Bab 4
"Kamu... Betul nak turun kat sini?" Si tua itu memandang ke luar. Kawasan perkuburan yang sepi itu membuatkan naluri seorang bapa terasa risau.
Airiz hanya mengangguk. "Berapa, pak cik?"
Lelaki berbaju putih itu memandang meter.
"Lapan puluh ringgit."
Airiz membuka beg duit. Tiada not RM10 mahupun RM20. Sekeping not RM100 dikeluarkan.
"Hari ni orang baru dapat gaji agaknya, semua pakai duit besar. Pak cik tak ada duit baki ni."
"Pak cik simpan aje bakinya. Terima kasih." Airiz membuka pintu.
Pemandu teksi itu menurunkan cermin kereta.
"Pak cik tak sedap hati nak ambil baki kamu dua puluh ringgit ni. Apapun, terima kasih ya. Oh, ya! Kamu nak pak cik tunggu? Pak cik hantarkan kamu pulang."
Airiz diam. Kemudian, dia menggeleng.
"Saya ada urusan kat sini."
"Kalau macam tu, hati-hati." Cermin kereta dinaikkan. Teksi itu mula meluncur perlahan-lahan.
Airiz mula mengorak langkah mendekati pagar. Tangannya meraba kepalanya yang togel tidak berkelubung. Jaket kulit pada badannya ditanggalkan lalu digunakan untuk menutup kepala.
Merasakan nafasnya sesak, dia menarik-narik bajunya pada bahagian dada supaya sedikit longgar sekali gus memberikannya ruang untuk bernyawa.
"Assalamualaikum, ya ahli kubur." Airiz umpama berbisik.
Dia mendekati pusara yang tertulis nama Muhammad Aizat bin Umar pada batu nisan.
"Assalamualaikum, angah. Adik datang lawat angah."
Airiz mengemam bibir. Hendak menangis dan menahannya pada waktu yang sama.
"Maafkan adik sebab lupa tentang hari ni."
Airiz duduk mencangkung. Tangannya mula mencabut rumput-rumput yang tumbuh merata di atas tanah kubur itu.
"Angah, adik rindu angah sangat-sangat. Kalau angah tak dapat kembali pada adik, boleh tak adik pergi pada angah?"
Airiz mengembungkan pipi menahan tawa.
"Janganlah marah, ngah. Adik gurau aje." Airiz senyum. Sedikit demi sedikit, senyumannya ditarik balik.
Air matanya tumpah. Titis demi titis. Airiz ketawa.
"Ni air mata gembira tau. Gembira sebab dapat lawat angah." Bibirnya digigit. Suaranya tidak boleh dikeluarkan. Sebak menguasai diri menyebabkan lidahnya kelu untuk berkata-kata.
Seputar kisah 13 tahun yang lalu bermain-main di kotak memorinya.
"Adik dah balik?" Puan Umaira segera menerpa ke arah anak gadisnya.
Airiz mendekati si ibu dengan wajah yang pucat. Slip keputusan peperiksaan UPSR dibawa ke belakang badan.
Jae dan Ijat berjingkit-jingkit berlari ke arah Airiz. Dia mengisyaratkan kepada Ijat mengambil slip dari belakang badan adik bongsu mereka itu.
"Hah, sorok!" Jae menggeletek pinggang Riz sementara slip mula bertukar tangan.
Lutut Airiz menggigil. Dia memandang wajah along, angah dan mamanya silih berganti. Terperanjat Ijat melihat keputusan yang terpapar pada slip.
"Adik?" Bahu Airiz dipusing.
Airiz menunduk. "Maafkan adik. Adik dah kecewakan mama. Adik dah kecewakan semua orang."
"Adik dapat berapa, angah? Bagi mama slip tu, ngah!" Puan Umaira menghulur tangan. Suaranya bergetar. Dadanya mula mencengkam. Sakit!
Ijat memandang Jae sebelum menghulurkan kepingan kertas itu.
"Adik!" Terkejut Jae apabila matanya menjamah bilangan gred B yang terpapar pada slip.
Puan Umaira menekan dada sambil meramas baju. Terjelepok dia terjatuh di atas lantai sambil mengerang kesakitan.
"Mama!" Jae dan Ijat menjerit.
Airiz merapati Puan Umaira perlahan-lahan.
"Mama..."
"Telefon ambulans, angah!!!" tempik Jae sambil memangku kepala ibu mereka.
Ijat bangun dan segera berlari mendapatkan telefon di dalam bilik si ibu.
"Mama! Mama!" Airiz cuba menyentuh tangan Puan Umaira namun, ditepis dan ditolak oleh Jae.
"Kau jangan sentuh mama! Kalau apa-apa berlaku pada mama, mati kau!" Jae memandang adik perempuannya itu dengan rasa marah meluap-luap.
Airiz bangun. Memori duka itu makin dikenang, makin membuatkan dia tertekan.
"Kalau adik ni cerdik macam along dan angah, mama takkan tinggalkan kita."
Airiz melirik ke pusara Puan Umaira yang tidak berapa jauh dari tempatnya berdiri.
"Betul kata along, angah. Adik tak layak lawat kubur mama. Tak layak datang tahlil mama. Adik ni pembunuh."
"Dah tau kau tu pembunuh, hadap lagi kau ke sini setiap tahun?" Suara garau mencelah dari belakang.
Kaki Airiz pegun. Dia tidak mampu memusingkan kepalanya ke belakang. Dia tahu, itu suara Jae.
"Adik pergi dulu, ngah. Assalamualaikum." Airiz tidak berani memandang ke wajah Jae. Sambil memandang ke arah lain, dia melintasi lelaki itu.
Jae menyambar tangan Airiz. Terjatuh jaket kulit dari kepala gadis itu.
"Adik!" Jae tergamam. Sebelum ini, setiap kali terserempak di lokasi yang sama saban tahun, gadis itu akan datang dengan baju kurung dan kain selendang di kepala tetapi hari ini...
Airiz memberanikan diri menentang mata si abang. Sepatah kata tidak diungkap.
"Airiz!"
Riz senyum sinis. Kalau tidak kerana Jae, dia tidak akan membenci diri sendiri sebegini. Dia membuka langkah. Meninggalkan Jae yang sedang tercengang melihat dia yang sebenar.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co