Bab 2
Airiz mendekati pelanggannya. Set alat mekap dibuka. Satu demi satu sehingga memenuhi ruang meja. Wanita selaku pelanggan itu mendongak.
Dia yang terperanjat melihat Airiz segera berdiri.
"Mana bos kau? Mana bos kau! Apa hal pula suruh makhluk yang tak kenal jantina sendiri ni yang mekapkan aku? Entah dapat bezakan krim dengan bedak!"
Airiz mendengus. Mulutnya menggerutu seraya berlalu ke arah pejabat kecil mereka.
"Ada ke patut dia suruh tomboi yang solekkan muka aku? Dia ingat aku ni siapa? Spesies low class?" Wanita itu membebel.
Mai yang sedang berFacebook memandang Airiz yang mencuka. Dia sengih. Sudah tahu, apa penyakitnya.
Dia bangun tanpa banyak soal dan terus keluar. Wanita yang wajahnya terpantul dari sebalik cermin itu sedang tersenyum kagum melihat album hasil solekan demi solekan oleh MUA di butik pengantin itu.
"Cantik betul dia solek. Tengok perempun tua ni, dah 65 tahun. Gatal nak menikah. Tapi lepas kena touch dengan MUA ni, terus meletup macam umur 30. Aku ni yang hanya ada kedut sikit-sikit ni boleh jadi macam 28 tahun tak?" Dia senyum melebar.
Mai memicit-micit bahu wanita itu dari belakang.
"Wanita secantik puan, usahkan 28 tahun... Nak muda macam gadis 18 tahun pun boleh." Mai mengatur ayat.
"Betul?" Pelanggannya itu memusingkan badan ke belakang. Dia menyentuh wajahnya sendiri.
Mai mengangguk. Dia melangkah ke sisi wanita tersebut.
"Jadi, mekapkan saya supaya cantik macam 18 tahun." Teruja pelanggan itu.
"Puan tahu siapa MUAnya?"
"Siapa?"
"Perempuan yang puan halau tadi."
"Eh, tak mungkinlah!" Nadanya tidak percaya.
Mai senyum. Dia mengangguk.
"Betul, puan. Tangan dia tu macam ada magik. Sekali sentuh, terus pelanggan datang berkali-kali. Puan cuba dulu, kalau puan rasa tak cantik, saya kasi separuh harga aje. Kalau cantik, puan ajaklah kawan-kawan datang ke sini."
"Separuh harga?"
"Ya, separuh harga."
"Okey. Panggil tomboi tu datang. Kalau betul saya boleh cantik macam 18 tahun, saya bayar double. Then, saya promote pada kawan-kawan saya."
"Orait, cun puan! Saya panggil kawan saya tu dulu, ya?" Mai senyum sampai ke telinga. Dia bangun mahu memanggil Airiz.
"Kejap!"
"Muka kau dengan dia, kalau diperhatikan ada iras-iras."
"Dah ramai cakap macam tu. Maybe sebab kami rapat dari dalam perut kut." Mai ketawa. Dia kemudiannya berlalu.
Pintu biliknya dikuak. "Keluarlah! Kasi cun perempuan tua tu. Adoi! Dah tua nak muda macam budak-budak apa lagi?"
"Kau janji apa? Bulan bintang kat dia?" Airiz membeliakkan mata.
"Adjust dia jadi Barbie doll. Kalau dia puas hati, kita juga untung." Mai acuh tak acuh.
"Kau berak, aku kena cuci?"
"Woi, benda kotor jangan sebut kat tempat cari rezeki!" Mai segan.
"Kotor apa? Semua manusia beraklah. Kau Tan Sri ke, Datuk Seri ke, semua beraklah! Kau makanlah apapun, sisa tu jadi tahi. Yang kau membuang tu, namanya tahi. Kau makanlah makanan berpuluh ribu satu hidangan, sekali keluar memang namanya tahi!" Airiz galak mengusik.
Mai menutup telinga. Tidak mahu mendengar tutur Si Airiz yang sengaja menyebut perkataan sama berulang-ulang.
"Yang kau makan, kemudian kau korek jari kau sampai kat dalam kerongkong tu tak kotor? Parah kau ni! Parah! Tak boleh nak terima kenyataan manusia ni bila makan, makanan tu akan keluar jadi tahi! Jadi najis! Kau muntahkan balik segala apa yang kau makan tu, namanya apa? Pembersih?"
Mai mengetap gigi. Penumbuknya digenggam.
Sabar, Mai! Sabar! Mai memaksa dirinya tersenyum. Dia menolak badan Airiz keluar dari bilik itu.
"Pelanggan tengah tunggulah! Membebel gaya orang tua zaman dulu!"
Pening kepala Sara apabila membelek kepingan mesej daripada aplikasi WhatsApp yang seterusnya. Pelanggannya mahukan kek yang bernilai RM5. Dia termenung menghadap beberapa biji kek yang sudah dia siapkan dekonya.
"Lima ringgit? Modal aku pun tak lepas." Sara mengeluh. Dia yang hendak membalas tidak sanggup hendak mengambil tempahan tersebut, tidak jadi berbuat demikian. Apabila pelanggannya itu menyertakan sekali gambar si anak yang baru berusia anggaran tiga tahun.
Emosinya tiba-tiba bercelaru. Matanya terus-menerus menatap pada raut anak kecil itu.
"Kalaulah aku ada anak, agak-agaknya cantik macam ni tak?" Jarinya perlahan-lahan dibawa mendekati skrin. Mahu menyentuh si kecil yang putih bersih. Naluri keibuan yang terpancar kelihatan jelas terpancar.
Kolam matanya mula berkaca. Bibirnya menggeletar. Air matanya mula mengalir turun membasahi pipi sebelum sedu-sedan kedengaran. Bahunya terenjut-enjut. Sara memejam mata. Kenangan perit itu menerjah lagi ke kotak ingatannya.
"Buat apa disimpan bini mandul macam tu? Lebih baik kamu kahwin dengan perempuan muda. Buat apa bini cantik kalau tak boleh lahirkan zuriat? Kita ni kahwin sebab nakkan anak. Kalau tak boleh mengandung, simpan buat apa?" Hajah Faridah menghasut.
"Nantilah, mak. Dah lewat nak pergi kerja ni." Kalut lelaki itu seperti tergesa-gesa.
Sara yang sedang mengemop lantai hanya mampu menahan sabar. Sampai hati ibu mentuanya berkata sebegitu di hadapannya. Tika itu, hanya Allah sahaja yang tahu betapa dia sedaya upaya menjaga aib suami. Dengan wajah terpaksa dimaniskan, dia berjalan menghampiri si suami.
"Salam, bang." Sara menghulur tangan. Sebaik sahaja dia mahu mengucup tangan, lekas-lekas lelaki yang dia panggil suami itu menarik tangan. Seperti tidak rela tangan sasa itu dikucup oleh bibirnya.
Si anak dan ibunya sama-sama tersentak. Tidak sedar perbualan mereka didengari oleh Sara.
"Kamu tu, Sara! Melawalah sikit. Duduk kat rumah, pakai seksi biar suami tergoda. Kalau asyik berkain batik dengan T-shirt lusuh macam ni, mana suami kamu ni nak berselera tengok kamu?" Sengaja Hajah Faridah bertutur sedemikian bagi menutup apa yang diperkatanya anak-beranak tadi.
Sara mengangkat wajah memandang ke dalam mata suaminya. Mencari kebenaran di sebalik kata-kata mentuanya. Melihat mimik muka lelaki itu, Sara syak meski dia bertelanjang bulat sekalipun lelaki itu tidak akan hairan.
"Sudahlah! Kamu pergi masuk dalam. Pinggan kat dalam kabinet tu, keluarkan! Mak nak ajak saudara-mara datang malam ni. Sudah kamu kemas rumah nanti, cuci bersih-bersih pinggan tu. Hah, kain dalam bilik mak tu jangan lupa! Karang bertimbun nanti. Sampah kat belakang rumah tu belum dibakar lagi. Kamu jangan nak membongkang pula dalam bilik."
Sara tidak mempamerkan apa-apa reaksi. Dia belum menjamah apa-apa makanan. Usai memasak tadi, ibu mentuanya meminta dia menyiram pokok bunga. Selesai menyiram, dia mahu menyertai mereka makan bersama tetapi suami pula memintanya menggoreng ayam. Katanya mahu diletakkan bersama bekal ke tempat kerja nanti.
Itu yang menyebabkan dia terpaksa berlapar. Kadang-kadang, dia terasa seperti diperhambakan. Seolah-olah, dia orang gaji di rumah itu tapi dia yakin, dia yang terlalu sensitif. Kalau bukan Hajah Faridah memintanya melakukan semua benda, siapa lagi yang wanita itu mahu minta pertolongan? Dia percaya, wanita yang dia panggil mak itu ikhlas menyayanginya seperti anak sendiri.
"Kamu tu kenapa macam tunggul kayu? Jangan nak tunjuk muka penat. Kamu tu bukannya ada isi dalam perut sampai penat tak boleh buat kerja! Orang lain menikah tak berapa lama, terus lekat. Kamu tu entah-entah keturunan mandul!" Hajah Faridah lancang tidak bertapis.
Gegaran mesej daripada syarikat Telco membuatkan Sara tersedar daripada lamunannya. Nafasnya dihembus kasar.
"Aku bukan tak nak mengandung! Aku nak! Aku nak anak! Mak, Sara nakkan anak, mak. Sara dah buat pemeriksaan di hospital. Doktor kata, Sara tak mandul! Sara tak mandul. Mak!" esak Sara.
Belakang lengannya dibawa mendekati mata. Nafasnya ditarik sebelum wajahnya cuba dimaniskan. Pipinya ditepuk-tepuk.
"Kuat, Sara! Kuat! Allah tak bagi kau anak, sebab Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kau. Apa salahnya kalau kau bahagiakan anak orang lain?" Sara lebih kepada mahu memujuk hati sendiri.
Satu keluhan dia lepaskan tidak semena-mena.
"Zaman sekarang ni, kek apa yang harganya lima ringgit? Mengarutlah dia ni! Kalau tak mampu makan kek, makan sahajalah lempeng!"
Terselit satu perasaan dalam hatinya seperti terhasut dengan sesuatu. Dia tidak mahu menanggung rugi.
Skrin telefon dan perut kemudiannya dipandang silih berganti.
"Bodoh! Kau bodoh! Kenapa kau tak ada isi? Sebab kau, aku kena cerai! Sebab kau, aku ni jadi janda!"
Perutnya ditampar-tampar. Benci!
"Sara... Sara! Dia tak ceraikan kau sebab kau tak lahirkan anak untuk dia, Sara! Dia bohong kau. Ada sebab lain, kan? Dia saja nak sakitkan hati kau bila dia sebenarnya malu dengan pekerjaan kau. Kalau kau tak ada anak, kau boleh sayangkan anak orang lain, kan?"
Sara ketawa dibuat-buat. Skrin telefon diusap-usap.
"Kau jangan sedih, Sara. Jadi janda kan best? Tak payah nak fikirkan mentua. Tak payah nak fikirkan suami. Kau bebas nak pergi mana-mana."
Sara tersenyum bahagia.
"Sayang nak makan kek, ya? Auntie buatkan, eh? Tapi auntie buat yang guna modal sikit aje tau. Sebab auntie pun cari makan juga. Auntie bukan orang kaya." Ekor matanya memandang sekeliling. Pandangannya terhenti pada botol Sunquick dengan label Gold.
Dia tersenyum lebar. Laju kakinya bergerak ke arah kabinet. Mencapai sebiji telur bergred A. Dia pecahkan dan masuk ke dalam mangkuk. Secawan minyak jagung dimasukkan sekali lalu dipukul bersama-sama dengan telur sehingga kembang. Dia memasukkan gula, esen vanila dan Sunquick lalu memukul campuran itu sekali gus.
Kemudian, dia memasukkan susu dan tepung secara bergilir-gilir. Adunan itu dipukul secara perlahan-lahan sehingga sebati.
"Bagus, Sara! Bagus! Kau dah jadi manusia yang berguna hari ni sebab sanggup bantu orang lain. Mana ada baker kek yang buat kek ni sanggup ambil tempahan kek lima ringgit? Gila! Nanti, kau nak pergi hantar kat mereka lagi. Kau ni bodoh eh, Sara? Minyak kereta kau siapa nak tanggung?"
Sara geli hati. Dia meletakkan adunan ke dalam pengukus selama 45 minit.
"Tak apa, Sara! Kau mudahkan urusan orang, Allah akan mudahkan urusan kau. Lagipun, kau guna telur sebiji aje. Tepung, susu, minyak semua tu kan sikit-sikit aje. Kau jangan rasa membazir. Kerana effort kau ni, insya-Allah dibalas dengan rezeki yang lebih murah." Sara senyum.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co