Truyen3h.Co

HALALKAN HATI YANG KUCURI

BAB 4

karyaseni2u

"Alhamdulillah, bacaan Datuk semakin baik. Buat masa ni, ada saja masa terluang Datuk boleh hafal dulu surah-surah yang pendek." Ustaz Azali membuat kesimpulan dari hasil kelas mengaji selama sebulan ini.

Nenda Rosnah angguk.

"Baiklah, ustaz. Sebenarnya, saya malu. Tua-tua begini baru nak belajar balik." Hampir sebulan Ustaz Azali diupah menjadi guru agama peribadinya kerana terlalu banyak ilmu agama yang dia perlu gali dan belajar semula.

Ustaz Azali tersenyum.

"Masya-Allah, menuntut ilmu tak ada istilah malu atau terlambat. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ar Rabi-i', Rasulullah SAW bersabda, tuntutlah ilmu. Sesungguhnya, menuntut ilmu adalah pendekatan diri kepada Allah Azza wa Jalla, sedangkan mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahuinya adalah sedekah. Ilmu lebih utama daripada harta, kerana di akhirat nanti pemilik harta akan dihisab, sedangkan orang berilmu akan memperoleh syafaat. Rasulullah SAW pernah memohon dalam doanya, Allahumma inni a'uzubika min ilmin laa yanfa' yang bermaksud, ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari ilmu yang tidak bermanfaat. Datuk cuba amalkan doa ni, Insya-Allah ilmu yang Datuk dapat akan menjadi saham dunia dan akhirat."

Sejuk hati orang tua itu mendengar bicara Ustaz Azali.

"Alhamdulillah ustaz, saya rasa tenang sangat dapat belajar agama dan belajar mengaji dengan ustaz. Cuma saya agak susah hati, fikirkan anak cucu saya. Tak tahulah macam mana nak ubah sikap mereka supaya kembali ke jalan Islam. Saya tak salahkan mereka, mungkin dari didikan saya juga."

Air muka Nenda Rosnah berubah muram.

Ustaz Azali tersenyum tenang.

"Saya teringat, salah satu sabda Rasulullah SAW bermaksud: Agama itu nasihat. Maka sahabat pun bertanya: Kepada siapa? Jawab Baginda: Kepada Allah, kepada Kitab-Nya, kepada Rasul-Nya, kepada pemimpin kaum Muslimin dan juga orang awam. (Hadis riwayat Muslim)."

"Jangan pernah jemu atau berputus asa mengajak manusia ke arah kebenaran, kerana syaitan tak pernah berputus asa nak sesatkan kita dan malaikat juga tak pernah berhenti mencatat amalan kita."

"Firman Allah bermaksud: Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar. (Surah al-'Asr, ayat 1-3)," jelas Ustaz Azali. Masya-Allah, segala jawapan ada dalam al-Quran. Tinggal cari sahaja.

Nenda Rosnah angguk. Bermakna dia harus terus menegur dan berusaha membawa keluarganya kembali ke jalan yang diredai Allah tanpa berputus asa.

Kagum betul dengan pengetahuan agama Ustaz Azali. Bukan sahaja tahu hadis malahan ayat al-Quran beserta tafsirnya pun ada dalam kepala, lancar di mulutnya.

Sedang bertanya soal agama, Nenda Rosnah dan Ustaz Azali terganggu dengan kepulangan Delisha. Delisha tergamam di situ. Alamak, tertangkap sudah. Mujurlah ada tetamu.

"Nenda, hai. Good afternoon," ucap Delisha meredakan hati sendiri.

"Cubalah bagi salam," tegur Nenda Rosnah. Delisha tersengih.

"Nenda ni, sejak bila kena skema bagai ni? Yalah, Assalamualaikum." Delisha akur saja. Sudahlah dia buat perangai, lagi nak tambah?

Nenda menggelengkan kepala. Nak bebel, depan ustaz pula.

"Isha, nenda kenalkan. Ni Ustaz Azali, dia dah mengajar nenda mengaji dan mengajar agama hampir sebulan dah. Ustaz, ni cucu saya, Isha." Nenda menghulur tangan dari jauh menjemput.

Rasa seperti diri dimanjai pula. Delisha menghampiri Nenda Rosnah dan duduk di sisinya. Lelaki berkopiah itu hanya senyum sekilas dan tunduk segan. Wajah bersih dan sejuk mata memandang. Sempat Delisha membelek parasnya.

Ustaz Azali itu mengangkat muka dan senyum.

"Assalamualaikum, Cik Isha." Dah masuk pun beri salam lagi? Delisha berdolak dalam hati.

"Waalaikumussalam, ya ustaz," balas Delisha. Nenda Rosnah senang hati di situ.

"Ustaz berbual la sekejap dengan cucu saya, ya? Saya nak masuk sekejap. Isha, temankan ustaz sekejap, ya? Berbuallah, tanya pasal agama dengan Ustaz Azali."

Terpinga-pinga Delisha dibuatnya tiba-tiba Nenda Rosnah pergi begitu saja.

Mati kutu dibuatnya berada di hadapan 'ahli syurga' padahal Delisha kategori 'ahli neraka'. Tengok saja pakaian Delisha yang seksi bergaya dan menarik perhatian. Mendebarkan jiwa lelaki dengan wangian dan kecantikannya. Ustaz itu tunduk saja, nak tengok pun takut luruh iman kut?

"Kalau Cik Isha tak keberatan, Cik Isha boleh sertai nenda, belajar mengaji dengan saya." Lembut dan tenang suaranya.

"Mengaji? Maksud awak, belajar? Dah puas belajar kut. Saya belajar dari tadika sampai dapat ijazah..." Ke situ fahamnya Delisha.

"Errr, bukan. Maksud saya mengaji al-Quran." Ustaz Azali memperbetulkan Delisha. Delisha terkedu. Al-Quran? Dah lama dia tak sentuh kitab suci itu. Ingat tak lagi?

"Oh. Yang alif, ba, ta tu? Kenapa pula saya kena belajar mengaji lagi? Saya dah tahu la semua tu. Kecil-kecil dulu, nenda hantar saya ke tahfiz. Umur 5 tahun dah khatam baca al-Quran." Delisha angkuh memberitahu. Orang alim begini memanglah, suka betul ukur tahap iman orang dari segi baju. Apa ingat dia teruk sangat bab agama?

Ustaz Azali tersenyum tenang lalu menggelengkan kepalanya.

"Bukan begitu maksud saya. Masya-Allah, saya kagum bila Cik Isha beritahu seawal umur 5 tahun sudah khatam al-Quran. Tapi, membaca al-Quran dan beramal dengannya adalah satu hal yang sangat berbeza sekali. Tahu dan baca tak semestinya faham. Faham tak semestinya beramal. Al-Quran ini, kita bukan saja perlu selalu baca, tapi mesti memahami isinya dan beramal dengan kalam-Nya," terang Ustaz Azali lagi berhikmah.

Delisha rimas ditarbiah begitu.

"Mana saya nak ingat, dah lama kan saya khatam, ustaz. Kira okeylah tu, dari tak tahu baca langsung."

"Alhamdulillah. Betul tu. Alangkah bagus kalau Cik Isha mula membacanya semula hari ini dan setiap hari mengamalkannya kerana al-Quran akan selalu memberi manfaat buat kita. Sabda Rasulullah SAW, berpeganglah pada al-Quran dan sunahku, nescaya kamu tak akan sesat buat selamanya."

Nasihat lagi? Tak cukup nenda, dia upah ustaz pula?

"Maaf, saya sibuk sangat, ustaz. Ustaz ajarlah nenda tu, dia pun dah tua. Eloklah belajar agama, belajar mengaji. Kalau rasa tak cukup upah yang nenda bagi tu, minta aje. Nenda saya tu, tak berkira soal duit ni. Tak payah nak suruh saya join semata-mata nak payment lebih." Delisha berburuk sangka suka hati dia saja.

"Bukan soal bayarannya, Cik Isha. Tapi soal ilmu yang saya dah belajar, saya nak manfaatkan pada orang lain. Itu saja. Terpulang pada Cik Isha, kalau terbuka hati nak belajar nanti, boleh sertai nenda, ya?" Ustaz Azali lembut tutur bahasanya.

"Whatever... Kalau saya nak cari ilmu, pandai-pandai sayalah." Mata hitam Delisha menaik ke atas. Bosan.

Sedang berbual Nenda Rosnah muncul. Dia senang hati melihat cucunya berbual dengan Ustaz Azali. Mulalah difikirkan sesuatu rencana. Pasangan ni nampak secocok juga. Tapi Delisha tu, mahu ke?

"Maaf ustaz, saya ambil masa sikit. Saya ke toilet tadi. Nah ini, ada sedikit sumbangan untuk ustaz dan ini, sedikit sumbangan pada masjid." Nenda Rosnah menghulurkan dua keping cek pada Ustaz Azali.

"Masya-Allah, besar jumlah ni, Datuk." Ustaz Azali terkejut melihat cek tersebut. Nenda Rosnah tersenyum senang.

"Saya ikhlas. Duit ni dah jadi milik ustaz, terpulang nak digunakan untuk tujuan apa. Kesudian ustaz mengajar saya, saya sangat hargainya. Nanti bolehlah ustaz ajar cucu saya ni sekali, ya? Dia pun dah lama tu tinggalkan al-Quran," balas Nenda Rosnah mesra. Delisha mencebik mendengarnya. Apa pula mengajaknya sekali. Tak naklah.

"Terima kasih, Datuk. Semoga dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur dan keberkatan dalam hidup." Doa ustaz Azali ikhlas.

"Amiiin."

"Saya minta diri dulu. Petang lusa saya datang lagi seperti biasa. Assalamualaikum Cik Isha, Datuk. Saya minta diri dulu, terima kasih." Nenda Rosnah mengangguk faham.

Delisha menarik muka dan mencebik saja. Alim macam mana pun, nampak duit gelap mata jadinya. Nenda Rosnah pun satu, bab bagi duit kat orang tak berkira. Tapi bab cucu, semua dileternya padahal duit berkepuk.

"Handsome kan orangnya, Isha? Berkenan nenda tengok." Delisha memerhatikan Nenda Rosnah tak lepas mata memandang Ustaz Azali itu hingga dia berlalu pergi. Senyum tak lekang pulak tu. Sekali pandang dah macam orang angau pula. Delisha hairan melihatnya.

"Nenda ni, dah menopause pun ada hati nak menggatal lagi? Kata nak setia dengan arwah atuk?" Terbeliak biji mata Nenda Rosnah mendengar cemuhan itu. Cucu bertuahnya ini, boleh fahamnya ke situ.

"Kamu ni, nenda berkenan bukan sebab menggatal tapi kerana perilaku ustaz ni, buat nenda rasa betapa indahnya agama kita hingga membentuk akhlak yang mulia. Mendekati ustaz ni, membuatkan nenda rasa nak dekat dengan agama. Dengar dia berbicara dan pandang wajahnya, hati jadi tenang. Inilah contoh Muslim terbaik." Pujian melambung ombak diberikan. Delisha tersenyum sinis. Dia cebik pula.

"Yalah tu, Isha tak rasa apa-apa pun." Angkat bahu lagi sebagai bukti. Memang betul apa, teguran ustaz tu tadi buat dia rimas.

"Kamu tu memang, hati dah hitam agaknya." Ke situ pula perginya Nenda Rosnah. Bebel tak habis-habis.

"Isy, nenda ni. Biasalah, Isha ni muda lagi. Nanti bila dah tua, Isha mesti jadi macam nenda. Rajin beribadat, bersedekah, mengaji al-Quran, tak tinggal solat. Nenda borek, cucu rintik." Delisha berseloroh mengambil hati orang tua itu.

"Tak payah nak puji nendalah. Ni, semalam kenapa tak balik? Kat mana kamu tidur? Langsung tak bagi tahu nenda, mama, papa nak keluar? Kalau jadi apa-apa, siapa yang susah? Isha tu perempuan tau."

"Ala, nenda. Isha keluar dengan Faiq. Papa dan mama tahu."

"Astaghfirullahalazim. Apa nak jadi ni, Isha? Faiq tu dah sah-sah bukan lelaki yang baik, kenapa kamu tak nampak semua tu?" Ingatkan terlepas dibebelkan nenda, rupa-rupanya kena juga.

"Faiq okey apa? We love each other."

"Cinta tak cukup, tanggungjawab menyempurnakan. Lelaki macam Faiq tu, tak layak buat suami..."

"Nenda, apa ni? Tolonglah jangan campur urusan peribadi Isha..." Masam mencuka muka Delisha.

"Nenda lagi suka budak Zainal dulu tu. Baik budaknya, hormat orang tua, rajin bekerja. Sekarang ni, dah menerajui syarikat papanya. Makin maju business keluarga di tangan dia." Delisha menaikkan mata hitam ke atas. Baik? Nampak aje baik, belakang macam syaitan, kutuk Delisha dalam hati.

Nenda Rosnah tahu mereka putus, tapi tak tahu sebabnya.

"Zainal tu tak ada kena-mengena dengan Isha. Jangan sebut nama dia boleh tak? Dahlah nenda, Isha penatlah. Isha naik atas dululah. Nak mandi ni." Delisha mencium pipi Nenda Rosnah dan meluru ke tangga. Belum sempat nak habiskan nasihat. Bertuah punya cucu.

"Faiq. Kamu serius ke dengan Delisha tu?" soal Fazira sebaik sahaja anaknya itu keluar dari bilik mandi. Sudah mula bersiap, tentu nak keluar lagi padahal baru saja balik.

"Mama ni kenapa tiba-tiba tanya pasal Delisha? Selama ni tak ambil kesah pun." Rambut Faiq dikeringkan dengan tuala. Kemudian dia memilih kemeja-T yang bergantungan dalam almari.

Fazira duduk di atas katil, mengadap anaknya.

"Mama bukan apa, nenda Si Isha tu asyik bising. Faiq kerap sangat usung dia keluar malam. Kalau Faiq main-main lagi, dia tak izinkan Faiq teruskan hubungan dengan Isha lagi dah." Fazira malas nak masuk campur urusan anaknya, tapi dah melibatkan Nenda Rosnah, dia harus tegur Faiq sebelum keadaan jadi serius.

Terhenti sekejap tindak-tanduk Faiq. Dia ambil sedikit masa memikirkan. Nampaknya Nenda Rosnah ni dah sampai tahap serius nak pisahkan dia dan Delisha. Ini tak boleh jadi.

"Mama, mama sendiri tahu, kan? Selama ni, hanya Isha seorang saja yang Faiq suka, Faiq cinta. Dari sekolah lagi Faiq berkenan sampai Faiq dapat juga hati dia. Takkanlah Faiq nak main-main? Faiq seriuslah dengan Isha. Macam mana nenda Isha boleh anggap Faiq tak serius, padahal Faiq selalu keluar dengan cucu dia..."

Faiq kemudiannya memakai kemeja-T Emporio Armani berwarna kelabu hitam. Menyerlahkan ketampanannya.

"Yalah. Sebelum Isha tu, Faiq ramai sangat girlfriend. Mana mama tahu kalau Isha pun Faiq anggap macam dia orang juga. Pasal Nenda Rosnah, mama tak tahu kenapa dia tiba-tiba halang hubungan Faiq dan Isha, tapi apa yang mama tahu, nenda Isha dah banyak berubah sekarang ni. Dah mula pakai tudung dan belajar agama. Agaknya sebab tu dia bising kut."

Tak dinafikan, ketampanan anak terunanya ini membuatkan ramai gadis cair. Tapi cucu Nenda Rosnah juga yang diinginkannya.

Ditolak pun dia tunggu juga walaupun perempuan silih berganti tapi tak pernah serius seperti Delisha. Sejak bercinta dengan Delisha barulah Fazira lihat Faiq dah tak keluar dengan perempuan lain.

"Dah tu, kalau tak keluar asyik rindu aje, ma. Nenda Isha ni, takkan tak tahu perasaan orang bercinta ni macam mana? Kenapa pula dia nak halang?" Faiq menghela nafas panjang.

"Habis tu, asyik bercinta aje. Sampai bila?"

Lama Faiq memikirkan soal itu. Dia tak pernah bincangkan secara serius soal kahwin kerana Delisha pun tak sedia lagi.

"Mama tak sukalah Nenda Rosnah tu asyik nampak yang buruk aje pada anak mama. Mujurlah mama ni baik dengan mama Isha. Kalau tak..."

Faiq sedar itu dan dia pun risau juga kalau-kalau Nenda Rosnah serius nak halang hubungan mereka.

"Mama ni, jangan ambil hati sangat. Orang tua kan, memang macam tu. Nantilah, Faiq cuba bincang dengan Isha pasal kahwin..."

"Yalah. Ni, mama nak tanya. Bila Faiq nak kerja dengan papa? Kata nak kahwin kan, so kenalah berubah..." Fazira menasihat lagi.

"Ala mama ni, bukannya nak lari pejabat papa tu, ada aje kan? Bila-bila masa nak masuk kerja pun, boleh..." Faiq belum bersedia lagi nak bekerja. Malas pun, ya juga.

"Memanglah tak lari, tapi company papa sekarang ada masalah. Faiq tolonglah papa. Mana tahu buah fikiran orang muda macam Faiq ni boleh bantu dia?" Fazira memujuk anaknya itu.

"Faiq sebenarnya tak minatlah business papa tu. Apa kata mama pujuk papa buka company baru untuk Faiq? Takkan Faiq nak urus business yang bermasalah? Faiq bukan tahu? Tak pasal-pasal lagi teruk nanti."

Faiq sebenarnya malas nak beratkan kepala dengan tanggungjawab.

"Syarikat yang ada pun tengah bermasalah, inikan pula nak buka company baru."

"Argh, serabutlah mama. Nanti-nantilah Faiq fikir. Okey, mama. Faiq nak siap, nak keluar ni." Faiq mencapai Armani jean dan mahu memakainya. Namun, telefon berdering mencelah suasana. Delisha rupa-rupanya.

"Ya, sayang."

"Faiq, sorry. I tak dapat keluarlah hari ni. Kalau you nak keluar, you keluar ajelah sorang." Suara Delisha mendatar saja. Bosan dengarnya.

"You, I dah bersiap ni nak pergi jemput you. Kenapa pula tak nak keluar?"

"Errr, I penatlah... I... I rasa tak... Tak sihat..." Delisha cari alasan. Mudah saja dihidu Faiq sebab Delisha ni jenis berterus terang.

"You tipu I ke, Isha? Ni sebab nenda, kan?" Tepat sekali, tapi takkan nak buka cerita pula?

"Ya, I penat. Semalamkan I tak tidur. Pening kepala. Esoklah kita keluar, ya?" Faiq akur, walaupun kecewa.

"Betul ni?"

"Betullah."

"Rindu kian mencengkamlah jawabnya..." Delisha gelak di hujungnya.

"You ni tak jemu-jemu, kan? Padahal kita jumpa pun, banyak gaduh dari baik."

"Gaduh kita gaduh-gaduh manja, sayang. Itu yang buat I tak boleh duduk kalau tak jumpa you..." Faiq mengeluh lagi.

"Baru sehari aje, esoklah kita jumpa. Kesian I, kalau keluar nanti, pengsan macam mana? Tak boleh juga nak bercinta kalau sakit..."

"Okey, janji esok kita jumpa. You rehatlah sayang, makan ubat ya?"

"Okay. Take care..."

"Bye sayang, I love you..."

"Me too." Panggilan terhenti. Terasa kosongnya hidup Faiq ketika itu. Baru mahu mengisi masa bersama Delisha. Rasanya tentu nenda Delisha tak izinkan dan Delisha sengaja cipta alasan.

Faiq terduduk di atas katil. Jadi mati kutu. Apa dia nak buat, ya? Ah, contact memberlah, ajak main snooker. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co