Bab 2
"Fakhrul dah balik dengan tunang dia. Dia tak sempat nak jumpa you sebab Athiqah nampak macam tergesa-gesa. Dan I pun kena balik cepat ni." Aizul genggam iPhonenya. Wajahnya terus mempamerkan rasa bersalahnya kepada Cahaya. Itulah, dia sendiri yang dah berjanji untuk memastikan Cahaya dan anaknya pulang ke rumah dengan selamat.
"Kenapa?"
"Umi call." Dahi Aizul berkerut-kerut. "Aina accident pula kat Lebuhraya PLUS. Patutnya Aina yang ambil kita hari ni." Aizul memandang jam di pergelangan tangannya. Keningnya bercantum-cantum dan fikiran menerawang, risau memikirkan berbagai-bagai perkara.
"Eh, Aina okey tak? Teruk ke?" Cahaya bertubi-tubi menyoal Aizul.
Dia geleng kepala. "Tak teruk sangat. Kereta dia saja yang kemik sana sini. Tak apa, I akan call Aina kejap lagi. I carikan you teksi. Okey?"
Cahaya dengan pantas menggeleng.
"I rasa tak perlulah sebab I nak bawa Fifi makan dulu. Nanti I cari teksi. I bukan tak biasa pun. Aina lebih utama daripada I pada waktu-waktu macam ni, Aizul. Jangan susah hati sangat fasal I boleh tak?"
Aizul jelirkan lidah. "Eleh, serius ni? You boleh balik sendiri, kan?"
Cahaya angguk mengeyakan. "You uruskan hal adik you. Nanti umi mesti risau. Teksi dan Grab kan ada. Mestilah I boleh balik sendiri. I boleh pilih mana yang I rasa selesa. Jangan risaulah." Dia terus meyakinkan Aizul.
Si dia mengangguk. Selepas melalui pintu imigresen dan mendapatkan beg, Aizul terus membantu menyusun beg Cahaya di atas troli.
"Jumpa lagi ya. Take care dan bila you sampai saja rumah, WhatsApp I. You jangan lupa pula."
"Okey." Dia pandang Aizul. Itulah Aizul yang selalu sangat risau dengan dirinya. "I tahulah jaga diri I dan Fifi. Later, kita jumpa?"
"Bye, Uncle Ijul. Kita jumpa lagi." Fifi seperti biasa, menghulurkan tangan dan memberikan salamnya untuk Aizul. Dia terus memeluk lelaki berkenaan. "Fifi akan rindu dengan uncle. Uncle nanti jangan lupa datang jumpa Fifi ya?"
"Of course, sayang. Kita akan jumpa lagi. Fifi jaga mama elok-elok tau," pesannya itu sama seperti selalu.
Fifi melambai-lambai Aizul.
"Fifi laparlah, mama." Fifi menggosok-gosok perutnya.
Mata Cahaya melilau mencari tempat singgahan untuk mengalas perut. Matanya terus menangkap sebuah restoran makanan segera.
"Okey, kita pergi restoran tu. Fifi suka, kan?"
"Suka."
"Okey, jom!"
"Bila kita nak pergi rumah atuk dan nenek, mama?" Sambil terkedek-kedek berjalan, Fifi mula bersoal jawab.
Sambil menolak troli, fikiran Cahaya jauh menerawang. "Nanti lepas semua urusan mama, urusan kerja mama dan urusan persekolahan Fifi selesai, kita singgah dan jumpa dengan atuk dan nenek. Fifi okey, kan?"
"Fifi nak tengok Facebook mama, boleh tak? Nenek mesti ada gambar baru, kan?"
Cahaya pandang anaknya. "Fifi ingat kan pesan mama? Fifi boleh tengok Facebook malam ni jam berapa?"
Fifi tersengih-sengih. Sambil membantu mama menolak troli, dia membalas soalan mama kesayangannya.
"Jam sembilan malam. Fifi cuma ada masa selama satu jam sahaja. Main game dan tengok Facebook mama sambil tengok Facebook nenek dan Mak Su Ida."
"Haaa... Pandai pun anak mama. Seminggu hanya tiga kali sahaja, kan? Jom kita makan, mama pun laparlah, sayang." Cahaya hadiahkan senyumannya untuk si anak.
Fifi muncungkan bibirnya tanda protes, sebab dia tiba-tiba tersangat rindukan neneknya!
Beberapa minit selepas sampai ke McDonald's dan selepas segala urusan pembayaran selesai, Cahaya menatang dulang yang berisi makanan dan terus bergegas mencari meja.
"Sini, mama!" jerit Fifi nyaring. Dia menunjukkan sebuah meja dengan dua buah kerusi yang betul-betul berada di hadapan restoran.
Dia mengangguk dan Cahaya terus duduk dengan selesa bersama Fifi. Jemari runcing mengagihkan makanan. Perut makin berkeroncong minta diisi.
"Terima kasih mama sebab hari-hari mama belanja Fifi makan sedap-sedap. Fifi baca doa, okey?" Fifi memandang mamanya.
"Sama-sama, sayang. Okey. Mama tadah tangan. Fifi bacakan doa." Cahaya meletakkan kembali burger yang belum sempat dibuka bungkusannya.
Suara comel Fifi lantas bergema-gema dengan bacaan doa.
"Nanti Fifi dah besar, Fifi belanja mama pula, ya?" Cahaya mengusik Fifi.
Fifi tersengih-sengih. Jemarinya mengesat sos yang berada di tepi bibirnya.
"Nanti Fifi belanja mama banyak kali. Fifi janji."
"Yalah, nanti bila Fifi dah besar, dah kerja dan ada banyak duit, Fifi jangan lupa mama tau."
"Mestilah Fifi akan ingat mama. Fifi kan sayang mama. Mama nak beli apa, cakap aje. Fifi akan belanja mama seorang." Fifi makin lincah memberi jawapan dan menikmati makanannya.
Cahaya membalas senyuman Fifi. Menganggukkan kepala dan kini sedang memikirkan mengenai perjalanan mereka dua beranak di sini. Selepas ini, dia akan mula sibuk dengan tugasnya sebagai seorang kurator bebas. Projek dengan sebuah muzium seni di Kuala Lumpur, akan bermula enam bulan dari sekarang. Jadinya dia akan tersangat sibuk. Permohonannya pula untuk bekerja sepenuh masa juga sudah diterima oleh sebuah syarikat bernama Gemala Klasik.
Dia pandang Fifi yang ralit mengunyah burgernya pula. Kemudian diselang-selikan menyedut air kesukaannya.
Sambil memikirkan masa depan, ah... Cahaya memang selalu takut dengan apa yang akan berlaku selepas ini terhadap hidupnya dan Fifi. Dia buka bungkusan burger pilihannya. Suapan pertama kini di mulutnya, menikmati hidangan dengan penuh berselera.
Sehingga ke suapan terakhir dan ketika jemarinya ligat mengesat sos di hujung bibir Fifi, sepasang matanya lantas terpandangkan lelaki yang 'tadi' sibuk membuka ruang penyimpanan beg.
Dia sedang berbual-bual dengan seorang lelaki di hadapan sebuah kedai yang jaraknya lebih kurang 50 meter. Terangguk-angguk dan kemudian bersalaman dengan lelaki berkenaan.
Detik ini, susuk tubuh dan figuranya sudah tersemat di dalam kepala. Wajahnya menawan dan gayanya ringkas, menggalas sebuah beg berwarna coklat di bahunya. Dia tersenyum, sama seperti beberapa jam yang lepas. Sekali lagi, minda mengatur supaya matanya menilik wajah lelaki berkenaan.
Dia hembuskan nafas. Apalah kena dengan hatinya sekarang ini?
Mulutnya lantas mengunyah laju dan dia sedut air yang hanya berbaki separuh. Sekali lagi, dia amati lagi lelaki berkenaan.
Kenapa hatinya tiba-tiba senang dengan wajah si dia?
Kenapa tiba-tiba hatinya jadi mudah membenarkan otak memaksa mata melihat susuk tubuh dan memerhatikan si dia? Sedangkan selama bertahun-tahun lamanya, dia tidak pernah sekali menjadi senakal ini.
Siapa lelaki ini?
"Kenapa, mama?" Fifi memandang mamanya.
"Mama tengok siapa tu?" soal Fifi lagi.
Seperti di dalam perut kapal terbang beberapa jam yang lepas dan ketika ini sang lelaki berkenaan rupa-rupanya membalas renungan dia. Tetapi dia di sana... Dia senang sekali mengayunkan langkahnya dan pergi begitu sahaja dengan senyuman menawannya.
Jantung berdegup laju. Cahaya hembuskan nafas dan dengan sekilap sahaja, lelaki berkenaan berjalan melalui restoran makanan segera ini. Dengan pantas, dia melalui meja mereka berdua dengan gaya jalannya yang sederhana dan sentiasa menguntumkan senyuman kepada sesiapa sahaja di sini.
Kaki Cahaya tiba-tiba menggigil-gigil. Dia teguk air liur berkali-kali dan dengan tidak semena-mena, dia bangun dan terus ligat ke arah kaunter.
"Mama!" Fifi menjerit dan menoleh memandang mamanya.
Cahaya dengan pantas meminta beberapa bungkusan beg plastik di kaunter dan segera ke arah meja.
"Fifi dengar cakap mama, okey?" Jemari ligat memasukkan baki kentang goreng dan air ke dalam beg plastik. Kepalanya ke kiri dan ke kanan memerhatikan kawasan restoran ini. Dia pegang bahu Fifi.
Fifi memandang mamanya dengan penuh tanda tanya. "Kenapa, mama?"
"Fifi habiskan kentang dan air dalam cab, ya sayang. Cepat, ikut mama." Cahaya memberikan arahan dengan cepat dan tepat kepada anaknya.
Mata Fifi terkebil-kebil!
"Fifi belum habis makanlah, mama."
"Makan dalam cab atau di rumah. Fifi baik, kan?!" arahnya serta-merta.
Cahaya dengan pantas menolak kerusi dan matanya melilau lagi mencari tubuh lelaki berkenaan yang semakin mengecil dari pandangan mata kasar.
"Mama, kita nak pergi mana?" pintas Fifi segera.
Cahaya bangun memandang Fifi. "Ingat pesan mama. Ikut sahaja mana mama pergi. Kita cari kawan mama kat sana tu. Okey?"
Cahaya. Kegilaan apakah yang berlaku dengan aku kala ini?! Hatinya menjerit-jerit!
Cahaya. Apa yang sedang terjadi sebenarnya?
Kakinya pantas diayun. Kiri. Kanan. Dia berlari perlahan mencari susuk tubuh lelaki berkenaan. Dia berlari-lari anak. Ke sana dan ke mari.
Kakinya berjalan laju. Beberapa saat, dia berlari dan selepas agak keletihan, dia berjalan perlahan-lahan pula. Letihnya bukan main lagi. Hampa kerana tubuh badan lelaki berkenaan langsung tidak kelihatan.
Cahaya mendengus marah. Hati merusuh! Ah, aku memang buang masa cari lelaki tu.
"Mama, Fifi penat tau. Mana kawan mama tu? Fifi tak nampak pun." Fifi sudah mula merengek.
"Agaknya dia dah balik kut. Tadi kawan mama tu ada kat sini. Mama tak tipu." Cahaya memandang anaknya. Dia sedang cuba memujuk diri sendiri dan Fifi. Akhirnya, sebuah bangku menjadi tempat letak punggungnya.
Fifi terus duduk di sebelah mamanya. Sebotol air mineral di dalam beg kecilnya dikeluarkan.
"Fifi dah peluh-peluh ni. Mama macam main kejar-kejar. Penat tau Fifi kejar mama," bebelnya berpanjangan.
Cahaya tersenyum kecil. Dia menjeling Fifi.
"I'm sorry. Mama rasa macam membazir masa pula sebab cari kawan mama tadi. Tapi kalau Fifi nak tahu, dia tadi tu... Kawan sekolah mama tau. Kita sambung makan, ya? Fifi nak burger tak?" Cahaya pandang beg-beg di atas troli.
Amboi, Cahaya. Kawan sekolahlah konon. Tak baik betul kau berbohong dengan Fifi, kan? Huh! Hati mengutuk diri sendiri. Beg plastik yang masih berisi kentang goreng dan sebahagian burger di atas beg-beg berkenaan diambil. Cahaya unjukkan semula makanan tersebut kepada Fifi.
Fifi gelengkan kepala. "Fifi dah penatlah, mama. Fifi mengantuk."
Rasa bersalah dengan si anak, mula menghuni hati. Cahaya gumam bibir. "Okeylah, jom kita balik. Mama minta maaf sangat-sangat ya sebab mama ingatkan kawan mama ada tadi. Dia dah balik agaknya. Mungkin mama akan jumpa dia lain kali."
Cahaya menarik jemari Fifi. Sama-sama beriringan dan Fifi terkial-kial membantu menolak troli yang penuh dengan beg mereka berdua. "Fifi ingat kita nak kejar kapal terbang lagi. Yushhh! Terbang!" Fifi keriangan. Cepat sahaja moodnya berubah.
Dan ketika itulah, tiba-tiba sahaja troli yang sedang ditolak, turut sama dipegang dan jemari berkenaan membantu mendorongkan troli berkenaan.
"I tolong tolakkan troli you, boleh?" Dia jongketkan kening kirinya. Ada senyuman yang dia sorokkan dari pandangan mata cik troli.
"Ni ke kawan sekolah mama tu?" Fifi terlebih dahulu mengenal pasti 'kawan' yang mamanya kejar dari tadi.
Argh! Fifi ni, tak boleh simpan rahsia betul! Cahaya menggerit giginya.
"Ya. Bukan... Eh, ya. Eh, bukan." Cahaya tergagap-gagap.
"Yalah, sayang. Uncle ni 'kawan sekolah'. Lama... Dulu. Kan?" Dia jeling si cik troli. "Boleh uncle tahu nama si comel ni tak?" Suara seraknya menambah resah Cahaya.
Fifi merenung wajah lelaki berkenaan.
"Hello, uncle. Nama kita Fifi." Senyum Fifi.
Mata si dia mencerun memerhatikan si kecil.
"Oh, nama awak yang comel ni, Fifi ya?" Dia menjeling cik troli. Sambil menolak troli, dia bersoal jawab dengan cik troli. "You dah panggil cab?"
Suara Fifi sahaja ketika ini yang kedengaran. "Fifi tak sabar betul nak balik ke rumah."
"Oh, Fifi nak balik ke rumah ke? Boleh uncle tahu, Fifi nak balik mana?" tanya sang lelaki.
"Balik rumah dengan mama. Errr..." Fifi terkulat-kulat.
"Okey, kalau macam tu, rumah mama Fifi kat mana?"
Diam. Fifi tidak menjawab. Sebaliknya, Cahaya hanya melihat Fifi yang tergaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
"Ala... Fifi tak ingat pula kat mana rumah mama. Aduh." Fifi tepuk dahi sendiri. Dia tersengih-sengih malu.
Suara husky lelaki berkenaan terus mendebarkan.
"Oh, Fifi memang balik berdua aje dengan mama, ya?"
"Ya. Dengan mama. Berdua." Fifi tunjuk jemarinya. Tanda dua menjelaskan yang memang dia dan mamanya sahaja sekarang ini.
"Okey... Kalau macam tu, uncle tolong tolakkan troli mama Fifi ni. Boleh, kan? Ada upah tak? Besarnya beg-beg dia." Suara lelaki berkenaan terus mengganggu. Jantung Cahaya berdegup lebih laju.
Hiks. Pipi Fifi berona merah dan dia menjeling-jeling mamanya yang sedang berjalan diam seribu bahasa.
"Upah?"
"Beratnya beg ni."
"Sebab kawan sekolah mama tolong mama dan Fifi, kita kena belanja kawan sekolah mama ni makanlah, mama. Kan mama, kan?" Fifi pandang mamanya.
Cahaya hanya mengikut rentak kakinya. Tiba-tiba sahaja kan Cahaya, lidah terus kelu seribu bahasa dan jadi nanar entah kenapa. Apa jawapan yang mahu dia berikan kepada Fifi. Apa ni? Apa ni?
Resah tidak berpenghujung. Episod dia merenung lelaki ini di dalam perut kapal terbang sekali lagi terlayang-layang di depan mata. Ah, malunya.
Dia akhirnya berada di belakang Fifi dan lelaki berkenaan lebih laju keluar dari lobi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Paling terkesan, bila jemari kecil Fifi memegang sedikit seluar jean yang dipakai lelaki itu.
Tiba-tiba lelaki berkenaan memusingkan tubuh. Suaranya menerobos masuk ke dalam gegendang telinga.
"Cab!?"
"Haaa, okey-okey!"
"Apa yang okey?" soal lelaki berkenaan tiba-tiba.
Dahi Cahaya berkerut-kerut. Dia amati lagi wajah si dia. Kali ini lebih lama. Cahaya tarik nafas dan serentak itu dia meneguk air liur.
"Cik troli oi, you nak naik teksi? Ke, cik di sana dah booking Grab?" tanya lelaki berkenaan sekali lagi.
"Errr... Tadi I nak booking tapi ter... Ter... lu... pa. Terlupa!" Cahaya menjawab dengan tergagap-gagap. Terketar-ketar entah kenapa.
Lelaki berkenaan hembus nafas. Lirikkan senyuman. "I tahan mana-mana cab yang ada. Okey?"
"Haaa... Okey!" Itu sahaja jawapan yang mampu dia berikan. Selebihnya, beberapa minit yang terasa panjang ini, Cahaya hanya mendiamkan diri. Sesekali dia menjeling lelaki berkenaan yang sedang duduk berdua-duaan dengan Fifi. Matanya menyorot melihat si dia keluarkan sebuah beg kertas yang dipenuhi dengan coklat.
"Uncle hadiahkan Fifi coklat ni sebab Fifi dah jadi kawan uncle. Jangan nakal-nakal okey."
"Eee, coklat. Bestnya. Fifi dan mama pula nanti akan belanja uncle makan sebab tolong tolakkan troli mama dan Fifi. Okey?"
"Haaa, betul!" Si dia senyum lagi. "Nanti Fifi makan coklat ni."
"Nama uncle apa?"
Angin menderu. Sang lelaki berdiri tegak, memerhatikan kawasan sekitar dan dia pandang jam di pergelangan tangan sebelum menjeling 'mama Fifi' yang sedang berdiri tidak keruan.
Cahaya terkebil-kebil, macam tak percaya. Kawan sekolah amendenya? Kenal pun tak! Cahaya, apa yang sedang kau buat sekarang ini?
Ajaibnya, dia tiba-tiba rasa selamat di sini.
Selamat dan nyaman, bertiga dengan lelaki yang tidak dikenali.
Diulangi sekali lagi. Selamat dengan lelaki yang tidak dia dan Fifi kenali.
Nur Cahaya, apa yang sedang kau buat detik ini?
Batinnya menjerit kuat!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co