Truyen3h.Co

HALALKAN HATI YANG KUCURI

BAB 1

karyaseni2u

PROLOG

Florence, Italy.

Teropong difokus. Delisha tarik nafas dalam-dalam. Sah! Zainal dan Salima ada skandal. Amboi, siap berkucupan lagi. Aduh, pedihnya hati. Zainal bagi tahu dia pergi klinik. Demamlah konon. Yang Salima pula, katanya pergi library. Delisha ditipu hidup-hidup.

Hati Delisha bagai dicarik-carik. Sakit jangan dicerita.

"Baru you percaya cakap I, kan?" Delisha kalih muka pantas. Faiq rupa-rupanya. Dia inilah reporter tak bergaji yang langsung Delisha tak percaya sebelum ini. Ternyata lelaki ini betul.

"Ya..." Faiq lega. Akhirnya dia dapat bebaskan gadisnya daripada semua ini.

"Tengok tu, lepas dia orang makan, dia orang check in hotel." Delisha sayu memerhati pasangan yang berada di Hotel Restaurant La Scaletta. Seorang kekasih, seorang sahabat baik. Sudahlah nak exam minggu depan. Delisha harap sangat dia dapat fokus. Delisha ingatkan, bila dia dan Zainal dapat belajar sama-sama di Polimoda International Institute Fashion Design & Marketing, hubungan mereka kekal. Tak sangka, berakhirnya begini.

"Are you okay, Isha?" Faiq renung wajah Delisha yang hambar. Mahu tak terluka, kekasih kut.

Delisha angguk lemah.

"Thanks celikkan mata I yang buta. I pergi dulu."

Delisha tak mahu ikutkan perasaan mahu menyerang Zainal dan Salima. Biarlah dia pujuk hati dan merawat luka sekejap.

Delisha masuk ke dalam perut kereta. Serentak itu Faiq masuk dan duduk di sebelah. Terpinga-pinga Delisha.

"Excuse me, you nak apa lagi ni?" Delisha perlukan ruang untuk tenangkan diri. Dia mahu bersendirian.

"I nak temankan you. I risaukan you."

Faiq prihatin sungguh kalau melibatkan gadis kesayangannya ni.

"You tak payah nak caring sangatlah. Sekarang you keluar. Keluar!" Meninggi nada Delisha, dia tak kesahkan air muka Faiq. Lagipun mereka berdua saja yang ada dalam kereta ni.

"I tak kira, I nak temankan you juga. I nak ada di sisi you." Faiq berdegil. Dia risaukan Delisha kerana hati Delisha susah nak dibaca.

"Okey, fine!" Delisha lantas memasukkan gear dan meninggalkan tempat itu. Macam dia tak kenal Faiq, degilnya bukan main lagi.

Faiq gembira Delisha tak usir dia lagi. Berada di sisi gadis ini, buat dia bahagia. Sekarang, peluang nak dapatkan Delisha sudah terbuka luas. Zainal bukan lagi halangan.

"So Isha, you nak pergi mana ni?" Dari tadi Delisha hanya fokus memandu. Riak mukanya sayu tapi tiada tangisan. Gadis itu mampu menahan perasaan.

"Isha, I talk to you..." Lembut nada Faiq.

"I tak minta you temankan I, jadi jangan tanya ke mana I nak pergi." Tegas nada suara Delisha.

Faiq senyum kelat. Delisha, mana pernah layan dia baik-baik? Kasar saja.

"I faham, selama ni I selalu menyibuk dalam hidup you. I selalu buat you rimas. I pun tak tahu kenapa I suka sangat duduk di sisi you walaupun you tak suka..." Faiq cuba memancing Delisha untuk berbual, tapi dia harus faham. Hati gadis itu sedang patah.

Delisha terus memandu sehingga ke bahagian barat Selatan Tyrol, hampir dua kilometer lagi nak sampai ke sempadan Austria. Faiq tenang menemani gadis itu sepanjang perjalanan.

Delisha berhenti di tepi tasik. Tasik buatan manusia terbesar tapi terbiar. Faiq dah panik, jangan Delisha terjun tasik nak bunuh diri sudahlah. Cepat-cepat dia keluar kereta bimbang Delisha buat tindakan yang bukan-bukan, tak sempat nak selamatkan nanti.

Delisha terkejut sebaik saja membuka pintu, terpacak Faiq di sebelah. Terbang ke mamat ni? Tiba-tiba dah sampai sini. Muka pun cemas semacam.

"You ni apa pasal?" Pelik Delisha pandang Faiq yang pucat itu.

"Isha, I... I takut you terjun tasik tu, sebab tu I kat sini nak halang you... Sorry Isha kalau I salah anggap. Putus cinta ni ibarat kena sengat dengan lebah. Awalnya tak terasa sakit, tapi lama-lama bengkaknya akan terlihat..." Faiq tahu Delisha bercinta dengan Zainal sejak sekolah lagi. Setia pula tu walaupun dia tak jemu mengurat. Mestilah Delisha akan frust.

"You ingat I perempuan bodoh ke nak mati sebab jantan tu?" Delisha menutup pintu kereta dan bersandar di situ. Dia memeluk tubuh memandang Faiq.

Biarpun hanya tasik terbiar, namun ada keunikan dan keindahannya. Tasik yang diberi nama Lago de Resia, mempunyai menara jam loceng di tengah tasik dan dengar kata loceng tu kadang-kadang akan berbunyi dengan sendirinya. Tempat ni sungguh misteri. Agaknya sebab itu kut tasik ini tidak dibangunkan semula.

"Sebab you tak nangis, you tahan luka you. Itu lagi bahaya dan I tak tahu apa yang ada dalam fikiran you dan apa yang you rasa." Terdiam Delisha. Betul juga cakap Faiq tu. Tapi Delisha lebih kenal diri sendiri berbanding Faiq. Masakan dia nak bunuh diri?

"Salah I ke Zainal curang? Dan Salima, kenapa dia sanggup tikam I daripada belakang?" Delisha sudah berair matanya. Dia cuba tahan tapi menitis juga. Faiq memberikan sapu tangan.

Faiq sayang Delisha dan melihat air mata gadis itu mengalir umpama asid yang menyimbah hati. Dia turut rasa sakitnya.

"Isha, lelaki macam Zainal hanya layak untuk perempuan macam Salima tu. I dah banyak kali beritahu you, you memang cintakan Zainal, tapi I akan jadi cinta terakhir you. I janji, you tak akan rasa sedih kehilangan Zainal kerana I akan buat you sentiasa happy!"

Faiq mendapat satu akal. Disambarnya kunci kereta di tangan Delisha. Terpinga-pinga Delisha dibuatnya.

"Apa ni..."

Faiq tersengih.

"I nak bawa you ke satu tempat yang boleh hilangkan masalah you. I'm sure you akan enjoy malam ni..." Faiq menjongketkan keningnya sambil tersengih.

"Mana?" Berkerut dahi Delisha memikirkan.

"Tucano disco club!" Faiq mempelawa Delisha ke sebuah kelab malam terkemuka di Milan, Itali.

"I tak biasalah tempat macam tu..."

"Bila I ada, semuanya akan jadi biasa. Let's go, babeh!" Delisha akur dan mengikut Faiq. 

BAB 1

"Ni, ada PosLaju hantar barang..." Bukan main lagi Nenda Rosnah melihat cucunya menyandar di atas kerusi malas sambil kedua-dua belah matanya dilekapkan dua hirisan timun. Muka dilumur masker. Sunarti pula diarah mengasah kuku tangan dan kakinya.

Dengar saja itu, buat Delisha rasa nak melompat. Delisha mengalihkan timun di mata.

"Wah, dress vercase dah sampai? Thanks, nenda..." Teruja benar Delisha. Masakan tidak, rekaan terbaru. Limited edition lagi. Dibelek bungkusan yang diletak di atas paha.

"Belajar fesyen, tapi nenda tak pernah nampak lagi kamu pakai rekaan kamu sendiri. Asyik membeli aje."

Nenda Rosnah masak sangat dengan perangai membazir cucunya. Baju berlambak-lambak, tapi belinya tak pernah berhenti. Cita rasa mewah.

Delisha sambung semula aktivitinya. Sekejap lagi bolehlah dia cuba dress vercase ni.

"Memanglah Isha ni fashion designer, tapi tak sehebat jenama-jenama terkemuka yang Isha suka. Alah nanti-nantilah Isha design..." Nenda Rosnah menggelengkan kepalanya.

"Kamu ni, suka sangat bagi alasan. Itu tanda orang yang gagal dalam hidup." Delisha dah masak benar dibebel Nenda Rosnah. Dia buat-buat tak dengar. Lega juga dengar pintu bilik ditutup. Dah keluar pun.

"Hei, asahlah betul-betul. Kuku yang hujung ni belum settle lagi, kau dah pindah pergi kuku lain apa hal? Kau patah balik! Selesaikan satu-satu dulu. Ingat ya, selagi kuku aku tu tak berkilat sampai kau boleh cermin muka kau, selagi tu jangan berhenti. Faham?" marah Delisha dengan mata tertutup dengan timun itu.

Sunarti mengangguk patuh. Dia berpatah semula ke kuku pertama.

"Baik non, saya sedang asah ni. Jangan marah sangat non, kulitnya sedang tegang, nanti jerawatnya hilang, kulitnya berkedut pula."

"Kau diamlah. Kalau kedut yang aku dapat, kau siap! Aku sagat-sagat muka kau, biar berparut pula." Delisha mengugut Sunarti lagi buat dia takut.

"Baik, non," patuh Sunarti sambil terus mengasah kuku Delisha. Panjangnya kuku, buat apa dibela sampai begini sekali? Dah jatuh hukum haram ni sebab melepasi jari.

"Kenapa tak bau sangat masker ni?"

"Errr, saya buatnya dengan ikhlas non dan dengan doa setulus hati agar masalah non selesai. Kerana itu, bau mewangi. Kalau enggak, ia membusuk." Itu jawapannya sambil sengih. Tangan masih ligat mengasah kuku Delisha. Biar berkilat sampai boleh nampak muka seperti cermin.

Sebenarnya Sunarti sengaja memasukkan esen vanila untuk memastikan tiada bau. Delisha tu bukan tak tahu, cerewetnya ya ampun. Tapi takkan nak bagi tahu, mahunya Delisha mengamuk. Kang marah pula, disamakan mukanya dengan kek.

Delisha terkedu sekejap mendengar jawapan itu. Terharu. Kesian pula Sunarti bersungguh-sungguh nak selesaikan masalahnya.

"Dah. Tukar kuku lain pulak. Kau nak asah kuku aku sampai tajam macam parang ke? Kang aku libas tengkuk kau tu kang. Dah dekat 15 minit satu kuku aje kau asah. Habis tu bila nak siap semua kuku aku?"

Dia tukar topik sebab hati dah bersimpati. Takkan nak peluk Sunarti pula sebab terharu? Marah tu tanda sayang? Yeks, tak rela berkasih sayang dengan bibik pula.

Sunarti menahan sabar. Delisha ni, semua serba tak kena. Ada saja komen dia. Stres...

"Ya, non."

"Lambat lagi ke?"

"Non Isha kena banyak sabar. Satu jam sekurang-kurangnya, baru jerawat tu akan mengecut nanti. Saya jamin!"

"Yalah sangat. Kalau tak menjadi, siap kau! Lepas ni, aku nak kau cuci bilik aku sekali lagi. Setiap inci lantai, pastikan bersih dari sebarang habuk, kuman dan bakteria. Cadar, bantal, langsir, aku nak kau tukar serta-merta dan buang ke dalam tong sampah. Aku tak nak kuman, bakteria dan virus tu ada lagi dalam bilik ni. Faham?" Habis disalahkan bilik, gara-gara jerawat di mukanya.

"Faham, non..." Sayangnya nak buang cadar yang cantik tu. Membazir betul. Takkan aku buang punya, aku akan basuh dan simpan.

Hampir sejam menunggu hasilnya, masanya telah tiba. Sunarti paling berdebar menanti hasilnya. Dalam hati berdoa tak putus agar jerawat sedikit kecut dan mata Delisha yang sembap itu pulih.

Delisha menanggalkan timun. Lantas menuju ke bilik air untuk mencuci muka. Lain rasa. Matanya rasa segar dan kulit lembut menegang. Dia memandang cermin dengan debaran. Akhirnya bibirnya merekah senyum.

Keluar saja dari bilik air, Delisha tengok bibik sedang berdiri sambil tunduk. Kakinya menggeletar. Takutlah tu.

"Hurm, bagus tip yang kau bagi ni. Kecut jerawat aku. Eye bag pun dah kurang." Mendengar itu membuatkan bibik Sunarti tersengih sampai ke telinga.

"Alhamdulillah..." Delisha mencapai baju mahu memakainya. Sebelum itu dibeleknya terlebih dahulu, sampai puas hati.

"Sekarang, kau kemas alat solek aku. Kejap lagi aku nak guna..." Delisha mengambil baju tersebut dan masuk ke bilik persalinan. Elok saja siap berpakaian, dia keluar dan terkejut melihat semuanya kemas seperti sediakala. Cepatnya dia ni buat kerja. Manusia ke robot? Tapi kang tak siap, aku maki dia lembab pula.

Delisha mula bersolek manakala Sunarti menanti arahan.

"Cantik tak aku?"

"Cantik sangat, kayak bidadari."

Kan bagus kalau cantiknya seiring tingkahnya. Sayangnya.

Sempurna bersolek, Delisha memilih handbag Chanel dan sepasang kasut Hermes. Kemudian, dia memanggil Sunarti.

"Aku nak kau pergi cover nenda, jangan sampai dia nampak aku keluar. Faham?" Delisha beri arahan. Biar nenda tahu kemudian, asalkan jangan tahu sekarang.

"Gimana non?" Lagi disuruh buat kerja yang bukan-bukan. Bingung Sunarti.

"Pandai-pandai kaulah. Kau buatlah, ajak bersembang ke apa ke? Ya? Cepatlah, boyfriend aku dah sampai." Faiq sudah menunggu di luar pagar. Nak masuk menjemput, tak pasal-pasal kena sembur dengan nenda.

"Baik non, saya cuba." Terpaksa bersubahat pula dalam hal ini. Sunarti mengeluh.

"Bagus, nanti aku belikan kau sesuatu, okey?" Delisha memberi habuannya. Sunarti mengangguk, lemah.

"Bibik, Isha tak turun makan ke? Dia buat apa? Tidur?" Takkan 'kelawar' tu tahu pula tidur malam-malam ni. Jangan-jangan keluar tak? Bukan dia dah bagi nasihat berbakul-bakul ke semalam, takkan tak ada rasa insaf kut?

"Non Isha keluar." Sunarti menunduk. Janganlah dia disoal siasat kerana dia yang tukang cover line tadi.

Nenda Rosnah menggeleng. Dah agak. Cucunya yang satu tu, kalau tak susahkan hati dia memang tak sah. Perangai macam budak-budak.

"Bila dia keluar?"

"Petang tadi, buk..." Nenda Rosnah berdecit. Licik, langsung dia tak tahu. Daud dan Dalina selamba saja menjamu selera bagaikan tiada masalah.

"Kau orang laki bini ni tak ambil kesah langsung kan pasal Isha? Dahlah keluar malam, pergi ke mana, dengan siapa, buat apa, balik bila? Ada kamu ambil tahu?"

Daud dan Dalina perasan sejak akhir-akhir ini Nenda Rosnah selalu saja bising pasal Delisha. Buang tabiat apa pula dikongkongnya cucu, padahal sebelum ni dilepaskan saja bagai burung di udara.

Daud tahu, Nenda Rosnah dah banyak berubah sejak menyertai kelas-kelas agama dan badan kebajikan. Tapi, Delisha kan masih muda. Takkan nak sekat kebebasan Delisha pula?

"Mak ni risaukan Isha macamlah Isha tu baru darjah 1. Dia dah bagi tahu saya tadi, dia keluar dengan Faiq. Bukan dengan orang lain."

Mereka sedia maklum yang anaknya itu bercinta dengan Faiq dan tak menghalang hubungan mereka.

"Budak Faiq tu? Huh, Mak tak berkenan dengan budak tu. Dia tak sesuailah untuk Isha. Mak nak Isha berhenti jumpa Faiq tu. Mak tak berkenan."

Dia rasa dia perlu selamatkan Delisha dari lelaki seperti Faiq.

"Mak, Faiq tu bukannya orang lain. Saudara mak juga, kan? Tak payahlah buruk sangka. Faiq tu okey aje saya tengok. Lagipun mereka bercinta dah bertahun, kan? Takkan nak putuskan pula, Isha nak ke?" Daud menyampuk. Memanglah saudara, tapi saudara jauh. Arwah nenek Si Faiq ni, sepupu Nenda Rosnah.

"Faiq tu main-main aje dengan Isha. Dia tak serius pun. Kalau dah kaki pub, kaki disko, kaki enjoy, apa yang baiknya budak tu? Kamu tak tahu ke budak Faiq tu dah berapa kali mak bapak dia pergi balai polis jamin dia sebab lumba haram? Langgar orang pun pernah. Hampir nak masuk penjara tau? Kes gaduh pun pernah juga. Itu yang mak tahu, yang mak tak tahu? Mak takut, kalau dibiarkan hubungan mereka, rosak teruk Isha, makin jahanam masa depan dia..." Biar dijelaskan agar semua mengerti.

"Mak, pasal hidup Isha. Biar dia tentukan, biar dia pilih siapa yang dia mahu. Daud kenal anak Daud tu, Daud yakin dia takkan buat perkara yang bukan-bukan," balas Daud yakin.

"Daud, sebagai ayah kamu yang kena tanggung dosa anak dara kamu tu. Sebagai wali, kamu harus pilih calon suami yang mampu bimbing Isha ke jalan agama. Jangan sampai kena jawab dalam kubur nanti kalau kamu pandang remeh perkara ni." Daud dan Dalina bertukar pandang. Susah betul nak menang kalau cakap dengan Nenda Rosnah.

Dalina mencelah.

"Mak, mak tu sejak dah belajar agama ni, asyik menasihatkan orang aje. Janganlah macam tu mak, nanti Isha bosan lagi dia tak lekat kat rumah."

Kalau nak insaf pun, janganlah usik kehidupan orang lain. Rimas.

Nenda Rosnah menghela nafas. Ya dia tahu, bukan mudah membetulkan yang biasa dan biasakan yang betul. Tapi, dia juga tak boleh duduk diam.

"Kita nampak kemungkaran depan mata, patut kita tegur." Nenda Rosnah begitu, kalau bicara mahu menang saja.

"Mak. Mak tahu kan Daud dah cukup sakit kepala fikirkan pasal business Daud ni. Baik kita bincang pasal hal ni daripada bincang pasal Isha. Daud harap sangat mak dapat tolong Daud ni." Daud susah hati memikirkan perniagaannya yang kian merudum.

"Kamu nak mak tolong kamu, tapi nasihat mak sikit pun kamu tak dengar. Mak suruh kamu perbetulkan Delisha tu dulu, sebab dia salah satu punca business kamu jatuh. Dia dah dewasa, ni masanya dia pikul tanggungjawab bukan hanya tahu minta duit. Suruh dia kerja, bantu kamu."

"Mak, nak tegur macam mana kalau Isha pun tak ready lagi nak kerja? Nanti sampai masanya, dia rasa nak kerja, dia akan kerjalah, mak. Isha pun bukannya jenis suka dipaksa."

"Dah susah sangat nak tegur, jangan babitkan mak dalam masalah kamu. Mak bosan! By the way, kereta Porsche yang Daud baru belikan pada Isha tu, mak tak akan bayarkan bil bulanan! Kamu bayar sendiri."

Nenda Rosnah sudah mati selera. Dia meninggalkan anak menantunya yang keresahan memikirkan hutang.  

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co