah orang nak bertegang leher ni, siapa pula cari baby dia yang hilang ni?

"Baby... What's wrong?" Manja suara wanita itu bertanya. Lengan si baby besar anak gajah depan aku itu dipaut mesra. Meluat... Tak tahu kenapa. Walaupun aku tak kenal mereka berdua.

"Nothing, darling. Ada salah faham sikit. Ni budak ni. Dah dia langgar I, dia tak nak mengaku salah. Tak reti minta maaf. Budak-budak zaman sekarang," jawab si baby tu. Mengadu.

Aku jeling dia. Tak payah nak budak-budak sangat la! Aku tengok si baby depan aku ni bukannya tua sangat pun. Rasanya beza umur mungkin cuma beberapa tahun. Masam muka aku. Mesti dia ingat aku budak lepas sekolah. Sebab dengan tinggi aku, orang selalu tersalah kira umur aku. Aku rasa si baby ni pun sama..

"Mana ada saya langgar. Kalau betul pun. Saya terlanggar. TER. Kata imbuhan bagi kata kerja yang tidak disengajakan." Haaa... Kelas bahasa Melayu aku bagi.

"Bukannya saya sengaja pun. Sekarang ni, sedara tengok, saya dah tak dapat makan aiskrim saya," sambungku lagi. Serius kau, Hazel? Ayat terakhir kau tu dah macam budak enam tahun.

Dia pandang aku. Pandangan dia... Wow!

"Alah... Baby. Takkanlah you nak bergaduh dengan budak sekolah?"

Haaa... Kan aku dah cakap! Hai, si darling ni! Budak sekolah kau cop aku. Padahal umur aku hampir dua puluh dua.

"You ni... Apa orang cakap nanti. Mengalah la sikit, baby." Aku dengar si darling bercakap lagi.

Lelaki itu mendengus tak puas hati. Muka dah tegang.

"Haaa... Betul tu, darling. Cakap kat baby ni, lain kali cakap jangan main sedap mulut aje. Ini nasib baik dia langgar saya. Kalau dia langgar ketua mafia entah mana-mana, tak sempat membesar baby darling ni."

Aku senyum sinis kepada lelaki itu. Dia nampak terkejut dengan kata-kataku. Sebelum dia buka mulut, aku angkat kaki. Malas aku nak layan. Tak ada salam, tak ada apa, terus aku blah. Dia dah biadab dengan aku, buat apa aku nak berbudi bahasa dengan dia? Sorry sikit, eh!

"Kita masih punya hutang, tahu?" Aku sempat dengar suara dia.

"Weh, apa hal?" Aku dengar soalan daripada Sabiha. Kebetulan dia pun baru keluar dari pejabat pos. Mesti dia pelik tengok muka cuka aku.

"Huh... Dasar baby tak cukup zat. Aku harap aku tak jumpa dia lagi." Aku membebel. Tak puas hati lagi dengan niat nak makan Magnum yang tak tercapai.

"Kenapa ni? Apa dah jadi?" soal Sabiha lagi.

"Tadi... Aku terlanggar sorang mamat ni kat depan 7-E. Bukan main puaka mulut dia. Suka hati dia marah-marah aku," aduku.

"Loh... Patutlah muka kau macam tu," komen Sabiha.

"Muka aku macam mana?"

Terus aku pandang cermin sisi motor entah siapa-siapa di sebelahku. Tilik diri sendiri. Bulat mata aku.

"Waaa.. Kau siapa?" soalku sambil jari tunjuk cermin tu. Sabiha gelak.

Aku tilik lagi sekali. Nampak ada kesan coklat di hujung mulut aku. Hujung hidung warna putih. Sah kena aiskrim tadi. Comotnya! Ni mesti sebab terlanggar baby tu tadi. Kenapa aku tak perasan?

Dan... Aku bergaduh dengan mamat tu dengan muka macam ni? Waaa... Malunya! Patutlah confident aje mamat tu cop aku budak sekolah. Dengan muka macam ni, jangan cakap macam budak sekolah. Dah macam budak tadika pun ada!

Terus aku capai tisu yang diberikan Sabiha. Sapu mulut dan hujung hidung aku. Marah punya pasal, tak perasan semuanya. Patutnya tadi sebelum aiskrim aku jatuh, aku tonyoh dulu satu round kat jaket mamat tu. Baru adil kalau nak marah aku.

"Ni semua mamat tu punya pasal. Lepas tu ada hati lagi nak marah aku. Padahal dia yang salah." Aku membebel lagi. Tak puas hati.

"Lupakan aje la, Zel. Dia dah tak ada dah. Kalau kau jumpa dia lagi, kau marahlah dia puas-puas, ya?" kata Sabiha. Gelak lagi. Seronok dia tengok aku naik angin.

"Sorry la. Aku tak rasa aku nak jumpa dia. Kira nasib baiklah aku tak kenal dia siapa," jawabku.

Aku harap aku takkan lagi jumpa mamat tu!

Dewan kuliah yang mempunyai hampir dua ratus orang pelajar itu gamat dengan suara semua orang. Masing-masing sibuk berkongsi cerita sementara menanti pensyarah masuk mengajar. Aku duduk di tengah-tengah. Tak belakang sangat, tak depan sangat. Petang ni aku ada kuliah untuk subjek Research and Statistics.

Huh... Dengar nama pun aku memang dah tahu. Boh-san! Nasib pula dapat kelas petang. Perut tengah menghadam makanan tengah hari tadi. Lagilah mengantuk. Aku menguap sekali. Tengok... Belum mula lagi, aku dah mengantuk.

"Weh, Hazel! Kau nak dengar gosip tak?" tanya Sabiha.

"Gosip apa?" tanyaku malas.

Orang cakap budak perempuan memang suka bergosip. Perempuan lain, ya. Tapi aku tak. Bukan benci, tapi malas. Tadah telinga kalau orang cerita, kalau tak nak cerita aku memang takkan tanya. Tapi... Berkawan dengan Sabiha ni, memang cepat berita panas sampai ke telingaku sebab Si Sabiha ni memang kaki gosip.

"Pasal lecturer baru course kita."

"So?" soalku lagi. Pensyarah baru pun nak kena gosip ke? Macamlah tiap-tiap tahun tak ada pensyarah baru.

"Dia hot."

"Aku prefer Panasonic," kataku tiba-tiba.

"Panasonic?" Sabiha blur.

"Laaa... Suruh dia beli aircond Panasonic la. Kata panas?"

Pap! Balasannya lengan aku kena hempuk sedas. Aku gelak. Sakit, siot!

"Main-main pula kau. Hot and sexy la. Sekali pandang tak puas, tahu?" Sabiha gelak. Ada bau-bau miang. Dah sekali pandang tak puas, pandanglah dua kali. Apa susah? Aku geleng kepala.

"Ooo... Penyebar virus T.I la ni?" soalku. Sabiha angguk. Sengih tak hilang-hilang lagi.

"Kau pernah jumpa ke?" Aku tanya lagi.

"Pernah. Sekali. Perghhh... Tak boleh tidur malam aku dibuatnya!"

"Aku ada ubat tidur. Nak?"

Sabiha jeling tajam kepadaku. Amaran. Aku gelak.

"Okey... Okey..." Aku angkat tangan mengalah. Tak loyar buruk dah.

"Dia ajar apa?" Bukan berminat tapi saja nak tahu.

"Calculus I and II." Kali ni muka Sabiha macam tak puas hati.

"Kenapalah dia tak masuk awal-awal dulu? Kalau tak mesti dia sempat ajar kita. Mesti A plus Calculus aku. Huh... Untung junior kita."

Aku cuma ketawa. Siapa tak suka dapat lecturer handsome weh? Tanyalah mana-mana budak perempuan normal, mesti dia orang nak lecturer handsome. Bonus kut! Baru semangat sikit nak pergi kelas. Haha. Bukan senang nak dapat pensyarah muda lagi handsome ni. Sekali dapat memang jadi jejaka terhangat di pasaran la.

"Kau doalah biar dia ajar kita subjek Research and Statistics ni," gurauku sebelum gelak. Pandang Sabiha di sebelah. Mulut tengah terkumat-kamit. Tengah berdoa ke? Haha.

Dewan kuliah tiba-tiba jadi sunyi. Itu tandanya pensyarah dah menapak masuk. Ketawa aku pun turut mati. Okey... Mood skema!

"Assalamualaikum, kelas. Sorry sebab lambat." Aku dengar suara bergema melalui mikrofon. Lelaki.

Kebetulan masa tu, ada bunyi notification mesej masuk dalam telefonku. Aku terus cari telefonku. Lupa nak Silentkan sebelum kelas mula tadi. Buatnya ada konsert tengah-tengah kelas nanti, mahu tembus aku kena tenung dengan pensyarah aku.

"Weh... Hazel... Hazel..." Aku dengar suara Sabiha. Tampar-tampar lengan kananku. Aku pandang dia.

"Apa dia?" Suara aku agak marah. Rimas.

"Dia... Lecturer handsome yang aku cakap tadi!" Sabiha teruja sambil mata tengok depan.

Terus aku pandang ke arah tengah-tengah dewan kuliah besar itu. Nak juga tahu sehandsome mana pensyarah yang dikatakan Sabiha tu. Sampai muka tu bercahaya macam bulan purnama penuh. Ada iras biji kopi ke sebab kata Sabiha, dia tak boleh tidur lepas tengok muka pensyarah itu.

Ternganga. Tak percaya. Bulat mata aku bila pandang pensyarahku itu. Dia berbaju kemeja kelabu dan berseluar slek hitam. Lengan baju dilipat hingga ke siku tanpa tali leher. Imej biasa kalau lepas waktu rehat.

Walaupun agak jauh, aku masih cam dia. Wajah dia. Susuk badan dia. Rambut dia. Okey... Dia memang handsome. Tapi itu tak penting. Yang buatkan aku tergamam terkelu dan terkedu adalah...

"Baby?!" Macam tak percaya aku suarakan apa yang ada di dalam kepala. Bergema satu dewan kuliah.

Aku terus tutup mulut aku dengan kedua-dua tangan. Oh, tidak! 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co