Truyen3h.Co

Hati Yang Kau Curi (Preview)

Bab 3

karyaseni2u

SUASANA di dalam rumah itu sepi. Cik Biah sibuk di dapur seorang diri, memasak untuk makan malam. Dia menyediakan nasi goreng sahaja. Malas betul hendak masak berat-berat apabila tidak banyak bahan yang tinggal di dalam peti sejuk. Sebaik siap masak nasi goreng, suaminya Encik Musa pulang.

"Langkah kanan betul awak ni. Saya baru saya siap masak nasi goreng. Marilah kita makan," kata Cik Biah.

"Yalah, elok juga tu. Saya memang lapar," jawab Encik Musa.

Cik Biah bergerak mengambil pinggan dan gelas. Dia meletakkannya di atas meja makan. Air kosong dituang ke dalam gelas.

Encik Musa duduk menghadap meja makan di dapur, sambil memerhati isteri mencedok nasi goreng yang masih panas ke dalam pinggan. Pinggan yang terisi nasi goreng itu diletakkan di hadapan Encik Musa.

"Sunyi aje rumah. Lara tak ada?"

"Ada dalam bilik. Dari pagi tadi tak keluar-keluar lepas bergaduh dengan Aidit."

"Pasal apa?"

"Pasal minyak motornya yang kering dikerjakan Lara dan helmet Aidit hilang."

"Dah tu, macam mana Aidit pergi kerja kalau tak ada helmet?"

"Apa lagi... pinjam helmet jiran sebelah kita, Encik Dolah. Kata Aidit dia akan beli helmet baru nanti, tapi kena tunggu gajinya masuk dulu," jelas Cik Biah.

"Ni Aidit belum balik kerja lagi. Dia telefon tadi bagi tahu saya, dia kerja lebih masa untuk cari duit. Kasihan Aidit," keluh Cik Biah. "Apa yang patut kita buat dengan Lara ni, bang? Saya risau betullah."

Encik Musa diam sahaja. Fikirannya runsing bukan kepalang. Tidak disangka penyakit Lara menyerang lagi. Lara pernah dihantar ke pusat rawatan beberapa tahun lepas.

"Anak kita ni mewarisi penyakit mak awak, Biah. Emak awak dulu, sampai meninggal dalam keadaan tak keruan. Dulu tak ada rawatan moden macam sekarang."

Cik Biah mengeluh berat. Spontan dia teringat penderitaan yang dialami emaknya. Air mata mulai berlinangan.

"Tak sangka penyakit tu terkena pada Lara. Kasihan anak kita, bang. Dia jadi makin teruk lepas diberhentikan kerja. Fitnah yang dikenakan pada dia tu buat fikiran dia makin bercelaru. Dia dah mula buat benda yang bukan-bukan."

"Patut ke kalau kita..." Cik Biah tidak menghabiskan kata-katanya apabila dia sedar Lara berdiri di hadapan pintu yang memisahkan ruang dapur dan ruang tamu.

"Patut apa, mak?" tanya Lara.

Lidah Cik Biah terus kelu, tidak sanggup untuk menuturkan kata-kata lagi. Encik Musa menoleh ke arah Lara. Dia berharap Lara mendengar kata-katanya sebentar tadi. Lara tidak harus tahu bahawa penyakit yang dialaminya berkaitan dengan keturunan.

"Lara, mari makan nasi goreng dengan ayah," ajak Encik Musa cuba untuk berlagak mesra.Lara menggeleng. "Lara nak pergi rumah Tina sekejap."

Tina satu-satunya rakan baik Lara, yang tinggal tidak jauh dari rumah mereka. Rumah Tina terletak di hujung jalan, lebih kurang berjarak sepuluh buah rumah dari situ. Sudah agak lama Lara tidak menemui Tina.

Cik Biah hairan mengapa Lara tiba-tiba ingin berkunjung ke rumah Tina pada waktu malam begini.

"Kau nak buat apa pergi rumah dia?"

"Ada hal sikit..." jawab Lara, sambil memusing badannya menghala ke ruang tamu.

"Tapi makanlah nasi goreng ni dulu!" teriak Cik Biah.

Lara tidak peduli. Dia terus berjalan menghala ke pintu hadapan.

"Lara tak makan apa-apa sejak pagi tadi. Dia tak lapar ke?" Cik Biah separuh merungut.

"Ah, pandai-pandailah dia. Kan dia dah besar? Lagipun tu perut dia. Tahulah dia nak isi bila lapar."

"Tapi dia tu..." Cik Biah tidak menghabiskan kata-katanya.

Lara keluar. Dia agak kecewa mendengar kata-kata Cik Biah. Ibunya selalu risau dan bimbang tidak bertempat. Tahulah dia menjaga diri. Lagipun dia tidak ada selera makan kebelakangan ini. Di dalam biliknya ada air mineral, roti dan biskut. Dia tidak akan mati kebuluran. Dia tidak ingin mati sebelum menemui Adri sekali lagi!

Lara tersenyum sendiri apabila teringatkan Adri. Dia berjalan laju menghala ke rumah Tina. Tadi dia sudah pun menghantar pesanan melalui WhatsApp kepada Tina memberitahu dia akan datang. Dia ingin mengajak Tina mencari rumah Adri untuk mendapatkan kembali jaket dan topi keledar Aidit. Dia sedar, betapa dia sudah menyusahkan adiknya itu. Aidit perlu mencari rezeki. Di rumah itu hanya Aidit seorang yang bekerja.

Lara sudah lama kehilangan kerja. Dia tiada mood untuk mencari kerja lain, apatah lagi dengan keadaan kesihatannya yang tidak menentu. Dia bimbang semua yang pernah berlaku di syarikat lamanya dahulu berulang semula. Dia tidak ingin peristiwa itu berulang menghantui sepanjang hidupnya. Satu-satu dia cuba mengingat semula kejadian yang membuatkan dia dipecat tanpa notis.

Tiba-tiba sahaja suara bekas bosnya Encik Ameen bergema di telinganya.

"Saya percayakan awak, Lara. Saya kenal ayah awak dah lama. Saya ingat nak bagi peluang awak berkembang dalam syarikat saya ni. Tapi ini balasan awak?"

"Encik Ameen, saya difitnah. Bukan saya yang curi duit tu. Saya pun tak tahu macam mana duit tu boleh hilang. Saya dah kunci laci meja saya. Pagi ni saya ingat nak pergi bank-in tapi duit tu dah tak ada."

Encik Ameen menggeleng. "Mustahil awak tak tahu macam mana boleh hilang? Laci berkunci dengan elok. Tak ada tanda-tanda pecah masuk ke bilik kerja awak. Macam mana awak nak jelaskan ini semua pada saya? Macam mana saya nak percaya?"

Lara diam dan menunduk. Benar, memang dia menerima wang tunai daripada pelanggan petang semalam sebanyak RM8000. Pelanggan itu datang sendiri menyerahkan duit kemudian mengambil stok. Dia juga yang membawa pelanggan ke gudang. Dia turut membantu mengangkat stok ke dalam van pelanggan. Kemudian dia masuk semula ke pejabat untuk menyimpan duit tunai di dalam laci. Dia menyesal. Dia benar-benar menyesal kerana tidak terus ke bank untuk memasukkan wang itu ke dalam akaun syarikat.

"Bukan ke awak buat kerja lebih masa semalam seorang diri? Semua staf di pejabat ini dah pun balik. Hanya tinggal beberapa pekerja gudang," kata Encik Ameen.

Tiba-tiba Lara teringat sesuatu. Semasa dia berjalan dengan pelanggan menghala ke gudang, bersebelahan dengan pejabat dia ternampak kereta Kancil milik Wati.

"Err... Cik Wati... Cik Wati belum balik. Dia ada di gudang masa tu. Masa saya tutup pejabat, kereta Kancil Cik Wati ada di kawasan parkir," ujar Lara.

"Apa maksud awak? Awak kata Wati pulak yang curi?" Encik Ameen terus memanggil Wati agar masuk ke bilik kerjanya. Kehilangan wang jualan itu terus diceritakannya kepada Wati.

"Maksud kau apa? Kau nak tuduh aku pula yang curi duit tu?" jerkah Wati ke arah Lara. "Kalau kau dah ambil duit tu, jangan nak tuduh orang lain pulak!"

"Tapi kau juga ada pegang kunci laci meja aku," balas Lara sengit.

"Tak ada. Masa kau ambil alih jawatan, aku dah serahkan kunci pada kau. Kau seorang yang pegang kunci itu, tak ada orang lain. Mana ada orang masuk ke dalam bilik kau petang semalam? Jangan nak tuduh-tuduh sembarangan!" tengking Wati. Dia tidak peduli meskipun Encik Ameen ada di hadapan mereka. Dia perlu mempertahankan dirinya. Spontan dia menyeluk tangan ke dalam poket seluar. Jarinya tersentuh dua keping kunci pendua yang baru dibuatnya beberapa hari yang lalu. Memang dia tahu tentang pelanggan yang akan datang membuat bayaran secara tunai. Dia yang menyediakan dokumen sebelum ditandatangani Lara.

"Memang kaulah orangnya yang mencuri duit tu. Kau cuba fitnah aku. Sebab kau dengki dengan aku, kan? Kau nak sangat jawatan aku," balas Lara tidak mahu kalah. Dia tidak akan mengaku sesuatu yang tidak dilakukannya.

"Sudah! Satu cara untuk selesaikan masalah siapa pencuri dan siapa yang bukan, kita tengok sahaja CCTV," kata Encik Ameen.

Lara tersenyum mendengar cadangan Encik Ameen. Sebentar lagi akan terbukti siapa yang masuk ke dalam bilik kerjanya selepas dia pulang semalam. Sayangnya rakaman CCTV petang semalam tidak terdapat di dalam sistem.

"Encik Ameen... Err... semalam petang, perakam CCTV rosak," ujar Wati. Sebenarnya Wati meminta Arif, tunangnya yang bekerja di gudang mencuri wang itu. Mereka tidak cukup wang sedangkan tarikh pernikahan semakin dekat. Satu cara yang mudah untuk dapat wang tunai adalah dengan mencuri dan memfitnah Lara.

Wati memang bencikan Lara sejak gadis itu masuk bekerja di situ. Sudah lama dia mengidam jawatan pengurus. Sebaliknya dia hanya dilantik sebagai pembantu Lara.Encik Ameen mengeluh kesal.

"Kesalahan ini besar, Lara. Awak dah buat silap dengan menyimpan duit itu di dalam laci. Saya dah tak tahu apa yang patut dibuat. Tapi sebab awak orang terakhir yang ada di pejabat, jadi awaklah yang harus bertanggungjawab. Sekarang awak nak pulang duit itu ataupun saya akan laporkan pada pihak berkuasa?"

Wati tersenyum mendengar kata-kata Encik Ameen.

"Selama saya bekerja di syarikat ni, tak pernah lagi ada pencuri. Inilah pertama kali staf di sini berani mencuri." Wati menambah, untuk mengapi-apikan lagi kemarahan Encik Ameen.

"Encik Ameen, saya bersumpah demi Allah, saya tak ambil. Saya tak curi duit tu. Janganlah laporkan pada pihak berkuasa. Keluarga saya akan tanggung malu."

"Kalau kau fikir malu, kenapa kau buat taik, hah?" sindir Wati.

"Sudah Wati! Awak keluar dulu." Arah Encik Ameen.

Lara bergerak ke arah Encik Ameen dan berlutut di atas lantai. "Encik Ameen, sumpah! Saya tak curi! Di sini tempat saya cari rezeki. Takkanlah saya nak mencuri pula?"

"Awak jangan cakap banyak. Saya harap awak pulangkan semula duit tu, Lara!"

"Duit tu tak ada pada saya. Macam mana saya nak pulangkan? Bergadai bergolok pun saya tak akan dapat kumpul duit sebanyak itu!" ucap Lara dengan air mata berlinangan, perlahan-lahan gugur di pipinya.

"Macam nilah... Sebab awak tak mahu mengaku, awak boleh berambus dari sini buat selama-lamanya. Awak bernasib baik sebab saya malas nak panjangkan lagi hal ini. Jangan tunjuk muka awak lagi di sini! Pergi!" tengking Encik Ameen sambil melemparkan fail ke arah Lara. Bucu fail berkulit keras itu terkena dahi Lara. Dia tidak sempat mengelak. Langsung tiada rasa kesal di hati Encik Ameen tatkala melihat ada lelehan darah di dahi Lara.

Lara bangun dan bergerak meninggalkan bilik kerja Encik Ameen. Dia menjenguk ke bilik kerjanya yang bersepah-sepah setelah digeledah beberapa orang staf syarikat itu. Isi beg tangan turut digeledah. Semuanya bertaburan di atas lantai. Bersama titisan air mata Lara mengutip satu per satu barang-barang peribadinya, seperti lipstik, bedak dan lain-lain yang bertaburan di sana sini.

Semasa dia berjalan keluar beberapa orang staf berbaris di tepi pintu seolah-olah ingin menghalau Lara secepat mungkin. Wati juga ada di situ. Dia tersenyum sinis sambil berkata,

"Kau memang tak layak bekerja di sini. Kau pencuri! Nasihat aku, kalau kau dapat kerja lain nanti, janganlah mencuri lagi!" Kemudian dia gelak sambil disahut oleh teman-temannya yang lain.

Moga suatu hari nanti kebenaran diriku terbukti, bisik hati Lara. Namun sehingga kini kebenarannya tidak pernah terbukti. Dia semakin jauh dan hanyut dalam tekanan demi tekanan sehingga dia rasa hidupnya tidak lagi bermakna apa-apa.

Tidak! Bergema suara hatinya di dalam menjeritkan perkataan 'tidak' berulang kali. Pisang tidak akan berbuah dua kali, bisik hati Lara.

Beberapa meter di hadapannya, Lara lihat sebuah motosikal dengan enjin yang dibiarkan hidup. Tidak terlihat orang di situ. Di atas motosikal terdapat sebuah beg besar berwarna pink yang tertulis dengan perkataan 'Foodpanda'.

Tiba-tiba Lara rasa teruja melihat motosikal itu. Dia berjalan cepat mendekati motosikal itu, sambil memerhati sekeliling. Dia lihat seorang lelaki sedang menghantar barang di rumah di sebelah kiri jalan. Lara terus duduk di atas motosikal itu dan terus memecut pergi.

Lelaki Foodpanda terkejut melihat motosikalnya dilarikan orang. Dia terjerit-jerit meminta Lara berhenti. Lara sekadar menoleh, tersenyum lalu terus memecut dengan laju keluar dari taman perumahan itu.

Lara ingat-ingat lupa jalan ke rumah Adri. Kini dia berada di simpang empat, di hadapan lampu isyarat. Matanya melilau ke kiri dan ke kanan.

"Simpang kiri atau kanan?" Lara bercakap seorang diri. "Kanan, kiri, kanan, kiri..." Dia membilang jarinya sendiri. "Yes, kiri..." Dia mengambil keputusan untuk membelok motosikal itu ke kiri.

Dia menunggang beberapa ratus meter ke hadapan, sambil matanya melilau mencari rumah Adri. Rumah-rumah di situ kelihatan sama sahaja patennya, langsung tidak terlihat sebarang tanda ataupun petunjuk. Lara tidak pasti. Namun dia berhenti di hadapan sebuah rumah, terdapat sebatang pohon mangga di hadapannya. Dia teringat pokok mangga yang dipenuhi dengan lampu.

"Ya, aku rasa inilah rumahnya. Halaman yang dipenuhi dengan lampu. Semua pokoknya dipasang lampu berwarna-warni. Aku yakin...." Lara bercakap sendiri sambil menongkat motosikal yang dicurinya tadi.

Dia berjalan ke arah rumah yang kelihatan gelap-gelita itu, menanda penghuninya tiada ataupun belum pulang. Lara duduk di kerusi kayu di porch sambil menghantar whatsApp kepada Tina.

-Aku tak jadi pergi rumah kau. Aku ambil keputusan untuk pergi sendiri cari Adri.-Kau dah ingat rumah dia kat mana? -Aku dah ada kat depan rumah dia sekarang. Tapi rasanya dia tak ada di rumah. Aku akan tunggu sampai dia balik.-Sure? -Ya -Apa-apa nanti kau bagi tahu aku.-Ok-Tapi kau pergi sana naik apa?-Naik motor orang. Aku pinjam.

Sedikit pun tiada rasa bersalah di hati Lara kerana melarikan motosikal budak Foodpanda. Dia tidak mahu berfikir tentang orang lain. Apa yang penting dia sudah pun berada di hadapan rumah Adri. Setelah menemui Adri nanti, dia akan pulangkan semula motosikal budak Foodpanda. Settle masalah.

"Kalau kau nak motor kau semula, kau jangan pergi mana-mana. Kau tunggu sajalah kat situ," kata Lara seolah-olah budak Foodpanda itu ada di hadapannya.

Lara bermain game di telefon bimbitnya sementara menunggu kepulangan Adri. Hampir satu jam dia menunggu. Waktu sudah pun beranjak dari pukul 9.00 malam ke pukul 10.00. Tiada tanda-tanda Adri akan pulang. Lara melihat jam di telefon bimbitnya.

Dia akan menunggu tidak kira berapa lama. Adri pasti akan pulang. Sedangkan burung pun pandai pulang ke sarang, takkanlah Adri tak reti-reti nak balik, fikir Lara. Dia terus bermain untuk satu jam lagi. Adri masih belum balik. Lara bangun. Pinggangnya mulai terasa lenguh-lenguh duduk bersandar di kerusi kayu itu.

Dia membuat gerakan seperti senaman untuk menghilangkan lenguh. Ketika itulah lampu sebuah kereta menyuluh ke arah rumah yang gelap. Lara memerhati ke arah jalan. Dia nampak kereta memasuki ruang halaman, melalui jalan berturap batu. Kereta berhenti di pinggir porch. Adri keluar dari kereta itu.

"Adri!"

Adri menoleh ke arah suara itu. "Awak!" teriaknya lalu terus berjalan ke arah Lara.

"Macam nak gila saya cari awak. Rupa-rupanya awak ada di rumah saya. Dah lama awak sampai?"

"Adalah dua jam..."

"Pelik juga saya tadi nampak motor Foodpanda depan rumah saya. Rasanya saya tak order apa-apa dengan Foodpanda. Awak yang bawak motor tu?"

"Siapa lagi?" jawab Lara ceria.

"Awak datang dengan tak pakai helmet. Nanti kena saman."

"Helmet saya tertinggal di rumah awak."

"Ya... ya..." jawab Adri sambil gelak kecil.

"Jom masuk ke rumah saya dulu. Banyak yang saya nak cakapkan dengan awak," kata Adri sambil membuka pintu hadapan.

Sebaik masuk, Adri terus menyalakan semua lampu hingga ruang tamu itu terang-benderang.

"Duduklah. Saya ambilkan awak air. Awak dah makan?"

"Tak apalah." Lara menolak apabila diajak makan walaupun perutnya terasa sedikit pedih kelaparan. Waktu makan sudah pun berlalu.

"Biar saya order makanan. Kita makan dulu, lepas tu baru awak balik, okey?"

"Tak apa, saya tak nak. Terima kasih."

"Awak tinggal dengan siapa kat rumah ni? Emak ayah awak ada?" tanya Lara ingin tahu.

"Saya tinggal seorang. Papa saya duduk kat rumah lain. Mama saya duduk di luar negara."

"Jadi, awak tinggal seorang? Saya tak boleh lama-lama kat sini. Nanti kena tangkap basah."Adri ketawa. "Okey juga tu. Boleh kahwin free."

Lara hanya menggigit bibir. Namun dia tidak berganjak dari tempat duduknya. Belum lenyap rasa gembira di hatinya, kerana dapat bertemu semula dengan Adri.

Adri menuang minuman jus oren yang baru diambilnya dari dalam peti sejuk. Gelas yang penuh terisi dihulurnya kepada Lara. Lara meneguk jus yang dingin itu perlahan-lahan. Adri menghilang sebentar ke bahagian dalam. Dia ingin mandi dan menukar pakaian.

"Badan saya melekit sangat. Biasanya balik kerja saya terus mandi. Awak jangan terus balik macam hari tu... tak sempat saya nak cakap apa-apa awak dah hilang."

Lara mengangguk sahaja dan berjanji akan menunggu Adri membersihkan diri. Pintu hadapan rumah dibiarkan sahaja terbuka. Lara memerhati ke luar, kelihatan lampu-lampu kecil bergayutan di dahan pokok-pokok bunga renek bergemerlapan indah. Dari jauh terlihat seperti kunang-kunang di celah-celah daun.

Akhirnya Lara keluar dari rumah Adri lalu duduk di halaman, menikmati suasana malam yang hangat dan memberangsangkan.

Tidak lama kemudian Adri keluar dengan memakai T-shirt putih kosong dan seluar biru pekat. Rambutnya yang hitam dan lebat kelihatan basah. Namun tersisir rapi dan kemas. Bau deodoran yang wangi semerbak sempat hinggap di deria bau Lara.

"Sorry, awak terpaksa menunggu lagi sekali."

"Halaman awak cantik waktu malam. Tak terasa lama pun menunggu," balas Lara dengan senyum manis. Berbaloi dia menunggu dua jam kerana akhirnya dia dapat menentang mata

Adri yang jinak sekali lagi.

Ahhh... dua jam menunggu, masakan tidak lama?

"Kalau awak tak datang malam ni, tentu awak takkan jumpa saya dalam tempoh yang sangat... lama," kata Adri dengan sengihan memanjang.

"Awak nak ke mana?"

"Mulai esok saya akan bertugas di luar KL selama dua minggu."

"Oh, dua minggu saja. Saya ingatkan dua tahun ke apa... Awak nak pergi luar negara ke?"

"Sekarang mana boleh ke luar negara? Dalam negara pun mungkin akan disekat juga, jika masalah Covid semakin menular," kata Adri.

Lara mengangguk. Dia tidak kisah sangat pada masalah negara ataupun masalah manusia lain. Dia hanya pedulikan masalah dia dan Aidit. Dia sudah pun menyusahkan adiknya itu. Sekarang adalah masa untuk dia memperbetulkan kembali keadaan. Tadi dia terdengar ibunya merancang sesuatu. Jika dia terus buat perkara-perkara pelik, tidak mustahil ibu dan adiknya akan hilang sabar.

Lara gentar dan takut sekiranya dia harus dihantar pergi, ke tempat yang paling dia benci. Justeru itu dia harus mengawal diri agar tidak melakukan perkara yang bukan-bukan.

"Awak tahu saya datang sebab nak ambil helmet dan jaket yang tertinggal di sini. Malam tu saya terlupa, nak balik cepat sebab dah lewat sangat."

"Awak yakin, bukan itu sahaja sebabnya awak datang semula cari saya?" tanya Adri sambil merenung wajah Lara. Dia senyum.

Lara menggigit bibir dan berkata, "Ada sebab-sebab lain ke, awak rasa?" Dia memulangkan soalan.

"Cuba awak tanya hati dan diri awak sendiri," ujar Adri pula sengaja bermain dengan kata-kata.

"Entah, malas pulak nak tanya," balas Lara sambil angkat bahu.

"Mata awak... Ada sesuatu di dalam mata awak," kata Adri sambil mendekati Lara dan cuba menyentuh rambutnya yang jatuh di dahi.

Lara terus bangun. Dia tahu Adri ingin menggodanya dan dia tidak akan mudah tergoda. Meskipun hatinya menyukai Adri tetapi ada batas tertentu yang perlu dijaga. Dia tidak suka dipermainkan. Dia amat berhati-hati terutama dengan manusia lelaki. Ketika fikiran warasnya menguasai diri dia akan menjauhkan diri dari mereka. Dia bukanlah bodoh dan gila sebagaimana yang disangka. Dia keliru. Kadang-kadang dia gagal mengawal diri sendiri apabila otak dan hatinya tidak seia sekata.

"Okey, saya rasa masa dah tamat. Saya nak balik sekarang. Saya harus pulangkan motor orang yang saya pinjam." Lara sudah pun berdiri dan berjalan ke pintu dengan pantas.

"Mana jaket dan helmet saya?"

"Ada dalam kereta. Biar saya pergi ambil." Adri bergerak menghala ke keretanya. Dia terus mengambil jaket dan topi keledar yang diletakkan di dalam kereta.

Lara menyambut jaket yang dihulurkan Adri lalu terus memakainya. Dia turut memakai topi keledar kemudian terus berjalan laju menghala ke motosikal yang terletak di tepi jalan.

Adri mengejar. "Hei! Lara... bagilah nombor telefon awak."

Lara menyebut kuat nombor telefonnya dari jauh sahaja. Adri tidak begitu dengar dan dapat menangkap setiap butiran nombor itu.

"Sekali lagi... Please. Saya tak boleh ingat."

"Awak akan ingat kalau awak betul-betul sukakan saya!" jerit Lara lagi lalu terus memecut laju meninggalkan halaman rumah Adri. Lara tersenyum sendiri. Dia yakin Adri tidak akan ingat nombor telefon bimbitnya. Biarkan dia tertanya-tanya.

Jam sudah hampir pukul 12.00 malam. Lara memecut laju hingga akhirnya dia tiba di kawasan perumahannya. Tatkala dia memasuki jalan menghala ke rumahnya, dia terkejut melihat ramai orang berkumpul di persimpangan jalan dan ada sebuah kereta polis.

Kelihatan budak Foodpanda sedang duduk di tepi jalan dengan wajah sugul. Tetapi sebaik sahaja di nampak Lara muncul dengan motosikalnya dia terus menjerit. "Itu! Itu dia pencuri motor saya! Tangkap dia, encik! Tangkap!" jerit budak Foodpanda bertalu-talu.

Semua orang yang berada di simpang jalan memandang ke arah Lara. Lara yang baru sahaja berhenti, untuk melihat apa yang terjadi terkejut mendengar jeritan budak Foodpanda. Lebih-lebih lagi saat itu dia nampak dua orang anggota polis berada di sisi kereta peronda yang parkir di tepi jalan.

Lara langsung tidak menggelabah. Tiada rasa takut yang menyelinap ke dalam urat darah dan nadi. Walau bagaimanapun tidak mahu ditangkap polis. Dia tidak pernah berniat hendak mencuri motosikal budak Foodpanda. Dia ingin meminjamnya sekejap sahaja. Tetapi siapa sangka, ia jadi begitu lama kerana menunggu kepulangan Adri.

Dengan pantas Lara memusing motosikal itu, hingga tayarnya bergesir dengan jalan mengeluarkan bunyi yang agak kuat. Dia perlu lari segera. Dia tidak mahu tertangkap dan masuk ke dalam lokap. Dia tidak mahu terkurung. Serik... Suatu masa dahulu dia pernah terkurung di tempat itu.

Lari Lara! Lari sejauh yang mungkin. Lara memecut memasuki jalan yang kosong. Dia menunggang tidak menentu, tidak pasti jalan mana yang harus dimasuki. Tiba-tiba dia lihat Cik Biah berada di tengah jalan, melambai-lambai meminta dia berhenti. Lara menoleh ke belakang. Dia nampak budak Foodpanda, dua orang anggota polis dan beberapa orang jiran mengejarnya. Suara mereka riuh-rendah.Lara tiada pilihan. Dia mesti mara ke hadapan dan lari.

"Tepi mak! Tepi!" jerit Lara sekuat hati.

"Lara! Berhenti, nak! Berhenti!" pinta Cik Biah.

Lara tiada pilihan lain selain melanggar Cik Biah.

"Maafkan Lara, mak! Maafkan Lara."

Lara tidak sedar apa yang berlaku selepas itu. Dia hanya ingat motosikal yang ditunggangnya memecut laju ke arah Cik Biah. Kemudian semuanya hilang lenyap ditelan bumi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co